tentera_lahaddatu
Tentera kita berdoa sebelum bertugas di Lahad Datu © Bernama

Jarang isu di Sabah menjadi perbualan ramai. Tidak mustahil nama kawasan seperti Lahad Datu baru kali pertama didengari oleh sebahagian rakyat Malaysia. Jika ada yang pernah mendengarnya belum tentu tahu di mana terletaknya.

Tiba-tiba negara dikejutkan dengan peristiwa pencerobohan di sana. Begitulah lazimnya isu-isu sosial bergerak. Cepat dan kadangkala di luar jangka. Sebenarnya saya mula mendengar berita tentangnya beberapa hari lebih awal melalui status Facebook rakan-rakan yang berada, atau berasal dari Sabah. Daripada perbualan masyarakat setempat, ia kini menjadi isu nasional.

Dalam ledakan maklumat yang pantas dan pelbagai, banyak sisi pandangan dikemukakan oleh orang ramai. Kita berpeluang melihat sisi sejarah, politik, ketenteraan, ekonomi dan sebagainya. Bahkan mereka yang tidak pernah berminat dengan persoalan-persoalan tersebut juga turut sama mengikuti perkembangan dengan pelbagai maklumat tersebut. Dalam satu teori pendidikan, ini disebut sebagai ‘teachable moment’ iaitu peluang terbaik untuk mengajarkan sesuatu perkara dengan mudah.

Maka tiba-tiba kita mempunyai ramai ‘pakar’ memberikan pandangan tentang isu yang berlaku. Ia menyesakkan bagi sesetengah pihak, namun saya mungkin termasuk dalam kalangan minoriti yang percaya bahawa kebebasan bersuara dan maklumat mesti dibenarkan meskipun dalam isu begini.

Memang, adakalanya maklumat dan pandangan yang ada itu bercanggah. Untuk saya ia tidak lebih daripada sejumlah kemungkinan yang ada untuk menjelaskan peristiwa. Ia adalah hal biasa dalam persoalan sains sosial. Setiap peristiwa boleh dilihat dari pelbagai sudut. Memaksakan hanya sudut pandangan tertentu tidak sewajarnya berlaku.

Dalam pelbagai pandangan yang ada ini, kematangan untuk menyaring dan mengambil sikap adalah dituntut. Meskipun ada perkara remeh dibangkitkan, kita tidak boleh membuat generalisasi bahawa semuanya begitu. Saya yakin dengan kekuatan fakta, hujah, data dan analisa, perkara remah yang cuba dibangkitkan akan tenggelam dengan sendirinya.


Kedaulatan dan keselamatan

Sudah tentu, dalam mana-mana kes melibatkan pencerobohan pihak luar, kedaulatan negara mesti dipertahankan. Tugas utama ini mesti digalas oleh pasukan keselamatan dan pertahanan negara. Ia mesti dibuat berasaskan maklumat yang tepat agar keputusan tegas dan jelas dapat diambil segera. Ini tentulah sangat penting kerana ia melibatkan isu keselamatan yang luas.

Saya masih ingat beberapa hari sebelum tercetusnya ‘ketakutan awam’ di sekitar Lahad Datu, rakan dari Sabah ada merujuk kepada hal ini dalam beberapa status di laman Facebooknya. Sejak itu lagi saya sudah mula memikirkan apakah yang sedang dan bakal berlaku. Namun berdasarkan kenyataan di laman Twitter Menteri Dalam Negeri, saya fikir situasi yang ada tidaklah serius. Saya yakin seorang Menteri Dalam Negeri sudah pasti mempunyai maklumat atau kemudahan berhubung dengan pihak yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat sebelum membuat sebarang kenyataan untuk perkara serius seperti ini.

Kini kita tahu sejumlah nyawa telah terkorban, baik di pihak keselamatan Malaysia atau kumpulan penceroboh tersebut. Hal ini tentulah sangat menyedihkan. Di mana-mana isu ini menjadi perhatian dan perbualan ramai. Tidak banyak maklumat boleh didapati kerana wartawan tidak dibenarkan membuat liputan berdekatan dengan kawasan yang kini dikawal ketat oleh pasukan keselamatan. Sumber berita yang terhad sedikit sebanyak mendorong banyak persoalan timbul.

Di samping itu naluri patriotisme orang ramai membesar. Sikap kritikal dalam memecah kebuntuan maklumat yang terbatas semakin tidak dialukan.

Politik

Sekonyong-konyong beberapa pemimpin negara mengingatkan agar peristiwa Lahad Datu jangan dipolitikkan. Saya terkejut. Jika benar dakwaan bahawa keturunan Sulu mahu mendapatkan semula Sabah, maka ia adalah isu politik! Menceroboh kedaulatan wilayah negara asing adalah isu politik!

Mungkin kenyataan pemimpin negara merujuk kepada laporan KeadilanDaily yang menggambarkan kenyataan ahli Parlimen Batu berkata ia adalah usaha terancang UMNO. Dalam kenyataannya, ahli Parlimen Batu menjelaskan usaha terancang yang dimaksudkan adalah perkembangan yang tidak dilaporkan oleh media (selama beberapa hari selepas peristiwa pencerobohan diperkatakan). Kes ini telah dibawa ke mahkamah dan ahli Parlimen Batu telah menyatakan kesediaannya memberikan keterangan.

Ketika ramai berasa mual dengan komentar bersifat politik, saya menegaskan penting untuk orang ramai membezakan politik kepartian dan politik kenegaraan.

Dalam hal ini saya berpendapat sejumlah media massa menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila memuatkan berita bersifat politik kepartian ketika laporan perkembangan peristiwa sukar didapatkan oleh orang ramai. Apabila garis komunikasi yang demikian diambil oleh media terbabit, apakah wajar untuk kita menyangka tidak ada jawapan balas yang bersifat sama?

Akhirnya banyak gambar hubungan tokoh politik Malaysia dengan pemimpin di wilayah Sulu dimuat naik di laman Facebook. Ini mencetuskan lebih banyak tanda tanya. Orang ramai pula menganggap polemik kepartian sangat tidak wajar kerana sejumlah nyawa anggota keselamatan telah terkorban.

Patriotisme

Peristiwa ini kini telah menjadi satu kesedaran kolektif. Patriotisme adalah sebahagian daripada soal politik. Namun politik yang dimaksudkan adalah politik kenegaraan, bukan kepartian semata-mata. Politik kenegaraan menuntut persoalan dasar dibincangkan, lebih lagi yang telah dipilih oleh orang ramai untuk mewakili suara mereka di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Justeru adalah wajar untuk satu sidang khas dipanggil untuk membincangkan perkara ini bersama. Ia adalah sesuai dengan peranan ahli parlimen, malah boleh dinilai sebagai satu cara menzahirkan nilai patriotisme berbanding membuat tuduhan rambang.

Pertanyaan orang ramai berkenaan piawaian prosedur yang diambil dalam menangani isu ini juga adalah satu bentuk penzahiran nilai patriotisme. Meskipun ada persoalan yang boleh dikategorikan tidak penting, bukan semua persoalan yang ditimbulkan tidak munasabah. Pertanyaan yang terkait soal dasar seperti bagaimanakah penceroboh boleh masuk melepasi sejumlah kawalan adalah dekat dengan persoalan dasar keselamatan negara.

Selain tentera udara, tentera laut, polis marin, negara kita mempunyai jabatan laut dan jabatan perikanan yang tentunya mampu memberikan maklumat awal tentang pergerakan di laut. Di darat pula, kita mempunyai pasukan tentera, polis, polis hutan, imigresen, kastam, pasukan gerak am, cawangan khas malah dalam hal tertentu pasukan RELA juga boleh berperanan.

Apakah bilangan anggota keselamatan dan pertahanan negara di negeri Sabah tidak cukup sehingga tujuh battalion tentera diperlukan untuk menangani situasi yang ada?

Pertanyaan ini tentulah penting berdasarkan apa yang telah berlaku setakat ini. Ia ternyata berbeza dengan apa yang digambarkan lebih awal oleh Menteri Dalam Negeri di Twitternya.

Untuk saya, apabila persoalan ini ditanyakan, ia tidak bermaksud meremehkan pasukan keselamatan yang ada tetapi adalah satu bentuk keyakinan tinggi terhadap kemahiran mereka. Tambahan pula orang ramai pernah dimaklumkan kapal selam Scorpene yang dibeli dengan harga melebihi pasaran itu mampu melindungi kedaulatan perairan negara?

Adalah tidak wajar orang ramai dipersalahkan jika mereka bertanya atau menyoal kenyataan serta tindakan yang dibuat oleh mana-mana pihak. Jika orang ramai tidak memahami dasar kerajaan maka apa yang perlu dibuat ialah memberikan penjelasan. Saya yakin tidak semua pemandu di Malaysia menghafal peraturan jalan raya. Jika peraturan yang dekat dengan kehidupan seharian mereka tidak diketahui, tentulah perkara yang jarang berlaku seperti ini lebih tidak diketahui.

Konspirasi?

Antara persoalan yang timbul di kalangan orang ramai ialah kemungkinan peristiwa ini adalah satu  konspirasi kerana pilihan raya umum ke-13 dijadualkan akan berlaku tidak lama lagi. Sekali lagi isu ini tidak terlepas daripada persoalan politik. Bagaimanapun, apakah persoalan ini remeh dan tidak layak dibincangkan? Saya memilih sikap terpulang kepada orang ramai.

Sudah tentu teori ini tidak memadai jika ia hanya dibuat berdasarkan pertimbangan filem Wag the Dog atau membaca buku-buku fiksyen. Namun, tidak sedikit catatan sejarah boleh dirujuk. Malah sejumlah teknik propaganda yang mahsyur dalam bidang komunikasi ‘diakademikkan’ berdasarkan pengalaman tersebut. Strategi mewujudkan ketegangan bukanlah asing dalam teknik propaganda.

Lyndon Johnson, Presiden Amerika Syarikat pernah mengharamkan sebuah buku bertajuk The Report from the Iron Mountain oleh Kumpulan Penyelidik Khas yang tidak mahu dikenali. Laporan bestseller New York Times ini memperincikan analisa panel kerajaan yang menyimpulkan bahawa perang, atau hal seumpamanya yang boleh dipercayai orang ramai adalah perlu jika kerajaan mahu mengekalkan kuasa.

Dalam usaha untuk menutup pendedahan tersebut, buku ini dituduh sebagai khabar angin. Namun beberapa pihak, misalnya John Kenneth Galbraith, seorang lagi tokoh ekonomi mengesahkan kesahihan buku tersebut dengan kenyataan beliau adalah salah seorang yang pernah dilibatkan dalam penyediaan laporan tersebut.

Contoh terdekat yang boleh diambil ialah serangan terhadap WTC pada 11 September. Serangan ini telah mengorbankan sekitar 3,000 nyawa. Ia kemudiannya dijadikan alasan untuk menggubal Akta Patriot yang membolehkan tahanan tanpa bicara dibuat. Ia berhasil mengendurkan pendirian umum rakyat Amerika yang percaya bahawa kebebasan adalah prinsip penting dan tahanan tanpa bicara adalah satu perkara yang tidak mungkin berlaku di Amerika sebelum itu.

Bantahan ada tetapi tidak sekuat sebagaimana yang lazimnya berlaku jika ia digubal ketika ‘aman’. Jelas, Friedrich Hayek, penerima anugerah Nobel Ekonomi tepat dalam merumuskan peringatannya beberapa dekad lalu: ““Emergencies” have always been the pretext on which the safeguards of individual liberty have eroded.”

Ironinya, ketika WTC dipercayai ramai (terutama di dunia Islam) sebagai satu konspirasi, persoalan nyawa tidak menjadi perhitungan semasa dakwaan itu dibuat. Anehnya, Tun Dr. Mahathir yang turut percaya bahawa WTC adalah satu konspirasi menunjukkan rasa teruja kerana tahanan tanpa bicara di Amerika kini dapat menjustifikasikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tidak cukup dengan Akta Patriot, Amerika turut memulakan kempen ketenteraan di Iraq. Sekali lagi, sentimen pro kebebasan dan keamanan dikendurkan oleh sentimen patriotisme yang didorong oleh apa yang dipercayai ramai sebagai konspirasi. Bagaimanapun tetap ada ramai rakyat Amerika yang tidak setuju dengan tindakan itu. Bukan sahaja serangan di Iraq itu memberi kesan buruk kepada ekonomi, mereka juga tidak mahu nyawa tentera dipertaruhkan untuk perang yang lebih bersifat politik berbanding patriotik.

Memang, sejarah juga menunjukkan teori konspirasi tidak mudah dibuktikan segera. Ia memerlukan waktu yang lama untuk dibuktikan kerana akses kepada maklumat cukup terbatas, malah mungkin dilupuskan.

Bukan persoalan hitam atau putih

Sudah tentu konspirasi adalah pilihan terakhir terakhir mahu dipercayai oleh orang ramai, justeru ia mudah dijalankan. Ini pernah dikemukakan oleh Hermaan Goering, Presiden Reichstag (Parlimen Jerman), anggota parti Nazi yang juga Ketua Komander Luftwaffe. Menurutnya: “Naturally, the common people don’t want war. Voice or no voice, the people can always be brought to the bidding of the leaders. All you have to do is tell them they are being attacked and denounce the pacifists for lack of patriotism.”

Sikap baik orang ramai juga sukar untuk percaya bahawa kejijikan politik boleh ke tahap itu. Namun awas, sekiranya garis komunikasi media tidak dibetulkan, keyakinan orang ramai terhadap dakwaan konspirasi boleh berkembang dan diterima ramai. Dengan penyertaan sejumlah Jeneral termasuk bekas Laksamana dan Ketua Panglima Tentera ke dalam parti yang ditempelkan imej buruk oleh media sedikit sebanyak akan mengukuhkan lagi dakwaan adanya unsur politik dalam kes ini.

Persoalan ini tidak mudah. Ia masih rumit kerana tidak banyak maklumat dapat diketahui. Kita masih tidak tahu kenapa tindakan lewat diambil. Jika benar adanya rundingan di peringkat awal, siapakah yang mewakili kedua-dua pihak? Apakah perkara yang dirundingkan? Mengapa ia buntu?

Selain itu, apakah benar dakwaan mereka dijanjikan tanah dan mahu berjumpa pemimpin tertentu? Bagaimana pula senjata api dibawa masuk? Benarkah sebahagian mereka adalah rakyat Malaysia yang menerima kad pengenalan mudah sebelum ini?

Sekali lagi, banyak persoalan yang timbul sebenarnya dapat membantu kita memetakan peristiwa ini dengan pandangan yang lebih jelas. Tidak timbul soal tidak patriotik dengan bertanya. Kecuali dalam beberapa kes, umumnya rakyat Malaysia memandang tinggi pasukan keselamatan dan pertahanan negara.

Sesungguhnya rakyat Malaysia percaya pasukan keselamatan dan pertahanan kita cukup kuat dan tidak selemah seperti yang digambarkan melalui keupayaan penceroboh meloloskan diri dan apa juga persoalan yang ditimbulkan boleh menjadi penting dan lebih tinggi nilai patriotismenya jika ia sebenarnya dapat memastikan pasukan keselamatan dan pertahanan negara tidak diperkotak-katik oleh mereka yang berkepentingan politik.

Doa kita untuk kedaulatan, keselamatan dan maruah setiap individu dan negara ini. Semoga anggota keselamatan dan pertahanan kita yang terkorban dirahmati.

 

 

Amin Ahmad, 31 ialah peneliti perkembangan sosio-politik ekonomi di Malaysia.

 

 

 

Amerika Syarikat Filipina Friedrich Hayek Hermaan Goering Jerman John Kenneth Galbraith Lahad Datu Lyndon Johnson Mahathir Mohamad politik Sabah

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan