mesir_major_ogos13

Selepas penyingkiran Presiden Mesir Mohamed Morsi, pada 3 Julai, Pentadbiran Obama enggan dengan sengaja menyebut peristiwa ini sama ada sebagai “rampasan kuasa atau dekri di mana tentera memainkan peranan penting,” kerana mengikut undang-undang, jawapan yang mengiakannya sebagai rampasan kuasa akan membawa kepada penggantungan bantuan. Memandangkan kepentingan strategik Mesir, kerajaan Amerika Syarikat ingin mempunyai hubungan yang baik dengan pentadbiran baru di Kaherah, dan telah menekankan peranan protes popular yang menggulingkan Morsi dan legitimasi yang secara zahirnya diberikan kepada penggantinya. Menurut media Mesir, empat belas juta orang Mesir berdemonstrasi menolak Presiden Morsi, jika kiraan ini benar, ini adalah bantahan yang terbesar dalam sejarah negara ini, dan mungkin salah satu tunjuk perasaan yang terbesar di mana-mana pun di dunia. Bagi sesetengah pengulas, ini adalah satu-satunya aspek penting yang menggulingkan Morsi, dan jika mereka mengiktiraf peranan tentera dalam proses ini, mereka berhujah bahawa peristiwa itu luar daripada kebiasaan sehingga ia boleh dianggap sebagai unik.

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa tentera telah menggulingkan Presiden Morsi dalam satu rampasan kuasa, mengikut definisi biasa istilah itu. Daripada perspektif saya sebagai seorang ahli akademik yang telah mengkaji banyak rampasan kuasa tentera (saya telah menemuramah mereka yang terlibat dalam 10 percubaan rampasan kuasa, mengkaji sejarah kes ratusan cubaan rampasan kuasa, dan menganalisa data berkaitan 471 cubaan rampasan kuasa pada separuh kedua abad 20), terdapat sebenarnya sangat sedikit yang luar biasa mengenai rampasan kuasa di Mesir ini. Analisa statistik menunjukkan percubaan rampasan kuasa lebih kerap berlaku di negara-negara yang kurang maju dari segi ekonomi, dengan kerajaan yang tidak begitu demokratik dan tidak juga sangat diktator, dan sekurang-kurangnya telah mengalami satu percubaan rampasan kuasa yang terdahulu. Dalam erti kata lain, cubaan rampasan kuasa berlaku di negara-negara seperti Mesir. Konspirator dalam usaha ini adalah dari bahagian atas hierarki tentera, kerana mereka berada dalam keadaan di mana banyak berlaku cubaan rampasan kuasa dan mereka berjaya, dan juga kerana dua pertiga daripada rampasan kuasa dilakukan oleh pegawai-pegawai atasan.

Proses rampasan kuasa ini juga mengikut formula klasik, dengan kemunculan seorang jeneral membuat pengumuman di televisyen menyatakan bahawa tentera seluruhnya telah memutuskan untuk menyingkirkan pemimpin yang sedia ada dan melakukan perkara itu untuk kebaikan negara. Pengumuman itu, yang pada mulanya muncul sebagai sekadar pengumuman berkenaan kejayaan sebuah rampasan kuasa, sebenarnya adalah detik penting, bersama kawalan prasarana penyiaran sebagai elemen yang perlu dalam menjayakan hampir setiap cubaan rampasan kuasa.

Tidak ada apa-apa yang unik tentang peristiwa baru-baru ini di Mesir dalam memenuhi takrif sebagai satu revolusi dan juga rampasan kuasa. Bantahan popular dan rampasan kuasa telah digabungkan untuk membawa perubahan rejim dalam Revolusi Rusia (1917); Revolusi Iran (1979); Revolusi Kuasa Rakyat, di Filipina (1986); kejatuhan komunisme di Romania (1989); penggulingan Presiden Jamil Mahuad, di Ecuador (2000), dan, sudah tentu, revolusi Arab Spring di Tunisia dan Mesir (2011), hanya untuk menamakan beberapa contoh. Revolusi yang berjaya sering diiringi dengan rampasan kuasa kerana bantahan besar-besaran semata-mata tidak cukup untuk mengalahkan sebuah kerajaan yang kekal mendapat sokongan ketenteraan, sebagaimana tunjuk perasaan di Dataran Tiananmen pada tahun 1989. Jika seorang pemimpin berazam untuk terus berkuasa, dan bersedia untuk menggunakan kekerasan untuk berbuat demikian, penunjuk perasaan hanya akan berjaya jika keseluruhan aparatus keselamatan kerajaan tidak berfungsi atau pemerintah kehilangan keupayaan untuk menggunakan kuasa itu-seperti, tentera berpaling tadah terhadapnya dengan melakukan rampasan kuasa.

Apabila bantahan popular dan tindakan ketenteraan bergabung untuk menyingkirkan pemerintah sedia ada, adalah perkara biasa untuk melihat tentera menyatakan bahawa mereka adalah semata-mata instrumen kepada cita-cita rakyat. Dakwaan seperti ini dibuat oleh kesemua mereka yang melakukan rampasan kuasa, bagaimanapun dan perlu difahami hanya sebagai retorik yang direka untuk mengabsahkan tindakan mereka. Tidak ada apa-apa yang demokratik tentang rampasan kuasa, tidak kira betapa popular pun. Tetapi, perkara yang sama boleh dikatakan mengenai revolusi. Bantahan Popular telah menimbulkan kerajaan yang tidak popular, dan penggulingan ketenteraan diikuti dengan demokrasi. Sebagai contoh, rampasan kuasa 1974 di Portugal telah menamatkan pemerintahan kuku besi di negara itu dan melahirkan rejim demokratik yang stabil; sejak akhir Perang Dingin, secara rutinnya rampasan kuasa tentera diikuti dengan pilihan raya yang kompetitif. Sama ada demokrasi dapat tumbuh di Mesir mempunyai lebih banyak kaitan dengan apa yang berlaku sekarang berbanding dengan bagaimana Morsi telah dibuang.

Dalam banyak perkara, cabaran terbesar Mesir berpunca daripada keadaan ekonomi dan bukannya soal keabsahan institusi pentadbirannya. Dalam dua tahun kebelakangan ini, pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dengan begitu ketara, kadar pengangguran telah meningkat lima puluh peratus dan defisit belanjawan dua kali ganda. Mesir memerlukan dua puluh bilion dolar sehingga tahun tahun depan hanya untuk memastikan ekonominya bertahan, dan ia memerlukan pembaharuan utama untuk meletakkan ekonomi negara di atas landasan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, tentera dengan konsisten menyekat cubaan pembaharuan ekonomi secara substantif kerana ini akan memerlukan penswastaan ​​asetnya sendiri: pelbagai perusahaan komersial boleh dikira sehingga satu pertiga daripada ekonomi Mesir. Walaupun pegangan sebenar angkatan tentera Mesir diklasifikasikan rahsia tentera, ia lebih luas daripada yang diakui umum daripada kilang-kilang senjata, kononnya perlu bagi pertahanan negara, sehingga hartanah, stesen minyak, pusat peranginan, dan pusat-pusat jagaan harian. Tentera juga menghasilkan televisyen, jip, mesin basuh, silinder butana, minyak zaitun, air botol, dan pasta. Semua yang tersebut dan perusahaan berkaitan kerajaan yang lain disubsidi dan dikendalikan atas sebab-sebab politik, dan bukannya dengan tujuan perniagaan yang sebenar, dan kerana itu meningkatkanya defisit kepada jumlah yang tidak didedahkan.

Di sinilah masyarakat antarabangsa dapat memainkan peranan dan melakukan perkara baik untuk masa depan demokrasi Mesir. Rakyat Mesir telah menunjukkan berkali-kali bahawa mereka bersedia untuk membawa ke jalanan demi membantah prestasi ekonomi yang teruk, dan sebuah demokrasi yang rapuh akan sukar menghadapi demonstrasi secara besar-besaran itu. Jika masyarakat antarabangsa, dan Amerika Syarikat khususnya, ingin memastikan Mesir stabil dan demokratik, mereka harus membuat pinjaman mereka tertakluk kepada pembaharuan ekonomi secara substantif yang memberi manfaat kepada rakyat Mesir. Pembaharuan itu pasti akan menyakitkan untuk tentera, tetapi masyarakat antarabangsa perlu menjelaskan bahawa sakit itu adalah harga yang perlu dibayar untuk sokongan yang diberikan.

Mencapai reformasi seperti itu bukanlah mudah. Perusahaan milik tentera telah berakar dengan rangkaian kepentingan awam, jadi apa-apa perubahan ekonomi yang dicadangkan pasti menghadapi rintangan. 12 billion dolar dalam bentuk bantuan dari negara-negara Teluk akan melegakan kerajaan baru dan membolehkan penyokong status quo untuk berhujah bahawa perubahan itu tidak perlu. Di samping itu, AS mungkin lebih berminat dalam memelihara hubungan dengan tentera Mesir. Walau bagaimanapun, adalah satu kesilapan untuk lepaskan peluang untuk perubahan ini, dan untuk mengabaikan masalah ekonomi Mesir hanya dapat dijustifikasikan tidak lain oleh angan-angan semata-mata.

Terdapat ruang untuk perundingan dan kompromi dalam proses ini; tumpuan harus diberikan kepada reformasi yang membolehkan demokrasi untuk hidup, dengan projek jangka panjang untuk mewujudkan pemerintahan awam berbanding tentera diberikan kepada rakyat Mesir untuk menanganinya masa ke masa. Pada masa yang tidak begitu lama dahulu, kedua-dua Turki dan Brazil mempunyai demokrasi yang lemah, dibayangi oleh angkatan tentera yang dominan yang mengawal dengan baik negera dan ekonomi; tahun ini, kedua-dua negara mengalami protes dan tunjuk perasaan yang meluas tanpa apa-apa pertanyaan sama ada tentera akan campur tangan ataupun mempertimbangkan untuk melakukan perkara itu. Demokrasi adalah lebih seperti rumpai daripada bunga rumah hijau: ia boleh hidup walaupun dalam keadaan dilihat oleh pemerhati sebagai sukar. Cabaran untuk rakyat Mesir, seperti mana yang pernah dihadapi oleh rakyat Brazil dan Turki sebelum ini, adalah cara terbaik untuk membolehkan pohon demokrasi itu.

 

Naunihal Singh adalah seorang penolong profesor di Jabatan Pengajian Keselamatan Antarabangsa di Air War College, di Montgomery, juga penulis buku yang bakal diterbitkan Johns Hopkins University Press tentang mengapa sesetengah rampasan kuasa gagal dan sesetengahnya berjaya. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah milik penulis dan tidak mewakili Air War College, Tentera Udara Amerika Syarikat, atau Jabatan Pertahanan.

 

Diterjemahkan daripada artikel yang terbit di NewYorker Online.

Ecuador Filipina Iran Jamil Mahuad Mesir Mohamed Morsi Romania Rusia Tiananmen Tunisia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan