Tugu Negara © Chee Seong
Tugu Negara © Chee Seong

 

Tunku Abdul Rahman Putra dalam Proklamasi Kemerdekaan negara yang dimasyhurkan 56 tahun lalu yakni pada 31 Ogos 1957 menggunakan ungkapan “umat Persekutuan Tanah Melayu” terhadap rakyat berbilang kaum yang wujud di negara ini. Malah di dalam Perlembagaan Rakyat yang diusulkan pada tahun 1947 oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) telah mencadangkan supaya “Warganegara Tanah Melayu harus dinamai Melayu”. Ini juga menunjukkan mereka mengiktiraf bahawa masyarakat berbilang kaum ini sebagai satu bangsa.

Bangsa Melayu itu dinamakan tanpa mengira entiti kaum dan etnik, tetapi Perlembagaan Rakyat tersebut tetap menjamin hak keistimewaan orang atau kaum Melayu dan hak kerakyatan yang sama rata kepada semua rakyat. Persoalannya, apakah ungkapan-ungkapan dari Proklamasi Kemerdekaan dan Perlembagaan Rakyat tersebut bersifat nasionalisme?

Nasionalisme adalah teori yang amat luas dan masih kurang jelas hatta bagi para pendukung dan penentangnya. Malah terjemahan istilah nation itu sendiri sering tidak diberikan konotasi yang tepat di dalam Bahasa Malaysia.

Di dalam konteks dan konsep politik di Malaysia juga, fahaman nasionalisme itu masih mengelirukan. Ahli sejarawan Malaysia yang tersohor, Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim di dalam suatu penulisan bertajuk ‘Nasionalisme dan Sastera Sebelum Perang  Dunia II’ menyatakan bahawa nasionalisme merupakan suatu istilah yang walaupun telah banyak diberikan takrif, namun masih tetap kabur. Beliau turut menyatakan bahawa dalam konteks Melayu sebelum merdeka, nasionalisme biasanya digunakan untuk merujuk perjuangan orang Melayu bagi mendapatkan kembali kedudukan unggul dalam negara sendiri.

Fahaman nasionalisme yang terkait dengan latar belakang perjuangan sesuatu kaum dan etnik ini mungkin relevan dengan konteks Malaysia sebelum merdeka. Namun jika konotasi sebegini tetap diteruskan sehingga sekarang, ia kelihatan jumud dan cuma menyempitkan erti nasionalisme itu sendiri.

Selain itu, pada era sebelum merdeka dan dekad awal kemerdekaan, aliran nasionalisme Melayu Raya/Indonesia Raya juga pernah dibangkitkan. Gagasan ini dilihat lebih luas pengertiannya dan lebih universal berbanding perjuangan berasaskan etnik-etnik tertentu.

II

Konsep nasionalisme etnik mungkin sesuai dengan konsep kenegaraan zaman silam kerana konsep kenegaraannya agak longgar. Karekteristik tentang hubungan negara dan etnik ini mula dikemukakan oleh Herodotus, seorang sejarawan Yunani kuno. Beliau mengkelaskan istilah etnik kepada hubungan yang bersifat persaudaran (of the same blood), persamaan bahasa serta persamaan amalan agama dan budaya yang sama. Jika ada orang luar yang ingin menganggotai etnik tersebut, maka dia harus mengasimilasi budaya yang diamalkan etknik itu.

Pandangan ini turut digemakan kembali oleh Johann Gottlieb Fichte, seorang filasuf dari Jerman. Fichte mentafsirkan istilah bangsa (nation) berdasarkan kriteria kaum atau kumpulan etnik yang berkongsi ciri-ciri yang sama seperti bahasa dan sebagainya.

Konsep nasionalisme etnik ini juga amat terkait dengan konsep primordialisme yang bersandarkan teori evolusi. Teori evolusi mempertahankan bahawa manusia tidak berkembang daripada entiti yang satu iaitu Nabi Adam. Mereka berpendapat bahawa manusia secara azalinya berkembang dalam kumpulan-kumpulan tertentu yang lama-kelamaan akan membentuk kaum dan etnik yang tersendiri.

Namun begitu, wujud juga konsep primordialisme yang tidak berpaksikan ajaran sekular dan teori evolusi. Ada dari kalangan pendukung nasionalisme etnik yang mempertahankan bahawa konsep bangsa dalam pengertian etnik sememangnya mempunyai asas primordialisme seperti yang ditegaskan oleh Al-Quran. Mereka berhujah bahawa sememangnya Allah menjadikan manusia daripada pelbagai kaum dan berpuak-puak sepertimana yang ditegaskan di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13.

Tetapi sepertimana yang  telah penulis tegaskan sebelum ini, fahaman nasionalisme etnik ini tetap tidak sesuai dengan konsep negara bangsa. Ia juga tidak sesuai untuk diamalkan di dalam sesebuah negara majmuk yang berlatarbelakangkan pelbagai konsep kebudayaan seperti Malaysia. Malah penulis berpendapat bahawa adalah kurang tepat jika konsep nasionalisme ditafsirkan berdasarkan keberadaan sesuatu etnik atau kaum .

III

Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim semasa program ‘Dialog ke Arah Kongres Kebudayaan Kebangsaan’ pada 29 Jun 2013 mengungkapkan bahawa adalah sesuatu yang kurang tepat jika istilah bangsa atau nation disandarkan kepada konsep kaum atau etnik seperti Melayu, Cina atau India. Penulis secara peribadi amat bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Seorang filasuf Perancis, Joseph Ernest Renan telah menterjemahkan nasionalisme di dalam karyanya Qu’est-ce qu’une nation? (What is a nation?) sebagai ‘pungutan suara harian’ (daily plebiscite / referendum) yang tertakluk kepada kehendak rakyat untuk terus hidup bersama-sama. Di dalam karyanya tersebut juga beliau telah menukilkan ungkapan yang amat terkenal sebagai rumusan terhadap konsep nasionalisme; “avoir fait de grandes choses ensemble, vouloir en faire encore” (having done great things together and wishing to do more).

Secara mudahnya konsep nasionalisme yang dibawa oleh Ernest Renan ini merujuk rakyat atau masyarakat yang menetap di dalam sebuah kawasan yang berdaulat secara politik (negara) tanpa memandang ras, kaum atau etnik tertentu. Pada hari ini, konsep yang diperkenalkan oleh Ernest Renan ini dikenali sebagai nasionalisme sivik ataupun nasionalisme liberal. Kefahaman ini dilihat sebagai teori yang paling sesuai dan serasi untuk dipadankan dengan konsep negara bangsa.

Bagi penulis, konsep nasionalisme sivik juga adalah hampir selari dengan pengertian bangsa (nation) dan nasionalisme dalam penafsiran Islam. Dalam konsep bernegara sepertimana yang ditegaskan di dalam Piagam Madinah, jelas dinyatakan bahawa; “Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain”. Nabi Muhammad s.a.w. jelas mengiktiraf  bahawa masyarakat Islam yang terdiri daripada muhajirin dan ansar serta masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada masyarakat ahli kitab (kebanyakannya yahudi) sebagai satu umat.

IV

Berdasarkan pentafsiran terhadap pernyataan Piagam Madinah tersebut, mungkin dapat difahami bahawa entiti umat atau bangsa dalam konsep bernegara adalah sedikit berbeza daripada konsep umat dalam konteks beragama. Dari segi pentakrifan ras pula, ada riwayat hadith daripada Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa sesiapa yang boleh bertutur dalam bahasa Arab, maka seseorang itu boleh diiktiraf sebagai orang Arab.

Ini menunjukan perbezaan dalam pentakrifan terhadap orang (kaum) Arab, umat Islam dan umat Madinah. Tetapi dalam konsep bernegara dalam pengertian Piagam Madinah, istilah umat atau bangsa merangkumi sesiapa sahaja yang mendiami sesuatu negara tanpa mengira agama dan ras – mereka tetap satu umat. Tentang konsep primordialisme yang menyatakan bahawa sememangnya Allah menciptakan manusia itu pelbagai kaum dan berpuak-puak, ia lebih sesuai untuk dibicarakan dalam konteks etnik dan bukannya konsep bernegara.

Tetapi sukar untuk kita lihat para ulama dan agamawan untuk membincangkan konsep umat (bangsa) atau pengertian nasionalisme daripada konteks nasionalisme sivik melainkan para cendekiawan Islam yang berfikiran terbuka (liberal dan progresif).

Selain itu Islam menentang konsep nasionalisme etnik yang melampau mirip assabiyyah yang mencetuskan persengketaan sesama insan. Cendekiawan Islam dari Malaysia, Dr. Siddiq Fadzil mengemukakan bahawa wujudnya aliran nasionalisme positif dan nasionalisme negatif. Teori Dr. Siddiq Fadzil ini adalah bertitik tolak daripada pemikiran seorang tokoh ulama terkenal iaitu Bediuzzaman Said Nursi. Nasionalisme negatif adalah fahaman yang memiripi semangat assabiyyah. Manakala nasionalisme yang positif adalah sumber kepada sikap saling bantu membantu serta mewujudkan persefahaman dan perpaduan.

Selain itu Dr. Siddiq Fadzil juga ada mengkelaskan fahaman nasionalisme berdasarkan pemikiran ulama tersohor iaitu Hassan al-Banna. Menurut Dr. Siddiq Fadzil, al-Banna menjelaskan konsep nasionalisme dengan menggunakan daripada konteks wataniyyah (patriotisme) dan qawmiyyah (nasionalisme etnik).

Namun begitu, sama ada nasionalisme positif atau negatif mahupun konsep qawmiyyah (kaum atau etnik) perbicaraannya masih tetap terperangkap dalam bentuk nasionalisme etnik. Cuma perbicaraan dalam konteks wataniyyah yang mungkin sedikit mendasari konsep nasionalisme sivik.

Penulis yakin bahawa rakyat Malaysia dan  umat Islam di seluruh dunia pasti amat mendahagakan dan memerlukan suatu wacana nasionalisme yang lebih menepati Piagam Madinah dan pengertian nasionalisme sivik. Ini kerana nasionalisme dalam pengertian Piagam Madinah dan nasionalisme sivik tidak berpaksi kepada perjuangan dan kepentingan berdasarkan kaum, ras ataupun etnik, sebaliknya komited terhadap menyatupadukan rakyat sesebuah negara untuk kepentingan bersama.

Istilah bangsa juga mesti diperbetulkan kembali tafsirannya. Istilah bangsa (nation) lebih tepat jika dikonotasikan sebagai rakyat atau masyarakat yang menetap di dalam sebuah kawasan yang berdaulat secara politik (negara) tanpa memandang ras, kaum atau etnik tertentu.

Selamat menyambut hari 31 Ogos dan selamat menyambut Hari Malaysia.

 

Rizuan Abdul Hamid, alumnus Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia’

 

 

All Malayan Council of Joint Action Bediuzzaman Said Nursi Ernest Renan Hassan al Banna Johann Gottlieb Fichte Khoo Kay Kim Malaysia politik Pusat Tenaga Rakyat Siddiq Fadzil Tunku Abdul Rahman Putra

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan