Are You Ready for BN?

oleh
12 Februari, 2013 | kategori Kolum | komen [0] | Cetak | kongsi  

Dalam klip itu, orang ramai laungkan “tidak!” apabila ditanya berulang tiga kali oleh Najib Razak yang di tengah pentas dengan soalan, “are you ready for BN?”. Bersahut-sahut “no!”, “no!!” dan semakin kuat “no!!!”

Bukankah ini satu penolakan yang depan-depan, terang-terangnya? Rakyat tak takut-takut lagi untuk berteriak “tidak!”; untuk bercakap bahawa mereka tidak menyokong pemimpin yang ada-ada. Mereka datang hanya untuk melihat persembahan Psy. Bukan untuk mendengar leteran Najib atau janji-janjinya.

Hari sama, hanya beberapa jam selepas itu klip video berkenaan dimuat naik di youtube. Sebelah petangnya, ia sudah mula gempar. Harapan BN untuk bikin gempar di Pulau Pinang, jadi terbalik. Bagai peluru makan tuan.

Sedangkan Najib sudah berusaha keras. Terasa betul seluruh kekuatan propaganda, strategi, juga wang ringgit disalirkan untuk memastikan kemenangan BN sekali ini. Tak pernah dalam sejarah sejak Malaysia merdeka, seorang penghibur antarabangsa dibayar sampai dua juta ringgit semata-mata untuk membuat persembahan di majlis BN itu. Itulah yang berlaku pada Isnin, 11 Februari kelmarin di Pulau Pinang.

Projek memikat kembali hati rakyat bukan cuma satu-dua yang diluncurkan PM Najib. Deretan program seumpama itu yang berada dalam apa yang disebut sebagai “Program Tranformasi Nasional” dibalut dan dicop dengan slogan “Janji Ditepati”. Kalau disemak balik di dalam manifesto BN untuk Pilihanraya Umum lalu, tak ada pula janji untuk membawa persembahan Psy ke Pulau Pinang. Tak ada! Tak ada!

Manifesto BN lima tahun lalu tajuknya besarnya “Selamat, Aman dan Makmur”. Semaklah semula dokumen manifesto berkenaan kalau masih bersimpan dan berabuk di rumah dan antara yang jelas gagal dilaksanakan ialah untuk mengurangkan defisit fiskal negara. Itulah fakta yang sangat penting untuk dinilai warga yang menilai politik dengan fikiran; bukan dengan sentimen. Kenyataannya yang berlaku selepas lima tahun mendapat mandat di Putrajaya, hutang negara bertambah tahun ke tahun.

Pada 2008 sahaja, hutang Malaysia sudah mencecah RM286 ribu juta dan sehingga tahun lalu terus meningkat melebihi RM437 ribu juta. Peningkatan hampir dua kali ganda! Jumlah hutang Malaysia kini berada pada paras 52.7 peratus daripada pendapatan negara (KDNK), iaitu kurang 2 peratus daripada tahap maksimum iaitu 55 peratus. Tak pernah negara ini berhutang sampai sebesar itu.

Begitu juga dengan janji untuk mengurangkan kadar kemiskinan menjadi di bawah paras 2.8 peratus selepas tahun 2010. Oktober tahun lalu, dalam Sidang Kemuncak Pertama Dialog Kerjasama Asian (ACD) di Kuala Lumpur, tanpa sedar Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyebutkan bahawa kadar kemiskinan Malaysia kini berada pada tahap 3-4 peratus. Makna, sasaran 2.8 peratus seperti yang disasarkan, yang sepatutnya dicapai tiga tahun lalu juga telah gagal.

Dan, pilihanraya umum sekali lagi pun tiba. Wajarlah dalam sedikit masa yang tersisa, disemak semula isi kandungan manifesto BN sama ada sudah benar-benar tertunai atau hanya tertinggal di kertas sahaja. Dua contoh yang dicatat di atas hanya sebahagian bukti bagaimana projek dan program pemerintah sebenarnya tak dipandu pun oleh janji-janji dalam manifesto mereka sendiri. Lain hari, lain cakapnya.

Mungkin sebab itulah manifesto selalu tak menyentuh hati sanubari rakyat dan tak bererti apa-apa. Ia hanya menjadi ‘sampah’ waima di waktu kempen pilihanraya sekalipun dengan rata-rata rakyat menganggap bahawa dokumen berkenaan hanya kertas yang bakal semakkan rumah sahaja.

Itu belum termasuk janji-janji seperti “membantu sejuta syarikat dan usahawan IKS”; “menjana lebih 2 juta peluang pekerjaan yang bermutu”; “mengurangkan indeks jenayah” sehinggalah kepada janji-janji yang abstrak dan tak jelas seperti “menaik taraf pengangkutan awam”,  “mengurangkan kesesakan lalu lintas” atau “meningkatkan pemahaman pelbagai budaya” yang entah apa makna sebenarnya. Semua itu tak lebih hanya ibarat kata-kata muluk yang dihembus di angin lalu.

Ya, sudah lima tahun berlalu! Sesiapa yang tinggal di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar utama lainnya tentu sedar akan tahap kesesakan kota sangat-sangat memburuk. Kita boleh baca setiap hari keluhan langsung pekerja di paparan twitter. Ramai yang maki-hamun pagi dan petang kerana terperangkap dalam kesesakan jalanraya.

Satu lagi yang nampaknya sudah cukup buruk apabila tiba musim perayaan—macam menjelang Gong Xi Fat Choy hujung minggu sudah. Lebuhraya Plus yang menghubungkan hujung ke hujung Semenanjung pun menjadi sendat-mandat. Bagi mereka yang berfikiran waras, dalam kepayahan rakyat itu adalah satu tindakkan jahat apabila kerajaan melaksanakan pula saman berkamera AES. Dalam kata mudah, pemerintah yang gagal melaksanakan tugas, tapi rakyat pula yang mahu dihukum.

Di celah-celah timbunan janji dalam manifesto lalu yang tak tertunai, tiba-tiba Najib melaksanakan pelbagai program menabur wang tunai. Biar namanya BR1M-bram-brum, program seumpama itu adalah sesuatu yang tak pernah tergamak dilakukan oleh perdana-perdana menteri lain sebelum ini. Menabur tunai mencurah-curah bukannya di saat pertumbuhan ekonomi Malaysia deras, tetapi di kala Malaysia ternyata sudah tewas sedekad lamanya dengan, misalnya, Korea Selatan, India, bahkan Indonesia. Malaysia tumpas dan masih tak bangun-bangun lagi untuk kembali bersaing.

Sekitar tahun 90-an dahulu, Malaysia inilah antara negara yang disebutkan Bank Dunia sebagai “Harimau Asia” kerana pertumbuhannya yang kencang. Di dekad 90-an itupun—ketika ekonomi terpacu sehingga 7-8 peratus setahun—pemerintah tak mampu mencurah wang sepertimana yang [terpaksa] dilakukan Najib sekarang. Politik wang atau rasuah politik untuk membeli undi gaya partinya nampaknya kini dilebarkan pula ke jantung-jantung rakyat terbanyak.

Dalam lebih lima puluh tahun ini, mustahil pemerintah tiba-tiba sebegitu ikhlas menabur wang kalau tak kerana mereka tahu, mereka berada di dalam keadan sangat terdesak. Program tranformasi gaya pemerintah BN bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah ekonomi yang membelenggu rakyat daripada harga barangan yang melambung-lambung, tol berceracak sana-sini, rasuah di segenap sudut sampai tidur yang tak pernah cukup. Hari ini dapat lima ratus ringgit, dua tiga kali belanja boleh habis! Dapat seribu-dua ribu ringgit takkan mampu menyelesaian hutang PTPTN anak-anak orang kampung yang bertumpuk sampai puluhan ribu ringgit.

Bak kata orang tua-tua, sepertinya orang yang nak lemas tak berdahan, ranting pun jadilah untuk berpaut. Sedikit masa yang tersisa ini, bagi orang yang berakal sempurna, harus membuka kembali manifesto di dalam PRU lalu. Belum terlalu lama untuk membacanya semula; menilainya kembali… apakah benar janji-janji parti pemerintah sudah dilaksanakan?

Binggo! Mereka tak pernah berjanji untuk memasak kamera AES di tepi-tepi jalan, tetapi itulah yang mereka lakukan. Mereka berjanji untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat, tetapi tak pula dilakukan. Mereka berjanji untuk membela anak watan, tetapi dibawa masuk Psy dengan dibayar berjuta ringgit untuk persembahan tujuh minit. Apakah ini maknanya “janji ditepati”?

Atas kesedaran yang terkumpul pelan-pelan dalam hati, seraya ditanya oleh PM sendiri, “Are you ready for BN?” dengan spontan terdengar “No! No! No!” Rakyat telah menjawab, “tidak-tidak-tidak!” berdepan-depan tanpa rasa takut lagi. Kata mereka jelas, “t-i-d-a-k!”


Tags: , , , , , , ,
 

 

Tinggalkan Komen