hunterthompson_depan
Hunter S. Thompson menembak mesin taipnya. © Corbis

Perang dunia kedua baru tamat. Tembok Berlin runtuh dan orang mula fikir mungkin betul apa yang diberitakan, ia adalah ‘Perang yang Bakal Menamatkan Semua Perang’. Di Amerika, sesetengah percaya bahawa akhirnya Keamanan telah tiba. Sesetengah lagi fikir ia tak lebih gimik Uncle Sam. Selebihnya, yang gagal dapat tiket American Dream, meneruskan hidup di bawah ambiens Great Depression sambil baca muka depan suratkhabar yang melaporkan berita kematian seorang Presiden.

Tapi JF Kennedy bukan satu-satunya topik hip untuk dibualkan di kedai kopi ketika itu. Ada 500,000 askar Amerika di Saigon. Di satu sudut di White House, seseorang bernama Richard Nixon baru selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal berikutnya. Protes-protes jalanan yang bermula dengan hippie menghisap marijuana bertukar rusuhan. Muhammad Ali, yang telah mencampak medal Olimpiknya sebagai bantahan terhadap rasisme yang menebal di kalangan warga kulit putih mengumumkan untuk masuk gelanggang berdepan lawannya, George Foreman, perlawanan Heavyweight yang bakal diingati sepanjang sejarah sukan tinju.

Hunter Stockton Thompson menuliskan peristiwa-peristiwa ini dari mesin taip IBM Selectric yang selalu dibawanya ke mana-mana. Ia model semi-elektronik, bersaiz besar, hampir dua kali ganda berbanding mesin taip biasa. Terdapat satu gambar di mana dia menembak mesin taip itu sehingga berkecai. Ia juga adalah mesin taip sama yang digunakannya untuk menaip semula setiap perkataan dalam novel The Great Gatsby dan A Farewells To Arms. Poin yang cuba disampaikan di sini, kalau kau masih belum perasan: HS Thompson bukan cuma lelaki yang kebetulan mempunyai mesin taip.

Ini beberapa lagi penyataan yang sering dikaitkan dengan namanya: “Dilepaskan dari jawatan dalam Air Force sebab mempunyai terlalu banyak bakat tapi tidak berupaya mengikut peraturan. Kerap bertukar pekerjaan sebab terlibat dengan pergaduhan dengan pengiklan suratkhabar atau memecahkan mesin gula-gula. Mempunyai rekod kesalahan jalan raya yang cukup untuk memastikan tak ada agen insuran yang mahu menerimanya. Bertanding untuk jawatan Sheriff dengan salah satu agenda kempennya untuk menghapuskan pengharaman marijuana….”

Pernah dengar orang cakap, bertepuk sebelah tangan tak berbunyi? Thompson bukanlah salah seorang yang setuju dengan idea ini. Dia akan bagi pelempang untuk kau dengar macam mana bunyi bertepuk sebelah tangan. Anekdot ini diceritakan Johnny Depp kepada Patti Smith dalam sebuah wawancara. “There’s a little Bugs Bunny in all of us,” kata Depp menceritakan watak esentrik Jack Sparrow yang terinspirasi dari karakter Thompson. Apa yang tidak diceritakan Depp dalam wawancara itu adalah ‘arnab’ dalam diri Thompson merupakan psikedelik dadah yang mengisi masa lapangnya menembak kelelawar.

Ya, Thompson seorang yang berbahaya dan perlu dikurung di hospital di mana dia dipakaikan straightjacket jauh dari masyarakat, tapi kita tahu, apapun, dia adalah Godfather Gonzo. Berapa ramai orang yang boleh masukkan perkataan dalam kamus? Gonzo, yang sebenarnya tidak membawa apa-apa maksud (paling hampir slanga Sepanyol, ‘gonzagas’), sudah didaftarkan dalam lebih 20 edisi kamus Oxford. Sedangkan ia cuma bermula dari sebuah tugasan 250 patah perkataan tentang perlumbaan motosikal. Thompson menterjemah tugasan itu kepada manuskrip 2,500 patah perkataan yang sebenarnya tak berapa ada kaitan dengan sukan bermotor tapi lebih kepada bagaimana situasi seorang jurnalis dalam halunisasi meskalin dan kematian apa yang dikatakan American Dream.

Editor Sport Illustrated, manusia malang yang kita boleh bayangkan dalam keadaan keliru bercampur marah, menolak manuskrip itu sebelum Canyan Daily menerbitkannya di bawah tajuk “The Kentucky Derby is Decadent and Depraved”. Tulisan yang menjadi blueprint kepada apa yang kemudian digelar Gonzo Journalisme.

Hanya beberapa minggu selepas itu, Jenn Wenner, pengasas majalah Rolling Stone  melihat Thompson sebagai sebotol molotov koktel yang perlu dinyalakan. Thompson diberi tugasan untuk membuat liputan konferens dadah di Las Vegas untuk majalah Rolling Stone. Ini boleh diibaratkan seperti menghantar Botak Chin untuk menulis laporan tentang gangsterisme di Bukit Aman. Bersama peguamnya, Acosta, Thompson menuliskan perjalanan itu yang kemudian menjadi novel Fear And Loathing In Las Vegas, kitab wajib baca penggemarnya.

Tapi itu bukanlah apa-apa. Novel Hell’s Angels yang terbit seawal 1961 sudah mencerminkan kualiti kepengarangan Thompson dalam menggarap cerita dari sisi unik. Tanpa meromantikkan kehidupan golongan drop-out itu mahupun melemaskan kita dengan persoalan moral, HST meletakkan watak-watak ceritanya sebelah-menyebelah dengan orang lain lalu menyisakan kita dengan hipokrasi yang, oh, rupa-rupanya bukan saja ada di mana-mana tapi juga sudah menjadi makanan ruji setiap orang.

1974; Muhammad Ali meraih kemenangan dramatiknya dalam perlawanan The Rumble In The Jungle setelah meng-KO-kan George Foreman di pusingan ke-8. Kemenangan yang sekaligus membenam kecaman terhadap The Champ itu apabila dia sebelumnya dilihat sebagai tidak patriotik kerana enggan direkrut untuk berperang dengan tentera Viet Cong. Dalam masa sama, Thompson, yang pernah diberi tiket khas untuk menemu ramah juara dunia itu, meraih kemenangannya sendiri apabila Nixon menjadi satu-satunya Presiden Amerika yang meletak jawatan.

Nixon yang memainkan watak ‘good cop-bad cop’ dengan memperkenalkan Vietnamization dalam kempen perang di Vietnam sudah sekian lama menjadi ‘punching bag’ kegemaran Thompson. Fear and Loathing on the Campaign Trail ’72, siri artikel seputar kempen pilihan raya Presiden 1972, memberi gambaran betapa Nixon banyak mempengaruhi perjalanan hidup Thompson sebagai jurnalis. Seperti yang orang selalu katakan, kalau mahu jumpa Thompson, cari di mana Nixon berada. Bahkan sejurus kematian Presiden ke-67 Amerika itu, Thompson menulis epigraf khas buatnya di bawah tajuk ‘He Was A Crook‘. Umur Thompson ketika itu 56 tahun dan dia satu-satunya orang yang mencadangkan agar mayat bekas Presiden Amerika itu dibakar dalam tong sampah.

Pengeboman World Trade Centre pada 11 September 2001 menyaksikan media seluruh dunia bertungkus-lumus menjelaskan situasi semasa. Ketika kolumnis politik lain ghairah menterjemah 11 September sebagai perlunya sebuah kempen anti-terrorisme, Thompson sekali lagi membuat penyataan jelas bahawa dia adalah Champion dalam arena itu.

Dalam tulisan ‘Fear And Loathing in America‘, Thompson mengkritik administrasi White House di bawah teraju George W. Bush, bukan dengan nada sinis tipikal, tapi sebuah suara Gonzo yang berdenting seperti syiling emas. Thompson awal-awal lagi memberi dimensi yang lebih luas dan tepat tentang kerumitan konflik politik abad ke-21. Dan dia cuma seorang tua 60 tahun yang menulis untuk ruangan sukan ESPN di rumahnya di Woody Creek, Colorado.

Tidak mudah untuk menulis sesuatu apabila kau berada di tengah-tengahnya. Tidak kira betapa tidak masuk akal sesuatu peristiwa, jika dilalui setiap hari dan menjadi rutin akan diterima sebagai norma. Untuk memudahkan penghadaman, ada media yang mencadangkan perspektif untuk massa. Terdiri daripada editorial yang mendukung visi sama untuk menjaga kepentingan dan prospek syarikat. Dan beberapa individu belakang tabir yang mempunyai cukup kuasa untuk menentukan apa yang perlu dijangkakan – yang mana bukanlah sesuatu yang susah untuk difahami jika memikirkan pulangan yang mereka akan peroleh; mengawal apa yang boleh dipersoalkan dan apa yang tidak.

Thompson telah tunjukkan bagaimana ia dilakukan. Gonzo, walaupun hadir untuk waktu yang singkat, sempat memberi percikan api yang cukup untuk menyuluh jalan-jalan kepada bentuk baru penulisan. Dan ini cuma kesimpulan mudah yang ditulis semata-mata untuk memuaskan selera belia sastera. Hakikatnya, Thompson satu-satunya orang yang berjaya menyuntik elemen hiburan dalam forum politik.

September 2006, Thompson meninggal dunia selepas tembak kepala sendiri. Kemungkinan dari kekecewaan berakhirnya musim bola atau cuma percubaan untuk menggaru kepala dengan senapang. Umurnya 67. Untuk sesetengah penggemar Thompson, tak ada apa yang mengejutkan. Dia sudah patut melakukan aksi itu 20 tahun awal.

Lebih mudah untuk memikirkan bahawa sebenarnya selama ini dia ambil masa untuk persiapan pengebumiannya. Bila kali terakhir kau pergi majlis kematian yang dihadiri Bill Murray dan Johnny Depp? Abu mayat yang ditembak dengan meriam dari menara sambil diiringi lagu Mr Tamborine Man? Macam mana dia hidup, begitu juga dia mati; sebagai seorang pro.

 

Wahyudi Yunus,  penulis yang bekerja di Brickfields.

Botak Chin Fear And Loathing In Las Vegas George Foreman Gonzo Hell's Angels Hunter S. Thompson Jenn Wenner John F. Kennedy Johnny Depp Muhammad Ali Patti Smith x

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan