morsi_majorjuly13

I

Mohamed Morsi telah digulingkan melalui rampasan kuasa pada tanggal 3 Julai 2013, yakni kurang lebih setahun satu bulan memegang tampuk kekuasaan Mesir. Tempoh ini tidak mencecah empat tahun jawatan bagi sepenggal kepresidenan seperti yang dimaktubkan oleh perlembagaan Mesir. Ini menandakan bahawa revolusi 25 Januari 2011 yang lalu cumalah revolusi yang tertangguh, kini ia bangkit kembali.

Penulis akui, Mohamed Morsi jauh lebih amanah dan berakhlak jika dibandingkan dengan Hosni Mubarak. Malah Morsi itu seorang penghafaz Al-Quran. Tetapi untuk menerajui sebuah negara, sesuatu yang lebih daripada itu yang diperlukan. Seperti yang disyaratkan Al-Quran, bahawa untuk menjadi pemimpin itu seseorang perlu qawiyy (kuat dan berkemampuan) dan amin (amanah dan berintegriti) [Surah Al-Qasas ayat 26], serta hafiz (teliti dan tajam pemikiran) dan alim (berilmu)[ Surah Yusuf ayat 55].

Penulis sendiri adalah penyokong Ikhwan Muslimin yang menjadi contoh gerakan-gerakan Islam seluruh dunia. Penulis juga sempat mengikuti sejarah Hassan al-Banna (pengasas Ikhwan Muslimin) dan As-Syahid Sayyid Qutb (Ideolog Ikhwan Muslimin). Ikhwan Muslimin ialah gerakan Islam yang menghasilkan FJP (Freedom and Justice Party) tempat Morsi bertapak untuk menggapai jawatan presiden Mesir.

Penulis berbicara dicsini bukan untuk menjatuhkan reputasi serta keperibadian Morsi dan Ikhwan Muslimin. Bukan juga niat penulis untuk menghentam gerakan-gerakan Islam, tetapi perlu diakui bahawa ada kesilapan-kesilapan besar yang dilakukan oleh mereka dalam hal Ikhwan Muslimin dan Mohamed Morsi ini.

Penulis mendapat informasi tentang berita terkini dari Mesir melalui teknologi komunikasi, sumber berita dan temasuklah secara langsung daripada Syeikh Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim (anggota Majlis Fatwa Mesir dari Al-Azhar).

Persoalannya, apakah wajar bagi Mohamed Morsi untuk digulingkan melalui rampasan kuasa tentera? Mungkin tindakan ini mencemarkan demokrasi, tetapi kata dua perlu diberikan kepada pihak tentera dan jabatan presiden sementara Mesir agar proses demokrasi dapat dikembalikan secepat mungkin. Tiada kompromi dalam perkara yang membabitkan demokrasi.

II

Pasca Revolusi Januari 2011, Dr Abdul Mun’im Abul Fotouh dari Ikhwan turut mencalonkan diri sebagai calon Presiden daripada Ikhwan Muslimin selain Mohamed Morsi. Tetapi Dr Abdul Mun’im telah disingkirkan atas niat dan usahanya itu kerana Ikhwan Muslimin melalui FJP telah menetapkan bahawa sokongan mesti diberikan kepada Morsi sebagai calon tunggal.

Sebelum Dr Abdul Mun’im disingkirkan, beliau adalah seorang pemimpin Ikhwan Muslimin yang dihormati dan disanjungi generasi mudanya, malah beliau dianggap sebagai mentor para pemuda Ikhwan. Penyingkiran beliau sebenarnya menunjukkan permasalahan yang wujud ditahap tertinggi pimpinan Ikhwan Muslimin. Pemecatan ini juga sebenarnya membongkarkan perbezaan pemikiran dua golongan yang wujud di dalam Ikhwan Muslimin. Dr Abdul Mun’im adalah seorang pemimpin Ikhwan yang progresif dan menyokong tadbir urus secara liberal.

Setelah dipecat, maka berbondong-bondong juga penyokong Dr Abdul Mun’im serta yang sepemikiran dengannya turut keluar daripada Ikhwan Muslimin. Tetapi ada juga diantara mereka yang tetap kekal di dalam Ikhwan kerana setia kepada organisasi. Maka setelah tersingkirnya Dr Abdul Mun’im, pemikiran progresifnya turut tersingkir , maka tinggallah pimpinan Ikhwan apa yang ada sekarang. Mungkin pemikiran Dr Abdul Munim dianggap sebagai ‘parasit’.

Inilah rampasan kuasa dalaman. Ini juga merupakan rampasan kuasa pertama Morsi serta pimpinan Ikhwan Muslimin yang ada sekarang terhadap kepercayaan generasi muda Ikhwan Muslimin.

III

Setelah berada di tampuk kuasa, Morsi telah menjanjikan untuk menyelesaikan lima perkara utama iaitu keamanan, lalulintas, kebersihan, roti (makanan utama) dan bahan bakar dalam masa seratus hari. Beliau dan pimpinan berjanji untuk menyelesaikan perkara-perkara tersebut dalam seratus hari dan ini bukanlah janji yang teliti dan realiti.

Nyata Morsi gagal. Beliau diberi peluang seratus hari lagi sebagai tambahan masa, tetapi tetap gagal. Setiap tindakannya begitu lambat kerana terpaksa berunding terlebih dahulu dengan pihak Ikhwan Muslimin sedangkan beliau adalah wakil seluruh rakyat Mesir. Beliau dilihat sebagai boneka Ikhwan Muslimin oleh rakyat dan Ikhwan tidak mahu melepaskan Morsi untuk Mesir.

Ini adalah rampasan kuasa yang kedua.

Bukan sahaja lima perkara tersebut, malah keadaan ekonomi yang sedia meleset semakin merudum. Keamanan negara juga semakin terganggu sehingga kedudukan agama Islam dan Universiti Al-Azhar yang menjadi lambang kecemerlangan akademik Islam semakin terumbang-ambing. Beliau juga tidak menyiasat tentang kematian antara 800 hingga 1000 orang semasa proses revolusi 2011, malah menyiasat orang lain yang tiada kena mengena.

Bukan sekadar tidak mencapai maqasid syariah (matlamat syariat), malah pentadbiran beliau telah melanggar maqasid ammah (matlamat umum) yang merupakan maslahat rakyat dan negara yang paling asasi.

Ini adalah rampasan kuasa Morsi yang ketiga.

Beliau turut menyalahkan setiap kritikan, nasihat dan teguran yang diberikan kepadanya. Semua pengkritik dan pemberi nasihat itu dilihat sebagai musuh dari rejim Mubarak dan musuh politiknya. Beliau benar-benar gagal memahami demokrasi.

Malah beliau telah mengeluarkan dekri perlembagaan yang membolehkan keputusannya dan majlis kepresidenan mengatasi keputusan mahkamah. Sekali lagi beliau gagal memahami prinsip pemisahan kuasa.

Ini rampasan kuasa Morsi yang keempat dan entah berapa banyak lagi rampasan kuasa yang dilakukan beliau. Rampasan kuasa sebenarnya dimulai oleh rakyat, tentera cuma menyudahkannya.

IV

Memang benar bahawa Morsi telah banyak menolong perjuangan rakyat Syria dan Palestin, tetapi harus diingat bahawa beliau diangkat dan di-bai’at oleh rakyat Mesir. Beliau tidak diangkat dan diberi daulat oleh rakyat Syria, Palestin atau negara-negara lain. Oleh itu beliau seharusnya mengutamakan masalah Mesir dan kemudian baharulah menangani masalah geo-politikal di negara-negara jiran.

Morsi dirampas kuasa oleh tentera setelah beberapa siri rampasan kuasa yang dilakukan oleh beliau sendiri. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kuasa imperial baru seperti Amerika Syarikat boleh mengambil kesempatan. Malah pihak tentera Mesir juga tidak boleh melakukan sesuka hati mereka.

Tiada kompromi dalam prinsip kedaulatan dan pemisahan kuasa. Moga iktibar di Mesir menjadi pengajaran buat semua politisi, parti-parti politik dan terutamanya para demokrat Islamis.

Maka dengan ini penulis mohon untuk berbeza pendapat dengan mereka yang menentang penggulingan ini dan terpaksa berbeza dari pendapat Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang mengungkapkan “Bagaimana kita boleh bersabar dengan Mubarak selama 30 tahun, tapi tidak boleh bersabar dengan Morsi setahun?”

Bagi penulis, setahun sudah cukup buat Morsi dan ia jauh lebih panjang dari tempoh seratus hari yang beliau sendiri yang janjikan. Dalam tempoh trauma rejim zalim Mubarak, pasti rakyat Mesir tidak dapat menerima rejim despotik yang baru.

 

Rizuan Abdul Hamid, alumnus Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia’

 

Abdul Mun’im Abul Fotouh Hassan al Banna Hosni Mubarak Ikhwan Muslimin Muhammad Morsi Sayyed Qutb Syeikh Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim Yusuf al-Qaradhawi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan