Rusdi Ramli memegang watak Tun Abdul Razak. © Pesona Pictures
Rusdi Ramli memegang watak Tun Abdul Razak. © Pesona Pictures

Dengan “Tanda Putera”, sekurang-kurangnya Shuhaimi Baba sudah beri tanda yang dia seorang yang pro-establishment.

Apa yang hendak dihairankan sangat?

Pemikiran, iktikad atau pegangan “politik-kebudayaan” begitu sama sahaja seperti makcik kampung yang selalu menasihatkan anak-anak kampungnya agar dengar dan ikut sahaja kata-kata ketua kampung. Jangan sekali-kali ditentang, dilawan. Dia ketua kampung, maka dia betul. Dia betul kerana dia ketua kita.

Bezanya makcik di kampung suka membebel. Bagi Shuhaimi, lebihlah canggih… dia guna filem. Bukan dengan mulut.

Keluar daripada konsep kampung-kampungan; sebagai seorang karyawan, pemikiran terikat arus perdana sebegitu sebenarnya aneh. Mungkin tak aneh di Malaysia, tapi pelik dalam sejarah kesenimanan dunia.

Seniman [atau orang-orang yang selalu menggunakan pemikirannya dengan sungguh-sungguh] di mana-mana pun akan punya sikap melawan. Melawan sebagai tanda usaha menggapai idealisme. Melawan bukan sekedar melawan. Fitrah sedemikian lazimnya akan bertembung dengan kekuasaan. Lebih-lebih lagi kekuasaan politik. Bagi seniman sejati, “melanggar idealisme” sama erti sebagai “merosakkan keindahan”.

Berhenti melawan—membiarkan keindahan jadi jelek—bererti mati.

Peliknya di sini apabila di mata seniman seperti Shuhaimi, segala bentuk kekuasaan-politik pula dekat dengan keindahan. Atau, jangan-jangan keindahan adalah kekuasaan itu sendiri… sepertimana yang selalu dapat dilihat diyakini oleh kaum bangsawan kita.

Lantas di dalam “Tanda Putera”, yang nampak dimenangkan Shuhaimi adalah kelas super-atas, atau kaum bangsawan itu. Segala yang mereka buat adalah indah; adalah kebenaran. Golongan lain, atau “yang bukan bangsawan”, atau sekurang-kurangnya “yang tak pro-bangsawan” adalah bermasalah. Lebih berat, “the Others” adalah punca kepada masalah itu sendiri.

Latarnya 13 Mei, ’69. Rusuhan kaum berlaku di sana. Bunuh-membunuh.

Boleh dijengkal yang era berkenaan juga sempat melintasi latar masa filem “Habibie dan Ainun”: satu lagi filem biografikal tahun ini. Kali ini dari Indonesia.

Habibie juga adalah kaum priyai, iaitu kelas menengah atas dalam masyarakat Jawa. Filem itu, perihal cinta. Sekurang-kurangnya dalam satu temubual yang boleh diekses di Youtube, kita dapat tahu bagaimana Pak Habibie justeru memang mempunyai rasa cinta maha dalam kepada Ainun; gadis Jawa, sekelas dengannya, yang kemudian dia nikahi. Justeru kematian ibu Ainun, Pak Habibie menangis. Seolah tiada henti.

Terasa Ainun segala-galanya bagi Habibie: Presiden Indonesia ketiga itu. Satu dialognya yang saya akan ingat sampai bila-bila, ialah, “aku sangka kamu gula Jawa. Rupa-rupanya kamu gula pasir.” Lebih kurang begitu.

Watak Habibie dimainkan oleh Reza Rahadian. Watak Ainun pula oleh Bunga Cinta Lestari. Dalam filem itu, yang mengagumkan bukan cuma kekuatan jalan cerita, yang membawa jejak Habibie dari muda sampai dia kehilangan isterinya di hari tua, juga lakonan Reza yang cukup mengesankan. Reza dapat mirip betul dengan gaya cakap dan kelakuannya Habibie.

Di sini, pujian juga harus diberikan kepada Rusdi Ramli, yang membawa watak Tun Abdul Razak. Dia watak utama. Begitu juga Faezah Elai yang juga cukup mengesankan dengan watak isteri Tun Razak, Toh Puan Raha.

Sepertimana Reza yang sosoknya tidaklah begitu mirip dengan Habibie, begitu juga tubuh dan ketinggian Rusdi yang tidaklah sedondon cocok dengan Tun Razak. Hanya kesungguhan keduanya sebagai pelakon yang baik dan punya kelas sendiri dapat dirasakan. Di celah-celah semua itu, saya memilih dan mencatatkan bahawa Hasnul Rahmat paling berjaya dan meyakinkan dengan wataknya sebagai Tun Hussein Onn. Paras rupa, gaya percakapannya mirip sekali.

Pun begitu, menoleh ke filem “Lincoln” arahan Steven Spielberg; sosok, gaya pengucapan, gerak-geri bahkan intonasi suara oleh pelakon utamanya Daniel Day-Lewis tak dapat dinafikan sangat hebat.

Saking bagusnya lakonan Lewis sebagai Presiden Amerika ke-16, maka dia dinobat pelakon lelaki terbaik Anugerah Oscar tahun ini. Antara ketiga filem biografikal itu, “Lincoln” bukan sahaja boleh dirasakan paling berat. Mungkin kerana memang menjadi gaya pengarahan Spielberg yang sukakan penataan cahaya yang samar dan gelap dalam hampir semua filem arahannya.

Sama ada Abraham Lincoln, BJ Habibie mahupun Tun Abdul Razak, ketiga pemimpin ini melalui saat sulit ketika beliau memegang tampuk kekuasaan. Di sinilah kematangan penulis skrip, kefahaman penerbit dan kehebatan pengarah dapat dinilai.

Sehari selepas “Tanda Putera” diputar di pagawam, saya dapat melihat foto-foto yang dimuat turun ke laman sesawang, di FB, malahan di twitter. Foto-foto berkenaan dengan jelas cuba merendahkan “Tanda Putera” dengan dipaparkan beberapa imej yang tak sesuai yang dengan era tersebut. Paling dihebohkan ialah konon wujudnya kereta Proton ketika sekumpulan orang sedang berarak di era 60-an.

Heboh-heboh sebegitu bukanlah hujah atau kritik utama untuk “Tanda Putera”. Filem adalah medium bercerita. Harus ditanyakan, apakah cerita dalam filem “Tanda Putera”? Persoalannya adalah, apakah (?) persoalan “Tanda Putera”—sama seperti apa persoalan besar dalam filem “Habibie dan Ainun” dan “Lincoln”.

Lincoln dirakam ketika Amerika melalui saat sangat getir: Perang Sivil. Di sana, tak ada orang Melayu. Tak ada orang Cina. Tapi di Amerika juga pernah berlaku perang dalaman antara kaum, antara mazhab politik, warna kulit, antara daerah dan wilayah-wilayah.

Bagi yang mendalami sejarah Amerika, boleh difahami bagaimana Perlembagaan Amerika dipinda lebih daripada 150 tahun, dan antara yang paling banyak dilakukan ialah di zaman Lincoln menjadi Presiden Amerika. Semua itu dilakukan bagi menyesuai dan mempersiapkan Amerika untuk berdiri sebagai negeri segala bangsa; agar setiap warganya terjamin hak; mengangkat darjat diri manusia dan kebahagiaan adalah kesempatan bagi semua orang.

Semua-semua itu, duduk di dalam nilai kemanusiaan sejagat yang sangat tinggi, yang cuba diterjemah dengan segala konflik dalaman watak utama: Lincoln. Meskipun dalam waktu sama, saya kira penceritaan filem berkenaan tidaklah begitu tersusun, lancar dan kuat. Hampir semuanya bergerak lambat.

Jalan cerita yang lebih kemas terdapat dalam “Habibie dan Ainun”. Bukan dalam “Lincoln”. Bukan juga dalam “Tanda Putera”.

Semua orang mati. Tak kiralah namanya Tun Razak, atau Lincoln mahupun Ainun. Tak kiralah dia seorang yang bergelar “doktor” seperti Dr Ismail, mahupun dia seorang isteri Presiden seperti Ainun.

Hanya di dalam “Tanda Putera”, jejak menuju kematian watak besar Tun Razak tidak diisi dengan naratif atau jalan cerita yang jelas. Jasa-jasanya tiba-tiba diada-adakan. Bukan diceritakan. “Tanda Putera” begitu bersungguh-sungguh meletakkan latar kejadian huru-hara begitu kehadapan. Begitu ditonjol-tonjolkan sehingga hampir tak ada cerita yang bergerak.

Filem ini lebih sebuk menunjukkan kejahatan dan brutaliti orang-orang atau pihak yang bukan bangsawan—daripada kelompok komunis, pendemonstran, penduduk kampung dan kota, Cina dan Melayu, sehinggalah kelompok mahasiswa. Hanya ada satu sahaja yang betul dalam dunia “Tanda Putera”, iaitu teknokrat yang jadi pemimpin. “Yang lain”, kalaupun tak salah atau jahat, cuma ibarat bunga hiasan kepada golongan tersebut.

Di mata Shuhaimi, semuanya borong. Semuanya dalam satu bakul, iaitu membebankan pemimpin; menyusahkan negara. Semuanya tak mengerti bagaimana “pembangunan” itu penting. Harap-harap saya tak keterlaluan untuk menyatakan bahawa pandangan sebegini, bahawa semua radikalisme itu sama, adalah pandangan yang sangat naif. Bahkan kebudak-budakkan.

Lincoln yang mengambil latar Perang Sivil mempunyai kesempatan untuk membuat tuduhan lebih dahsyat daripada kesempatan yang dimiliki Shuhaimi. Begitu juga untuk “Habibie dan Ainun” di mana garis hidup protogonisnya juga melalui saat-saat genting riot pada September 1998, atau dikenali sebagai Reformasi yang tercetus di Jakarta. Hanya pengarah atau penulis skrip dua filem berkenaan tidaklah semberono membuat tuduhan mahupun menggambarkan bahawa golongan radikal, garis kiri, malahan gerakan mahasiswa sebagai kalut dan menyusahkan negara.

Mungkin atas dasar ini, maka ada yang melabel filem “Tanda Putera” sebagai filem bodek, selain sejenis propaganda yang kasar; yang memaksa bukan sahaja orang menangis, tetapi juga menerima hanya ada satu golongan sahaja yang betul dan maha benar.

Bukan kebetulan bahawa Perdana Menteri sekarang adalah Najib bin Tun Razak. Hanya kalau saya menjadi Najib, bodek dan propaganda kasar jenis ini tidak akan menyenangkan saya. Tak akan pula menyenangkan seluruh keluarga saya apabila bapa saya—sebagai mantan PM—dibayangkan langsung tak mendekati dan tak memahami gejolak rakyat terbanyak; termasuk para penentangnya.

Yang dimaksudkan gelojak masyarakat terbanyak bukanlah cuma membuat lawatan ke sekolah atau kolam ikan, sepertimana yang ditunjukkan Shuhaimi. Maksudnya bagaimana Tun Razak sebagai pemimpin nombor satu harus benar-benar faham bahawa tak semua kelompok yang radikal itu boleh dimuatkan dalam satu bakul; dalam satu kategori seperti mana yang dilakukan Shuhaimi.

Dia lakukan tanpa rasa bersalah. Tanpa fikir panjang. Sebab itulah dia bagi saya, kebudak-budakan.

Di sini, “Lincoln” lebih jelas. Kebebasan adalah kata kunci. Keadilan adalah asas sesebuah masyarakat yang ideal. Kebahagian bukan cuma dengan jalan kemajuan material sepertimana tak habis-habisnya retorik pemimpin negara-negara dunia ketiga.

Ya! Apa yang hendak dihairankan?

Shuhaimi memang sudah memberikan tanda yang “Tanda Putera” adalah pandangan atau wakil pandangan daripada generasinya. Mungkin.

Pandangan sebegitu tak dia sedar, sudah lapuk. Sementara generasi Shuhaimi nampaknya semakin jauh daripada kenyataan dan getar masyarakat hari ini. Cuma saya khuatir, filem yang bernilai RM4.6 juta ini akan tumpas di pawagam—filem ini tak akan ditonton termasuk oleh orang atau pihak yang tempohari mahu menggunakan untuk laba politik; jauh sekali akan disambut baik oleh anak-anak muda.

Kala saya menontonnya, dalam pawagam kurang 50-60 orang. Pasangan di sebelah kerusi saya, adalah pasangan kaum Tiong Hua.

Sementara filem itu diputarkan, tak habis-habisnya saya resah; entah apa perasaan kedua anak muda Cina itu, dengan filem yang sebegini kasar sekali propagandanya; yang menjadikan nyawa manusia sebagai barangan jualan air mata.

Apakah bangsa yang sekasar itu yang hendak kita lahirkan? Pada titik ini, radikalisme nampaknya jauh lebih lembut daripada kasarkan propaganda dalam “Tanda Putera”.

Bagi saya, daripada lima bintang “Tanda Putera” tiga bintang. “Lincoln” tiga setengah dan “Habibie dan Ainun” empat.

Sudah banyak tulisan dan pandangan bahawa 13 Mei bukanlah lagi modal politik-kebudayaan untuk kononnya mewujudkan perpaduan nasional. 13 Mei takkan mampu lagi jadi hantu untuk dimomok-momokkan kepada generasi muda. Saya tak pasti, apakah yang bersandiwara di benak Shuhaimi ketika dia mahu bikin filem berkenaan? Rasanya tak siapa akan pasti, melainkan beliau harus terus bikin filem. Walaupun ribut. Walaupun taufan. Itu memang kerjanya.

Selepas 1998, 1999, selepas 2004, selepas 2008 dan semakin jelas selepas 2013; persoalan generasi hari ini ialah kekaburan terhadapan idea keadilan, kebebasan dan pengkhianatan kepada cita-cita reformasi. Manusia dan pemimpin yang tak memahami semangat ini bisa sahaja tanpa rasa bersalah cuba pula berlagak tuan besar yang menentukan apa yang baik apa yang tidak ke atas rakyat; apa yang harus ditonton apa yang tidak… walaupun mereka datang daripada pihak yang menjerit mahukan perubahan dan demokrasi.

Orang, pihak dan parti politik (sama ada Umno, DAP dan Gerakan: seperti mana yang dipapar dalam “Tanda Putera”) yang menyebabkan atau mendorong semua bentrokan dan pembunuhan terjadi 44 tahun lalu, takkan mengaku salah sampai bila-bila. Takkan meminta maaf.

Sampai kiamat sekalipun mereka tidak.