Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) mengecam sekeras-kerasnya penahanan Sasterawan Negara A. Samad Said, Hishamuddin Rais dan Adam Adli kononnya menghina Jalur Gemilang. KsJT memandang serius penahanan ini kerana kami percaya ianya sebahagian dari rekayasa jahat penguasa supaya rakyat dibelenggu climate of fear seterusnya menyebabkan kegelisahan tanpa sebab munasabah serta tidak berasaskan fakta tepat. Rentetan isu anti Syiah, surau yang digunakan bukan Muslim di Johor, filem Tanda Putera dan kini kononnya ada yang menghina Jalur Gemilang ternyata sedang dieksploitasi penguasa dan aparat untuk mengolah persetujuan rakyat serta keresahan terutamanya di kalangan Melayu-Muslim.

Komunite Seni Jalan Telawi percaya tindakan yang tidak bertanggungjawab ini adalah projek Umno-Barisan Nasional untuk mengekang orang Melayu dan rakyat Malaysia dari pelbagai tafsiran sejarah terutamanya berkaitan kemerdekaan. Umno-BN sememangnya mahu memonopoli tafsiran sejarah kemerdekaan agar terus mengekalkan mitos kononnya hanya pemimpin mereka yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Kami difahamkan ketiga-tiga mereka Sasterawan Negara A.Samad Said, Hishamuddin Rais dan Adam Adli ditahan mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. Mereka kononnya terlibat mengibarkan sejenis bendera yang digelar Sang Saka Malaya sewaktu sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka. KsJT mempersoal kebijaksanaan pemerintah dan pihak polis yang mengandaikan mengibarkan sejenis bendera lain itu dianggap menghina Jalur Gemilang. Apakah bendera yang digelar Sang Saka Malaya itu kini merupakan satu ancaman kepada negara? KsJT menggesa pihak polis untuk meneliti sejarah sebenar bendera tersebut, yang tidak pernah diangkat sebagai bendera alternatif kepada bendera Malaysia. Bahkan bendera tersebut hanya pernah dicadangkan Angkatan Pemuda Insaf sebagai bendera Umno namun ditolak selepas kalah undi. Justeru jika ini fakta sejarahnya kenapa pihak polis menahan ketiga-tiga itu atas alasan menghina Jalur Gemilang? Kenapa polis bertindak seolah-olah mereka sebahagian dari Umno dan beriya-iya menjaga maruah parti pemerintah itu serta menutup liku sejarah berkaitan bendera parti tersebut?

Kami percaya mengibarkan bendera tersebut bukanlah satu kesalahan kerana ia sejajar dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Kebebasan Bersuara dan bendera itu tidak pernah dan tidak akan mengancam kedaulatan negara. Peristiwa ini juga merupakan desakan terhadap pemerintah agar akur kepada kenyataan bahawa generasi muda sudah muak dengan naratif sejarah sepihak yang menafikan sumbangan pejuang kemerdekaan yang punya fikrah berlainan. Sewajarnya penceritaan sejarah kemerdekaan disemak dan sudah tiba masanya suatu Naratif Sejarah Nasional diangkat tanpa menyisihkan fakta-fakta sejarah yang tepat.

Eekmal Ahmad
Jurucakap Komunite Seni Jalan Telawi

A. Samad Said Adam Adli Hishamuddin Rais Jalur Gemilang KsJT Tanda Putera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan