askar_major

i

Pagi-pagi lagi Fauzeeyah sudah di dapur menggoreng ikan kering. Sementara  menunggu gorengannya masak, tangannya cepat-cepat mengupas kulit bawang merah, selepas itu seulas bawang putih yang besar seterusnya dibasuh dan dicampaknya ke dalam lesung. Dua biji lada dicapai dan dimasuk juga ke dalam lesung. Terus, ia tumbuk lumat. Sesekali tangan kiri diangkat ke dahi, dan kening. Ikan kering sudah pun masak, baunya meruap keluar. Minyak di dalam kuali dibuang lebih kurang dua perempat ke dalam mangkuk.

Bawang merah, bawang putih dan dua biji lada yang ditumbuk itu dimasuk ke dalam kuali. Segera dia meramas nasi dalam periuk—nasi petang semalam yang sengaja ditanak dengan empat cawan besar beras. Nasi itu sudah pun bergaul di kuali. Sebotol budu diambil dan direnjis-renjis, nasi digaul lagi. Beberapa butir nasi disuap ke mulutnya.

“Ijah, Zee, Mat, mari makan,” panggilnya ketika ia sedang menyedok nasi ke pinggang. Adiknya, Faizah sudah menjulur kepala ke dapur, dengan tuala mengesat-ngesat rambut. “Cepat panggil adik-adik makan, nanti lambat ke sekolah,” arahnya.

“Kakak, mengapa kena sarapan di rumah? Hari-hari makan nasi goreng budu. Ayah belum kirim duit lagi?” suara Faizah menerjah gegendang telinga Fauzeeyah. Faizah bertanya demikian kerana sebelum ini dia dibekal wang untuk sarapan di kantin sekolah tetapi sejak kebelakangan ini semuanya berubah, semuanya dicatu, makanan di rumah makin tidak sedap—semuanya dimakan dengan budu.

Fauzeeyah memaling muka menatap adiknya. “Ya, ayah belum kirim wang. Mulai saat ini kita kena berjimat-cermat.”  Kedengaran suaranya perih. Tengkuknya terasa kering. “Panggil adik-adik makan, cepat,” katanya.

Nasi goreng budu berlauk ikan kering goreng sudah siap dihidang empat pinggan termasuk juga empat cawan air teh O. Empat beradik itu duduk mengelilingi menyuapi sarapan pagi. Fauzee mahu tambah. Fauzeeyah bangun dan menyeduk satu senduk nasi. “Cukup, emak belum makan lagi,” katanya sambil menghulur pinggang kepada Fauzee. Nasi goreng tinggal dua senduk lagi dalam kuali. Dua senduk itu untuk emaknya yang terpaksa sesudah subuh lagi telah pergi mengadap batang-batang getah dengan perut semakin memboyot mengandung adiknya.

“Kak, bila ayah akan kirim duit?” tanya Ahmad yang sedang memakai kasutnya.

“Mat, Insya-Allah ayah akan kirim wang.”

“Bila? Tengok, kasut dah koyak. Malulah nak pakai.” Ahmad membuat muka monyok. Minggu lepas lagi Ahmad yang sedang belajar di prathom 2 atau darjah dua mengadu akan keadaan kasutnya yang sudah teruk. Ibu jari sudah terbonjol di hujung kasut. Seringkali Ahmad diejek di sekolah. Emaknya dah berkali-kali berjanji mahu beli kasut baru untuknya. Janji itu ditagihnya setiap kali mahu ke sekolah.

“Mat, cuba tengok kasut kakak.” Fauzeeyah mengangkat kasut sekolah yang dibeli di kedai barangan terpakai. “Kasut kakak pun dah berlubang. Tapi kakak tak malu pakai.” Fauzeeyah menyarung kaki dengan kasutnya. Ahmad masih monyok. Fauzeeyah menarik tali kasut. “Ingat, bukan semua orang pakai kasut carik. Hanya orang hebat-hebat saja. Orang terpilih macam….”

“…macam kakak?” soal Ahmad yang dengan malasnya memakai kasut.

“Macam Ahmad, penjaring tiga gol minggu lepas. Dengan hanya pakai kasut buruknya dia berjaya menewaskan pemain yang memakai kasut bola kulit yang mahal. Hebat!”

Ahmad berpaling ke pipi kakaknya yang tengah mengikat tali kasut dan bergelak tawa. Minggu lepas adalah hari gembira buat Ahmad, dia berjaya membantu pasukan kelasnya menewaskan kelas sebelah yang dipenuhi dengan pemain bola yang memakai kasut bola mahal-mahal dalam kejohanan antara kelas anjuran pihak sukan sekolah. Dengan memakai kasut sekolah buruknya yang sudah terkoyak itu, dia berjaya menjaringkan tiga gol seterusnya dinobatkan pemain terbaik.

Fauzeeyah membalas ketawa adiknya. “Kasut ini,” kata Fauzeeyah sambil tangannya menyentuh kasut di kaki Ahmad, “suatu hari nanti akan menjadi barangan berharga yang boleh berharga berjuta-juta dolar. Dolar Amerika…”

Mulut Ahmad menganga, teruja mendengar. “Kasut buruk boleh berharga berjuta dolar Amerika?”

“Kerana kasut ini adalah milik pemain bola sepak terhebat di dunia suatu hari nanti. Kasut ini mesti dijaga dengan baik. Akan jadi barangan rebutan nanti.”

Dan dua beradik itu ketawa lagi. Mereka pun berangkat ke sekolah.

Pagi itu Fauzeeyah pergi sekolah dengan kerisauan. Kerisauan itu bertambah saban hari yang menekan kotak pemikiran, membuatkannya berfikir yang macam-macam hingga persekolahan terganggu. Dia berfikir tentang ayahnya, dia berfikir tentang ibunya yang sarat mengandung, dia berfikir tentang persekolahannya, termasuk persekolahan adik-adiknya, dan tentu berfikir pasal wang! Dia menyeluk sakunya, cukup untuk pergi dan balik sekolah. Dia mengeluh dalam sepanjang perjalanan ke Madrasah An-Nur di mana tempat beliau menuntut ilmu; sebuah sekolah agama rakyat yang menggabung pendidikan agama di sebelah pagi dan pendidikan akademik Thai di sebelah petang.

Selepas selesai solat Zohor di surau sekolah, dia menadah tangan berdoa kepada Allah supaya masalah yang dihadapinya ini ada jalan keluarnya. Dia berdoa bersungguh-sungguh.

Ketika dia berjalan menuju kelas untuk mengikuti pengajian akademik Thai di sebelah petangnya, dia berhenti melangkah, dan mendongak ke gambar Raja Bhumibul dan Ratu Sirikit yang dihias indah bingkainya dengan kalung bunga-bunga. Dia percaya Raja Bhomibul suka membantu rakyatnya yang susah. Sejak kecil dia diperdengar sisi-sisi kemanusiaan Raja Bhomibul. Dia jadi sayang dengan Raja Bhomibul. Terdetik di hatinya, satu rancangan, dan satu harapan. Dia mesti mencuba.

Sepanjang petang itu, fikirannya melayang-layang mencari kata-kata yang sesuai untuk dipersembahkan kepada Raja Bhomibul mengenai masalah yang sedang ia hadapi. Apa yang diajar oleh guru-guru yang masuk silih berganti langsung tidak dicermatinya dengan baik. Hanya satu hal di fikirannya. Dia mahu menulis surat. Dia mahu menulis surat kepada Raja Bhomibul dengan satu salinan untuk perdana menterinya. Surat itu mesti ringkas dan boleh menyentuh perasaan.

Tiba-tiba satu persoalan mengganggunya. Bagaimana jika surat itu mendapat liputan media yang menyebabkan dirinya menjadi dikenali ramai? Seterusnya tumbuh pula satu soalan lagi bermain di kepalanya; Ayah ditangkap atas dakwaan menentang Raja dan Negara, apa aku akan dianggap anak penderhaka?

Sebenarnya dalam diam-diam, Fauzeeyah percaya dengan tuduhan ke atas ayahnya itu. Dia percaya ayahnya terlibat dengan pemberontakan. Jiwanya kacau kembali. Kembali dia memandang ke depan kelas. Cikgu di hadapanya sedang berkata-kata tentang sastera Thai. Dia mendongak ke atas, foto Raja Bhomibhul serta Ratu Sirikit—yang juga digantung dalam kelasnya—ditenung lama.

“Fauzee-yah!” Dia diherdik keras.

“Saya sayang raja, saya benci tentera, cikgu.” Spontan Fauzeeyah menjawab. Jawapan Fauzeeyah menimbul gelak dalam kelas. Fauzeeyah tersedar, dia jadi malu, mukanya merah.

Cikgunya mengangkat sedikit kepala, angkuh. “Apa Fauzeeyah? Benci tentera?” Seisi kelas terdiam bila pertanyaan cikgu kedengaran serius seperti ada getar kemarahan. Lidah Fauzeeyah kelu.

ii.

Di sekolah, Faizah banyak mendiamkan diri. Dia sudah berubah. Sebelum ini dia seorang periang, dan suka buat kelakar. Namun, sejak dia digelar ‘anak penjahat’ atau ‘ anak pembunuh’ oleh rakan sekelas, dia jadi murung. Dia rasa seperti rakan-rakan sekelas semua memulaukannya. Semua tidak mahu berkawan dengannya. Guru-guru pun seperti mengiakan ejekan yang diterimanya. Satu sekolah telah membencinya. Itulah anggapannya.

Bisik-bisik di kalangan rakan sekelas yang ia dengar, ayahnya telah ditangkap oleh pihak tentera kerana dituduh membunuh tentera. Ia anggap itu fitnah. Mana mungkin ayahnya yang selalu sembahnyang dan berzikir lama-lama itu membunuh orang. Selama ini pun dia belum lihat ayahnya memukul emaknya, tak memarahi emak, tidak seperti jiran sebelah rumahnya yang selalu memukul isterinya. Tak mungkin ayahnya sebaik itu membunuh tentera. Dia ingat lagi, ayahnya pernah membantu menolak trak tentera yang jatuh longkang. Mana mungkin ayah yang menembak tentera. Itu fitnah. Fitnah! Fitnah!

“Murid-murid, kita mesti bersikap mementingkan perdamaian dalam hidup ini. Kita tidak boleh bersikap membenci dan memusuhi orang lain. Barulah hidup kita aman, tempat kita aa…”

“Aamaannn,” sahut murid-murid.

“Jangan sesekali kita membunuh orang, lebih-lebih bunuh askar, mereka adalah penjaga keamanan. Kalau kita bunuh mereka, tidak amanlah tempat kita,” terang cikgu perempuan itu. “Ya, murid-murid, mengapa tempat kita sekarang tidak aman? Semalam ada bom. Sekolah dibakar. Cikgu ditembak. Adakah ini yang kita mahukan?” tanya cikgu itu.

“Tak,” jawapan serentak kedengaran.

“Jadi, apa yang perlu kita lakukan?”

“Kita jangan sokong penjahat,” jawapan serentak kedengaran sekali lagi.

Cikgu mengangguk. “Pandai. Jadi kita jangan sokong pembunuh dan pengebom askar. Jangan sekali sokong mereka ini! Lapor pada pihak berkuasa jika kenal penjahat ini. Dan jangan sesekali ikut perangai penjahat ini.”

“Seperti ayah Faizah, cikgu. Ayah Faizah, seorang pembunuh kan?” suara seorang murid lelaki gemuk bergema. Segera diikuti gelak ketawa seluruh kelas.

Faizah menjeling ke arah gurunya. Gurunya seperti membenarkan. Dia pun menunduk kepala melihat kasutnya. Ikatan tali kasut sudah terburai. ‘Ayah aku bukan pembunuh. Ayah aku bukan pengebom. Ayah aku sedang kerja di Malaysia. Ayahku bukan penjahat! Bukan penjahat! Bukan pembunuh! Bodoh! Cikgu Siam gila!’ bergema-gema di dalam dada Faizah.

Ketika waktu rehat, dia duduk mencangkung dalam tandas, menangis sepuas-puas tanpa kedengaran isak yang dipendam dalam. Setelah puas menangis, dia mula menyoal. “Betulkah ayah di Malaysia? Kerja di sana? Kalau betul kerja di sana, mengapa belanja hari-hari emak catu? Atau emak, kakak sedang sembunyi sesuatu? Adakah benar ayah pembunuh? Dan sedang ditahan?”

Dia bangkit. Keputusan sudah dibulatnya. Dia mesti tahu hal sebenar. Emak dan kakaknya mesti jawab soalannya. Dia jadi tidak sabar. Mahu cepat pulang ke rumah. Bila sahaja dia bangkit, dan mahu keluar dari tandas, kedengaran beberapa orang rakan sekelas masuk bilik air. Mereka berbual riang, dan salah seorang antara mereka menyebut nama Faizah. “Ayahku kata, ayah Faizah penjahat besar. Dia edar dadah untuk buat modal beli bedil dan bom nak lawan kerajaan,” kata rakan sekelas Faizah yang juga anak Tok Kamnan atau Penggawa di kampungnya. Faizah jadi geram mendengarnya.

“Berani mu kata begitu. Nanti bila tanah ini dapat keluar dari Thai dan jadi negara merdeka, mu akan tunduk di kaki Faizah,” ujar salah seorang rakannya dengan nada berseloroh.

Anak Tok Kamnan itu juga gelak kecil. “Mengapa aku perlu tunduk pada dia?”

“Dia akan jadi orang besar. Mungkin jadi menteri. Ayahnya akan dikenang sebagai bapa kemerdekaan tanah ini bila tanah ini dapat kemerdekaan.”

“Mimpi di siang hari.” Gelak tawa pecah. Pili air ditutup. Rakan-rakan Faizah berjalan keluar. Faizah sempat mendengar satu soalan dituju kepada anak Tok Kamnan itu, “Betul, orang kata ayahmu yang adu pasal gerak-geri ayah Faizah kepada tentera?” Faizah menanti jawapan.

Jawapannya, Faizah tak dapat dengar, hanya yang didengar berita kehadiran artis nasyid yang dibual oleh murid-murid perempuan yang baru masuk ke bilik air, “Dengar khabar ada orang nak bawa Maher Zain buat konsert di Yala.” Langsung tak menguja Faizah. Apa yang dibual oleh kawan-kawan sekelasnya itu serta khabar angin yang ia dengar, menyebabkan Faizah makin yakin dengan cerita buruk seputar ayah di sekolah dan di kampung. Tapi hatinya sukar menerima kenyataan itu, dan sangat berharap ia tak benar.

Namun begitu, cerita pasal ayahnya mungkin juga ada kebenarannya. Dengan longlai, Faizah keluar dari tandas, keluar dari bilik air sambil di dalam hati ia menyatakan bantahan terhadap ayahnya, ‘mengapa ayah jadi penjahat? Mengapa ayah lawan tentera? Kita mahu hidup aman. Mengapa ayah?’

Sedang Faizah berjalan ke kelasnya, dia dengar dan lihat satu pergaduhan berlaku. Ramai murid-murid berkerumun. Beberapa orang guru berkejaran. Dia ikut merapat bila mendengar suara marah-marah itu seperti suara adiknya. Sah, adiknya yang terlibat dengan pergaduhan itu.

“Cikgu, dia yang mula dulu. Dia kata ayah saya penjahat! Dia kata ayah saya pembunuh!” tegas Fauzee.” Cikgu, ayah saya kerja di Malaysia sekarang!” tambah Fauzee dengan marah.

Murid berambut kerinting cekak pinggang. “Ah, dia pukul saya dulu. Memanglah, ayahmu memang penjahat! Kau tidak baca suratkhabar!? Ayahmu kena tangkap! Masuk gok di Yala!”

Serta-merta Fauzi melepas tumbukan ke muka murid berambut kerinting itu, lalu rebah dan meraung kesakitan. Sepantas juga satu penampar datang daripada seorang guru hinggap ke pipi Fauzee membuatkan terduduk ke tanah. Secepat juga Faizah meluru ke arah adiknya, dan menjerit. “Mengapa sekolah ini membenci kami?!”

iii.

Petang, Fauzeeyah memicit-micit kepala emaknya yang mengadu pening di pangkin depan rumah. “Mak, boleh tak jangan pergi menoreh. Mak perlu jaga kesihatan.” Tangan-tangan Fauzeeyah perlahan-lahan memicit di bahagian tengkuk pula.

Emaknya menarik nafas.” Kita tak ada duit. Mak tak akan biarkan anak-anak mak tak dapat sekolah,” jawab emaknya yang badannya masih berbau getah.

“Bagaimana dengan ayah mak?” Tangannya berhenti memicit.

Emak seperti mula kesedihan. “Entah. Ayahmu akan diterus ditahan. Mungkin lama lagi.”

“Mak, adik-adik dah bising tanya pasal ayah. Mak, mengapa kita tidak bagitahu saja hal sebenar?”

Emak memusing tubuh mendepaninya. Mata emaknya kelihatan layu mungkin terlalu berendam air mata. Kedua-dua bahunya sudah dipegang tangan pucat emaknya. “Yah, hujung minggu ini kita bawa adik-adik pergi melawat ayah. Ya, mereka patut tahu.”

Fauzeeyah memandang dalam ke mata emaknya, dia dapat merasai penderitaan yang sedang ditanggung emak. Bukan saja menoreh getah, emaknya juga mengambil upah menjahit pakaian dengan membongkok di mesin jahit yang kadang-kadang sampai lewat malam. Fauzeeyah memeluk emaknya dengan memejam mata, derita yang ditanggung emaknya dapat dirasai dengan lebih mendalam lagi, seiring dengan semakin membesar perut emaknya yang ia dapat rasai sekarang. Angin petang meluruhkan daun-daun tua ke atas dua beranak itu.

Sebuah motorsikal datang ke arah rumah mereka. Jelas, ia dibonceng oleh isteri tok naiban dan ditunggang anaknya. Bila sahaja, motorsikal berhenti, isteri naiban sudah menyingsing lengan dan terus menghambur kata-kata bak peluru berdas-das. Tak reti jaga anak, ajar anak jadi samseng, ajar jadi penjahat macam ayah dia, itulah antara hemburan kata-kata isteri naiban itu.

Emaknya diam kaku. Fauzeeyah berang, dia berdiri, mengetap gigi. “Apa yang adik saya lakukan!?”

“Adik kau, Fauzee telah tumbuk anak aku! Sampai bengkak mata!”

“Fauzee! Keluar!” laung Fauzeeyah memanggil adiknya ke dalam rumah. Emaknya menunduk kepala dan mula menangis.

Fauzee, Faizah dan Ahmad keluar dengan wajah ketakutan. Isteri naiban membuat muka geram.

“Apakah benar kamu pukul…”

Fauzee telah pun menjawab.” Anak Makcik patut ditumbuk! Dia ejek ayah kita pembunuh! Dia kata ayah kita masuk gok! Tak, ayah kita sedang kerja di Malay.” Fauzee sudah pun berair mata.

Isteri naiban celik mata luas-luas. “Hei, apa yang kau ajar anak kau? Ajar berbohong!”

Tiba-tiba Faizah menjerit. “Emak, betulkah ayah ditangkap!? Kakak, adakah ini benar!?”

Isteri tok penghulu itu meninggalkan mereka dengan hati yang puas. Sebelum itu dia berkata, “Mulai esok kau tak payah menoreh getah aku lagi!” Segulung duit dilempar.

“Mengapa mak tipu kami? Kakak pun sama, mengapa tipu kami!? jerit Faizah sebelum meluru lari ke bilik. Kedengaran Faizah menangis terisak-isak.

Esoknya adik-adiknya tidak mahu ke sekolah. Lusa begitu juga. Nasi goreng budu terhidang kering tidak dijamah. Emaknya tidak berkata apa-apa, hanya membisu di serambi.

“Esok, kita semua pergi jenguk ayah,” kata emak di malam hari memecah kebisuannya.

Ketika embun masih menitis mereka lima beranak keluar rumah menumpang motorsikal roda tiga. Coley bergerak membawa mereka menuju  ke pekan Sungai Padee untuk menaiki keretapi berbekalkan nasi goreng budu di dalam perut. Mereka tidak banyak cakap, hanya sekali-sekala Ahmad mengusik. Itupun dibalas dengan tidak mesra oleh Fauzee ketika keretapi semakin laju bergerak meninggal stesen, jambatan demi jambatan besi, padang rumput, lembu kerbau, pohon-pohon getah, sawah-sawah padi serta rumah-rumah. Mereka tetap mengelamun mengingat saat-saat indah bersama ayah mereka.

Seorang pegawai tentera lengkap beruniform menatap mereka.” Kami memohon maaf puan. Kami terpaksa menahan suami puan di bawah Undang-Undang Darurat kerana kami syak dia….”

Fauzeeyah bingkas bangun. “Bengong! Undang-undang gila! Dulu tahan ayah kami ikut Undang-Undang Tentera! Sekarang ubah pula kepada Undang-Undang Darurat! Entah esok lusa , tahan ayah kami ikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pula!’’ Fauzeeyah melepas rasa geram dengan menumbuk meja. Adik-adiknya  jadi bersemangat meskipun mereka tidak faham apa yang dikata kakak mereka—lawan kak, jawab kak, jerit adik-adiknya.

Sejak ayahnya ditangkap, dia banyak membaca perihal undang-undang dan perlembagaan negara, dia baru tahu ada tiga set undang-undang yang dipakai di wilayah bergolak ini. Pertama, Undang-Undang Tentera yang memperuntukkan masa selama tujuh hari buat anggota keselamatan menahan suspek sebelum didakwa atau dibebaskan jika kekurangan bukti. Kedua, Undang-Undang Darurat yang membolehkan pihak berkuasa menahan orang disyaki selama tiga puluh hari. Dan ketiga, Akta Keselamatan Dalam Negeri yang  memberi kuasa kepada tentera menahan tanpa bicara untuk satu tempoh terhadap suspek—tapi undang-undang ini belum dikuatkuasa lagi setahunya.

Malangnya, pihak berkuasa telah mengubah taraf tahanan seseorang dari satu undang-undang kepada undang-undang yang lain termasuk terhadap ayahnya. Ini tidak adil!, keluhnya dalam hati. Dia sedar dia budak kecil baru berumur empat belas tahun, air mata sudah pun meleleh turun.

Tangan emaknya sudah mengusap di kepala seraya memohon maaf kepada pegawai itu atas kelakuan tadi. ”Kami datang hanya mahu melawat ayah budak-budak ini. Boleh?”

Pegawai itu membetulkan duduknya. ”Tak mengapa puan. Anak-anak puan hanya terganggu. Saya memahaminya. Oh, puan, Undang-Undang Darurat membenarkan hasrat puan. Tunggu sekejap, saya akan uruskan.”

Keretapi laju bergerak menuju ke selatan meninggalkan bandar Yala dengan kesedihan. Di kepala Fauzeeyah masih tergambar wajah ayahnya, tubuh renta ayahnya,dan rambut berserabut ayahnya. Ayahnya kelihatan kurus sekali. Dia ingat betul-betul pesan ayahnya, “Yah, ganti tempat ayah. Jaga adik-adik. Jaga emak. Jangan kisah sangat pasal ayah di sini. Ayah makan, minum cukup. Jangan risau.” Suara ayahnya lirih di balik jeriji besi.

“Ingat pesan ayah, ayah mahu kamu sekolah. Jangan peduli dengan orang kata pasal ayah. Buat tak tahu saja. Ayah tetap ayah kita.”

“Ya, kakak. Kami akan ke sekolah. Kami tetap akan makan nasi goreng budu, kakak,” sahut adik-adiknya bersama.

Keretapi terus melaju.


Isma Ae Mohamad adalah penulis asal Pattani, Thailand. Bercita-cita mahu menjadi penulis memperjuang hak-hak orang tertindas di wilayah konflik. Novelnya berjudul ”Laskar Cinta” terbitan PTS Pop berkisah tentang nasib pelarian etnik Karen di sempadan Thai-Burma.

*Edisi pendek cerpen ini pernah disiar dalam majalah Aniqah bulan Mei 2011.