euff_major

Festival Filem Kesatuan Eropah datang lagi buat kali yang ke-14. Kali ini 23 buah filem daripada 20 buah negara Eropah akan ditayangkan di pawagam GSC di sekitar Kuala Lumpur, Georgetown dan Kota Kinabalu.

Berikut adalah sepuluh filem yang anda patut tonton:

1. Amour, Austria (2012) oleh Michael Haneke, genre: Drama, Romantik. [P13]

Sebabnya mudah kerana filem ini telah memenangi beberapa anugerah festival filem. Hanya dua sahaja anugerah paling penting yang perlu disebut: pertama, anugerah Academy untuk filem terbaik bahasa asing pada tahun 2013 dan juga anugerah Palmed’Or di festival filem Cannes pada tahun 2012.

2. Barbara, Jerman (2013) oleh Christian Pretzold, genre: Drama, Sejarah. [P13]

Barbara, seorang doktor di Jerman Timur dihukum berkerja di sebuah hospital terpencil di jauh dari Lautan Baltik kerana telah memohon visa untuk keluar dari Jerman Timur untuk berjumpa dengan kekasihnya yang berada di Jerman Barat. Filem ini mendapat anugerah Silver Bear untuk Pengarah terbaik pada festival filem antarabangsa Berlin 2012.

3. 21 Days The Heineken Kidnapping (2012) oleh Maarten Treurniet, genre: Thriller. [18]

Filem ini berdasarkan kisah benar Alfred Heineken–yang mempopularkan bir Heineken ke serata dunia–diculik oleh empat orang penjenayah muda. Setelah 21 hari dikurung beliau dibebaskan apabila keluarganya membayar wang tembusan sebanyak 11 juta euro. Alfred tidak berdiam diri setelah bebas malah merancang untuk membalas dendam terhadap penculiknya itu.

4. Beyond, Sweeden (2010) oleh Pernilla August, genre: Drama. [18]

Noomi Rapace, terkenal dengan Lisbeth Salander dalam filem The Girl with Golden Tattoo merupakan watak utama di dalam filem ini. Ketika hari lahirnya dia menerima panggilan bahawa ibunya sakit tenat. Perjalanan untuk kembali ke kampung dan menemui ibunya itu membuka kembali kisah hitam semasa kecil.

5. The Sandman, Switzerland (2011) oleh Peter Luisi, genre: Komedi, Fantasi. [18]

Benno terjaga dari tidur pada suatu pagi dan mendapati katilnya berpasir. Dia cuba abaikan peristiwa itu tetapi lama-kelamaan semakin banyak pasir yang keluar dari bajunya.

6. Men in Hope, Republik Czech (2011) oleh Jirí Vejdelek, genre: Komedi, Romantik.

Bolehkan kecurangan menjadi asas kepada perkahwinan yang bahagia? Rudolf seorang suami dalam umur 60an berpegang kepada fahaman ini. Dan dia mula mengajar falsafah ini kepada menantu lelakinya.

7. This Life, Denmark (2012) oleh Anne-Grethe Bjarup Riis, genre: drama, perang [P13]

Kisah benar keluarga Fiil yang menentang Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua. Perlawanan untuk kebebasan terpaksa dihadapi walaupun nyawa menjadi pertaruhan.

8. Oh Boy, Jerman (2012) oleh Jan-Ole Gerster, genre: Drama. [U]

Ini filem pertama Jan-Ole Gerster tentang Niko yang berhenti belajar tanpa pengetahuan keluarganya. Kerjanya merayau dan merayapi kota Berlin. Filem dalam hitam-putih ini telah memenangi beberapa anugerah filem di Jerman.

9. Easy Money, Sweeden (2010) oleh Daniel Espinosa, genre: Aksi, Drama. [18]

Filem ini adalah karya Espinosa sebelum beliau mengarah Safe House pada 2012 lakonan Danzel Washington dan Ryan Reynolds. JW seorang pelajar di Stockholm School of Economics mula terlibat dalam dunia gelap jenayah kerana ingin diterima sebagai sebahagian kelas elit di Stockholm.

10. A Touch of Spice, Greece (2003) oleh Tassos Boulmetis, genre: Drama. [U]

Dalam bahasa Yunani tajuk asal filem adalah Politiki kouzina boleh diterjemahkan sebagai “Cuisine of the City” di mana ‘city’ itu merujuk kepada Instabul yang mana komuniti orang Yunani pernah tinggal di sana sebelum diusir keluar. Filem ini memaparkan bagaimana seorang cucu terpaksa berpisah dengan datuknya. Tajuk filem ini juga boleh diterjemahkan menjadi ‘Political Cuisine’ sesuai dengan watak-watak dalam filem ini yang hidup mereka terpaksa berhadap dengan keputusan-keputusan politik.