gombrich_major

Sejarah adalah suatu subjek yang sangat membosankan. Saya masih ingat betapa kawan-kawan saya akan mengeluh apabila subjek sejarah berada di dalam jadual hari-ini. Mereka bukan sahaja tidak suka sejarah, malah membencinya.

Saya juga tidak terkecuali. Mana tidaknya, kita dipaksa untuk menghafal nama-nama tokoh, tarikh itu dan ini, serta lokasi-lokasinya dengan cara hitam-putih. Buku teks pula ditulis seperti laporan berita pada dada akhbar. Kosong. Hambar. Tanpa jiwa.

Tetapi keadaannya sangat berbeza apabila E.H. Gombrich cuba mengubah perspektif manusia–kanak-kanak terutamanya–terhadap sejarah yang membosankan ini. Apabila beliau dijemput untuk menulis buku sejarah untuk pembaca-pembaca muda, beliau menghantar contoh manuskripnya yang pertama bertajuk Ritterzeit (Time of the Knights). Penerbitnya,  Walter Neurath berasa takjub dengan karya beliau lantas memberikan beliau masa enam minggu untuk menyiapkan seluruh manuskrip.

Walaupun pada asalnya Gombrich tidak yakin dengan kemampuannya menulis, akhirnya dia cuba juga mempertaruhkan nasib, yang akhirnya mengangkat nama beliau sebagai salah seorang sejarawan yang terbaik pada zaman tersebut. Dan buku itu pun diberi tajuk A Little History of the World.

Tetapi kemudian, kamu akan bertanya, “apa yang hebat sangat dengan gaya Gombrich menyampaikan sejarah? Adakah dia melukis gambar untuk kanak-kanak? Atau adakah dia menyelitkan mitos seperti yang ada pada hikayat-hikayat Melayu?” Saya akan memberikan contoh pembuka bab pertama (“Once Upon a Time) ;

All stories begin with ‘Once upon a time’. And that’s just what this story is all aboout: what happened, once upon a time. Once you were so small that, even standing on tiptoes, you could barely reach your mother’s hand. Do you remember? Your own history might begin like this: ‘Once upon a time there was a small boy’ – or a small girl – ‘and that small boy was me’. But before that you were a baby in a cradle. You won’t remember that, but you know it’s true.

Tidak cukup lagi? Saya akan berikan contoh dari bab 3 (“The Land by the Nile) pula;

Here – as I promised – History begins. With a when and a where. It is 3100 BC (that is, 5,100 years ago), when, as we believe, a king named Menes was ruling over Egypt. If you want to know exactly where Egypt is, I suggest you ask a swallow. Every autumn, when it gets cold, swallows fly south. Over the mountains to Italy, and on across a little stretch of sea, and then they’re in Africa, in the part that lies nearest to Europe. Egypt is close by.

Dari sini kita boleh lihat bagaimana Gombrich mencampur-adukkan prosa penulisan kreatif ke dalam mangkuk sejarah yang kering itu. Suara Gombrich adalah suara seorang lelaki tua yang menceritakan kisah dongeng kepada cucunya. Suara seorang lelaki yang menaiki mesin pengembaraan masa dan kembali pada zaman pra-sejarah, melalui kota-kota Athens yang kaya dengan budaya, berbual dengan Siddhartha Gautama Buddha, melihat kejatuhan Roman Empire, menyaksikan kebangkitan orang-orang Arab di bawah panji Islam, bertemu Galileo, menyertai Revolusi Perancis dan revolusi-revolusi lain, dan akhirnya, kembali pada zaman moden untuk menceritakan pengalaman hebatnya kepada kita.

Seolah-olah dia berada di situ tatkala segalanya berlaku. Dia letih dan kesal dengan segala kekasaran dan keganasan yang berkocak di kancah tamadun manusia lepas. Nadanya pasifis, cintakan keamanan, dan mengangkat kemurniaan sejagat. Sebab itu buku ini pernah diharamkan ketika rejim Nazi berkuasa dulu.

Suara beliau juga penuh lemah-lembut, padu dengan hemah. Dia mengusap kita – seorang kanak-kanak yang masih belum mengenal dunia – dan menceritakan satu-persatu kenapa dan apa yang terjadi sepanjang pengembaraannya. Mengapa sukan berlari dipanggil Marathon? Kenapa hari-hari kita dinamakan Sunday, Monday, atau Tuesday? Bagaimana ahli sejarawan menafsir hieroglif yang rumit itu? Dari mana datangnya susunan huruf kita? Semua teka-teki itu dijawab Gombrich dengan nada yang tenang tanpa terburu-buru.

Buku ini dimulakan dengan perumpamaan bahawa sejarah itu ibarat seperti sebuah telaga yang tidak berpenghujung, dan kita sebagai manusia akan mengambil segumpal kertas, membakarnya, dan membiarkan ia jatuh. Ia akan jatuh dengan perlahan, jauh ke dalam, dan sepanjang ia menyala, ia akan menerangi dinding-dinding telaga gelap itu. Dan apabila ia semakin jauh ke dalam, cahayanya semakin pudar, dan akhirnya hilang ditelan kegelapan.

Cukup menarik bukan?

Pada bahagian “Man and Machines”, Gombrich juga menerangkan kepada kita apa itu asas sosialisme. Dia memberitahu kita betapa pentingnya para buruh untuk bersatu supaya tidak “dipergunakan” oleh kuasa-kuasa Kapitalis. Ideologi  yang diajar oleh Karl Marx itu diceritakan dengan begitu mudah sehinggakan saya sendiri berasa teruja. Mana-mana kanak-kanak yang masih bersekolah rendah pun sudah tentu akan faham ideologi ini dengan begitu mudah sekali!

Oleh itu tidak menghairankanlah beliau mampu meraih pujian yang banyak daripada pembaca umum kerana bisa menafsirkan hasil-hasil dan idea intelektual yang rumit kepada penghuraian yang lurus dan mudah dihadam.

Tetapi ada juga beberapa bahagian yang saya kesal. Sebagai contoh, Gombrich bersikap terlalu Euro-centrik. Dia banyak memfokuskan sejarah hanya atas peta Eropah, dan seolah apa yang berlaku diluarnya tidak memainkan peranan yang penting untuk peradaban dunia. Sudah tentu ini satu tanggapan yang salah. Tetapi kita tidak mampu mensabitkannya kerana Gombrich adalah seorang warga Eropah yang bangga dengan warisannya.

Selain itu, terdapat banyak salah faham beliau mengenai Islam di dalam bab 20 “There is no God but Allah, and Muhammad is His Messenger”, di mana Gombrich bersuara dengan penuh skeptik terhadap Islam. Sebagai seorang muslim, sudah tentu saya temui ini tidak enak. Beliau menyifatkan orang Arab sebagai orang-orang gasar dan gambaran mengenai nikmat-nikmat syurga kononnya adalah untuk memberi “ilusi” kepada mereka yang sudah lama terperap di dalam padang pasir yang tandus.

Beliau juga menceritakan bahawa Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar memaksa tawanan mereka untuk memeluk islam, atau kalau tidak membayarnya dengan nyawa. Hal ini sebenarnya salah sekali kerana di dalam buku berpengaruh “The 100” oleh Michael H. Hart, professor itu sendiri akui bahawa salah satu hal yang membuatkan askar Islam dihormati berbanding askar-askar Kristian ketika itu adalah kerana mereka tidak memaksa tawanan untuk memeluk islam. Oleh itu  perluasan empayar oleh kedua-dua Khalifah Ar- Rasyidin itu dilihat sebagai tindakan politikal, perluasan empayar dan wilayah, bukan didorongi faktor kekerasan agama.

Ini mungkin disebabkan oleh salah faham ilmuwan Eropah terhadap islam ketika itu. Fahaman Orientalisme telah berakar pada pemikiran mereka menyebabkan mata mereka dikaburi dengan prejudis. Malahan lagi, perigi ilmu yang ada pada zaman tersebut masih terhad. Mereka hanya bergantung pada beberapa sumber sahaja.

Membaca karya Gombrich ini menyebabkan saya sedar akan pentingnya penerapan sejarah pada minda manusia, terutama sekali pada peringkat awal. Bukan penerapan sejarah dalam cara yang konvensional seperti sekarang, tetapi dengan cara yang lebih halus, lebih lembut. Minda kanak-kanak kita sudah terlalu diberatkan dengan sains, fizik, serta nombor-nombor menyebabkan mereka lupa hal yang lebih penting, yakni tunjang bangsa dan kemanusiaan. Oleh itu tidak menghairankanlah graduan-graduan universiti kita, walaupun sudah mempunyai sijil cemerlang, tetapi masih bersikap acuh-tak-acuh akan persekitaran masyarakatnya. Mereka melihat sejarah hanya sebagai subjek SPM, tidak lebih dari itu.

Oleh itu, ahli pendidik dan ahli sastera kita perlu lebih aktif lagi. Mereka perlu terjun kedalam kancah sejarah kita dan menceritakan semula dengan nafas yang segar dan baru. Kita perlu menceritakan kepada mereka akan keperwiraan Syed Syeikh Al-Hadi, Burhanuddin Helmy, dan penggerak-penggerak bangsa yang lain. Kita perlukan buku sejarah yang bukan sahaja memerihalkan apa dan kenapa yang sesuatu itu terjadi, tetapi yang juga mendidik minda agar anak-anak kita bebas dari prejudis dan kejumudan.

Pada akhir-akhir buku ini, Gombrich juga menghiburkan kita dengan sebuah perumpamaan. Sekiranya pada awal Gombrich menggunakan metafora telaga yang tak berpenghujung, di helaian akhir buku Gombrich menyamakan masa seperti sebatang sungai yang mengalir. Ais yang mencair dari zaman pra-sejarah akhirnya membentuk sungai, melalui Sungai Nil, lautan yang diterokai orang-orang Phoenician, bangkitnya piramid dan Menara Babel, Acropolis, dan seterusnya – sampailah ke lautan yang tidak diketahui. Kita adalah buih-buih yang timbul di atas sungai itu, yang muncul dan hilang dalam sekelip mata. Kita menuju kedepan – kabus tebal menyelubungi – menandakan masa depan yang penuh misteri.

Gombrich mengakhiri penceritaan ini dengan cukup optimis. Beliau percaya meskipun sudah banyak kemusnahan yang manusia tempuh, negara dibinasa bom atom, nyawa-nyawa manusia gugur, penindasan rancak menekan, masa depan yang cerah itu akan sentiasa menyinar, memberi harapan. Beliau menyimpulkan akan pentingnya teknologi, sains, idea-idea itu untuk terus ada pada jiwa manusia.

Kezaliman akan terus berlaku di mana-mana, manusia dihempap oleh kelas yang berbeza, namun jika kita semua mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap kemanusiaan, dunia kita pastinya akan jadi lebih baik. Di dalam kata-katanya, “We all hope for a better future, it must be better.”

 

Johan Radzi, mahasiswa undang-undang UiTM.