Ronasina: Posto, Posto!   © Hafiz Hamzah
Ronasina: Posto, Posto! © Hafiz Hamzah/ObscuraMalaysia

Ronasina atau nama sebenarnya Mohd Affandi Ramli lebih dikenali sebagai seorang kartunis. Walhal beliau juga adalah seorang aktivis, penulis dan penerbit. Kali ini beliau tampil dengan projek terbaru beliau iaitu Posto, sebuah majalah yang diterbitkan secara tidak berkala, yang mana isu pertamanya diluncurkan pada bulan Mac yang lalu. Posto menawarkan wawancara, laporan eksklusif, cerpen, ulasan filem dan tulisan daripada penulis seperti Hishammuddin Rais, Pyanhabib dan Adam Adli.

Apa itu Posto?

Posto sedap disebut. Dalam Bahasa Itali bermaksud ‘tempat’ tetapi nuansanya lebih luas dan menepati ciri yang kami mahukan sewaktu memikirkan konsep majalah ini iaitu ‘ruang’, ‘keadaan’ atau ‘duduk perkara,’ dan ‘tumpuan’ jika ia boleh diterjemahkan begitu. Kalau kita menonton filem Ahmad Albab betapa penghantar surat yang melaungkan ‘Posto!’ itu sangat berghairah melaksanakan tugasnya sehingga sampai masuk ke dalam rumah.

Majalah Posto menawarkan ‘hiburan alternatif? Apa maksudnya? 

Majalah hiburan memang banyak dan menguasai dunia penerbitan di Malaysia. Tetapi bagaimana definisinya? Selalunya bila menyebut hiburan itu dianggap picisan dan ringan. Selalu kita dengar frasa ‘ia sekadar hiburan’. Mengapa mesti sekadar? Di sini Posto cuba memaknai semula erti hiburan. Kita berhibur bermacam-macam cara mengikut selera kita. Kasihan kita kerana majalah pun menjadi mangsa label-melabel. Itu majalah berat contohnya dan ini majalah ringan. Sedangkan sesuatu yang dikatakan ilmiah itu juga menghiburkan bagi mereka yang menggemarinya. Sepatutnya tiada perkataan ‘alternatif’ jika hiburan sudah dimaknai sepenuhnya tetapi bimbang Posto dilabel majalah hiburan seperti biasanya.

Isu kedua Posto.
Isu kedua Posto.

Dengan perkembangan dunia internet dan peranti digital, bagaimana media cetak terutamanya majalah dapat menawarkan sesuatu yang baru terutamanya?

Saya percaya masih ramai suka sesuatu yang boleh ‘dipegang’.Jika kita sediakan bahan yang baik, kepercayaan ‘khurafat’ media cetak tiada masa depan akan terbatal. Memang mencabar apatah lagi modal kecil tetapi kena cuba. Kalau suatu hari nanti Al-Quran sudah tak guna kertas lagi mungkin hayat media cetak kiamat sepenuhnya dan kita tiada pilihan lagi.

Ini isu kedua Posto. Bagaimana dengan penerimaan khalayak setakat ini?

Modal kecil. Hanya mampu cetak 2000 naskhah. Kalau Posto isu 1 dulu terjual 1700 naskhah dalam masa dua bulan harap kali ini lebih baik. Kali ini ada ISBN dan akan masuk kedai. Sambutan sangat baik terutama anak-anak muda. Dan Posto 1 mula dicari semula.

 

Untuk mendapatkan Posto boleh emel kutubkhanah112@gmail.com atau telefon 0123499276.