Di awal bermulanya gerakan Reformasi, jurang yang luas mula melebar dalam masyarakat Malaysia. Seperti mana hal lain yang bersifat geopolitik, paling penting adalah impak terhadap pusat-pusat bandar–hub perniagaan, kuasa dan maklumat. Jika tidak ada apa yang berlaku di situ, maka tiada apa-apa yang akan berlaku di tempat lain.

Malaysia diperkenalkan kepada istilah “media alternatif” ketika hari-hari awal Multimedia Super Corridor di saat kegilaan terhadap Angelina Jolie (moga Tuhan memberkati payudaranya) di dalam filem Hackers dan falsafah pop filem Matrix.

Tanpa mengambil kira soal definisi yang klise tentang istilah itu– di mana sekarang ini di Malaysia istilah itu mungkin patut merujuk kepada media sosial yang mempunyai pengaruh begitu luas–Malaysiakini telah menawarkan lensa baru dalam melihat dunia politik negara ini.

Mara ke tahun 2008, perubahan besar sebelum, semasa dan selepas pilihanraya umum membawa kepada meluasnya perkembangan portal berita bersama pelbagai dakwaan bahawa merekalah yang menyebabkan atau hasil daripada atau yang menyahut seruan perubahan di negara ini.

Itu semua berlaku dalam tempoh 10 tahun, satu revolusi yang agak pantas berlaku di dalam ruang media yang begitu dikawal-ketat ini. Tetapi dalam masa separuh daripada tempoh itu, kita lihat dakwaan yang baik atau sombong itu semuanya agak tidak jujur.

Beberapa daripadanya telah tersisih ke tepi–The Nut Graph dengan dakwaan popularnya untuk jurnalisme yang baik dan terpaksa merayu untuk derma, tetapi masih kekurangan wang dan berubah menjadi blog–yang lain hanya muncul sebentar untuk pembaca mendapati bahawa maharaja tidak memakai apa-apa pakaian kecuali g-string.

Hanya beberapa yang mampu bernafas.

onlineportals_majorMalaysiakini mendapat “untung” beberapa tahun yang lalu, dan editornya dengan bangga mengatakan bahawa laman web mereka adalah air mineral dibandingkan portal lain yang merupakan air paip–anda membayar untuk membacanya kerana ia lebih baik.

Tetapi apa yang Malaysiakini tidak gemar untuk bercakap ialah tentang jumlah langganannya itu hanyalah kecil berbanding keseluruhan pengunjungnya, dan jika mereka mendirikan sistem pembayaran yang sukar untuk digunakan oleh seorang budak berumur 10 tahun, mereka mungkin gagal untuk menarik pengiklan kerana terdapat banyak lagi laman web yang percuma.

Hal ini tidaklah sesuatu yang berat untuk Malaysiakini. Mereka mampu mendapatkan pelbagai geran dan menganjurkan pelbagai program dan projek yang boleh mendapatkan lebih banyak geran–atas nama mempromosikan demokrasi di negara ini. Saya biarkan kepada pembaca untuk menilai.

The Nut Graph benar dalam satu hal–jurnalisme yang bagus adalah mahal (walaupun tidak semestinya The Nut Graph menawarkan jurnalisme yang baik). Bahkan, jurnalisme yang biasa pun memang mahal dalam keadaan buruknya keseluruhan  jurnalisme di negara ini.

Orang dalam industri mengatakan bahawa tidak mungkin Malaysiakini mampu menampung walaupun separuh daripada kos buruhnya berdasarkan kepada langganan semata-mata namun sekarang ini mereka mendapat cukup geran dan mula merancang untuk membeli premis mereka sendiri, berbanding di lot kedai sekarang.

Pada hari ini kita mempunyai banyak portal berita yang tidak mampu dibaca dalam masa sehari. Banyak yang menarik muncul, salah satunya adalah The Malay Mail Online di mana pasukannya kecuali beberapa orang adalah pasukan yang sama dalam The Malaysian Insider, pesaing paling rapat kepada Malaysiakini.

Tetapi khabar angin mengatakan TMI telah mati adalah semata-mata gembar-gembur semata. Jahabar Sadiq, masih menjadi CEO dan Ketua Pengarang, secara agresif merekrut staf baru untuk memastikan laman web itu masih hidup. Dengan persamaan antara MMO dan TMI, adalah menarik untuk  melihat persaingan mereka itu.

Rasional di belakang MMO ialah jika anda ingin memulakan sebuah portal berita maka mengapa tidak mengimpot formula yang telah sukses. TMI telah memberikan impak yang besar dalam tempoh lima tahunnya namun masih tidak menguntungkan.

Tidak ada yang untung, jika kita letak ketepi geran. Tetapi kenapa ramai yang memilih jalan ini? Mungkin seperti yang disebut tadi, adalah kerana ruang media di Malaysia yang tertutup, dengan keperluan lesen untuk media cetak dan penyiaran.

Namun memilih untuk ke dunia maya bukanlah peluru perak. Salah satu sebab kenapa media Malaysia masih berada dalam zon persaingan yang sempit adalah kerana pengiklan tidak suka akan kontroversi dan kebanyakan laman web berita mengundang kontroversi dengan tidak mengikut garis pemerintah.

Di dalam sebuah ekonomi yang mempunyai campurtangan kerajaan yang luas hanya syarikat-syarikat yang independen atau yang berani sahaja yang akan mengiklan di portal berita sebegitu. Itu pun kerana bayarannya sangat murah (anda mampu membeli banner iklan untuk seminggu dengan bayaran kurang daripada separuh gaji sebulan–saya andaikan gaji kamu cukup untuk sekurang-kurangnya dapat bersantai di Jalan Telawi sekali-sekala–jadi anda mungkin tahu bila masa yang sesuai untuk melamar kekasih anda) kerana pemain media maya cuba untuk memecahkan tembok pelanggan yang memikirkan tentang “TV3 dan The Star” dalam soal perbelanjaan iklan.

Ada segelintir yang menyalahkan Malaysiakini kerana “meletakkan harga” dan merosakkan pasaran, kerana tidak seperti portal yang percuma dan tidak menerima geran, itu bukanlah soal hidup-dan-mati kepada mereka. Apa pun kesnya, di hujung terowong panjang hanya ada sedikit cahaya sahaja buat portal berita internet.

Mereka yang bermain sekarang adalah perintis kepada sebuah permainan yang panjang. Katanya Astro pun mengambil masa tujuh tahun untuk balik modal. Itu adalah perniagaan bernilai billion ringgit apalah sangat untuk sebuah startup internet.

Tetapi dengan kemasukan lebih ramai pemain, masing-masing ingin membezakan produk mereka. Jadi lebih banyak wang dilaburkan untuk rekabentuk, infrastruktur, kos IT dan sumber-sumber lain. Sebelum kemunculan TMI, Malaysiakini nampak lebih teruk berbanding blog lain. Sejak itu pun bukanlah rekabentuknya lebih cantik tetapi sekurangnya mereka berusaha supaya sedap mata memandang.

Manakala itu ia menjadi pasar pekerjaan kepada para wartawan–yang merupakan perkara asas dalam organisasi berita berasaskan teks.

Di luar sana hanya terdapat ramai wartawan. Tetapi tidak ramai wartawan yang bagus.

Perkembangan pasaran yang menggila sekarang ini juga menyaksikan pergerakan yang gila dan pertambahan gaji yang melambung tinggi.

Wartawan memang menyukai prospek untuk ditawarkan gaji 50 peratus lebih tinggi daripada gaji semasa mereka hanya melalui panggilan telefon atau sambil minum-minum (halal atau tidak). Tetapi adakah ini suatu yang dapat bertahan?

Apabila Free Malaysia Today ditubuhkan, mereka mendapatkan beberapa wartawan dengan menawarkan peningkatan gaji yang signifikan.

Sekarang TMI dan MMO juga menawarkan gaji yang sangat “kompetitif”. Seperti mana dikatakan seorang editor, “ia seperti terbukanya pintu perpindahan pemain dalam bola sepak.”

Serupa dengan bola sepak profesional, gaji telah melambung tinggi semenjak dua dekad yang lalu dan banyak kelab-kelab terkemuka terpaksa berhempas pulas menjaga status kewangan mereka kerana sebahagian besar daripada perbelanjaan mereka terpaksa digunakan untuk membayar beberapa orang superstar.

Seorang editor portal berita mengatakan “jika anda dapat membayar 70 peratus daripada perbelanjaan operasi, itu sudah dikira sebagai bagus.” Betapa teruknya keadaan itu. Sama ada pelabur anda adalah “malaikat” atau seorang penyokong politik, namun akhirnya ada seseorang yang perlu dan mampu menanggung semua ini.

Jadi persoalannya adakah ia mampu bertahan dalam soal kewangan ini? Walaupun ramai di kalangan pengiklan semakin cerdik dan mula menyedari bahawa iklan di internet mudah dikesan, (jumlah yang melihat dan klik dapat dikira, manakala dalam media cetak dan penyiaran anda hanya mengagak berapa ramai yang menonton atau mendengar). Namun adakah ini mencukupi? Media cetak sekarang ini melalui zaman yang sukar. Akhbar yang paling untung, The Star pun mengambil keputusan bahawa mereka harus mempelbagaikan produk dan sekarang mereka mempunyai stesen radio, jabatan online dan telah melancarkan app iPad.

Seseorang hanya boleh mengambil pandangan yang optimis untuk membuat web kerana kos percetakan yang tinggi. Tetapi iklan hanya dapat dijustifikasikan dengan berapa orang yang melihatnya.

Rumusannya begini–sejauh mana penting berita untuk anda? Walaupun tidak perlu untuk disebutkan tentang bias media perdana yang pro-pemerintah, sejauh mana anda menghargai pandangan yang tidak bias portal-portal di internet?

Adakah di situ destinasi anda pergi untuk mendapat maklumat? Atau adakah anda pergi ke Twitter, Facebook dan tempat lain, misalnya seperti laporan penganalisa daripada badan pemikir? Bagaimana dengan tempat yang belum ada tembusan internet? Adakah mereka mengambil tahu tentang media yang bebas dan adil?

Ini adalah soalan-soalan serius yang perlu ditanya dan dijawab, bukan sahaja dalam soal media internet tetapi juga media dalam lanskapnya yang menyeluruh. Cabaran dan tribulasi yang dihadapi oleh media dalam talian hanyalah hujung tajam sebuah aisberg. Ia akan tenggelam jika tidak ada yang berusaha membuat pelaburan untuk menyelamatkannya.

Dan pelaburan ini hendaklah dalam soal wang, masa, pilihan terbaik dan juga komitmen. Tidak ada format media yang akan kekal selamanya, tetapi untuk sekarang, perkara yang paling menarik adalah apa yang anda temui dalam internet.

Tetapi beberapa orang daripada kita terpaksa membuka dompet untuk artikel ini. Masalahnya adalah meluasnya budaya “percuma” dalam ruang/piramid/kiub siber Malaysia.

Tidak ada yang mengikut cara Malaysiakini mengenakan bayaran untuk kandungan di Malaysia. Bahkan untuk Malaysiakini, pelanggan berbayar tidak sampai ke peringkat massa yang kritikal. Tetapi, ia adalah model yang digunapakai secara meluas di luar negara.

Memang ada cara yang lain untuk membayar pelakon/penyanyi/ penulis kegemaran anda di samping membeli produk mereka–tiket konsert, barang saguhati, dll.–tetapi tak banyak yang anda boleh buat untuk jurnalis

Ini menjadi bertambah penting kerana dalam jurnalisme internet kerana sebahagian besar keuntungan adalah untuk jurnalis berbanding suratkhabar dan stesen TV yang menggaji sekumpulan penjual, staf pentadbiran dan lembaga pengarah, termasuk juga kos percetakan dan pengedaran suratkhabar dan juga kos studio dan penyiaran.

Pendek kata, untuk mengungkap seluruh persoalan ini – sejauh mana kepentingan jurnalisme untuk anda?

 

Shannon Teoh, koresponden di Agence France-Presse.

 

Tulisan ini diterjemah daripada tulisan asal berbahasa Inggeris bertajuk “Online News on the Line”

Angelina Jolie ASTRO Berita Free Malaysia Today Jahabar Sadiq Malaysia Malaysiakini The Malay Mail Online The Malaysian Insider The Nut Graph The Star

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan