senatrome

I

Walau penghuraian bentuk-bentuk demokrasi adalah pelbagai, tetapi ianya memberi konotasi yang tetap iaitu ‘pemerintahan rakyat’. Entah berapa ribu penulisan pula telah dihasilkan oleh filasuf, teoritikus politik dan para pemikir yang telah dikaryakan demi mentafsir tentang maksud demokrasi. Ramai pula sosok dan tokoh pejuang demokrasi telah lahir dan dibentuk, ada yang dijulang dan ada pula yang tidak didendang.

Pada zaman sekarang ini, tatkala kita mempertimbangkan bentuk-bentuk demokrasi yang deliberatif dan partisipatif, seharusnya juga kita tidak dapat lari dari persoalan tentang ‘demokrasi terus’ atau ‘demokrasi langsung’ (direct democracy) dengan demokrasi perwakilan (representative democracy). Demokrasi perwakilan dan demokrasi terus masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan, masing-masing punya sisi gelap dan sisi terang.

 

II

Rata-rata negara yang menjunjung demokrasi di dunia ketika ini merepresentasikan pemerintahan rakyat tersebut secara perwakilan, mungkin mengambil contoh daripada Amerika Syarikat dan Britain. Malaysia tidak terkecuali dalam perihal ini, dengan menggunakan sistem demokrasi perwakilan ala Westminster (Britain).

Oleh kerana saiz wilayah yang besar dan jumlah penduduk yang ramai di dalam sesebuah negara bangsa, kerajaan demokrasi mesti secara perwakilan. Perwakilan menjadi amat diperlukan apabila rakyat menjadi terlalu banyak dan terlalu berselerak untuk berhimpun, atau untuk melibatkan diri secara langsung dan berterusan dalam hal ehwal negara. Perihal tersebut diutarakan di dalam The Federalist (atau dikenali juga sebagai Federalist Papers), yakni kumpulan 85 esei yang menghuraikan gagasan, rujukan dalam pentafsiran dan ratifikasi Perlembagaan Amerika Syarikat.

Golongan Federalis yang dipimpin oleh American Founding Fathers turut mengkritik demokrasi terus kerana ia melahirkan keganasan puak apabila ada puak yang akan menggunakan kuasa majoriti bagi menindas golongan minoriti. Mereka percaya bahawa sikap berpuak-puak sememangnya tertanam di dalam diri manusia secara semula jadi dan ia perlu dikawal. Oleh itu mereka memperkenalkan prinsip demokrasi perwakilan sebagai penawar bagi mengawal kesan terhadap sifat berpuak-puak manusia.

Golongan Federalis yang menganggap demokrasi terus yang dikenali juga sebagai demokrasi tulen yang berasal dari negara kota Yunani ini mungkin masih sesuai untuk diamalkan bagi kerajaan tempatan atau majlis perbandaran. Tetapi bagi operasi kerajaan yang lebih besar seperti mentadbir urusan sesebuah negara, golongan Federalis menganggap institusi republik Rom kuno lebih elok untuk dijadikan contoh.

Demokrasi perwakilan ala Amerika Syarikat ini seperti yang dinyatakan oleh Anthony Everitt bahawa – ianya bukan monarki, oligarki mahupun demokrasi, tetapi kombinasi daripada ketiga-tiganya. Ianya kelihatan lebih republik daripada kelihatan sebagai demokrasi. Mereka mencari kombinasi terbaik untuk ‘public matter’ atau ‘perihal awam atau rakyat’ yakni makna dari istilah republik itu sendiri.

Dari satu sisi lagi, demokrasi perwakilan menggabungkan prinsip pemerintahan rakyat dengan prinsip kerajaan aristokratik, yakni rakyat memilih sebilangan orang yang terbaik bagi mewakili mereka di dalam urusan pemerintahan. Tetapi demokrasi perwakilan cenderung dinamakan sebagai demokrasi dan bukannya republik kerana ia memberi hak pengundian sejagat kepada seluruh rakyat yang layak untuk memilih wakil mereka dalam pemerintahan. Perihal republik, demokrasi dan perwakilan inilah yang membezakan ideologi teras di antara golongan Democrat dan golongan Republican di Amerika Syarikat.

 

III

Dari satu sisi lain pula, demokrasi perwakilan juga punya banyak kelemahan. Gabungan prinsip aristokrasi dan demokrasi juga adakala tampak hambar kerana berdasarkan sejarah, jelas terbukti bahawa yang terpilih untuk menjadi wakil bukan sahaja dari kalangan manusia yang terbaik, tetapi manusia yang memiliki pengaruh dan punya banyak wang.

Ada golongan yang menggunakan wang untuk mendapatkan sokongan rakyat untuk memilih mereka sebagai wakil. Perkara ini juga semakin merebak kepada pemilihan parti-parti politik. Rasuah dan politik wang ini tentunya tidak boleh dikompromi.

Skala demokrasi terus yang melibatkan sebegitu ramai orang atau rakyat sukar untuk memungkinkan berlakunya politik wang atau pembelian undi. Pada situasi ini para pemimpin juga mesti memenangi hati rakyat melalui kebolehan kerja serta memimpin, keilmuan dalam sesuatu bidang dan ucapan pidato hebat yang dapat meyakinkan rakyat.

Dalam suasana ini, pasti kita terfikir kembali bahawa demokrasi terus adalah baik bagi mengawal kesan dan penyebaran politik wang. Namun begitu apakah keupayaan kita untuk mengumpulkan sejumlah rakyat yang layak bagi berhimpun? Sistem E-Democracy atau Electronic Direct Democracy menjanjikan harapan bagi demokrasi terus untuk terlaksana semula. Saiz rakyat yang besar dan berselerakan kini dapat kembali disatukan melalui teknologi. Seluruh rakyat boleh berbincang, menolak dan meluluskan sesuatu usul oleh kerajaan. Kiraan undi juga pasti lebih memudahkan.

Namun begitu, apakah demokrasi terus adalah jawapan mutlak bagi semua permasalahan ini? Walaupun dunia kini telah dimudahkan dengan segala teknologi, apakah semua rakyat mampu untuk setiap masa untuk terlibat aktif dalam dunia politik dalam skala waktu yang panjang? Sukar sekali. Tidak mungkin seorang petani, penternak, atau seorang kerani dapat terlibat dengan dunia politik serta penggubalan dasar serta undang-undang negara pada tempoh waktu yang panjang.

Dari satu sisi lain pula, dapatkah semua rakyat memahami setiap isu yang berlaku dan yang dibangkitkan? Mungkin tidak. Mana mungkin seorang petani dapat memahami isu tenaga nuklear dengan jelas. Mana mungkin juga bagi seorang kerani di pejabat dapat memahami tentang pertanian sawah padi.

 

IV

Tidak dapat ditolak bahawa demokrasi yang deliberatif dan partisapatif mampu bergerak sama ada di dalam sistem demokrasi terus atau demokrasi perwakilan. Penulis sendiri tidak memihak kepada mana-mana sistem iaitu demokrasi terus atau sistem demokrasi perwakilan. Tetapi dalam usaha untuk membuatkan sistem demokrasi supaya menjadi deliberatif dan partisipatif, adalah baik bagi kedua-dua amalan demokrasi tersebut dijalani mengikut tahap-tahap kepentingan.

Dalam perkara yang melibatkan isu-isu besar serta dasar dan undang-undang penting negara yang akan memberikan impak besar kepada rakyat dan negara, maka wajarlah bagi seluruh rakyat yang layak untuk turut terlibat dalam proses ini. Perlu dilakukan demokrasi terus, tetapi dengan syarat bahawa perlu ada penerangan yang mendalam tentang sesuatu isu dari semua pihak agar rakyat dapat menilai dan memahaminya. Kemudian rakyat akan memberikan kata putus. Tetapi dalam hal-hal biasa yang kecil atau sederhana impaknya, maka bolehlah perkara tersebut diputuskan melalui perwakilan sahaja.

Khazanah demokrasi terus mesti digali kembali untuk menampung kelemahan-kelemahan demokrasi perwakilan dalam pencarian demokrasi yang deliberatif dan partisipatif. Ucapan tahniah wajar diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat kerana berani menggali kembali khazanah demokrasi yang tulen tersebut lalu diterapkan melalui pemilihan parti mereka.

 

V

Di dalam khutub khanah keilmuan politik Islam pula, sistem demokrasi terus dan demokrasi perwakilan tidak pernah diperbincangkan secara teliti walau terdapat beberapa peristiwa yang dapat dijadikan contoh. Di dalam teks dan penulisan politik klasik Islam, dapat kita temui istilah Ahlul Halli wal ‘Audi. Ahlul Halli wal ‘Aqdi adalah ahli-ahli dewan permesyuaratan yang menentukan dasar-dasar kerajaan dan negara. Tetapi dari satu sisi lainnya pula, ia kelihatan lebih berperanan sebagai barisan kabinet atau badan eksekutif daripada bertindak sebagai badan penggubal.

Di dalam Surah An-Nisa ayat 58 juga Allah berfirman, maksudnya; “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya…”

Allah secara jelas menyatakan bahawa amanah mesti diserahkan kepada ahlinya yakni orang-orang yang mahir terhadap sesuatu perkara. Apakah langsung tidak wujud amalan politik yang memiripi sistem demokrasi terus di dalam Islam?

Siyasah atau politik di dalam Islam sebenarnya bersifat luwes dan anjal mengikut peredaran zaman dan maslahah umat kerana ia adalah perkara muamalat yang mutaghaiyyirat. Politik Islam tidak dibentuk berdasarkan format-format tegar tertentu tetapi ia dipandu oleh prinsip-prinsip hukum dan rukun seperti keadilan, permesyuaratan, amr ma’ruf nahi munkar dan sebagainya.

Adapun tentang “amanah kepada ahlinya”, ia adalah lebih mengkhusus dalam urusan perlantikan pemimpin yang memegang kuasa eksekutif. Adapun tentang amalan politik yang memiripi demokrasi terus atau demokrasi perwakilan, ingatlah pesan Allah di dalam surah As-Syura ayat 38; “yang memutuskan urusan mereka dengan musyawarah”

Islam tidak pernah menetapkan sebarang format tertentu tentang bentuk ‘musyawarah’ yang dinyatakan, maksudnya umum. Yang pentingnya dalam perihal ini ialah maslahah umat dan rakyat dapat diselesaikan secara baik. Bukankah banyak contoh yang memiripi demokrasi terus semasa pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin. Saiyyidina Umar al-Khattab sendiri pernah menarik kembali usul undang-undang tentang mahar perkahwinan kerana teguran secara langsung oleh seorang wanita yang juga merupakan rakyat biasa.

 

VI

Dalam satu hal tentang demokrasi perwakilan yang kita jalani pada hari ini, di Malaysia khususnya. Sejauh manakah perwakilan menjadi ‘alat’ yang digunakan oleh rakyat untuk menyatakan kehendak mereka dalam proses pemerintahan rakyat? Jawapan kepada persoalan ini terserah kepada kalian semua.

Apakah wakil rakyat itu cuma boleh menjadi jurucakap yang menyampaikan suara rakyat yang diwakilinya? Pada tahap ini kebebasan pandangan wakil rakyat tersebut terkongkong dan wakil rakyat tersebut bukan lagi seorang pemimpin.

Atau apakah sesuatu proses pemilihan atau pilihanraya cuma merupakan platform bagi seseorang wakil rakyat? Apabila telah terpilih, beliau bebas mengemukakan pandangan dan pendapat sendiri walaupun bertentangan dengan kehendak majoriti rakyat di kawasannya. Pada tahap ini, makna demokrasi menjadi kabur kerana suara rakyat yang sebenar tidak diangkat.

Apakah mungkin seseorang wakil rakyat itu cuma sekadar ‘boneka’ bagi parti politik yang memberikannya tiket untuk bertanding? Wakil rakyat tersebut cuma dapat bersuara dan bertindak atas kepentingan parti politik semata-mata. Kebebasan pandangan wakil rakyat dan rakyat masing-masing dikongkong. Ketika ini, demokrasi menjadi semakin kabur.

Persoalan ini wajar difikirkan kerana ianya mampu menjadi pedoman bagi menghadapi isu wakil rakyat yang melompat parti dan persoalan-persoalan yang berkaitan.

Dari rakyat, buat rakyat, moga Tuhan mengurniakan hidayah dan rahmat.

 

Rizuan Abdul Hamid, alumnus Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia’

Anthony Everitt demokrasi Federalist Papers politik Teori Umar al-Khattab Westminster

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan