lagurayamnasir_major
M. Nasir © Oren/APO?

Hari raya Aidil Fitri adalah hari perayaan umat Islam seantero dunia bermula pada 1 hari bulan Syawal setelah berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan. Ia disambut sebulan dan kemeriahan Aidil Fitri ini adalah magika yang sungguh luar biasa. Sambutannya mengikut bentuk acuan adat dan budaya sesuatu kaum dan komuniti atau lebih besar sesebuah negara. Betapa agama Islam itu indah meresapi setiap urat nadi manusia tanpa mengenal sempadan bangsa dan negara.

Tidak terkecuali di Malaysia, banyak lagu raya menggambarkan suasana meriah hari mulia ini. Sehebat mana pun diasak arus kemodenan, keajaiban Syawal langsung sahaja mengembalikan fitrah manusia untuk kembali ke akar budaya dan agamanya. Sejauh mana pun berada apabila fajar Syawal terbit, fitrah akan terusik menikmati kesyahduannya.

Lagu-lagu raya kita menceritakan tentang keghairahan anak rantau kembali ke desa bertemu orang tua dan berkumpul bersama keluarga, kegembiraan kanak-kanak mengumpul duit raya dan bermain mercun, hidangan makanan tradisi seperti ketupat, lontong, wajik dan dodol yang dinanti-nantikan.

Digambarkan juga betapa sedihnya jika hari raya tanpa ibu bapa dan keluarga, anak rantau yang tidak dapat pulang berhari raya, kehilangan kekasih dan bermacam-macam lagi. Penulis lagu raya telah menggambarkan semua ‘cara’ menyambut ritual ini. Suka mahu pun duka. Ia adalah tradisi amalan turun-temurun.

Ke semua elemen yang disebutkan tadi telah dirangkumkan dengan sempurna oleh M.Nasir di dalam lagu ‘Suatu Hari di Hari Raya’. Jiwa kesenimanan M. Nasir bijak memasukkan konsep hubungan sesama Allah (Hablulminallah) dan hubungan sesama manusia (Hablulminannas), dengan gabungan tema fizikal dan spiritual dalam konteks Islam, iman dan ehsan di dalam lagu yang sudah berusia tiga puluh tahun itu.

Satu hari di Hari Raya
Ku lihat cahaya bersinar indah
Langit cemerlang tak terkira
Tanda kuasa yang Maha Esa
Memberi nikmat pada manusia

Rangkap awal lagu ini jika diluaskan pengertian ‘cahaya’ akan lebih besar maknanya kerana cahaya dan kehidupan sangat berkait-rapat. Tanpa cahaya tiadalah hayat. Cahaya juga adalah pencerahan dari sebuah kegelapan zulmat tanpa haluan menuju terang yang terarah dan berpedoman. Apabila cahaya (Nur) bersinar indah sudah pastilah langit menjadi cemerlang.

Cahaya bergerak lurus dan menyimbah rahmat meliputi alam  Langit adalah kiasan yang membawa maksud darjat dan maqam tertinggi seseorang insan dalam mencari kesempurnaan,  kamil-mukkamil dengan Sang Khaliq. Karunia ‘cahaya’ dari yang Maha Esa inilah ibu segala nikmat untuk segenap insan. Lihat rangkap kedua yang berbunyi:-

Satu hari di Hari Raya
Ku dengar irama yang sungguh indah
Ku coba mendekati padanya
Kira irama itu adalah
Suara pujian pada yang Esa

‘Irama’ ini bukan sekadar datangnya dari alunan suara manusia yang memuji kerana di dalam Al Quran ada menyatakan yang seluruh isi alam ini sentiasa mengalunkan puji-pujian kepada yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta. Segala makhluk alam yang berunsurkan tanah, air, api dan angin sentiasa bertasbih memulangkan kuasa kepada yang Maha Suci.

‘Ku coba mendekati padanya’ adalah sebuah perjalanan mencari dan mengenal kerana tuntutan awal agama adalah mengenal Allah (Awaluddin makrifatullah). Rangkap pertama dan kedua adalah rakaman perjalanan  insan memanjat tingkat-tingkat martabat penyucian jiwa.

Satu hari di Hari Raya
Aku menangis tanda gembira
Aku menangis tanda ku cinta kepadaNya

Rangkap ini meluahkan perasaan syahdu insan yang gembira setelah menemui jalan menuju kekasih. Ya! Cinta adalah lambang sebuah kesucian dan keikhlasan. ‘Hari raya’ adalah manifestasi sebuah cinta setelah sekian lama mengharungi cabaran dan dugaan ( berpuasa di bulan Ramadhan adalah simbol kesabaran dalam menempuhi rintangan). Hari raya ibarat hari kelahiran semula di dalam keadaan suci bersih. Itulah rahasia ‘fitrah’ di dalam makna Aidil Fitri.

Satu hari di Hari Raya
Ku lihat wajah suci ibuku
Ku lihat wajah kasih ayahku
Ku gembira
Mungkin inilah dia kebahagiaan

Kebahagiaan yang hakiki tersimpan di dalam bait terakhir ini. Segala ‘kemeriahan’ dan ‘kisah-kisah raya’ di dalam lagu-lagu raya lain jika dikaut dan dihimpun, patinya adalah di rangkap ini. Di dalam falsafah ilmu Tasawuf, ‘ibu’ boleh juga ditafsirkan sebagai bumi kerana selain sang ibu yang mengandungkan  insan sarat dengan kasih sayang di rahimnya begitulah juga ibu (bumi) ini yang memberikan rezeki dari perutnya. Ayah pula adalah ‘langit’ yang memerhati penuh kasih, menurunkan hujan dan rahmat kebaikan untuk insan.

Pertanyaan tentang ‘mungkin inilah dia kebahagiaan’ terjawab apabila perjalanan direstui, diri dicintai dan hidup dalam keadaan redha-meredhai antara insan dengan penciptanya, insan sesama insan dan insan dengan makhluk seisi buana.

Untuk saya, lagu ‘Suatu Hari di Hari Raya’ ini sama ada versi lama atau sudah disusun semula muziknya dengan tiupan seruling yang mencucuk kalbu paling dalam, adalah lagu raya yang sempurna, lengkap pengertiannya dari sudut zahir dan batin dalam merungkai makna sebenar hari raya itu sendiri.

 

Ronasina merupakan seorang kartunis politikal dan penulis yang sering melawan arus.