Angela Merkel di saat meraikan kemenangannya. © Johannes Eisele / AFP-Getty Images
Angela Merkel di saat meraikan kemenangannya. © Johannes Eisele / AFP-Getty Images

Jika masih ada keraguan yang tersisa, semuanya terhapus pada Ahad malam yang lalu. Jerman adalah milik Canselor Angela Merkel dalam bentuk yang tidak pernah dimiliki oleh mana-mana pemimpin lain sejak era penyatuan semula Helmut Kohl . Kemenangan beliau dalam pilihan raya umum itu, di zaman yang mempunyai banyak parti kecil, adalah kemenangan besar.

Unjuran menunjukkan bahawa parti konservatif Merkel berakhir dengan kemenangan sebanyak 42 peratus, prestasi terbaik mereka dalam pilihan raya persekutuan sejak Kohl mendapat 43.8 peratus pada tahun 1990 hanya beberapa bulan selepas Jerman Timur dan Jerman Barat bergabung semula. Walaupun keinginan yang beliau nyatakan secara terbuka untuk terus mentadbir dengan Free Democrats yang pro-perniagaan tidak berjaya, kerana mereka gagal mencapai 5 peratus yang diperlukan untuk perwakilan parlimen, beliau kelihatannya mendapat apa yang lebih luar biasa: sebuah majoriti mutlak.

“Ya, kawan-kawan, sepertimana sorakan kuat yang kita dengar, kita semua boleh bergembira hari ini,” Merkel memberitahu penyokongnya yang sedang bergembira di Berlin pada Ahad malam. “Ini adalah keputusan yang hebat. ”

Bagaimanapun, kenyataannya itu sederhana. Pilihan raya tersebut  mengesahkan nama samaran Merkel, ” mutti ” –atau ” mommy “– adalah sesuai untuknya. Berbanding mana-mana pemimpin politik lain dalam pilihan raya umum kali ini, Merkel memahami keinginan negaranya untuk mempunyai seorang pemimpin yang cekap dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu di Eropah dan ketidakstabilan di Timur Tengah. Dan keputusan hari Ahad itu adalah satu ekpresi yang jelas tentang harapan mereka.

“Kejayaan beliau jelas berpunca daripada dasar Eropah dan antarabangsa,” Heinrich Oberreuter, seorang ahli sains politik di Universiti Passau di negeri Bavaria , memberitahu SPIEGEL ONLINE. “Merkel telah mewakili Jerman pada masa yang sukar dan di setiap permaidani merah. Dengan seluruh keperibadiannya, beliau telah memberikan Jerman perasaan bahawa beliau sentiasa berdiri untuk kepentingan mereka.”

Meraih Ganjaran

Lawan utama Merkel, Sosial Demokrat kiri-tengah Peer Steinbrück , telah cuba untuk menyerang canselor semasa kempen dengan mengatakan usaha yang beliau lakukan adalah untuk “mendodoikan negara ini supaya tidur.” Namun dari perspektif pengundi Jerman, beliau benar-benar menyelamatkan euro daripada krisis. Dan beliau meraih ganjarannya di peti undi.

Kejayaan beliau melampaui sempadan Jerman. Merkel telah menjadi watak yang paling kuat di pentas politik Eropah. Di saat Presiden Perancis François Hollande berusaha untuk mendapatkan pengaruhnya di Paris dan Britain tidak mempunyai keinginan untuk mata wang yang sama, suara canselor di Berlin mempunyai daya yang kuat. Kini lebih lagi.

Sememangnya itu bukanlah prospek yang menarik khususnya untuk negara-negara lain di dalam zon euro, terutama di negara-negara anggota yang berhadapan dengan kesukaran ekonomi di sebelah selatan. Malah, ramai yang berharap berharap sekurang-kurangnya Merkel akan terpaksa untuk memeterai pakatan dengan Parti Demokrat Sosial (SPD), dengan harapan beliau perlu melonggarkan dasar penjimatannya. Kemungkinan yang tinggi untuk beliau terpaksa lakukannya. Ramalan awal  bahawa beliau mungkin telah memenangi majoriti mutlak meleset sama sekali. Tanpa rakan kongsi gabungan di pihak kanan tengah, SPD akan menjadi satu-satunya pilihan yang ada.

Pada Ahad malam yang lalu, Menteri Kewangan Wolfgang Schäuble tampil untuk meyakinkan Eropah. “Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pengukuh kestabilan, sebagai enjin pertumbuhan dan, lebih dari itu, kami akan terus menjaga keutuhan Eropah.”

Memang benar bagaimana bentuk kerajaan Merkel tidak akan kita ketahui untuk beberapa hari lagi. Tetapi ia tidaklah begitu penting berbanding dengan kedudukan dirinya sekarang ini: canselor Jerman yang paling disayangi dalam beberapa dekad ini dan seorang pemimpin yang mendapat kepercayaan yang luas di negaranya.

Pengukuhan Kuasa

Ini merupakan tahap tertinggi beliau setelah menerajui Demokrat Kristian selama 13 tahun. Apabila beliau mengambil alih parti itu pada 10 April , 2000, tidak ramai yang menyangka bahawa beliau akan dapat bertahan lama. Satu-satunya sebab beliau berjaya melampaui Kohl dan ahli-ahli politik yang kuat yang mengelilingi Kohl adalah kerana beliau berani memisahkan dirinya daripada canselor itu. Apapila Kohl terlibat dalam skandal wang kempen pada tahun 1999, Merkel mengkritik mentor politik beliau dalam satu tulisan yang dimuatkan di harian kanan-tengah, Frankfurter Allgemeine Zeitung, mengatakan Kohl telah merosakkan parti. Merkel merupakan yang pertama di kalangan anggota parti yang senior mencadangkan bahawa era Kohl selama 16 tahun sudah berakhir.

Merkel menjadi canselor pada tahun 2005, keputusan partinya pada ketika  itu –35.2 peratus–jauh di bawah angka yang diramalkan sebelum undi. Apa yang berlaku kemudiannya adalah satu gabungan besar dengan SPD dan rungutan-rungutan pesaingnya di dalam parti. Sekali lagi, Merkel kelihatan goyah.

Tetapi beliau tidak lemah, malah Merkel dapat mengukuhkan kuasanya. Dari satu segi, beliau walaupun tidak disangka terbukti mahir ‘menjinakkan’ beberapa pimpinan Demokrat Kristian yang bercita-cita tinggi di bawah Kohl yang melihat Merkel, yang dibesarkan di Jerman Timur, sebagai orang luar. Walaupun akhbar-akhbar Jerman pada awalnya agak ragu tetapi kemampuan beliau melakukan penggabungan kuasa dalam senario politik yang didominasi lelaki membuatkan beliau dihormati.

Merkel telah menyempurnakan gaya politik yang telah menjadi trademark-nya itu. Dalam kempen 2005, beliau berkempen mengenai keperluan untuk reformasi yang sukar dan bahkan berjanji menaikkan 2 peratus cukai jualan di negara ini. Partinya menerima keputusan rendah yang agak mengejutkan membuatkan beliau menimbang semula pendekatan beliau. Sejak itu beliau telah berusaha untuk menyampaikan apa yang pengundi mahu–dan membiarkan orang lain menerajui jika keputusan yang sukar diperlukan.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, beliau telah membawa parti itu secara mendadak ke kiri. Beliau menghentikan projek kuasa nuklear, membatalkan pengerahan khidmat sejagat, meningkatkan faedah sosial untuk keluarga, mendahului (walaupun sebentar) usaha-usaha untuk menangani pemanasan global, berjanji untuk menangani peningkatan sewa di bandar-bandar utama Jerman dan mengambil langkah-langkah, walaupun terhad, ke arah meningkatkan kesaksamaan gender. Kesimpulannnya, dia telah mencapai kemajuan dalam beberapa bidang yang menjadi isu-isu teras pihak lawannya dan juga hasilnya beliau mendapat sokongan yang luas.

Kemenangan untuk Mutti

Beliau telah berjaya menahan krisis euro daripada menjadi lebih buruk dan membawa ekonomi Jerman ke arah yang lebih baik dalam keadaan yang teruk. Kadar pengangguran menurun, eksport kekal kukuh dan prospek Jerman pada tahun 2014 adalah cerah, walaupun beberapa negara anggota zon euro lain masih berjuang.

Sudah tentu ada banyak yang boleh dikritik. Beliau pernah dihentam, oleh Steinbrück salah seorangnya, kerana tidak jujur ​​tentang keburukan krisis euro yang akan menimpa pengundi Jerman. Beliau juga menjauhkan diri daripada membuat pembaharuan yang meluas kepada kerangka mata wang bersama di mana ramai yang percaya adalah perlu. Golongan pekerja yang miskin semakin bertambah.

Tetapi dengan sebahagian besar rakyat Jerman berpuas hati dengan arah tuju negara mereka, populariti Merkel adalah amat tinggi di awal tahun pilihan raya ini dan sehingga sekarang tidak berganjak. Dan Merkel, sudah tentu, adalah cukup bijak untuk mengenali tanda-tanda ini. Daripada melakukan kempen berasaskan isu-isu tertentu yang sesuai dengan demokrasi berparlimen di Jerman, beliau mengambil contoh politik Amerika Syarikat. Beliau bertanding atas personalitinya. Poster beliau mempunyai mesej yang ringan tetapi berat dengan slogan kosong seperti ” Merkel: Canselor untuk Jerman” atau “Berjaya Bersama-sama .”

Pertaruhan itu, seperti yang ditunjukkan pada Ahad malam lepas, adalah sangat berjaya. Jerman tidak mahukan perubahan. Mereka mahukan Merkel. Dan mereka mahu apa yang Merkel telah jadi: mutti.

 

Diterjemahkan daripada tulisan di Spiegel Online yang bertajuk ‘Germans want a Mutti.’

Angela Merkel Euro François Hollande Jerman Perancis politik Wolfgang Schäuble

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan