Komunite Seni Jalan Telawi mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Perak menahan dua individu kononnya kerana terlibat dengan ajaran Syiah

Kami difahamkan pagi ini Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) menahan dua individu, Dr Nur Azah Abdul Halim dan Mohammad Ridzuan Yusuf. Mereka berdua ditahan kononnya terlibat dengan ajaran Syiah. Turut dirampas adalah buku, cakera padat dan poster. Menurut Pengarah JAIPK Datuk Mohd Yusop Husin kedua-dua individu itu ditahan menurut Seksyen 16, Enakmen Jenayah Perak 1992 iaitu mengingkari fatwa mufti kerana memiliki buku dan dokumen berkaitan Syiah.

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), sebuah perkumpulan bertunjangkan idea kebebasan dan demokratik, mempertikai tindakan Jabatan Agama Islam Perak untuk menahan dua individu hanya kerana mereka disyaki sebagai pengikut mazhab Syiah. Tindakan JAIPK ini jelas bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak serta kebebasan setiap rakyat Malaysia untuk menganut kepercayaan masing-masing.

KsJT juga mendesak JAIPK, jabatan-jabatan agama mahupun agensi penguatkuasaan tidak semberono membuat serbuan hanya kerana seseorang itu atau organisasi menyimpan bahan-bahan mengenai ajaran Syiah. Bukan sahaja serbuan sebegitu bersalahan dengan prinsip sebuah negara demokratik, liberal dan beperlembagaan malahan bercanggah dengan tatacara undang-undang di negara ini.

Kami juga mengecam tindakan JAIPK mahupun mana-mana individu atau pertubuhan yang cuba mencetuskan iklim ketakutan dan permusuhan di kalangan Muslim. Adalah suatu yang tidak bertanggungjawab apabila ada antara kita yang sering mendabik dada mewakili kebenaran atau bertindak seolah-olah mewakili Tuhan namun kenyataannya hanya menerbitkan rasa permusuhan yang tidak berasas.

Komunite Seni Jalan Telawi berhasrat mengambil kesempatan menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia terhadap fatwa Sheikh Mahmud Shaltut, Sheikh al Azhar yang dikeluarkan pada tahun 1959. Fatwa tersebut menjawab persoalan sesungguhnya mazhab Jaafari atau Syiah al Imamah al Ithna Ashariah itu merupakan salah satu mazhab sebahagian dari dunia Islam dan Muslim.

Adalah penting juga umat Islam dan sarjana Muslim di Malaysia meneliti Tiga Perkara Mesej Amman ( Amman Message http://www.ammanmessage.com/). Mesej tersebut secara jelas mengiktiraf kesahihan mazhab serta aliran dalam Islam termasuk aliran Syiah. Antara yang menandatangani Mesej Amman ini adalah Almarhum Syeikh al Azhar Prof. Muhammad Sayyid Tantawi dan Prof. Dr. Ali Jumu’a.
Kami juga menggesa umat Islam di negara ini untuk menerima kepelbagaian keyakinan dan majmuk budaya yang wujud di Malaysia bahkan di negara ini. Umat Islam tidak boleh dan tidak mampu serta bersalahan dengan fitrah sekiranya mengingkari hakikat kepelbagaian ini. 
Oleh kerana itu kami menyeru umat Islam agar berhati-hati agar tidak terjebak menghukum atau mencederakan sesama Islam. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, kepada seluruh sarjana ataupun ulama Muslim, sewajarnya mereka lah bertanggungjawab meredakan keresahan dan bukannya menyemarakkan api permusuhan. Ulama juga perlu sedar bahawa negara ini, Malaysia merupakan sebuah negara ber-Perlembagaan, punyai aspirasi menjadi Demokratik dan Liberal.
Sesungguhnya juga gesaan Komunite Seni Jalan Telawi agar “freedom of conscience” dipertahankan, bukan sahaja buat Muslim akan tetapi juga kebebasan untuk seluruh rakyat Malaysia.”Sapere Aude”
——————————
Khalid Jaafar 
(Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar dan penulis buku Tumit Achilles)
 
Hasmi Hashim
(Seniman, penulis esei dan penulis lirik Lagu Awan Nano)
 
Amir Sari
(ADUN Batu Caves)
 
Dr Afif Bahardin
(ADUN Seberang Jaya)
Eddin Khoo 
(Pengarah PUSAKA)
 
Islamic Renaissance Front
 
Ammar Gazali
(Editor JalanTelawi.com)
 
Clarissa Lee
(Calon PhD, Duke University dan penulis esei)
 
Najwan Halimi
(Akademi Pak Sako)
 
Khairul Anam Che Mentri
(Calon PhD kajian Filsafat Ibnu Sina dan penterjemah)
 
Hilman Idham
 
Eekmal Ahmad
(penterjemah)
 
Wan Ji
(Pengarah Forum Maqasid)
 
Hafiz Hamzah
(Majalah Obscura dan penyajak)

Kenyataan Media KsJT

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan