Usman Awang berbual dengan seorang penulis Indonesia.
Usman Awang berbual dengan seorang penulis Indonesia.

I

Di sebuah rumah separa kayu di Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor, air sungai yang mengalir di belakang rumah akan melimpah masuk ke dapur waktu hujan lebat. Arus deras. Seorang lelaki masuk dan duduk di ruang tamu, sedikit kebasahan barangkali. Yang tidak diketahuinya ialah tentang keghairahan yang terselindung di balik sebuah rak buku, tak jauh dari tempat dia menunggu untuk dihulurkan tuala dan teh O panas.

Sebuah rak lama yang terkandung di dalamnya lambakan buku; juga dari judul yang lama-lama. Mujur masih tak dimakan anai-anai. Lelaki itu duduk di depannya ketika orang lain di bahagian belakang rumah, sibuk dengan hal-hal lain yang lebih menarik minat masing-masing (seperti berceloteh berguraukan punggung siapa yang lebih lebar, atau betis siapa yang lebih mulus).

Satu per satu judul pada tulang buku-buku yang ada diteliti. Beberapa buah buku juga sudah siap ditarik keluar, dihembus-hembuskan habuk pada kulitnya. Semua itu adalah judul-judul yang sudah lama bermain dalam bayangan fikirannya – kerana pernah terbaca di mana-mana agaknya, tetapi tidak lagi diulang cetak untuk tatapan pembaca zaman ini; seperti kerja-kerja itu tak lagi perlu diingati.

Di antara judul-judul yang ada, sebuah daripadanya adalah himpunan sajak Usman Awang, Duri dan Api yang dicetak pada tahun 1960an. Terdetik juga dalam hati kecilnya untuk mencuri buku-buku itu. Tetapi, setelah memerhatikan raut wajah lembut seorang wanita separuh umur yang kemudiannya datang menghidangkan minuman, niat itu padam. “Kalau nak baca, ambillah dulu. Tapi nanti bila sudah selesai, pulangkan. Itu harta untuk ditinggalkan kepada cucu-cucu makcik nanti biar mereka tak lupa diri.”

Lelaki itu tak jadi mencuri. Dia hanya meminjam. Dibetulkan niat.

Kulit buku warna merah dengan imej conteng-lukisan api itu kesat, berhabuk. Diterbitkan tahun 1966 oleh Toko Buku Abbas Bandong, Melaka. Menurut seperti yang tercatat pada Kata Pengantar oleh Prof Lloyd Fernando, buku itu menghimpunkan sajak-sajak terbaik bagi tempoh 1961 hingga 1966. Ia juga melengkapi penerbitan sebuah lagi himpunan puisi Usman Awang, Gelombang yang diterbitkan pada 1961 oleh Oxford University Press, Kuala Lumpur. Himpunan itu mengandungi sajak-sajak awal dari tahun 1949 hingga 1960.

Kemudian datang kuntum senyum dari seorang perawan, yang datang dari perut dapur menggerakkan sedikit lantai kayu yang rapuh di ruang itu. Dia duduk bersimpuh, dan lelaki itu cuba-cuba bermain mata; menggatal.

Beberapa baris sajak dari buku itu seperti melompat keluar, cara rawak terpotong-potong dari baris asal yang ditulis:

Seorang perempuan bersamfu hijau / dari tingkap dapur rumahnya / sedang jari-jarinya lincah / hati mereka bersalaman / perempuan berbaju kurung / baunya wangi / selera di cicah / nasib yang sama / esoknya kuih pau dan ketupat

Keinginan hari itu masih belum dipadamkan.

Pada setiap bibir dan hati / dengan megahnya mengukir kehalusan rasa.

Diiringi hujan yang masih lebat membasah, mereka beralih duduk di tangga depan. Kala berduaan, tempias air hujan itulah yang paling diinginkan. Sejuk, nanti boleh merapat-rapat. Apa lagi kulit si perawan itu putih, halus. Apa-apa sajalah untuk dibayangkan. Lelaki itu pura-pura memperlihatkan diri seperti dialah yang tahu banyak soal sajak. Si perawan, dengan kemeja-T ringkas dan kain batik melitupi pinggulnya, duduk mendengar dengan penuh setiap. Entah apa dirasakan dalam hati. Harap-harap tak menerbitkan dosa.

Itulah agaknya kali pertama sang lelaki mengamati sajak-sajak Usman Awang dengan tekun, untuk kemudiannya dibacakan dan diceritakan kepada si perawan, sesuka hati.

“Apa perlunya kerja-kerja sastera seperti ini, untuk terus dihidangkan. Ini buku lama, gaya lama, sajak lama.” Si perawan, dengan nada lembut dan polos, bertanya sayup.

“Kerana perkara seperti itulah memautkan kita kembali dengan titik-titik masa yang lain, yang wujud lebih dahulu daripada kita. Memahamkan orang-orang seperti kita yang peduli, terhadap keadaan, tuntutan dan keperluan naluri yang berbeza-beza. Sastera adalah untuk kita memahami diri kita sendiri.” Tak difaham sebetulnya apa yang dia sendiri katakan waktu itu, tetapi getus rasa yang lahir membuatkannya berfikir semula tentang itu, di satu titik masa yang lain di depan, dan berusaha untuk memahaminya lagi.

Sambil gementar menunggu reaksi seterusnya dari si perawan, lelaki itu mencuri pandang betis dari balik kain batiknya yang terselak sampai ke pangkal lutut, juga dada yang turun naik bernafas.

Usman Awang menjadi subjek bualan yang menghidupkan rasa hari itu, mengiringi hujan yang lanjut sampai ke petang. Walaupun si perawan tak mahu memeningkan kepala untuk memahami apa itu sajak, dia mendengar sebuah nama yang tak akan lekang dari ingatannya nanti.

 

II.

Juga di tahun 1960an. Peristiwa Mogok Utusan mungkin tak ramai yang terkait untuk merasakan gelora yang sama. Protes pekerja (wartawan/penulis) terhadap pengambil-alihan akhbar itu oleh UMNO mengundang reaksi yang bukan kepalang; membara dengan sentimen-sentimen yang baru disedari penggerak-penggeraknya waktu itu. Kongkongan bukan satu pilihan.

Di dalam sebuah foto yang dirakam sepanjang tempoh penuh warna itu, ada satu hal yang menarik turut terakam sekali. Usman Awang, dengan kaca mata hitam, di dalam satu babak mogok itu berdiri dan memerhatikan perkembangan teman-temannya, yang diasak dengan pelbagai tekanan. Entah apa yang bermain di dalam kepalanya.

Entah-entah sedang merencanakan satu cerita baru waktu itu, yang entahkan pernah ditulis atau tidak. Tetapi, yang pasti, bisa dari ingatan itu berbekas pada sejumlah sajak-sajaknya.

Foto itu, secara tidak langsung berbicara tentang betapa pentingnya maksud ‘keterlibatan’; seorang yang melihat dirinya sebagai penulis dengan deretan acara yang meledak di depan matanya. Usman Awang, sebagai seorang penulis memilih untuk menggulirkan dirinya ditengah-tengah masyarakat dengan setiap pergolakan yang dihempapkan ke atas kepala mereka.

Mungkin, disebabkan deria yang satu ini, membuatkan namanya dikenali, terutama dari lingkungan penulis lain yang turut diangkat sebagai Sasterawan Negara. Beliau sejak dari awal keputusannya untuk menjadi penulis, memilih untuk suaranya didengari ditengah-tengah masyarakat. Bukan sebagai bahan bacaan saja, tetapi lebih penting suara dalam maksud langsung itu sendiri.

Kerana karisma seperti itu, beliau tidak mudah diperolok. Maka dari pena di tangannya, kita membaca kisah-kisah dan kandung rasa yang memerlukan perhatian segera; waktu dulu dan cerminan waktu sekarang.

Dari tulisannya, bayang-bayang imajinasi dipaparkan dengan begitu jelas. Ia boleh saja dianggap sebagai peristiwa-peristiwa sebenar yang berlaku yang dirakam dan dibangunkan semula secara sedar untuk dipersembahkan dalam medium lain. Kita seperti melalui denai yang sama dan diperkenalkan kepada watak-watak yang sebahagiannya adalah diri kita sendiri.

Bagaimana untuk menuntut perhatian orang terhadap sesuatu hasil kerja, dalam konteks ini, penulisan? Tentulah dengan berbicara; kerja-kerja yang molek akan mampu berbicara untuk menjelaskan dirinya sendiri. Sebaliknya, bagi kerja-kerja yang lesu, penulis yang perlu berhempas pulas berbicara, untuk menjelaskan pelbagai hal yang berkaitan kerjanya yang entahkan lahir dengan rasa jujur atau sengaja digesa-gesa untuk tujuan lain – misalnya untuk dikenali dan jadi popular semata-mata.

Di sini mungkin halnya yang menceritakan tentang duduk-letaknya tulisan-tulisan Usman Awang. Walaupun ditampilkan dalam cara dan lenggok yang sangat sederhana, gaya cerita yang berterus-terang (dengan sedikit piuhan untuk kejutan, tentunya) dan tiada kompleksiti berlebih-lebihan, cerpen-cerpen yang ditinggalkan masih mampu untuk mengembalikan ingatan kita terhadap kepincangan manusia dalam menguruskan kehidupan. Yang tersirat adalah cara watak-watak zaman itu menjalani hidup dengan keras sambil tersenyum.

Kita kemudiannya membayangkan orang yang sama ini, yang asalnya seorang anak kampung dari Kuala Sedili, di dalam kesempatan berlainan, berdiri di hadapan orang-orang asing dan membacakan sajaknya. Kali itu di tempatnya juga lain; di Algiers. Beliau dipelawa oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin, pada April 1987, untuk turut sama hadir ketika perasmian persidangan Majlis Kebangsaan Palestin.

Seperti yang tercatat di dalam pengantar berjudul 40 Tahun: Idealisme Kerakyatan dan Kemanusiaan yang ditulis Dinsman, perjalanan hidup dan penghasilan kerja-kerja penulisan Usman Awang diberi perhatian khusus. Potret Usman Awang yang tergambar dari tulisan itu antara lain menjelaskan beberapa perkara. Bahawa ada keprihatinan yang dalam ditunjukkan beliau kepada hal-hal kecil yang mungkin lebih senang diabaikan oleh orang lain.

Sepanjang proses kreatif dalam tempoh itu, Usman Awang barangkali sudah menemui dirinya. Atau mungkin tidak. Apa yang lebih bermakna, darinya masih akan kita temukan garis dan gaya bahasa yang masih kaya, berakar, tahu budi dan citra, nilai yang kini perlahan-lahan dibunuh oleh kelompok yang sama, yang menggelar diri sendiri sebagai penulis; walaupun tak punya deria yang jelas dan deras.

 

III.

Perasa dari setiap cerita dan sajak yang dihidangkan dalam himpunan ini tidak sama seperti himpunan tulisan-tulisan yang biasa ditemui. Usman Awang yang ingin dipersembahkan dalam himpunan ini adalah seorang penulis yang kadang-kadang mencuit hati, walaupun tetap memasang kepekaan yang tinggi terhadap persekitaran.

Ia adalah satu sisi Usman Awang yang lain; mungkin saja tulisan-tulisan yang terlahir dari rentang waktu yang panjang, tulisan dan cerita-cerita yang antaranya memperlihatkan beliau sebagai pucuk muda, yang mencuba-cuba mengolah bakat menulis dengan bayangan  kenakalan yang berlapik.

Tidak ada hal-hal patriotisme seperti yang sedia dimaklumi di sini. Perkara itu sangat cliché ketika membicarakan sosoknya. Tetapi, yang ada untuk ditemukan adalah satu sisi lain; nuansa-nuansa sensual yang dikait ke dalam setiap pemerhatiannya.

Semuanya boleh saja dilihat sebagai satu set cerita yang berbisa. Dan, suaranya terbit dari setiap kekalutan untuk sekadar mengupah sedikit penawar; supaya orang tak boleh senang-senang melupakan di mana bangsa ini pernah berada, lama dulu.

Antaranya, perli-perli kepada kelompok sendiri, terutamanya orang Melayu (kerja yang sama dilakukan misalnya oleh Za’ba dengan gigih) yang terus mengena batang hidung. Sebahagiannya juga adalah cerita-cerita dalam lenggok satira yang akan membuatkan kita tersenyum, padahal beliau sedang mengasah kata dengan sangat tajam untuk dihamburkan dengan hemah, dan tetap mengandung erti yang bukan kosong.

Walaupun mungkin ramai yang akan menanggapi itu sebagai kritik-kritik sosial, ia sebenarnya ditampilkan dengan cara gaya yang memikat, jika tidak keterlaluan dinyatakan begitu. Cerita-cerita yang tidak kering daya bayang, walaupun kebanyakan situasi yang diceritakan itu ringkas dan bersahaja.

Ada beberapa yang sudah selalu ditemukan. Ada juga beberapa yang barangkali belum pernah dibukukan, yang ditulis asalnya dengan nama pena berlainan, yang dikutip dari penerbitan seperti majalah yang bertaburan judulnya. Nama pena yang bermacam ini juga menarik; di zaman itu, penulis tidak ramai. Usman menggunakan pelbagai nama untuk menampakkan yang bilangan kelompok penulis sepertinya itu semakin bercambah. Atau, siapa tahu mungkin dia sedang berangan memunculkan alter-ego yang bertukar-tukar dan mencari gaya tersendiri untuk setiap mereka.

Ironi juga, beberapa cerita yang terkandung ini menyentuh perihal pilihan raya. Semacam ia satu keraian yang perlu diberi perhatian khusus. Juga, kisah-kisah polis (yang kerap disebut mata-mata) dengan seribu satu gambaran yang agaknya terbit dari pengalaman Usman Awang sendiri yang pernah bertugas dengan pasukan itu sebelum giat menulis.

Nikmatilah himpunan cerita dan sajak yang tersimpan diperut buku kecil ini. Senyumlah dengan hati yang girang ketika bertemu dengan baris-baris ayat dan babak ‘gatal’ yang dihidangkan beliau.

Cuma, perlu diingat juga, itu semua adalah hal-hal kulit sahaja. Lebih penting yang ingin disampaikan adalah citranya, yang tersurat dan tersirat, dari waktu dan era sebelum ini untuk tatapan pembaca dekad kedua milenium. Berhiburlah, dan beringat juga.

 

 

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.

* Esei ini pertama kali diterbitkan sebagai pengenalan kepada buku Yang Nakal-Nakal – Usman Awang, sebuah himpunan cerpen dan puisi sinikal Sasterawan Negara berkenaan. Ia diterbitkan oleh Fixi Retro dan dilancarkan pada 16 Jun 2013 sempena Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2013.