Kamu ada rahsia? © @fatibee
Apa ya rahsia kamu? © @fatibee

Revolution Stage ialah antara salah satu produksi teater Melayu yang paling aktif ketika ini. Hampir saban bulan ada saja produk baru yang dipersembahkan. Pada bulan Oktober yang lalu selama empat hari Revolution Stage telah mempersembahkan AsramaRa yang ditulis oleh teraju produksi tersebut, Khairunazwan Rodzy.

Pada mulanya saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap AsramaRa kerana sebahagian besar barisan pelakonnya tidak berpengalaman dalam bidang lakonan, apatah lagi teater. Mereka terdiri daripada pada peserta ‘First Time Workshop’ iaitu sebuah bengkel asas lakonan teater kelolaan Khairunazwan sendiri.

Setiap kali bengkel tersebut tamat, peserta akan diberi peluang untuk membuat persembahan dalam bentuk teater dan terbuka kepada orang ramai. Sebelum ini saya pernah menonton sebuah teater pasca ‘First Time Workshop’ juga, iaitu Tepuk Amai-amai tetapi saya tidak begitu menggemarinya.

Selain daripada peserta-peserta bengkel tersebut, tarikan AsramaRa adalah dua orang pelakon berpengalaman Sherry Alhadad dan Nadiya Nissa yang popular dengan drama Adam dan Hawa.

Sepanjang AsramaRa, prop teater tidak berubah. Semua babak berlangsung di sebuah bilik asrama perempuan di sebuah sekolah menengah. Watak-watak utama terdiri daripada pelajar-pelajar perempuan yang menginap bilik tersebut. Sesekali watak seorang guru kaunseling wanita, seorang guru lelaki dan seorang murid lelaki akan datang ke bilik itu sama ada secara terbuka atau sebaliknya.

Ceritanya dibuka dengan enam orang pelajar perempuan yang baru pulang ke asrama mereka menjelang maghrib setelah melalui kursus pengawas. Masing-masing dalam keadaan letih dan ingin bersiap untuk tidur. Watak-watak pelajar tersebut difikirkan dengan baik oleh penulis skrip. Semua mereka adalah pelajar terpilih tetapi mempunyai perwatakan yang berbeza. Kontras watak inilah yang memberikan kekuatan dari segi gaya lakonan dan menarik penonton untuk bersimpati ataupun membenci watak-watak tertentu.

AsramaRa mempunyai tiga bahagian – mimpi pertama, mimpi kedua dan mimpi ketiga. Di dalam mimpi pertama, setiap watak di dalam AsramaRa secara tidak sengaja mendedahkan rahsia diri masing-masing kepada orang lain. Mereka semua lega apabila terbangun dari tidur dan menyedari bahawa mereka hanya bermimpi, tetapi kembali risau apabila menyedari bahawa semua orang mempunyai mimpi yang sama.

Dalam kekalutan tersebut semua orang cuba menafikan kebenaran, tetapi pada masa yang sama mereka tahu apa yang mereka mimpikan adalah kebenaran. Kejadian tersebut berulang-ulang sehinggalah mimpi yang ketiga. Dalam setiap mimpi, masing-masing cuba menyalahkan orang lain sebagai punca kematian salah seorang bekas penghuni bilik asrama tersebut.

Plot AsramaRa sangat menarik dengan pengakhiran yang tidak disangka. Pengarah juga mampu meneroka dengan baik soal persahabatan dan kesetiaan juga soal benci dan hipokrasi. Temanya kedengaran serius tetapi di tangan Khairunazwan dialog-dialog yang dicipta beliau kadangkala cukup melucukan membuatkan penonton ketawa.

Yang menariknya juga walaupun mungkin bukan maksud pengarah untuk mewujudkan unsur seram di dalam cerita tersebut tetapi ada beberapa elemen yang membuatkan bulu roma saya meremang. Tidak seperti medium filem jarang kita dapati teater yang mempunyai unsur seram. Elemen ini jika diterapkan dengan baik boleh memberikan dimensi baru dalam dunia teater Malaysia dan mungkin dapat menarik lebih ramai penonton.

Jalan cerita dan penyampaian yang menarik memudahkan saya untuk memaafkan beberapa kesilapan kecil yang dibuat oleh pelakon-pelakon muda pasca bengkel seperti tersasul dan terlupa skrip. Saya boleh membayangkan skrip teater ini jika digilap lagi mampu menjadi filem yang baik. Jadi tidak hairanlah bila saya mendengar ada yang berminat untuk membawa AsramaRa ke layar perak.

Selesai persembahan AsramaRa, saya berjumpa dengan Khairunazwan dan bersalam dengan beliau sebanyak dua kali. Salaman pertama ialah kerana skrip AsramaRa ditulis oleh beliau dan salaman kedua ialah kerana AsramaRa juga diarahkan oleh beliau.

 

 Puspawati Rosman, seorang peguam yang meminati teater.