Qaradawi ketika tiba di Dataran Tahrir untuk menyampaikan khutbahnya. © Al-Jazeera
Al-Qaradhawi ketika tiba di Dataran Tahrir untuk menyampaikan khutbahnya. © Al-Jazeera

Rakyat telah berubah, maka Allah Subhanahuwataala mengubah keadaan mereka.” ~ al-Qaradhawi, 18 Februari 2011.

Menyorokkan kebenaran juga adalah sejenis “pembohongan”. Lebih parah lagi ialah apabila kebenaran sampai, lalu dinafikannya. Ada yang cuba menutup mata, memekakkan telinga dan tak mahu berfikir. Dalam khutbah Jumaat, 4 Februari; ayat Quran inilah yang diingatkan al-Qaradhawi:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf [7]: 179)

Menabur wang ke bawah, ke desa-desa atas apa nama program sekalipun bukanlah sifat orang yang mendengar waima mereka mempunyai telinga. Juga memberikan potongan telefon pintar kepada anak-anak muda sebagai sasaran meraih undi golongan itu, juga sama sekali bukan sifat orang melihat akan punca dan segala punca derita warga muda negara ini. Pemerintah dengan ciri-ciri ini, diibaratkan dalam ingatan surah al-A’raaf [7] ayat 179 seperti dipetik al-Qaradhawi adalah “sebagai binatang ternak” dan “orang-orang yang lalai”.

Bagaimanakah tidak lalai apabila daripada kelompok yang sama yang diberikan peluang mentadbir negeri ini, namun keadaan rakyat semakin memburuk dan mereka tidak tahu. Di saat gerenderang pembangunan dicanang, tetapi rupa-rupanya dalam senyap-senyap, kekayaan negara dirompak segelintir tokoh korporat dan elit politik. Hutang negara bertambah. Ekonomi gagal dipacu. Sehinggakan segala bentuk korupsi dan rasuah telah menyebabkan potensi yang layak dan mampu terbenam. Diangkat yang bobrok dan pakar curang.

Dalam suasana yang kacau-balau ini, yang memperlagakan rakyat dengan rakyat oleh elit penguasa, maka tidak hairanlah apabila satu lagi demonstrasi besar diatur.

Tarikhnya pada hari Sabtu, 12 Januari 2013. Sasaran demonstrasi kali ini tak lain tak bukan sebagai “peringatan paling besar” dalam sejarah Malaysia—peringatan kepada pemerintah dan penzalim bahawa masa mereka sudah cukup. Cukup-cukuplah dengan perompakan dan kecurangan yang terjadi. Malahan demonstrasi itu juga nanti menjadi peringatan besar kepada mana-mana pihak, parti atau politikus yang mempunyai peluang memerintah selepas ini agar tidak mengkhianati rakyat dan amanah.

Ya! Dataran Merdeka, kata segelintir orang, bukanlah Dataran Tahrir, di Mesir. Di sebalik kata-kata itu, seakan-akan ada pengakuan juga bahawa Dataran Tahrir telah jadi lambang kebangkitan khususnya bagi negara majoriti umat Islam di luar negara Arab. Percubaan sekian lama untuk “mengharam” demonstrasi aman, gagal. Umat Islam di mana sekalipun—termasuk di Malaysia—telah dibentangkan dengan contoh kebangkitan rakyat; serta hujah bahawa agama Allah ini, yakni Islam, tidak melarang umatnya untuk berunjuk rasa dalam menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan hak-hak dan kebebasan rakyat.

Saya tak membayangkan Dataran Merdeka nantinya akan menjadi laksana Tahrir, dengan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi yang berdiri di satu sudut. Dia telah berpidato kepada anak-anak muda Mesir; kepada yang Islam dan Kristian, dan penganut agama apapun. Buku “Kebangkitan Rakyat” (diterjemah dan diterbitkan oleh ABIM | 2012) oleh al-Qaradhawi itu kini sudah dapat dibaca sendiri oleh ramai anak-anak muda di Malaysia. Paling tidak, buku itu harus menjadi panduan dan menunjuk jejak sebelum mereka sampai ke tengah-tengah Kuala Lumpur, 12 Januari, yakni pada hari Sabtu mendatang ini.

Perihal paling asas bagi buku al-Qaradhawi ialah pandangan beliau bahawa Islam tak menghalang demonstrasi aman. Rujukannya ialah sirah Nabi Muhammad SAW yang suatu waktu didatangi Saiyidina Umar. Apa mintanya Umar?

Umar bertanya dan meminta kepada Nabi, agar keluar daripada persembunyian. Begitu pula Nabi pun bersetuju dan mengeluarkan para sahabat kepada dua barisan. Satunya diketuai oleh Saiyidina Hamzah dan satu lagi diketuai Umar pula. Dengan derap kaki yang seperti penumbuk batu ke dalam lesung, maka mereka pun berjaya memasuki masjidil haram.

Begitu kemudiannya keberanian anak-anak muda Mesir yang berkumpul di Tahrir, yang mengorbankan bukan sahaja masa dan wang ringgit, malah menjelang Februari 2011, ada 150 orang yang terbunuh. Puluhan lagi hilang. Punca kebangkitan rakyat tidak lain menurut al-Qaradhawi apabila “Parti Kebangsaan yang dikuasai tokoh korporat ini merampas kekayaan negara, melanggar undang-undang dan menghalalkan darah anak bangsa. Kemahuan mereka hanya ingin terus kekal berkuasa.”

Dihitung bahawa 8 juta rakyat Mesir telah keluar rumah dan berkumpul di seluruh negara. Tak cuma di Tahrir, bahkan di mana-mana. Apabila demontrasi demi demonstrasi tak tercegahkan, dengan sebuah puisi diingatkan pula oleh al-Qaradhawi kepada pemimpin negara, bahawa: Jangan berlaku zalim walaupun engkau mampu berbuat demikian | Kerana kezaliman itu pasti berakhir dengan penyesalan | Barangkali mata penzalim nyenyak tidur tetapi orang yang dizalimi sentiasa berjaga.

Ya! Semua kesedaran dan bukti sebegini datangnya daripada tradisi negara majoriti umat Islam yang sangat signifikan dan penting, iaitu Mesir. Bukan dengan rujukan seperti revolusi September 1998 di Indonesia yang dicemuh segelintir orang sebagai tidak bersifat “Islamik”. Contoh yang Islamik yang bagaimana lagikah yang perlu dibawakan agar umat Islam dan rakyat Malaysia dapat belajar daripadanya?

Jalan-jalan penghalang untuk keluar rumah dan berhimpun dengan aman sesungguhnya telah dibuka. Impian dan usaha pemerintah untuk menggagalkan kebangkitan rakyat nampaknya sudah total gagal—gagal bukan kerana tokoh manapun, atau parti apapun… tetapi gagal disebabkan apabila sampai kesedaran di dalam hati nurani rakyat, bahawa mereka tertindas. Kongkongan adalah hal yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

Nah! Saya tak fikir anak muda yang berhempas membanting tulang untuk membayar PTPTN akan berdiam diri. Tak siapa akan percaya bahawa orang dewasa yang diperas wang saku mereka untuk membayar tol ratusan ringgit sebulan tak akan berbuat apa-apa. Tak masuk akal untuk pemandu teksi yang dihambat seperti lembu untuk membayar sewa kereta ribuan ringgit sebulan akan duduk goyang kaki. Kita semua takkan percaya, pekebun yang tanah mereka dirampas, harga tanaman mereka jatuh teruk; dengan penternak yang kehilangan hak memelihara haiwan ternak akan hanya bermain seruling lalang di tepi padang ragut.

Setiap sendi kekuatan rakyat akan bangkit. Pada 12 Januari ini. Dengan izin Allah, sebuah peringatan tegas akan sampai ke muka para penzalim. Biar sekebal manapun mereka.

 

Hasmi Hashim, juga dikenali sebagai Buddhi Hekayat, penulis, penulis lirik dan politisi. Boleh juga ikuti @HasmiHashim.