Suasana di dalam Stadium Merdeka © Ishmael Shariff
Suasana di dalam Stadium Merdeka © Ishmael Shariff

Sabtu lalu aku turun ke #KL112 sebagai pemerhati. Aku mahu lihat dengan mata kepala sendiri tanpa bergantung pada  internet yang kebanyakannya telah memalsukan maklumat untuk berpihak golongan-golongan tertentu. Sekotak Dunhill, sebuah buku catatan, dan sebotol air mineral serta tuala kecil menjadi peneman untuk aku berpesta bersama rakyat di Kuala Lumpur nanti.

Dari Shah Alam, aku menaiki bas rapidKL dan turun  berhampiran TNB Bangsar. Dari sana, jalan raya sudah dikerumuni rakyat. Kira-kira beribu-ribu banyaknya. Ini baru yang di depan. Belum kira yang di belakang lagi. Belum dikira dari pelbagai checkpoint lain lagi. Ada yang berbaju kuning, hijau, dan biru. Ada yang mengangkat sepanduk dan ada Unit Amal Pas yang berusaha mengawal keadaan supaya tidak kacau bilau. Melihat mereka hatiku sedikit teruja.

Aku berjalan bersama barisan Mahasiswa-Mahasiswa Islam Universiti Malaya yang kebanyakan ahli mereka adalah perempuan. Tersenyum aku melihat betapa tekadnya mereka, panas terik dari bebola api yang menghujani purdah mereka langsung tidak meranapkan cita-cita mereka akan mempamerkan cinta mereka akan tegaknya keadilan di muka bumi.

Perjalanan kami membawa kami ke Stadium Merdeka. Sejujurnya aku sendiri pun tak pernah ke sana sebelum ini. Aku melintasi beberapa ahli PDRM beruniform biru. Mereka tenang dan bersahaja. Yalah, Himpunan ini pun sudah direstui Kerajaan. Apa lagi yang mahu ditakutkan kalau tiada sebarang provokasi memecah di antara mereka?

Sebuah KTM lalu di sebelah kami dan berhenti. Orang-orang menjeritkan slogan-slogan keramat mereka dengan padu, tangan digenggam sebagai tanda amarah yang dahsyat.

Jeritan “Tumbang BN” dan “Bangkit Rakyat” bergilir-gilir mengisi atmosfera.

Memang tidak ragu lagi Perhimpunan ini dimonopoli parti-parti politik walaupun diberi sokongan oleh beberapa NGO besar (Bersih dan Anti Lynas). Ini yang aku kesalkan sikit kerana Perhimpunan Rakyat seharusnya jernih. Apa yang dirancang untuk menjadi Hari Kebangkitan Rakyat sudah perlahan-lahan berubah Hari Kebangkitan Pakatan Rakyat. Tetapi masih, apa yang menakjubkan aku pada hari itu bukanlah barisan-barisan yang bergendang mendesak kerajaan, tetapi melihat betapa ramai rakyat yang peduli.

Aku berhenti sebentar di Annexe Pasar Seni untuk berjumpa kawan-kawan yang lain. Kami melepak dengan geng Buku Jalanan untuk mengisi perut sebelum mara kedepan lagi. Lelaki-lelaki muda berbaju kuning menjadi latar. Sesudah itu kami teruskan lagi.

Di depan Tokong Cina Chow Kit, ada kumpulan Hindraf berkumpul sesama mereka. Aku lihat orang-orang Melayu berkongsi makan bersama orang-orang India. Orang Cina berbual seperti kawan lama dengan orang Melayu tanpa mengenal ras kulit. Benarlah kata mereka, kuasa rakyat merentasi warna dan bangsa. Jika kamu mahu lihat perpaduan rakyat tanpa diskriminasi kaum, maka kamu tak perlu tonton iklan tivi yang palsu. Cukuplah di sini mereka bersatu menggembleng tenaga.

Sampai di stadium, keadaan menjadi sesak. Orang terlalu banyak. Ahli-ahli Pas dengan bendera hijau mereka berkibaran cemerlang. Sepanjang jalan, sejadah-sejadah dibabarkan dan jemaah muslimin dan muslimat sujud menghadap Kiblat. Kumpulan #Occupy juga turut hadir bersama Fahmi Reza sebagai pengasas mereka.

Di stadium, kami terpaksa tunggu beberapa minit sebelum NGO-NGO memberi ucapan semangat. Dari atas pentas bergema suara Ambiga, Safwan Anang pengerusi SMM, A. Samad Said melagukan puisi syahdunya, dan Ito bernyanyi lagu-lagu blues. Mendengar suara Ito dan irama muziknya yang rancak membuatkan aku berasa seperti berada didalam satu festival yang besar-besaran. Manusia dari segenap ruang masyarakat menikmati perasaan euphoria yang enak itu.

Seusai itu pemimpin-pemimpin parti politik pula mengambil alih. Bahagian politik parti ini aku kurang gemar. Selang beberapa minit, dengan hari yang semakin terik, aku keluar dari stadium dan melilau sekitar kawasan luarnya. Aku membeli topeng Guy Fawkes sebagai kenangan untuk disimpan.

Dalam pukul 5 lebih, aku mengambil bas dan pulang. Keadaan aman dan selamat. Tiada provokasi. Tiada pukul itu dan ini. Dan yang lebih baik, tiada kereta terbabas dan tergolek.

Dari sini pelbagai fikiran tercetus di benakku. Sepanjang perjalanan dalam bas, aku mencatat beberapa persoalan yang aku kira penting dan wajar untuk ditanya kembali. Berikut aku gariskan untuk rujukan masa akan datang.

Perkara 10

Hak bersuara dan hak untuk mengekspresikan pendapat adalah hak yang dijamin oleh Hak Asasi Manusia. Dalam menyambut era humanitarian dan demokrasi yang semakin menjadi sebutan, hak ini telah termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Negara kita. Menurut hak ini, setiap rakyat berhak untuk bersuara, berkumpul tanpa senjata, dan menubuhkan persatuan. Hak ini hanya akan terbatal apabila parlimen mendapati hak ini mampu merosakkan hubungan awam, berbaur fitnah, dan pemberontakan terhadap mahkamah undang-undang.

Kemungkinan besar, hak bersuara adalah hak yang paling digeruni oleh Kerajaan yang bersifat korup. Manusia yang berani berkata-kata lincah dan tajam di hadapan mereka tentulah bukan manusia yang mereka ingin jumpa. Hak bersuara mewakili satu simbol penentangan, satu perbezaan pendapat, dan orang-orang yang mempunyai fikiran yang berbeza akan sentiasa berbahaya.

Sebuah Negara yang tidak menghormati Hak bersuara adalah Negara yang diambang kemandulan –sekurang-kurangnya dari segi pemikiran. Tiada apa yang lebih melambangkan rakyat melainkan hak bersuara sesebuah rakyat itu sendiri.

Langkah Kerajaan memberi izin untuk berdemo kali ini dilihat sebagai satu tindakan yang bijak. Ini menunjukkan mereka sedang bersedia untuk memeluk tubuh Demokrasi sebagai pegangannya dalam mentadbir negara.

Soalnya sekarang, sampai bilakah hak ini akan terus direstui?

Kita sedia maklum bahawa Parti Pemerintah yang kini sangat sukar untuk memberi izin berdemo di jalanan untuk peristiwa-peristiwa lepas. Malah menteri-menteri mereka dengan takbur pernah mengatakan “Berdemo ini bukan budaya orang-orang kita.”

Alangkah jika Tunku masih hidup, aku pasti dia akan tergeli hati mendengar luahan sebegitu rupa. Habis itu berdemo melawan Malayan Union itu moyang siapa kalau bukan moyang orang-orang melayu? Begitulah tabii orang-orang politikus. Masa di bawah, kemain lantang itu dan ini mahu menegakkan kebenaran dan hak. Selepas di atas, heh, rakyat yang bersuara didiamkan atas alasan “hendak menjaga imej negara.”

Adakah Hak ini akan terus dijamin selepas PRU 13? Adakah Akta Perhimpunan Awam akan ditarik semula untuk “memperbetulkan” kerajaan sesudah pilihan raya yang besar menyusul? Dan yang paling menarik, sekiranya Pakatan Rakyat mendapat kerusi Putrajaya, adakah mereka akan terus menjulang Hak Bersuara sebagai Hak yang hakiki?

Aku teringat dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W., “jihad yang terbesar adalah menyatakan Kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.”

Peranan Mahasiswa sebagai Kuasa Ketiga

Dari segenap sudut dunia dan sejarah, mahasiswa-mahasiswa telah terbukti menjadi kuasa menekan yang paling keras dalam menusuk sendi-sendi kerajaan korupsi. Kita boleh lihat bagaimana mahasiswa-mahasiswa berkumpul di Tehran menjatuhkan Monarki Iran, boneka kuasa Barat dirantau Syiah itu.

Kita boleh saksikan bagaimana mahasiswa-mahasiswa di Beijing turun padang di Dataran Tiananmen untuk mendesak kerajaan prihatin kepada orang-orang hidup melarat. Tidak perlu jauh pun, kita ada Demonstrasi Baling, beribu-ribu jiwa turun ke kancah menyinggung kerajaan yang leka.

Tetapi perkembangan mahasiswa baru-baru ini benar-benar menggusarkan. Dengan terbukanya Akta 15 Akta Universiti dan Kolej, mahasiswa-mahasiswa yang dulu kononnya menggantungkan harapan atas pangkal kebebasan politikal dan kuasa neutral kini sudah berpaling tadah. Kebanyakan daripada mereka sudah bernaung di bawah parti politik sebagai barisan pemuda. Idealis yang dipegang oleh sosok-sosok pemimpin sudah tidak kelihatan, malah mereka menjadi “buta” apabila parti politik yang kadang-kadang menjadi masalah.

Inilah yang sebenarnya menggugat kredibiliti mahasiswa-mahasiswa kita. Kita seharusnya berdikari dan berani. Kita seharusnya menolak umpan-umpan murah parti-parti politik dan berdiri berpaksikan Kebenaran yang neutral. Bukanlah aku mahu katakan bernaung dibawah bendera Parti itu satu dosa, tetapi banyak akibat buruk yang bakal menimpa. Bukan sahaja idealism mampu tercemar, kepercayaan orang awam terhadap mahasiswa juga bisa luntur.

Jiwa mahasiswa seharusnya mahal, tidak terbeli oleh kuasa kerusi mahupun wang ringgit.

Hari Rakyat atau Hari Pakatan Rakyat?

Dan ini juga menjadi satu hal yang merunsingkan. NGO-NGO seharusnya jujur dengan pendirian mereka. Jika mahu usulkan Himpunan Pakatan Rakyat, katakan saja! Ini tidak, sesudah beberapa waktu #KL112 itu, Hari Kebangkitan Rakyat sudah perlahan –lahan menjadi satu kempen politik raksasa. Aku sangat menghormati Sasterawan Negara A. Samad Said, wakil Orang Asal, MTUC, Dr Jeyakumar (PSM), dan penyanyi blues Ito (ingat Apo nak dikato?). Mereka tetap berhati “rakyat” walaupun dikelilingi pempimpin-pemimpin politikal.

Aku percaya pemimpin yang bijak bukanlah pemimpin yang menangisi agar orang mengikut jejak langkahnya, tetapi pemimpin-pemimpin yang mendidik, menunjuk jalan dan ajar, bagaimana mahu berfikir dan apakah langkah terbaik untuk membuka gelanggang perbincangan ruang awam. Pemimpin yang jujur adalah pemimpin yang mendahulukan suara rakyat ketimbang dirinya sendiri.

Suatu pantulan

Dengan kerancakan kempen-kempen, isu air, royalti Kelantan, beberapa hal agama yang diperkudakan untuk tujuan politik, masa depan untuk PRU 13 masih kabur diselaputi kabus. Kami masih tak mampu melihat apa yang ada di sebaliknya. Satu rahsia besar yang menyesakkan nafas. Apakah Parti Pemerintah akan terus memegang tampuk kuasa, atau apakah satu transisi kuasa akan beralih?

Itu tidak pasti. Pokoknya tugas kita sebagai rakyat untuk terus “mewarasi” kerajaan yang sedia ada. Kalau ada salah, turun dan bantah. Bertutur dengan hujah dan idea. Bukannya mengadu di internet membabi buta.

Dengan ini aku mengutip kata-kata keramat Abraham Lincoln, mantan Presiden Amerika Syarikat “Demokrasi adalah Kerajaan oleh Rakyat, dari Rakyat, kepada Rakyat.” Semoga kita menjalankan tugas sebagai rakyat sebaiknya.

 

Johan Radzi, mahasiswa undang-undang UiTM.