anwar_kl112
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan penggerak masyarakat sivil di pentas Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112.       ©  flickr.com/photos/caplez/

Menelusuri minggu kedua selepas #KL112 , kita melihat kebangkitan rakyat semacam telah menjadi satu amaran berbisa buat pemerintah yang sebegitu lama berpesta membodohkan pemikiran rakyat. Harus diakui kebangkitan rakyat ini telah bermula sewaktu rohnya ditiup akibat kezaliman yang dilakukan terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim, jauh semasa Reformasi 98.

Jelas, himpunan ratusan ribu rakyat itu pasti terus menerus berlaku dan harapan pemerintah zalim bahawa tsunami 2008 tidak berulang, nampaknya hanya tinggal sebagai mimpi. Gelombang ini sedang menuju destinasinya, dan halangan berupa pembodohan minda pasti akan ditelan dan dimusnahkan.

Ratusan ribu rakyat ini turun dengan istiqamah setelah belasan tahun suara dan tuntutan mereka di jalanraya disambut dengan hadangan polis, gas pemedih mata, meriam air, malah ada yang katanya dipukul serta dilokap pula berhari-hari. Nah, bukankah itu tanda pembodohan mahu disuap secara paksa kepada kita?

Namun kali ini skrip berbeza dihidangkan pemerintah. Kita fikir mereka telah insaf dan berubah, tetapi sayang pemerintah zalim ini cuba menjual diri mereka sebagai pemerintah yang bebas dan adil hanya dengan sekali laluan mudah yang diberikan untuk rakyat berhimpun. Mereka mahu memaksa rakyat percaya mereka bukan lagi zalim, walhal boleh dikira pemerintah negara inilah antara regim terakhir yang masih diberikan nyawa untuk berkuasa di Asia Tenggara ini.

Lantas, atas usaha siapakah gerakan kebangkitan rakyat ini berlaku? Kerana individu kah atau kerana satu dua badan swadaya yang menggerakkannya? Atau adakah kebangkitan rakyat ini ditunjangi semata-mata oleh pimpinan parti politik tanpa bantuan luas dari mana-mana pihak. Persoalan ini tercetus apabila sebilangan kecil manusia yang menolak pemerintah zalim, mempertikaikan pula penglibatan politisi dan parti di dalam kebangkitan rakyat ini. Mereka mengatakan himpunan ini tidak benar-benar ‘rakyat’ kerana campurtangan politisi dan bendera parti yang berkibar-kibar megah menawan bandaraya.

Kebangkitan ini adalah kebangkitan rakyat, manifestasi kebencian dan kebosanan rakyat terhadap proses pembodohan. Mereka ini bertekad benar untuk menumbangkan pemerintah zalim dengan cara menunjukkan amaran di jalanraya, dan merealisasikannya melalui pilihanraya.

Rakyat bangkit kerana kesepaduan semua pihak, baik individu mahupun badan swadaya, ditunjangi kemas oleh persatuan mahupun parti dan diperhebatkan oleh pengaruh politisi yang tidak dapat diketepikan. Maka itu wujudlah gelombang yang besar itu. Menolak penglibatan satu dua pihak yang disebutkan tadi, atas alasan membunuh semangat kebangkitan adalah satu perkara tidak wajar.

Dengan tidak meminggirkan sosok dan pengaruh individu serta mereka yang bertungkus-lumus dalam siri-siri rapat umum yang lalu, penglibatan politisi pada kebangkitan rakyat kali ini adalah kena dan tepat pada masanya. Politisi inilah frontline yang akan mewakili rakyat bagi menumbangkan pemerintah zalim melalui kotak undi.

Politisi ini jugalah, ada sebahagian sejak puluhan tahun lalu berusaha keras untuk membawa tanahair ini ke satu tahap kehidupan yang lebih terhormat. Rakyat pasti mahu melihat, idea dan semangat politisi yang akan membawa mereka merentas zaman penuh payah ini untuk lahir lagi menjadi bangsa yang lebih bertenaga.

Rakyat tegar mendokong perubahan melalui pilihanraya. Rakyat masih bermurah hati untuk tidak memilih anarki sebagai jalan pemisahan haq dan batil. Justeru pilihanraya pasti memerlukan parti politik untuk bertanding, beradu polisi dan dasar bagi memenangi undi rakyat.

Malangnya demokrasi yang diamalkan di Malaysia ini belum cukup masak, maka ruang untuk politisi dan parti yang menentang kerajaan dinafikan dari berhubung langsung dengan rakyat. Akibatnya segala dasar dan polisi tidak dapat diterjemahkan melalui cara yang betul. Di sinilah berlakunya pergelutan idea dan peluang, dan satu-satunya cara terbaik adalah dengan muncul di program penerangan, rapat umum, ceramah perdana dan himpunan rakyat yang besar seperti #KL112 ini.

Janganlah disalahertikan kemunculan politisi ini sebagai meruntuhkan sokongan rakyat terhadap gerakan kebangkitan, kenyataan ini pasti menjadikan kita sama tahap dengan pemerintah yang zalim. Sebenarnya rakyat telah mula mengerti sangat tentang kebenaran dan kepalsuan demokrasi yang mereka jalani selama ini.

Ratusan ribu yang datang sebagai amaran kepada pemerintah itu telah cukup matang untuk menilai situasi keliling, betapa mereka tidak kisah siapa yang mengetuai kebangkitan rakyat ini. Syaratnya semua pihak yang mendabik dada sebagai pemimpin itu tidak kira dari latar belakang yang mana, bersedia untuk memimpin mereka membina asas kenegaraan yang lebih stabil.

Perlu difokuskan bahawa kewujudan parti dan politisi ini akan mengukuhkan lagi demokrasi yang kita impikan, malah tidak keterlaluan mengatakan bahawa masyarakat umum dan parti politik ini saling melengkapi dan mempertajamkan wujud demokrasi.

Tohmahan-tohmahan lesu yang hanya bersandarkan emosi , bahawa politisi ini sekadar memenuhi ruang adalah begitu janggal bagi mereka yang menjulang demokrasi. Tidak dinafikan sikap segelintir politisi itu adalah curang dan leka, namun menghukum kepentingan mereka dalam mencorak masa depan yang makin pudar ini, adalah tidak bijaksana.

Sekelumit kebebasan yang kita nikmati ini adalah hasil usaha panjang parti politik dan pemimpinannya, yang didokong oleh sokongan pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat umum. Memahami bahawa keperluan antara satu sama lain ini begitu penting, pasti membuatkan mulut tidak mendahulu akal dalam bicara konteks ini. Yakinlah kesepaduan ini cuma diruntuhkan oleh anasir-anasir pemerintah yang sudah mula goyah dengan kebangkitan rakyat.

Sekalung penghargaan harus diberikan kepada sesiapa sahaja yang membina inisiatif membuka medan kebangkitan rakyat ini. Sejarah tanahair ini bakal dicoret sekali lagi dengan rakyat, pertubuhan, parti serta politisi yang berpadu semangat untuk merempuh halangan yang kian tipis hari demi hari.

Percayalah, satu dua bisikan nakal yang merendahkan peranan pihak lain, akan menganggu kitaran demokrasi yang mula menyubur ini. Kesatuan ini harus mengukuh, dan menjadi senjata pembataian yang paling ampuh untuk menghumban pemerintah zalim yang kelihatan sudah tidak mampu lagi, membodohkan akal nurani kita.

Saifuddin Shafi, Presiden Anwar Ibrahim Club, Setiausaha AMK Selangor dan rakyat biasa.

Anwar Ibrahim KL112 Malaysia politik Reformasi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan