(Menanggapi Syarahan Goenawan Mohamad bersempena Pusaka Lecture on Cultural Life 2013)

 

Pada bulan September 1963 nun di seberang sana, di kota Jakarta, Majalah Sastra di halaman 27-29 telah menyiarkan satu kesaksian, satu manifesto yang dikenali sebagai Manifesto Kebudayaan.

Manifesto itu menghimpunkan 20 penandatangan, terdiri daripada enam belas penulis, tiga pelukis dan seorang penggubah musik. Membaca manifesto itu, yang bermula dengan menyebut:

“Kami para seniman dan cendekiawan Indonesia dengan ini mengumumkan sebuah Manifes Kebudayaan yang menyatakan pendirian, cita-cita, dan politik kebudayaan nasional kami.”

Ianya awalan dengan dua puluh patah perkataan sahaja. Dua puluh patah perkataan yang bercita-cita besar. Masakan tidak diandai punya cita-cita besar. Kebanyakan penandatangan itu rata-rata berumur 20an. Hanya tiga orang barangkali yang boleh dianggap seniman berpengaruh; HB Jasin, Wiratmo Soekito dan Trisno Sumardjo. Yang lain-lain masih bertatih mahu menempatkan nama dalam dunia kesusasteraan Indonesia itu, antaranya seorang pemuda yang belum pun berumur dua puluh tiga tahun. Nama pemuda itu adalah Goenawan Mohamad yang kemudiannya terkenal sebagai penulis esei dan penyajak.

Dua puluh penandatangan. Jumlah itu bukannya ramai. Hanya sejemput jika mahu dibandingkan dengan jutaan pengkagum Soekarno, yang gagah dikenali sebagai Proklamator Kemerdekaan Indonesia.

Akan tetapi bukan jumlah semata yang menggugat kekuasaan. Yang menggugat adalah pernyataan berani dua puluh orang yang mengaku sebagai cendekiawan, sebagai seniman, sebagai intelektual, sebagai yang tidak pernah surut mahu berfikir, kerana dengan berfikir, jikapun tidak hadir kebebasan, memungkinkannya.

Yang lagi berani, adalah pernyataan kewujudan “kami.” Perkataan kami dalam dua puluh perkataan awal Manifes Kebudayaan itu melambangkan pemisahan dari identiti Indonesia yang ketika itu mahu diseragamkan. Bayangkan ketika itu, berhadapan dengan pengaruh Soekarno yang lagak bagai dewa turun dari kayangan, yang jika diaju ke kiri maka ke kiri seluruh rakyat Indonesia, dan jika diaju ke kanan maka tidak tersisa ke kanan semuanya, dan tiba-tiba, entah siapa, ada dua puluh manusia meluncurkan punya pendirian tersendiri berkenaan “pendirian, cita-cita, dan politik kebudayaan nasional kami.”

Barangkali tatkala diluncurkan Manifes Kebudayaan ramai yang mentertawakan dua puluh “kami” itu. Apa gila dua puluh nama, sekalipun ada HB Jasin, Trisno dan Soekito bersama-sama, mahu terpisah dari “kekitaan” Indonesia waktu itu. Barangkali ramai sekali meremehkan, dua puluh itu sebagai kerdil. Barangkali ada yang menista dua puluh yang tidak sedar diri. Barangkali ada yang menyelar dua puluh yang seronok sendiri berkhayal menyatakan diri mereka intelektual. Pastinya ada yang mentohmah, dua puluh penandatangan itu tidak merakyat. Slogan popular aliran Marxisme-Leninisme untuk memburuk-burukkan aliran selain dari mereka.

Apa dua puluh itu tidak punya kesedaran tohmahan yang bakal dan kemudiannya memang benar-benar dilemparkan itu ? Jawapannya “kami” yang dua puluh itu pasti tahun namun mereka tidak mempedulikannya. Jawapannya “kami” yang dua puluh itu mahu berani menegaskan bahawa mereka manusia berfikir, mereka mahu dikenali sebagai intelektual walau bukan kecil tanggungjawab menggalas beban label itu dan mereka punya cita-cita tersendiri perihal maksud kebudayaan nasional. Pendek kata “kami” yang dua puluh itu, walau sekabur mana cita-cita itu, hanya mahukan suatu kebebasan kreativiti tanpa perlu menuruti keseragaman yang dituntut Soekarno ataupun kekuatan di belakang sang presiden itu; Partai Komunis Indonesia.

Saya kira, awalnya, dalam diam-diam Presiden Soekarno ataupun yang lebih utama Pramoedya Ananta Toer, novelis agung pasca perang serta kemerdekaan Indonesia dan pemuka Lembaga Kebudayaan Rakyat atau akronimnya Lekra, tidak mahu melayan Manifes Kebudayaan. Selayaknya dua puluh penandatangan yang rata-rata tidak ternama itu jangan diungkit. Kerana yang besar dan gagah tidak perlu menyinggung yang kerdil, yang kerdil itu lumrahnya mati terkangkang dengan sendirinya.

Malangnya telahan itu tidak mengena. Sesudah Manifes Kebudayaan diluncurkan, para seniman dan intelektual, terutama yang muda dan belum terikat dengan kesetiaan total kepada parti politik, kepada faham mahupun pemimpinnya mula menyambut manifes itu dengan hangat. Mungkin benar jika yang Pramoedya andaikan mati terkangkang dengan sendirinya itu sekadar tubuh ataupun sosok, akan tetapi yang sedang samada secara sengaja atau tidak mencabar keseragaman Soekarno, Partai Komunis Indonesia dan Lekra pimpinan Pramoedya itu adalah suatu idea, suatu rumusan, suatu kefahaman yang mungkin sekali tidak seluruhnya benar atau tepat. Jelasnya, dua puluh “kami” itu menjadi lebih besar dan gagah kerana ia melewati jasmani, kerana ia mewakili suatu cita-cita, kerana ia obses dengan kejujuran sebagaimana yang diungkapkan Trisno Sumardjo, salah seorang penandatangan Manifes Kebudayaan, suatu “isi batin … yang tidak dapat dipalsukan … inti sebuah karya.”

Dan pada 24hb Ogos 2013, di Kuala Lumpur, menjelang ulangtahun ke 50 peluncuran Manifes Kebudayaan, hadir Goenawan Mohamad, kini bukan lagi anak muda setahun jagung bahkan seorang penulis dan penyair tersohor menyampaikan suatu syarahan anjuran organisasi dikenali sebagai PUSAKA perihal wayang dan tradisi. Di sana Goenawan atau sering sahaja dijuluki Mas Goen, anehnya berbahasa Inggeris menceritakan kepada kita pergulatan mencari makna kebudayaan serta mempertanyakan samada “rebirth” atau proses melahirkan semula ekspresi kebudayaan itu mungkin berlaku.

Syarahan Mas Goen tidak memberikan jawapan yang memuaskan. Tidak pasti itu disengajakan atau sekadar muslihat intelektual, yakni melontarkan tesis melahirkan semula ekspresi kebudayaan atau seni, misalnya, melalui seni wayang, hanya kepada khalayak untuk memikirkannya. Walaubagaimanapun syarahan yang berbekalkan beberapa visual menarik itu, setidak-tidaknya cukup menerangkan maksud pensyarah. Sebagai contoh Mas Goen mengutip antaranya karya pentas beliau sendiri berjudul Karna, diilhami dari bait-bait Bharatayudha yang asalnya dari karya epik Mahabarata.

Naskah pentas Karna itu, suatu tafsiran, upaya mencipta semula atau istilah yang disebut Goenawan, suatu proses “rebirth” karya tradisional, karya klasik kepada ekspresi seni mutakhir walaupun saya tertanya-tanya akhirnya untuk apa, kerana Mas Goen, seperti yang saya tulis di atas ternyata tidak memberi jawapan yang jelas.

Justeru saya merasakan punya kebebasan untuk meneka.

Selepas hampir 50 tahun Manifes Kebudayaan, pergulatan memaknai maksud kebudayaan itu merupakan suatu perjalanan yang tidak kunjung padam buat Goenawan Mohamad. Lima puluh tahun yang lalu Mas Goen seorang anak muda, walau bukan sebahagian dari Lekra dan segala pengertian revolusioner-nya, masih jua seorang yang berjiwa radikal serta revolusioner, versi luar dari Lekra dan Pramoedya.

Tatkala Indonesia di waktu itu mahu “membuat sejarah” mahu melakar masa hadapan, yang terpelajar di kalangan mereka tertanya-tanya sam aada mahu menoleh ke belakang untuk jawapan, atau memutuskan terus dari deretan memori lampau. Ternyata para penandatangan Manifes Kebudayaan tidak punya jawapan seragam untuk menjawab persoalan itu. Hanya Lekra berlagak betapa mereka tahu apakah peranan seni itu kepada Indonesia dan rakyatnya. Saya kira sekitar 1963-1964, Mas Goen mahu terlepas dari itu keangkuhan itu, keangkuhan punya segala jawapan kepada segala persoalan. Hatta selepas 50 tahun, beliau masih mahu terlepas dari keangkuhan tersebut. Tidak mahu terperangkap antara hitam dan putih. Antara slogan berkobar-kobar mengakui kebenaran dan yang lain itu salah semuanya.

Mudah sekali untuk menyebut pada syarahan itu Goenawan memilih jalan selamat; sekadar menganjurkan jangan lupa menoleh ke masa lampau, terbuka mendakap tradisi dan bersedia melahirkan semula naskah klasik cocok dengan tafsiran yang baru. Saya kira bukan itu mesej utama. Setidak-tidaknya bukan pada pandangan saya.

Anjuran Goenawan Mohamad, esais tersohor dan penyair ulung ini, mungkin sekali dapat disimpulkan apabila beliau mengutip sajak Wallace Stevens yang berjudul “Thirteen Ways of Looking at a Blackbird,” dalam esei Origami. Salah satu bait itu berbunyi:

“I know noble accents, And lucid, inescapable rhythms; But I know, too, That the blackbird is involved.”

Selanjutnya Goenawan menulis merumuskan penelitian terhadap sajak di atas, “Dan yang aku ketahui tak pernah aku ketahui semuanya.” Ada kesederhanaan sikap dalam pernyataan yang bercita-cita besar ini. Begitu mirip sekali dari sudut semangatnya dengan pernyataan sikap Manifes Kebudayaan, iaitu tetap sederhana namun bercita-cita besar. Yang diinginkan hanyalah suatu kebebasan dari keseragaman yang ditunjuki. Yang diingkari Goenawan Mohamad, bersama-sama “kami” yang menandatangani Manifes Kebudayaan itu adalah komando-isme Lekra untuk memaksa para seniman dan intelektual “berbahasa” walau sedingin mana, walau sekaku mana sekalipun, dengan bahasa-nya pemerintah yang tidak pernah malu bersembunyi di sebalik slogan revolusi. Dan barangkali syarahan Wayang dan Tradisonal itu juga zahir keyakinan yang masih sama dengan keyakinan 50 tahun lalu, apa yang Goenawan Mohamad mahu sampaikan adalah kebebasan berkarya, kebebasan punya pendirian tersendiri dan menolak sama sekali kepada keseragaman yang ditunjuki.

Eekmal Ahmad, seorang penterjemah, aktivis Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), bercita-cita menjadi penulis dan mahu menubuhkan “That Young Liberal Group.”