I

Pada tahun 1812, gabenor negeri Massachusetts di Amerika Syarikat bernama Elbridge Gerry telah menandatangani suatu rang undang-undang mengenai persempadanan kawasan pilihanraya. Bagi menyebelahi parti Demokratik-Republikan yang dianggotainya, gabenor Elbridge Gerry telah menandatangani sempadan kawasan pilihanraya yang pelik rupa bentuk, liku serta lekuknya. Peta kawasan pilihanraya tersebut berbentuk seperti Salamander.

Rentetan daripada peristiwa tersebut, akhbar Boston Gazette telah menamakan persempadanan itu sebagai ‘Gerrymander’, yakni hasil gabungan nama Gerry dan Salamander.

Carta di bawah menerangkan bagaimana gerrymandering dilakukan:

table1

Persempadanan yang dilakukan oleh Parti A semasa berkuasa dilakukan untuk menyebelahi mereka. Mereka menggunakan impak persempadanan untuk menjamin ‘kerusi’ buat mereka. Walaupun Parti Y mendapat undi popular melebihi Parti X, tetapi mereka cuma menang satu daripada tiga konstituensi yang dipertandingkan. Ini kerana persempadanan pilihanraya secara terancang telah meletakkan ramai penyokong parti Y di konstituensi Bandar C.

Parti X pula, walaupun cuma menang dengan majoriti yang kecil di dua konstituensi, mereka tetap memperoleh dua daripada tiga kerusi yang dipertandingkan.

Persempadanan pilihanraya seperti ini mematikan hak dan suara rakyat serta demokrasi. Berdasarkan persempadanan sedia ada, perkara ini juga mungkin berlaku di Malaysia. Contoh-contoh jelas dapat dikemukakan dan dibuktikan.

Sebagai contoh, sebahagian pengundi DUN Sungai Rapat yang terletak di Parlimen Gopeng terpaksa mengundi di kawasan yang secara geografinya terletak di Batu Gajah. Dalam pada masa yang sama juga, Batu Gajah pula ialah satu konstituensi Parlimen yang lain. Ini menunjukkan persempadanan kawasan pilihanraya telah meletakkan sebahagian pengundi yang secara geografinya terletak di Batu Gajah untuk mengundi di Kawasan Sungai Rapat-Gopeng.

Walaupun adakalanya gerrymandering tidak memberi kesan terhadap jumlah undi, tetapi perkara ini tetap tidak sepatutnya berlaku. Situasi gerrymandering yang berlaku di Malaysia wajar dinamakan sebagai ‘barisanmandering’.

II

Selain gerrymandering, persempadanan kawasan pilihanraya secara malapportionment juga menafikan asas dan tunjang demokrasi iaitu pilihan majoriti rakyat. Persempadanan secara malapportionment secara minoriti-majoriti banyak berlaku di Malaysia.

Sebagai contoh, kawasan parlimen seperti Padang Rengas cuma mempunyai jumlah pengundi seramai 28,518 orang. Bandingkan pula dengan kawasan Parlimen Kampar yang mempunyai pengundi seramai 63,619 orang. Barisan Nasional menang di Padang Rengas manakala Kampar dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Jika Barisan Nasional memenangi dua konstituensi yang mempunyai jumlah pengundi seperti kawasan Parlimen Padang Rengas, maka mereka telah mempunyai dua kerusi berbanding Pakatan Rakyat. Sedangkan jumlah pengundi di dua konstituensi seperti Padang Rengas masih tidak mampu untuk menyamai jumlah pengundi di Kampar. Dalam situasi ini, pihak minoriti lebih berkuasa daripada pihak yang majoriti.

Situasi ini memberikan kelebihan buat Barisan Nasional kerana konstituensi-konstituensi yang kecil bilangan pengundinya terletak di kawasan luar bandar yang majoritinya berpihak kepada mereka.

III

Perkara ini bukan omongan kosong. Terbukti pada Pilihanraya Umum ke 13, daripada sejumlah 11,257,147 pengundi yang menunaikan hak mereka, cuma 5,237,699 yang memilih calon kawasan parlimen daripada Barisan Nasional. Manakala jumlah pengundi yang memilih calon parlimen dari Pakatan Rakyat pula berjumlah 5, 623, 984 orang (PKR-2,254,328, PAS-1,633,389 dan DAP-1,736,267). Selebihnya pula memilih parti-parti lain dan calon bebas. Ternyata undian terhadap Pakatan Rakyat melebihi Barisan Nasional sebanyak 386,285 undi. Rakyat memilih Pakatan Rakyat.

Di Kerusi DUN pula Barisan Nasional menerima undian sebanyak 4,513,977 undi manakala Pakatan Rakyat menerima 5,312,509 undi (PAS-2,133,944, DAP-1,442,298 dan DAP-1,303,457). Sekali lagi ternyata bahawa rakyat memilih Pakatan Rakyat.

Hak dan suara rakyat telah dinafikan. Dalam situasi ini, cuma gerrymandering dan malapportionment atau mudah dikatakan sebagai persempadanan kawasan pilihanraya yang teruk dan buruk sahaja mampu menafikan hak rakyat.

Walau jumlah kerusi parlimen Pakatan Rakyat meningkat daripada 82 kepada 89 kerusi, tetapi ini masih tetap tidak mencerminkan keadaan yang sebenarnya. Kerusi DUN yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat juga meningkat daripada 161 kerusi kepada 230 daripada 505 kerusi keseluruhan. Ini juga tidak menggambarkan situasi yang sebenar. Lebih memburukkan keadaan apabila Pakatan Rakyat cuma dapat menguasai tiga negeri berbanding lima negeri sebelumnya walaupun Pakatan Rakyat dapat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di kebanyakan negeri.

Bukankan secara logiknya, jika dikira secara matematik demokrasi tulen, Pakatan Rakyat-lah yang lebih wajar untuk menerima mandat daripada rakyat? Barisan Nasional pula hilang keabsahannya sebagai kerajaan.

Tetapi hak rakyat dan Pakatan Rakyat telah dinafikan oleh ‘barisanmandering’ dan malapportionment. Demokrasi yang sebenar ialah suara majoriti rakyat. Lawan tetap lawan!

Moga negara ini, dengan rahmat Tuhan, akan melahirkan pemerintahan rakyat, oleh rakyat dan buat rakyat.

 

Rizuan Abdul Hamid, alumnus Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia’

Barisanmandering Black505 Elbridge Gerry PRU 13

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan