duamalam_major

“Bersyukurlah kita dapat hidup aman damai kat sini, tak payah lah kau keluar. Atau kau lebih suka huru-hara?” kakaknya mendengus.

Tiga bulan berlalu setelah jasad ayah disemadikan hujung di kaki gunung. Tiga bulan kakak seperti ayam hilang anak. Dia tahu sekarang dia tak lagi mampu halang aku keluar dari kampung itu. Tidak selepas ayah pergi.

“Sampai bila kita nak hidup macam ni kak? Duduk dalam sangkar yang kita bina sendiri, takut kepada apa entah. Kita fikir yang kita bahagia dan cukup elok. Orang kat luar dah maju, kita masih terperuk kat sini. Memang lah aman, lembu dalam kandang tu pun aman”. Hati aku menjerit, tak terdaya nak ucapkan kata-kata keras itu kepada kakak. Dia masih sedih dengan kematian ayah. Dah tiga bulan, dia masih belum boleh berhenti menangis.

“Abang Ngah kau dulu keluar. Sampai sekarang, mana dia? Ayah mati pun tak balik. Itulah apa dunia luar buat kat kau, lupa asal usul. Nak memberontak sampai ayah mati pun tak kisah”.

“Kak, dia tak tahu pun ayah meninggal. Jangankan telefon, surat pun tak hantar untuk bagitahu. Masa aku nak keluar telefon abang kata ayah sakit tenat dulu pun kau orang halang. Macamana dia nak balik? Bila dia balik melawat, kau orang berleter dan tengking-tengking. Macamana dia nak lekat kat rumah?”

Mulut kakak makin muncung. Macam paruh ayam jantan sedia nak patuk lawan. Telinga aku sedia tahan, tapi sabar di hati belum tentu.

“Kau dengan abang kau sama saja. Tak kesian kat ayah. Tak kenang budi! Apa lagi yang tak cukup dalam kampung kita ni? Makan cukup, bumbung ada. Kau orang nak apa lagi?”, menjuih mulut kakak sambil mencapai kain selempang. Jag air di isi air bunga. Inilah kerjanya setiap hari, siram pusara ayah. Kalau kubur tu ada pokok jambu air, mungkin dah naik tinggi dan hidup subur.

“Ayah meninggal kenapa kak? Sebab doktor tak sanggup nak masuk hutan ni. Ini bukan kampung kak. Ini hutan. Jiran kita cuma tupai dan lotong!”. Kakak sudah sampai hujung tangga bila kalimat terakhir tu keluar. Langkahnya deras, bukan takut pusara ayah berlari pergi, tapi untuk mengelak kata-kata aku. Dia hidup dengan falsafah ayah. Kolot dan ketinggalan zaman.

Tapi aku tak salahkan ayah. Dia kecewa sehingga bawa kami sekeluarga masuk dalam hutan dan bina kehidupan di sini. Tapi aku tak boleh terima kenapa juga kakak tak mahu keluar dari hutan dan teruskan hidup bersama orang lain? Dia sendiri telah kurung dirinya sendiri, atau mungkin dia takut. Takut apa? Takut kepada apa yang dia sendiri pun tak tahu. Takut kepada betapa kolotnya dirinya dan apa yang dia telah ketinggalan. Takut tak dapat bersaing dengan orang di luar dan kalah. Takut atas segala sebab. Atau malas mencuba.

Aku masih ingat pesan abang Ngah ketika dia pulang enam bulan lepas. Katanya ada tiga lapis pagar untuk keluar dari tempat ini, akal sendiri, keluarga dan lapisan terakhir, pagar untuk masuk dalam masyarakat dunia. Pertarungan pertama adalah dengan akal sendiri. Ini perlu soal jawab untuk bina keyakinan dan siap siaga jika datang cubaan. Bila kita sudah yakin dalam diri, barulah kita boleh ke pintu pagar seterusnya, keluarga.

Keluarga ini dugaan yang besar, terletak di dalamnya tanggungjawab dan kasih sayang; kenangan baik dan pengajaran. Selalunya kata abang, keluarga inilah yang akan menahan kita untuk buat sesuatu usaha dengan yang paling baik hijab kepada kemampuan kita yang sebenar. Halang kita mencari ilmu di tempat yang jauh, berkelana, bekerja sehingga tak pulang rumah, atau merobos budaya dan kebiasaan. “Tapi itu cuma pandangan kita saja, apa yang kita mahu tengok”, kata abang.

Pagar keluarga ini jika kita mampu tangani dengan baik, akan jadi pembakar semangat untuk terus berusaha lebih keras. Sementara pagar masyarakat pula adalah pintu pagar labirin yang tak putus-putus. Ia ujian bagaimana kita akan bersikap dengan orang lain. Pintu siapa yang perlu kita masuk, pintu mana yang harus kita hindari. Kata abang, yang paling penting ialah jangan salahkan orang lain jika kita malas mencuba atau buat salah. Ketika ayah dan kakak mengherdiknya sebagai pengkhianat, abang Ngah cuma senyum.

Dia paham yang ayah kecewa dia tak ikut cara beliau memencilkan diri dalam hutan rimba. Di mata kakak, memang betul abang Ngah pengkhianat. Sebelum abang Ngah keluar, kakaklah teman setia yang mengajar abang membaca dan menulis. Selepas keluar abang Ngah serupa lebih pandai dengan macam-macam ilmu baru. Sebenarnya,aku pikir kakak cuma rindukan abang Ngah. Itu saja.

Matahari menyuluh tepat ubun-ubun. Kerja kebun sudah hampir siap disediakan, lembu sudah keluar kandang, kebun sayur sudah diselia. Masa ayah ada dulu, kami akan duduk bersama-sama di beranda untuk belajar membaca dan menulis. Aku yang paling malas, liat untuk belajar. Dalam hutan ini, kalau rajin jaga lembu dan kebun sudah cukup untuk hidup. Kalau pandai baca buku pun belum tentu kebun dan ayam diselenggarakan. Di sini kau hanya perlu kuat banting tulang.

Berbeza dengan abang Ngah, dia tu pelik sikit. Dia belajar dan rajin membaca sehingga habis buku-buku ayah dikhatamnya. Lagi satu, dia ni degil. Pernah satu masa dulu dia minta kat ayah untuk keluar dan sambung belajar. Ayah tarik tangannya keluar rumah malam-malam buta. “Ini dunia luar. Tiada undang-undang, dan tiada peraturan aku. Apa yang kau nampak?”.

Abang Ngah diam. Tak berani mencabar pelempang ayah. “Tiada undang-undang bermaksud macam-macam boleh jadi. Aku takkan lindungi kau dari Babi hutan, gajah, ular tedung. Kalau kau nak bebas, ini yang kau kena hadapi”. Mulut abang Ngah tak berbunyi sedangkan suara katak dan cengkerik bagaikan mengejeknya dalam hitam malam itu.

“Kalau kau nak keluar dari rumah ini, ayah izinkan. Dengan satu syarat, kau kena mula berjalan keluar lepas isyak. Masa tu barulah kau akan kenang jasa aku sediakan cahaya dalam rumah ini”.

Keesokan harinya, lepas makan tengah hari, abang Ngah masuk hutan dan balik sebelum senja untuk sambung kerja di kandang dan reban. Begitu lah hari-hari berlangsung hampir dua minggu lamanya. Ayah tak kisah asalkan kerjanya siap diuruskan.

Pernah satu malam, abang Ngah minta izin untuk keluar dari rumah. Dia keluar dan balik tengah hari berikutnya. Ayah mengamuk sebab dia balik dan gagal uruskan kerja kebun pada paginya. Bila aku tanya, abang Ngah cuma jawab ringkas, “Aku sesat”.

Petang berikutnya dia kembali kebiasaannya, masuk hutan untuk buat tanda jalan keluar dari kampung itu. Malam yang akhir itu, dia minta kebenaran ayah untuk keluar. Ayah jawab sinis, kalau mahu sesat, jangan balik lewat untuk bawa keluar lembu dari kandang. Kakak perli agar dia tak keliru antara dahan pokok dan tangannya sendiri dalam malam kelam itu.

Abang Ngah keluar dan cuma kembali seminggu lepas tu bersama seorang doktor muda untuk rawat luka di kaki ayah yang sudah lama teruk. Abang Ngah keluar untuk minta bantuan rawat kaki ayah rupanya. Dia bawa susu tin dan biskut untuk kakak dan keluar semula ke pekan bersama doktor itu setelah ayah benarkan pemuda itu jaga abang Ngah dan berjanji untuk berikannya pendidikkan. Abang Ngah cuma balik dua bulan sekali untuk ziarah. Kadang-kadang tiga bulan sekali. Katanya dia kini belajar di kampus yang sangat jauh.

Lembu sudah habis masuk kandang. Ayam sudah dihalau masuk reban. Hari makin senja tapi bayang kakak tak juga kelihatan. Aku panaskan nasi dan lauk baki siang tadi. Ikan sepat masin. Tiada apa seenak itu. Hampir hari kelam barulah nampak susuk kakak dari jauh. Disampingnya ada seorang lelaki lagi. Ayah? Ayah bangun dari pusara dan balik? Ya Tuhan!

“Assalamualaikum”, lelaki itu menjerit dan melambai dari jauh. Dari samar-samar aku nampak lelaki berkumis dengan baju melayu. Kakak terus melangkah layu disisinya. Jag air bunga erat dipeluk rusuk kirinya. Abang Ngah. Tak silap lagi. Aku terjun tiga anak tangga dan terus berlari ke arahnya. Matanya kuyup yang masih merah menangis lagi. Aku ikut menangis sedangkan baru saja tadi aku melompat gembira. Kami berjalan sekeluarga ke teratak peninggalan ayah. Syukur lauk sepat masih banyak.

Esoknya kami semua bersiap. Semalaman kami berusaha pujuk kakak untuk keluar dari hutan ini. Kata dan rayuannya tak berguna di hadapan ketangkasan hujah abang Ngah. Kakak Long sendiri sedar, dia takkan boleh terus hidup dalam kepompong bahagia itu. Rama-rama pun perlu keluar dan terbang. Kak Long tak boleh menolak lagi.

Kami mulakan perjalanan keluar hutan dengan segala kenangan yang ada. “Abang, akhirnya aku berjaya keluar dari pintu kedua”, aku berseloroh. “Ah! Kau belum berjaya keluar. Kau cuma bawa pintu itu bersama,” sambil menjuih bibirnya ke arah Kak Long. Kami ketawa sambil Kak Long terpinga-pinga.

Pagi itu cahaya matahari baru terasa baru dan menyegarkan. Di hujung sana, ada harapan baru untuk pemberani.

 

Bumilangit, twittivis masyarakat. Membina masa depan dengan 140 blok aksara.