Merdeka” mulanya bukan slogan Umno. Slogan Umno ialah “Hidup Melayu”.

Bukan hanya tak merasa bersalah, bahkan golongan yang mula-mula mencetuskan slogan “merdeka” serta segala makna yang terkandung di dalam istilah itu yang akhirnya disisihkan; dianggap pengkhianat bangsa dan ditindas adanya. Anekdot pendek ini mungkin boleh membuatkan fikiran kita lekas faham akan persoalan “Siapa Rampas Reformasi?”.

Tahun ini Reformasi sudah 15 tahun.

Tak ada tarikh lain yang lebih tepat untuk memperingati perjuangan pembaharuan di Malaysia kecuali 20 September 1998. Bukan pada hari ini, 12 September lima belas tahun lalu walaupun tarikh hari ini sepucuk deklarasi penting dibacakan. Dikenali ia sebagai “Deklarasi Permatang Pauh”.

Tarikh 2 September pula hanya melibatkan dua personaliti politik tertinggi Malaysia: Anwar dan Mahathir. Petang itu, ada surat berkepala Jabatan Perdana Menteri terbit untuk memaklumkan Anwar dipecat. Sebelah malamnya, walaupun berita pemecatan Anwar jadi tajuk besar berita TV, tapi Kuala Lumpur masih tidur lena.

20 haribulan itulah rakyat turun ke jalan-jalan raya. Sebuah keresahan besar. Sebuah persoalan besar—meski slogan “Reformasi” mulanya tak ramai yang faham. Tema itu juga jadi tema besar Pemuda Umno—“Pemuda Pemangkin Reformasi”—yang mana mantan ketuanya sendiri yang hari ini sudah jadi menteri juga tak berani lagi menyebutkannya lagi.

Sepanjang 15 tahun ini, tak kurang ramai yang keliru tentang erti Reformasi. Barangkali kerana malas berfikir dan berbincang, maka sesiapa sahaja yang turun ke jalanraya berdemonstrasi dipanggil “reformis”. Sewajarnya orang yang berdemonstrasi gelarannya ialah “demonstran”. Bukan semestinya “reformis”.

Hanya boleh dimengertikan bagaimana ada orang dan pihak-pihak yang begitu mahukan diri mereka dilihat atau dilabel sebagai “reformis” apabila istilah itu dilihat ada nilai komersialnya; ada pasaran politik yang luas. Namun untuk menyatakan bahawa hanya mereka yang turun ke jalanraya, yang berdemonstrasi sebagai reformis adalah tak tepat.

Penghormatan “Reformis” dalam mana-mana sejarah di dunia diberikan oleh rakyat. Itupun selepas sekian lama masa berlalu. Beberapa nama besar seperti Jose Rizal di Filipina, Mahatma Ghandi di India sampailah kepada Nelson Mandela di Afrika Selatan sekalipun, rakyat dan zaman jualah yang melabelkan sosok-sosok itu sebagai golongan reformis.

Hari ini, apabila demonstrasi tidaklah serancak period awal Reformasi, maka kita lihat semakin kurang politikus yang mahu mengaitkan diri mereka sebagai reformis. Mereka lebih suka mengaitkan diri dengan gelaran seperti “YB” ataupun jawatan-jawatan dalam parti politik. Hipokrasi ini, kepura-puraan ini sama sahaja dengan ketua pemuda yang tak berani menyebutkan “reformasi” selepas jadi menteri.

Hanya selepas 15 tahun, begitu banyak keadaan yang membuktikan bahawa Reformasi tak dapat ditolak.

Manusia yang paling kuat sekalipun cuba dan cuba menolak Reformasi seperti mantan PM Mahathir Muhamad juga di satu waktu terpaksa bercakap dengan lenggok dan isu kandungan perjuangan Reformasi. Paling jelas apabila beliau mahu menyisihkan Abdullah Badawi, seraya tiba-tiba dia bercakap tentang hak asasi manusia dan kebebasan media. Bukankah di zaman pemerintahannya, dua elemen penting demokrasi itulah yang paling teruk ditekan?

Maknanya, Mahathir sendiri pernah cuba untuk merampas—atau paling tidak mendekatkan diri dengan persoalan—Reformasi. Semua itu dilakukan ketika PM Abdullah baru sahaja melancarkan dasar-dasar pemerintahan yang cenderung kepada perubahan. Beberapa akta draconian yang sejak 1998 dicemoh sebagai bertentangan dengan demokrasi dan kebebasan, bahkan bertentangan juga dengan Perlembagaan, cuba digantikan. Sebagai satu ukuran; tidak seperti Mahathir, Abdullah tidaklah sekeras untuk menyekat perhimpunan dan demonstrasi yang dianjurkan penentangnya.

Di sini, suara golongan pro-pembaharuan sebenarnya sudah menular. Sudah masuk ke dalam jantung hati rakyat. Meresap sampai ke tulang-temulang sehingga parti politik mana pun yang tak seiring dengan nada pembaharuan ini akan bisa kalah bila-bila masa.

Mungkin atas sebab itu, sebagai seorang popularis (“popularis” bukan “reformis”), menantu Abdullah juga terpaksa turun ke jalan raya. Mengadakan “demonstrasi pondok-pondok”; perhimpunan main-main. Tak lain itu hanya mahu menunjukkan dirinya sebagai seorang yang tak bertentangan dengan arus bawah yang sesungguhnya sudah lebih besar daripada arus atas. Politik kebenaran semakin menolak politik kebatilan.

Usaha merampas Reformasi boleh dikatakan sudah bermula sejak era Abdullah lagi. Bobroknya dan budaya politik yang sama sekali berbeza di era Mahathir menjadikan Abdullah tidak boleh berbuat perubahan sepantas kilat. Baginya perlu pelan-pelan, alon-alon

Sementara arus bawah yang sudah membesar tak dapat ditahan-tahan, Abdullah sebenarnya punya kesempatan dianggap sebagai reformis kalau dia sanggup menanggung risiko apapun demi perubahan dan kebaikan bangsa. Walaupun risikonya sampai partinya kalah. Pengalaman seumpama pernah dilalui BJ Habibie.

Hari ini Pak Habibie justeru dikenali bangsanya sebagai seorang reformis. Dia dikenali begitu bukan kerana beberapa akta dilepaskan [seperti akta kebebasan media yang mengongkong di era Seoharto] tapi demi kebaikan bangsa, semua usaha pembaharuan perlu dibuat meskipun partinya sendiri, iaitu Golkar, kalah dalam pemilu. Tanpa kebeberanian, kejujuran dan kekuatan sikap yang begitu, maka hari ini Abdullah hanya dikenang sebagai mantan PM sepertimana mantan-mantan PM yang lain. Dia tidaklah begitu istimewa di mata rakyat. Sampai bila-bila.

Di sinilah, sama ada Abdullah, sama ada menantunya sehinggalah Mahathir sendiri yang cuba untuk merampas roh Reformasi tapi tanpa faham betul tentang apa itu Reformasi. Sampailah datang pengganti semua mereka itu, iaitu Perdana Menteri sekarang. Saking tak terelaknya rembahan pembaharuan yang merempuh, Najib Razak terpaksa mengambil slogan “Transformasi” untuk mengelirukan rakyatnya sendiri daripada istilah yang sudah muncul lebih awal iaitu “Reformasi”.

Sepertimana istilah “Reformasi, istilah “Transformasi” berasal daripada bahasa Inggeris. Maknanya tetap “perubahan”. Pun begitu, persoalannya yang lebih penting ialah isi kandungan kepada makna perubahan itu sendiri: untuk apa dan ke mana? Para pemimpin politik ini tak faham, mungkin sahaja sampai hari ini mereka keliru, mengapa begitu ramai sanggup turun menyatakan sikap mereka pada 20 September 1998? Apakah yang terbuku di dalam hati nurani rakyat?

“Rakyat” yang saya maksudkan di sini bukanlah peribadi-peribadi. Setiap peribadi-peribadi dan batang tubuh akan mempunyai persoalan masing-masing. “Rakyat” yang saya maksudkan di sini ialah memang “Rakyat”, iaitu satu sosok tubuh bangsa yang hidup di zaman ini. Ringkasnya, “rakyat yang saya maksudnya ialah “semangat” atau “gelodak zaman”.

Lantas untuk mengambil jalan pintas, sebagai PM yang baru berkuasa, Najib pun tempohari turun ke bawah. Turunnya dia ke bawah, ke pasar-pasar malam, ke warong dan kedai-kedai kopi, ke perhentian bas dan bilik stesyen radio, bagi menunjukkan bagaimana beliau bersama rakyat. Cuma, apakah dia punya jalan pintas, sementara beliau sudah jadi wakil rakyat  seawal umurnya 20an? Belum pun berumur 30 tahun, beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Pahang.

Tidak cukupkah semua itu? Najib sepertimana lazimnya kaum bangsawan, mereka bukan tak punya masa, tapi mereka tak punya kesedaran.

Membandingkan Najib dengan Abdullah, Najib nampaknya hanya menyambung sebuah azam yang dimulakan Abdullah. Dan seperti Abdullah, Najib punya kesempatan untuk mengukir nama sebagai seorang reformis andai beliau sanggup meletakkan kepentingan bangsa dan negeri ini lebih tinggi ketimbang kepentingan partinya sahaja. Abdullah tak sanggup kalah dalam PRU; apakah Najib sanggup?

Sebab itulah saya jawab tadi tidak!

Saya jawab tidak kerana sudah terduga bahawa di benak fikiran kaum bangsawan akan berfikir bahawa perubahan yang mereka lakukan akan terhenti pada titik partinya kalah. Inilah bezanya Abdullah dan Najib, berbanding Habibie, waima dengan Mandela sekalipun. Jangan dibezakan dengan Ghandi yang bukan sahaja tak bergantung kepada parti politik, tetapi juga sanggup mati demi bangsa dan negerinya.

Tentulah keterlaluan kalau nak diharap ada pemimpin politik untuk sampai ke tahap itu. Cuma paling tidak, mereka harus jujur dengan apa yang mereka faham tentang bangsa, tentang negeri, tentang politik bahkan tentang perubahan itu sendiri. Agar perjuangan baru bukan cuma untuk mengapuskan bayaran tempat letak kereta atau memberi air percuma. Jauh sekali untuk kembali mengongkong rakyat atas nama agama.