“Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.”

– Permasyhuran Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

I

Tunku Abdul Rahman Putra seketika melafazkan permasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu, jelas mengungkapkan bahawa seluruh rakyat negara ini yang baharu sahaja dilahirkan sewaktu itu sebagai satu umat dan bangsa. Walau negara ini – yang kemudiannya dimasyhurkan pula sebagai Persekutuan Malaysia, adalah negara yang terdiri daripada berbilang kaum, namun atas semangat kemajmukan, kita semua adalah satu bangsa dan satu umat.

Bangsa besar inilah yang membentuk Malaysia. Bangsa atau nation di dalam bahasa Inggeris bukanlah membawa makna sempit tentang perkauman atau etno-sentrik. Istilah bangsa membawa maksud rakyat atau masyarakat yang menetap di dalam sebuah kawasan yang berdaulat secara politik (negara) tanpa memandang ‘warna kulit’ dan ras. Inilah intipati dari semangat negara bangsa yang tercetus pada Perjanjian Westphalia pada 1648 – satu bangsa satu negara – tiada pemecahan etnik atau dasar pecah dan perintah.

Semangat satu bangsa ini selari dengan ajaran Islam. Fasal dua Piagam Madinah jelas menyatakan bahawa; “Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain”. Nabi Muhammad s.a.w. jelas mengiktiraf  bahawa masyarakat Islam yang terdiri daripada muhajirin dan ansar serta masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada masyarakat ahli kitab (kebanyakannya yahudi) sebagai satu umat.

II

Bulan Mei secara umum, atau 13 Mei khususnya wajar dinamakan sebagai hari dan bulan Bangsa Malaysia. Tarikh 13 Mei 1969 yang senantiasa ditakuti oleh UMNO-BN dan dicanangkan sebagai hari rusuhan kaum, sebenarnya tidak lebih daripada sandiwara politik untuk menyelamatkan kuasa mereka. Kerana pada pilihanraya 1969 itu, UMNO-Perikatan (Sekarang Barisan Nasional) buat kali pertama telah hilang majoriti undi popular.

Pasca PRU13 (2013), mereka sekali lagi meroyan kerana telah kehilangan majoriti undi popular buat kali kedua. Magisnya, mereka masih dapat mengekalkan kekuasaan. Demi menyelamatkan survival politik mereka, kaum Tiong Hua sekali lagi cuba dipersalahkan, padahal seluruh Bangsa Malaysia-lah yang telah menolak mereka.

Politik BN (Barisan Nasional) adalah seumpama politik ‘air dan minyak’. Walau berkongsi ‘cawan’ yang sama, tetapi tetap tidak boleh bercampur. Lain pula dengan politik PR (Pakatan Rakyat) yang terserlah kemajmukannya. PAS telah lama terbuka buat semua kaum, malahan mereka telah membuka keahlian mereka kepada warga non-muslim. Begitu juga DAP, parti yang mempunyai keahlian berbilang kaum. PKR pula jauh lebih meriah keahliannya. PR seumpama kopi atau teh yang dicampurkan dengan susu dan gula, dan sebati pula rasanya. Tetapi tidak dinafikan bahawa masih terdapat sedikit serbuk-serbuk kopi atau teh yang tertinggal dan perlu ditapis.

Saranan dari seorang bekas hakim pula amat mengecewakan. Beliau menggesa supaya perlembagaan negeri di mana UMNO-BN memperoleh kuasa dua pertiga DUN, perlembagaan perlu ditukar dengan menyatakan bahawa jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri mestilah dilantik dari kalangan Melayu Islam. Hujah semberono ini jikalau difahami, dilihat terlalu bodoh bunyinya. Mungkin saranan ini mahu menyekat politisi DAP daripada memegang kuasa, tetapi tidakkah beliau sedar bahawa DAP adalah parti berbilang kaum? Malah ada dua orang Melayu telah memenangi kerusi parlimen sebagai calon dari DAP pada PRU13.

Malangnya, keserasian dan kefahaman budaya antara kaum di Malaysia ini masih di tahap yang rendah. Setelah lebih daripada setengah kurun Malaysia merdeka dan diperintah oleh UMNO-BN, perkara ini masih jauh dari selesai. Perjalanan masih panjang. Moga landasan baru sosio-politik yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat dapat menjadi batu asas yang baik bagi semangat kemajmukan dan keserasian antara kaum.

III

Isu mengenai bangsa tidak dapat dipisahkan daripada isu mengenai rakyat atau kerakyatan. Taraf dan kemuliaan sesuatu bangsa di dalam sesebuah negara adalah pengiktirafan sebagai rakyat.

Menjelang kemerdekaan, kaum Melayu dan Bumiputera diberikan kerakyatan secara terus (jus sanguinis-right of blood) sebagai pewaris Tanah Melayu. Masyarakat Tiong Hua dan India pula diberikan kerakyatan secara jus soli (right of soil) atas susah payah mereka yang turut sama dalam usaha untuk membangunkan negara bangsa ini.

Oleh kerana itu Bangsa Malaysia hidup dalam kerukunan berdasarkan kontrak sosial dan perlembagaan saling hormat-menghormati. Seluruh Bangsa Malaysia mempunyai hak untuk memilih pemimpin dan terlibat dengan proses demokrasi.

Tetapi akhir-akhir ini timbul isu bagaimana kerakyatan secara naturalisasi boleh dikurniakan secara wewenang kepada sesiapa sahaja. Mereka ini tidak wajar sama sekali untuk digelarkan sebagai rakyat dan Bangsa Malaysia. Perbuatan menganugerahkan kerakyatan secara naturalisasi secara wewenang juga adalah perbuatan yang tidak wajar dan tidak bermoral.

IV

Sempena hari dan bulan Bangsa Malaysia ini, segala isu perkauman wajar dihentikan. Kita tidak pernah ditindas oleh Melayu. Kita tidak pernah dijajah oleh kaum Tiong Hua atau India. Tetapi kita dijajah dibawah hegemoni UMNO-BN.

Seluruh rakyat dan Bangsa Malaysia bangun menentang piliharaya tidak adil, menentang politik wang serta wang politik, menentang monopili ekonomi, menentang penindasan, menentang kezaliman dan menentang perkauman.

Kita bangun menentang semangat assabiyah UMNO-BN yang menggunakan alasan perkauman untuk menindas kaum yang lain.

13 Mei – Selamat menyambut hari dan bulan Bangsa Malaysia!

 

Rizuan Abdul Hamid, alumnus Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia’

13 Mei 1969 Bumiputera Malaysia Melayu politik Tunku Abdul Rahman

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan