Pelakon-pelakon utama SudirMANIA
Pelakon-pelakon utama SudirMANIA

Malam tadi saya menonton SudirMANIA, sebuah teater musikal produksi RevolutionStage atau kalau diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan bermaksud Pentas Revolusi. Bukan calang-calang nama. Ada cita-cita perubahan pada nama kumpulan ini. Apa yang ingin mereka ubah? Mungkin persepsi, mungkin cara dan kaedah atau mungkin juga pendekatan terhadap teater.

Ini teater yang ketiga saya tonton hasil produksi RevolutionStage. Yang pertama TylcKooUns dan yang kedua Ramleefestasi. Pada permulaan Ramleefestasi, Khairunazwan Rodzy tampil ke depan memberi kata aluan kepada penonton. Apa yang menarik adalah ungkapan beliau untuk penonton menikmati teater seadanya tanpa perlu berat kepala. Tetapi pada ucapan awal sebelum SudirMANIA beliau tidak lagi menyebut tentang perkara itu. Mungkin kumpulan itu telah berjaya dalam mencipta crowd-nya sendiri.

Bagi Khairunazwan ini yang ingin beliau tampilkan. Sebuah teater yang tidak membuatkan penonton rasa terasing. Menjadi popular tidak semestinya mengorbankan nilai seni. Atau dalam tulisannya: “…perlu sedikit suntikan nilai komersial seperti elemen hiburan bagi menarik minat penonton menyaksikannya.”

Atas kesedaran ini teater-teater RevolutionStage berbeza daripada teater lain. Mereka ingin menarik penonton yang terasing daripada lingkungan teater. Mereka juga ingin memecahkan persepsi teater sebagai aktiviti kelas menengah atas dengan tema berat-berat tentang ala eksistensialisme dan surrealisme.

Cara dan kaedah mereka juga tidak semewah produksi di Istana Budaya tetapi dengan kreativiti cukup untuk menunjukkan kecerdikan mereka dalam menguruskan ruang.

Mereka tidak malu untuk menjadi pop. Memang mereka mahu popular.

Tulis Khairunazwan lagi: ‘Maksud perkataan popular ialah digemari atau disukai ramai, diketahui; terkenal, popular adalah sesuatu yang boleh diasuh dan dicipta oleh sesiapa sahaja yang menginginkan dirinya digemari dan disukai malah terkenal dalam kalangan masyarakat.”

Payung merah dan lagu popular Sudirman, Hujan.
Payung merah dan lagu popular Sudirman, Hujan.

SudirMANIA adalah kisah cinta yang disulam dengan lagu-lagu Sudirman. Ada lagu yang sedia popular di kalangan masyarakat ada juga yang agak asing namun disesuaikan dengan baik. Kisahnya seputar keinginan pasangan kekasih (seorang ayah yang ditinggalkan isterinya, seorang anak terhadap ibunya, seorang lelaki kepada kekasih lamanya) bertemu di di konsert Sudirman di Chow Kit Road. Formulanya cukup untuk sebuah cerita dapat dinikmati.

Dan sentiasa tidak lekang daripada produksi-produksi RevolutionStage adalah watak pelawak akan muncul. Kali ini tiga orang penagih dadah dengan gelagat dan perangai pelik layak penagih dadah biasanya. Namun ada ironi yang pahit tatkala lagu patriotik yang paling berhantu, Tanah Pusaka dinyanyikan oleh tiga penagih dadah ini sebagai penyataan pada sayangnya mereka pada Chow Kit Road yang akan ‘dijajah’ orang melalui konsert Sudirman. Babak ini mencipta ragam perasaan kepada penonton.

Seperti TylcKooUns, SudirMANIA diiringi pemuzik di belakang tabir secara langsung. Ini adalah suatu yang istimewa berbanding menggunakan minus one.

Menikmati musik secara langsung, nyanyian secara langsung dan dan lakonan secara langsung.

 

 

Persembahan SudirMANIA:

28, 29 dan 30 Jun: 8.30 mlm
29 Jun:3.00 ptg & 8.30 mlm.
di Morne Art Gallery, Tingkat 10,
Menara MARA, Jalan TAR, Kuala Lumpur.

Untuk tiket:

A.A – 017 98232372
N.A – 010 760 3101

 

Khairunazwan Rodzy Ramleefestasi RevolutionStage Sudirman Teater

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan