Reformasi Sistem Kesihatan Malaysia

oleh
11 Mac, 2013 | kategori Kolum | komen [0] | Cetak | kongsi  

kesihatan_malaysia

 “…I will apply dietetic measures for the benefit of the sick according to my ability and judgment; I will keep them from harm and injustice…”

Ikrar Hippocratic

 

Petikan di atas adalah sebahagian daripada ikrar yang menjadi pegangan etika terpenting untuk seorang pengamal perubatan moden. Ikrar ini dipercayai telah ditulis lebih lima dekad sebelum masihi sama ada oleh Hippocrates sendiri atau salah seorang anak muridnya.

Hari ini, dunia perubatan moden menyaksikan setiap individu yang ingin memulakan karier mereka sebagai pengamal perubatan perlulah sekurangnya membaca ikrar ini sekali dan memahami intipatinya dengan jelas.

Pengenalan

Perkhidmatan kesihatan sentiasa menjadi kayu ukur penting akan tahap kemajuan dan kestabilan sesebuah negara. Menurut WHO, sistem perkhidmatan kesihatan yang baik mampu untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada warganya, setiap kali diperlukan.

Sistem itu juga perlulah mempunyai mekanisma kewangan yang utuh; sumber tenaga manusia yang terlatih dan dibayar gaji yang setimpal; sumber maklumat yang boleh dipercayai sebagai asas bagi membuat keputusan dan juga menggubal polisi; serta kemudahan infrasturuktur dan logisitik yang diselia dengan baik untuk membekalkan ubatan dan teknologi perubatan yang berkualiti.1

Sebelum penjajahan, perkhidmatan kesihatan berkisar kepada pengubatan tradisional di kalangan penduduk tempatan, Melayu, Cina dan banyak etnik lain. Selepas zaman penjajahan, amalan perubatan Barat mula diperkenalkan di negara ini. Pembinaan hospital ketika itu adalah untuk merawat pegawai-pegawai kolonial dan pekerja-pekerja dalam industri kolonial.

Pada tahun 1880, Hospital Taiping iaitu antara hospital tertua di Malaysia dibina dan dikenali sebagai Hospital Yeng Wah. Sejarah perkhidmatan kesihatan turut dicatatkan di Sarawak. Ia bermula ketika era Raja Brooke di mana hospital dibina khusus untuk merawat pegawai-pegawai berbangsa Eropah dan keluarga mereka.

Dalam pada itu, perkhidmatan kesihatan di Sabah ditubuhkan oleh North Borneo Chartered Company yang memerintah negeri itu dari tahun 1881 hingga 1942. Selepas Merdeka, sistem yang diwarisi daripada para kolonial ini diteruskan. Hari ini, perkhidmatan kesihatan Malaysia terbahagi kepada perkhidmatan universal yang dibiaya kerajaan; dan perkhidmatan swasta.

Senario Perkhidmatan Kesihatan Malaysia

Menurut laporan Fakta Kesihatan 2012, yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Julai 20122 ; bancian jumlah penduduk Malaysia kini hampir mencecah 29 juta rakyat, 2.3 juta pendatang asing dengan pertumbuhan populasi sekitar 1.3 % setiap tahun. Jumlah hospital yang telah dibina kerajaan dan mula beroperasi setakat 2012 hanyalah 138 buah hospital berbanding 220 buah hospital milik swasta.

Perkhidmatan yang melibatkan kerajaan terutamanya perkhidmatan primer, menyaksikan bahawa terdapat lebih 985 buah Klinik Kesihatan Kerajaan, 1864 buah Klinik Desa, 51 Klinik Pergigian dan semenjak diperkenalkan pada tahun 2009, kini terdapat lebih daripada 109 buah Klinik 1Malaysia. Namun jumlah ini masih tidak dapat mengatasi jumlah klinik swasta yang berada di pasaran sebanyak 6859 buah dan lebih 1576 buah klinik pergigian swasta.

Namun apabila kita melihat jumlah pesakit yang dirawat di dua institusi ini (kerajaan dan swasta) masing-masing terdapat ketidakseimbangan yang ketara serta membimbangkan. Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di insititusi kerajaan menyaksikan lebih 2.9 juta pesakit dimasukkan ke wad di seluruh negara atas pelbagai sebab.

Bagi rawatan pesakit luar pula  – lebih daripada 30 juta rakyat pernah atau sedang menerima rawatan di klinik-klinik kendalian kerajaan di seluruh negara. Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di institusi kesihatan swasta hanya mencecah lebih 3 juta pesakit untuk rawatan pesakit luar dan tidak sampai 1 juta pesakit dimasukkan ke wad di hospital swasta.

Perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan sepanjang tahun 2012 adalah lebih daripada RM16.8 bilion, mewakili 7% daripada pembahagian Belanjawan negara untuk tahun 2012. Walhal negara serantau seperti Thailand membelanjakan lebih 13% daripada dana kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan. Di negara seperti Jerman, 77% peratus daripada perbelanjaan kesihatan rakyat ditanggung oleh kerajaan dan kerajaannya membelanjakan hampir setinggi 19% daripada dana kerajaan untuk tujuan kesihatan.

Menurut WHO, pada 2008 – Malaysia kekal sebagai negara yang membelanjakan hanya sekitar 3 peratus ke 4 peratus daripada jumlah KDNK, berbanding 6 peratus di kebanyakan negara perindustrian dan lebih 14 peratus di negara seperti Amerika Syarikat. Negara seperti Amerika Syarikat terpaksa membelanjakan dana yang besar untuk kesihatan akibat kos perkhidmatan yang terlampau tinggi akibat kos pemilikan insurans yang tinggi dan tiadanya perkhidmatan kesihatan universal.

Selain itu, jumlah tenaga manusia, terutamanya doktor – Malaysia memiliki lebih daripada 36 ribu orang doktor (25 845 orang dalam perkhidmatan kerajaan, 10 762 orang bersama pihak swasta) dengan nisbah satu 1 : 791 orang rakyat.3 Nisbah bagi doktor seperti yang ditetapkan oleh WHO adalah 1 : 600 orang rakyat dan dengan jumlah pelajar dan graduan perubatan yang semakin meningkat, Malaysia dijangka akan mencapai nisbah yang ditetapkan itu menjelang tahun 2020. Nisbah doktor gigi pula adalah 1 : 6810 orang rakyat, dan manakala nisbah ahli farmasi pula menyaksikan 1 : 3385 orang rakyat. Jumlah jururawat di negara ini pula adalah lebih daripada 74 ribu orang baik di sektor awam atau swasta.

Namun hampir di dalam kesemua kategori ini mencatatkan lebih daripada 50% tenaga profesional ini berkhidmat di dalam sektor swasta – sektor yang merawat lebih sedikit pesakit berbanding sektor awam. Di kalangan anggota perkhidmatan kesihatan, antara faktor utama lebih ramai daripada mereka selesa di sektor swasta adalah kerana rumput di sebalik pagar sana sering tampak lebih hijau dan subur – perumpamaan menggambarkan tahap penghargaan (baca: gaji dan kemudahan) yang ditawarkan pihak swasta lebih lumayan berbanding perkhidmatan awam.

Tatkala kita merujuk kepada ketidakseimbangan ini (berasaskan data yang disebut tadi) – kuantiti kemudahan infrastrukutur (yakni hospital dan klinik) dan sumber manusia di dalam sektor swasta yang mengatasi jumlah kuantiti perkhidmatan yang disediakan kerajaan walhal sektor swasta hanya merawat jumlah pesakit yang jauh lebih sedikit berbanding institutsi kerajaan – persoalan yang timbul adalah mengapa ketidakseimbangan ini wujud? Kesimpulannya mereka yang berada di dalam sektor awam terpaksa memikul bebanan kerja yang terlampau banyak tetapi merupakan golongan yang paling kurang dihargai berbanding sektor swasta.

Antara rungutan umum yang sering kita dengar apabila berbicara soal perkhidmatan kesihatan – keluhan akan waktu menunggu yang lama (baik untuk konsultasi mahupun giliran untuk pembedahan) dan kesesakan hospital atau klinik kerajaan. Tidak cukup dengan itu, tahap kecepatan dan kompetensi doktor, jururawat dan juga paramedik acap kali dipertikaikan terutamanya apabila banyak skandal kecuaian amalan perubatan dihebahkan baik melalui media massa mahupun media sosial. Masalah kecuaian ini tidak hanya berlaku di institusi kerajaan, tetapi juga tidak sedikit bilangannya yang berlaku di institusi swasta.

Selain itu falsafah polisi perubatan yang dipegang oleh penggubal mahupun pentadbir perkhidmatan kesihatan negara ini yang terlampau memberi fokus kepada rawatan penyembuhan (tertiari) berbanding rawatan pencegahan (primer) terutamanya apabila melibatkan penyakit-penyakit kronik seperti diabetis mellitus, tekanan darah tinggi, hiperkolesterolemia dan penyakit kardiovaskular adalah satu dasar yang terkebelakang dan tidak sejajar dengan saranan WHO yang menggalakkan kerajaan untuk berbelanja lebih dalam usaha pencegahan penyakit (perkhidmatan primer).

Keluhan majoriti rakyat yang merasakan perbelanjaan di institusi swasta terlalu tinggi sering kita dengar dan tidak menghairankan apabila adanya seruan kepada kerajaan untuk mengawal harga perkhidmatan ini. Negara telah menyaksikan sejak awal 1980an, penswastaan perkhidmatan kesihatan mengalihkan fokus kerajaan daripada sistem berorientasikan kebajikan kepada satu sistem penswastaan yang mengutamakan keuntungan.

Peralihan ini terbukti apabila kerajaan juga terlibat dalam menyediakan pembiayaan dan insentif untuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk turut sama melabur di dalam penswastaan perkhidmatan kesihatan. Masalah ini timbul apabila penggubal dasar (kerajaan) tidak lagi melihat perkhidmatan kesihatan sebagai tanggungjawab sosial kerajaan tetapi sebagai medan untuk pelaburan dan mengaut keuntungan. Akibatnya pada tahun 2007, perbelanjaan kesihatan swasta mencatat lebih 55.6% daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di Malaysia, mengatasi jumlah perbelanjaan awam (rajah 1).

 rajah1

 

Rajah 1 : Perbelanjaan Kesihatan Awam (Public) dan Swasta (Private), Malaysia, 1977 – 2007.

Di manakah keutamaan kerajaan kita yang sepatutnya mengutamakan rakyat kerana perkhidmatan kesihatan adalah antara tanggungjawab utama sebuah kerajaan. Perkhidmatan awam juga mengalami masalah merosotnya daya penarik berserta kombinasi pengagihan sumber yang lemah dan pertumbuhan syarikat perkhidmatan kesihatan swasta yang banyak telah mengakibatkan perubahan arus yang pesat kepada penswastaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.4

Proses penswastaan telah berkembang tanpa pertumbuhan sejajar di dalam perkhidmatan kesihatan awam; bagi memastikan keperluan mereka yang kurang bernasib baik tidak diabaikan. Bayaran yang dikenakan hospital swasta sering kali melampaui batas sehingga mengakibatkan kebanyakan rakyat jatuh ke dalam kancah hutang terutamanya apabila berhadapan dengan penyakit serius yang memerlukan rawatan yang mahal dan kadang kala gagal untuk didapatkan daripada hospital awam atau kerana pakar di dalam perawatan terbabit telah meninggalkan sektor awam dan bekerja di institusi-institusi swasta yang lebih lumayan.5

Reformasi Sistem Perkhidmatan Kesihatan

Pakatan melalui Buku Jingga telah menggariskan beberapa panduan utama di dalam mereformasikan sistem perkhidmatan kesihatan Malaysia. Asas yang dipegang oleh Pakatan adalah setiap rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan selain capaian perkhidmatan yang lebih meluas dan bermutu.

Dalam reformasi ini, beberapa langkah utama harus diambil bermula dengan; mereformasikan institusi – melibatkan Kerajaan Pusat, Kementerian Kesihatan, Majlis Perubatan Malaysia, Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Kesihatan Negeri, termasuk institusi swasta. Reformasi ini termasuklah kepada menyusun semula asas kepada polisi kesihatan yang dibentuk, desentralisasi perkhidmatan, penekanan kepada pendidikan kesihatan, penstrukturan pembiayaan kos perkhidmatan, pengupayaan sistem farmasi, dan pemerkasaan skim ganjaran perkhidmatan awam dalam bidang kesihatan.

Reformasi ini harus bermula dengan kesedaran bahawa sistem perkhidmatan kesihatan yang kita ada sekarang masih pincang dan masih banyak lagi ruang yang perlu kita perbaiki dan pertingkatkan. Dalam kita terus membenarkan industri kesihatan swasta berkembang, khidmat kesihatan mestilah terus dianggap sebagai tanggungjawab sosial, agar setiap polisi yang ingin dilaksana mengambil kira fakta ini.6

Di peringkat kerajaan pusat, sebagai pengurus kepada dana dan khazanah negara, jumlah perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang disediakan daripada belanjawan negara mestilah ditingkatkan daripada hanya 7 peratus sekarang kepada 10 peratus.7 Meningkatnya peratusan belanjawan, haruslah difikirkan juga sumber bagi menampung pembiayaan ini.

Langkah utama adalah mengatasi faktor-faktor yang menyumbang kepada ketirisan wang negara (dilaporkan Global Financial Integrity sudah lebih RM 1 trillion) seperti rasuah, penyelewengan dan juga pembaziran perbelanjaan kerajaan. Terhentinya ketirisan ini, maka lebihan dana akan dapat dikumpulkan dan disalurkan pada belanjawan yang lebih bermakna seperti perkhidmatan kesihatan.

Cadangan kerajaan Barisan Nasional untuk mewujudkan 1Care adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab kerana di saat kerajaan masih lagi tidak membelanjakan dana yang sewajarnya untuk kesihatan, beban itu telah ingin dipindahkan kepada rakyat. Cadangan seperti pemotongan gaji sebanyak 10% dan mewajibkan setiap rakyat untuk memiliki 1Care, bukan saja dilihat bakal meningkatkan kos perkhdimatan kesihatan, tetapi juga mengurangkan lagi pendapatan rakyat.

Lebih malang, apabila lebih banyak pesakit dilihat akan dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan dan skim ini menjadi tiket untuk mewujudkan monopoli di dalam bidang perubatan yang akhirnya menjadi modal untuk para kapitalis mengaut untung atas sesuatu yang sepatutnya menjadi tanggungjawab sosial sesebuah kerajaan.
Oleh itu formulanya adalah kerajaan perlu menambahkan jumlah perbelanjaan untuk kesihatan dan juga mempelbagaikan sumber kewangan untuk membiayai perkhidmatan kesihatan, yang mana langkah–langkah ini adalah selaras dengan saranan WHO.

Sumber utama perbelanjaan negara antaranya adalah kutipan cukai dan juga royalti khazanah asli negara. Selain cukai dan kutipan royalti, inisiatif untuk mengalakkan rakyat menyimpan untuk kesihatan juga harus diwujudkan. Peranan institusi simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) harus diperhalusi, sebagai contoh, klausa sekarang yang membenarkan wang simpanan KWSP dikeluarkan untuk merawat penyakit serius perlu diperluaskan untuk perkhidmatan kesihatan yang lain termasuk pembiayaan untuk ahli keluarga dan tanggungan. Selain itu, potongan cukai mesti diberikan kepada individu yang memiliki insurans kesihatan dan hayat, termasuk juga pembiayaan insurans terhadap tanggungan dan ahli keluarga mereka. Inisiatif-inisiatif ini dilihat bakal menambahkan lagi jumlah dana terkumpul dalam pembiayaan perkhidmatan kesihatan.

Dengan peningkatan dana ini, fokus utama haruslah diberi kepada membina lebih banyak kemudahan infrastruktur (membina hospital dan klinik kesihatan) dan juga mempertingkatkan tahap capaian perkhidmatan. Nisbah satu klinik kesihatan kerajaan kepada 10,001 rakyat harus dilihat mengikut kepada pecahan negeri memandangkan negeri yang berkepadatan penduduk tinggi masih lagi mencatat nisbah setinggi 1:16,436 seperti di Pulau Pinang, 1:28,598 di Selangor dan 1:55,821 di Kuala Lumpur.8

Nisbah ini dapat dikurangkan dengan membina lebih banyak klinik kesihatan (bukan Klinik 1Malaysia yang tidak dilengkapi doktor dan hanya dibekal dengan ubatan dan peralatan yang minima). Banyak klinik-klinik desa juga harus dinaik taraf bagi membolehkan kawasan yang diliputi perkhidmatan kesihatan ditingkatkan.

Selain itu jumlah hospital kerajaan juga harus diperbanyakkan di setiap negeri, agar sejajar dengan jumlah hospital swasta yang ada dan juga meluaskan lagi tahap capaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat. Tidak wajar jika kita masih meneruskan polisi satu daerah satu hospital, hakikatnya wujud kewajaran untuk melihat keperluan hospital berdasarkan kepada jumlah kepadatan penduduk. Lebih-lebih lagi di negeri seperti Selangor dan Kuala Lumpur, yang mana Selangor hanya memiliki 11 hospital kerajaan berbanding 65 hospital swasta dan di Kuala Lumpur terdapat lebih 45 buah hospital swasta berbanding dua sahaja hospital kerajaan.

Antara contoh daerah seperti Petaling (jumlah penduduk adalah mencecah 1.2 juta orang meliputi kawasan seperti Damansara, Bandar Petaling Jaya) masih hanya memiliki satu hospital awam – itupun Pusat Perubatan Universtiti Malaya, dan di ibu negeri seperti Shah Alam, hospital yang diharapkan – masih lagi di dalam pembinaan setelah beberapa kali tergendala akibat kelemahan pengurusan dan kecuaian memilih kontraktor. Akhirnya, hak rakyat di bandar-bandar besar seperti ini dinafikan daripada mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Tidak cukup dengan pembinaan infrastruktur semata-mata, harapan kita dengan meningkatnya jumlah perbelanjaan kerajaan untuk kesihatan, ianya juga dapat menyumbang kepada pembelian lebih banyak alatan dan teknologi perubatan yang sangat diperlukan sebagai contoh peralatan radiologi, radioterapi, dan juga pembedahan di seluruh negara.

Dengan pertambahan belanjawan untuk perkhidmatan kesihatan, salah satu cara untuk mengatasi ketidakseimbangan sumber manusia di dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta, skim gaji dan ganjaran untuk individu seperti pakar perubatan, doktor, ahli farmasi, jururawat, dan paramedik di dalam perkhidmatan awam perlu dikaji semula dan ditingkatkan. Penstrukturan ini perlu sebagai galakan untuk mereka terus berkhidmat dengan kerajaan dan juga meningkatkan prestasi kerja mereka.

Bagi menambah keberkesanan langkah ini, skim ganjaran berpandukan prestasi kerja mestilah diperkenalkan. Skim ini harus melihat kepada perlunya penstrukturan semula proses kenaikan pangkat di kalangan kakitangan awam dengan penekanan kepada proses kenaikan pangkat berasaskan prestasi kerja, bukan lagi kekananan (seniority) semata-mata.

Langkah ini bukan saja menjadikan sektor awam itu lebih kompetitif, tetapi juga melahirkan individu yang lebih proaktif dan progresif dalam mereformasikan sistem perkhidmatan kesihatan negara kita. Sasaran prestasi kerja yang dicapai; sebagai contoh mengurangkan jumlah penghisap rokok di kalangan pesakit mereka atau memastikan kawalan tekanan darah pesakit berada di tahap yang optimum; mestilah diberikan ganjaran.

Sistem ganjaran ini juga akan turut sama menjadi pendorong kepada wujudnya sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan berkesan serta menghadiahkan penghargaan yang setimpal kepada kakitangan awam yang bertungkus–lumus menjayakan tugasan mereka.

Mentadbir urus satu–satu sektor seperti perkhidmatan kesihatan bukanlah satu tugas mudah, lebih–lebih lagi di sebuah negara yang mempunyai ciri geografi yang luas dan terpisah–pisah seperti Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia, sebagai teraju induk dengan dibantu jabatan kesihatan negeri, harus melihat kepada usaha desentralisasi – bukan hanya autonomi yang lebih untuk jabatan kesihatan negeri, tetapi juga melibatkan kerajaan negeri dengan lebih aktif; sebagai contoh menyediakan kemudahan infrastruktur seperti hospital dan klinik kesihatan kerana dengan cara ini, capaian perkhidmatan akan lebih meluas dan berkesan.

Kerjasama ini juga akan membolehkan tanggungjawab penyediaan dana dikongsi bersama di antara kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri. Tambahan kepada itu, setiap hospital perlu diberikan autonomi untuk memilih tenaga kerja mereka sendiri. Proses penempatan dan amalan pelantikan jawatan secara automatik selepas tamat pengajian wajar dikaji semula terutama untuk jawatan doktor.

Dengan cara ini, mereka yang tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik, boleh dipertanggungjawabkan dan malah dihentikan kerja. Cara ini bukan hanya bakal mewujudkan persaingan tetapi juga membolehkan dana yang dibelanjakan diurus dengan lebih baik dan penjimatan sumber dapat dilaksanakan. Desentralisasi perkhidmatan ini juga sewajarnya melibatkan pengupayaan pusat–pusat farmasi seluruh negara, baik swasta mahupun kerajaan.

Ini bermakna, farmasi-farmasi hospital tidak harus menjadi satunya–satunya tempat bagi mendapatkan bekalan ubatan. Khidmat farmasi seluruh negara harus dipertingkatkan dengan membolehkan pesakit mendapatkan bekalan ubatan mereka, terutamanya penghidap penyakit kronik seperti diabetis mellitus, tekanan darah tinggi dan yang lain–lain. Apabila perkhidmatan farmasi diperkasakan, tahap pematuhan pesakit terhadap ubatan mereka akan menjadi lebih baik dan mencapai tahap kawalan penyakit yang optimal.

Penyebab kematian di Malaysia paling utama bagi tahun 2012 adalah penyakit berkaitan kardiovaskular yang mencatatkan lebih daripada 25 peratus jumlah kematian yang dicatatkan, diikuti penyakit berkaitan respiratori (18.46 peratus), jangkitan kuman atau parasit (17.81 peratus) dan seterusnya penyakit barah (11.87 peratus).9  Empat penyebab utama ini berkongsi ciri yang sama iaitu sebahagian besar spektrumnya mampu dicegah atau dikenal pasti awal untuk tujuan rawatan.

Oleh itu, aspek yang penting apabila melibatkan pengurusan dana kesihatan, fokus terhadap rawatan primer harus dipertingkatkan. Rawatan primer melibatkan pencegahan, pengesanan awal dan juga pendidikan kesihatan komuniti. Maka dalam menstruktur semula perkhidmatan kesihatan primer, kerajaan dan Majlis Perubatan Malaysia harus memandang jauh ke depan dengan mempertimbangkan agar wujudnya kerjasama bersepadu antara klinik kesihatan awam dan lebih 6000 klinik swasta seluruh negara.

Penstrukturan ini termasuk, memberikan latihan atau input perawatan kepada ramai doktor swasta yang mengendalikan klinik–klinik swasta di seluruh negara. Perlu wujudnya satu garis panduan yang seragam dalam memastikan kualiti perkhidmatan primer baik di klinik kerajaan mahupun swasta. Maka dengan cara ini, beban untuk mendidik, merawat dan membantu pesakit mencapai tahap kawalan penyakit kronik yang optimum dapat dikongsi bersama.

Oleh itu, sebagai ganjaran, pihak kerajaan dan swasta yang terlibat dengan usaha ini, haruslah diberikan penghargaan sewajarnya berdasarkan kepada sasaran kawalan penyakit yang telah ditetapkan untuk mereka bagi satu–satu kawasan. Ini bakal menjadi galakan kepada individu yang terbabit untuk memastikan pesakit di bawah jagaan mereka diberikan rawatan yang berkualiti dan tepat.

Pepatah Melayu sering menyebut; melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Atas semangat ini, pendidikan dari zaman kanak – kanak menjadi langkah penting dalam kita mewujudkan bangsa yang sihat dan cergas di masa hadapan. Pencegahan penyakit tidak akan berlaku tanpa pendidikan. Oleh sebab itu, adalah penting pendidikan kesihatan didedahkan dari awal dan diberi penekanan yang serius.

Pendidikan kesihatan yang serius ini harus diajar di sekolah; baik di sekolah rendah mahupun menengah, dengan syarat guru–guru yang terlatih turut sama disediakan – usaha ini bagi melahirkan individu yang mandiri dan mampu menjaga kesihatan badannya sendiri.

Komuniti mestilah terdidik dengan ilmu yang lengkap sehingga kepada tahap mereka sendiri mampu merawat beberapa penyakit yang tidak serius dengan sendirinya dan diajar akan kepentingan mencegah penyakit kronik dan juga mengenal pasti tanda-tanda amaran kecemasan apabila berhadapan dengan sesuatu penyakit atau situasi. Program-program seperti penjagaan kesbersihan diri, amalan pemakanan yang sihat dan latihan-latihan keselamatan dan kesihatan adalah sangat berguna untuk kanak-kanak dan remaja dalam menyediakan mereka untuk menjadi warga dewasa yang mandiri.

Proses pendidikan ini pastinya memakan masa yang panjang tetapi hasilnya nanti adalah satu generasi yang lestari dan mengamalkan gaya hidup sihat. Tidak cukup jika sistem pendidikan kita hanya mampu melahirkan ‘robot-robot’ yang pandai mengira dan mengukur semata-mata, mereka perlulah lahir sebagai warga yang sihat dan celik tentang tubuh dan kesihatan diri mereka agar akhirnya mereka membentuk satu komuniti yang madani dan sihat. Masyarakat yang sihat adalah masyarakat yang produktif, dan masyarakat yang produktif adalah masyarakat yang bakal menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat untuk negara.

Reformasi ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa penglibatan sektor swasta secara serius. Stigma yang wujud di kalangan masyarakat – tahap perkhidmatan kesihatan kerajaan adalah lebih rendah (inferior) berbanding swasta adalah tidak tepat. Hakikatnya kecuaian amalan perubatan (medical negligence) berlaku bukan hanya di hospital kerajaan tetapi juga di hospital swasta. Beza dengan perkhidmatan kerajaan, kadangkala penguatkuasaan dan pengawalan terhadap perkhidmatan sektor swasta masih longgar.

Kerajaan perlu untuk menguatkuasakan undang–undang yang lebih ketat terutamanya apabila melibatkan hak pesakit. Individu di dalam sektor perkhidmatan kesihatan swasta juga perlulah mematuhi peraturan dan piawaian yang lebih ketat dan dipertanggungjawabkan terutama apabila berlaku kecuaian. Langkah ini bukanlah untk menghukum mana-mana individu, tetapi dengan harapan untuk menjaga kebajikan dan hak pesakit selain mengekalkan etika pengamalan perubatan yang baik. Usaha ini akan mampu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan dan sekaligus membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan terjamin.

Langkah–langkah reformasi yang disebut ini akan hanya berlaku bilamana pemerintah mempunyai keinginan politik yang tinggi untuk melakukan perubahan. Perubahan tidak akan berlaku dengan hanya retorika atau laungan slogan–slogan kosong semata–mata. Perubahan akan hanya berlaku apabila pimpinan mempunyai keyakinan dan tekad yang tinggi untuk melaksanakan dan memperkenalkan kebijakan–kebijakan baru kepada rakyat untuk dipertimbang dan dilaksanakan.

Untuk negara ini maju ke hadapan, reformasi perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah kunci penting kepada membentuk masyarakat yang madani dan juga merealisasikan harapan rakyat untuk mewujudkan negara Malaysia yang maju dan peduli akan kebajikan rakyatnya.

Dr. Afif Bahardin, merupakan seorang doktor perubatan di dalam cabang Otorinolaringologi, Pembedahan Kepala dan Leher. Beliau bergerak aktif bersama Akademi Pak Sako dan Skuad PRIHATIN Seberang Jaya. Kini beliau memegang jawatan sebagai Naib Ketua AMK Pulau Pinang.

 

 

Nota Hujung

[1]^ (ke atas) World Health Organization. http://www.who.int

[2]^ Fakta Kesihatan 2012; Kementerian Kesihatan, Malaysia

[3]^ Rajah Rasiah, Nik Rosnah Wan Abdullah, Makmor Tumin : Markets and Healthcare Services in Malaysia. International Journal of Institutions and Economies, Vol. 3, No. 3, October 2011, pp. 467-486

[4]^ Heaney, H. (1995) Life before Medicare: Canadian Experiences, Toronto: Ontario.

[5]^Jeyakumar, M.D. (2009) Malaysia at the Crossroads: A Socialist Perspective, Ipoh

[6]^  Rajah Rasiah, Nik Rosnah Wan Abdullah, Makmor Tumin : ibid

[7]^Jomo, K.S. and Chowdhury, A. (2009) “Reconsidering Public-Private Partnerships in Developing Countries”, International Journal of Institutions and Economies, 1(2): 191-205
Petunjuk Kesihatan 2010, Kementerian Kesihatan, Malaysia

[8]^ibid

[9]^ Fakta Kesihatan 2012; ibid


Tags: , , , , , , , ,
 

 

Tinggalkan Komen