Rampasan Kuasa Morsi

oleh
6 Disember, 2012 | kategori Esei | komen [0] | Cetak | kongsi  

Salah satu poster yang dibawa oleh penentang Morsi di Dataran Tahrir. © Mohamed Abd El Ghany/Reuters

Presiden Mesir Mohamed Morsi naik ke tampuk kekuasaan atas sokongan Ikhwan Muslimun dengan janji bahawa beliau akan membentuk sebuah kerajaan berasaskan perundangan Islam, Syariah.

Adalah begitu ironik bahawa dengan memberikannya kuasa yang sangat besar, termasuk imuniti daripada rayuan kehakiman terhadap keputusannya, dia telah melanggar salah satu prinsip utama Syariah: tiada siapa yang mengatasi undang-undang.

Tidak harianlah jika jalan-jalan di Kaherah dipenuhi dengan para demonstran, sebahagiannya dari Ikhawan Muslimun sendiri yang mengecam perebutan kuasa itu. Jika Morsi sanggup melanggar undang-undang Tuhan, maka tidakkah ia membuatnya sebagai satu lagi diktator dalam acuan Hosni Mobarak.

Seluruh dunia Islam sedang melihat Mesir. Keupayaan kerajaan yang dipilih secara demokratik  di sebuah negara majoriti Muslim yang penting itu demi mewujudkan masyarakat moden berdasarkan Syariah merupakan sebuah penyataan yang kuat.

Sejak enam tahun yang lalu, saya telah berkerja dengan beberapa ulama terkemuka Islam untuk mewujudkan Indeks Syariah untuk menentukan bagaimana bentuk sebuah negara Islam yang tulen yang berlandaskan tradisi. Majoriti ulama kita menyimpulkan bahawa demokrasi perwakilan, yang boleh menentukan kehendak kolektif rakyat, adalah kaedah terbaik kontemporari dalam menentukan kehendak Ilahi.

Sebuah demokrasi yang sihat–seperti yang dikenali orang Amerika–memerlukan semak dan imbang, terutama sistem kehakiman yang bebas.

Kerana itu dekri Morsi untuk menghalang mahkamah untuk menyemak keputusan beliau adalah salah mengikut konsep tradisi Syariah. Sejak zaman Nabi Muhammad, mahkamah sentiasa mempunyai peranan yang bebas dalam memeriksa kuasa eksekutif.

Semasa Empayar Uthmaniyyah, Sheikh ul-Islam, yang merupakan gabungan kedua-dua pihak berkuasa kehakiman dan pihak berkuasa agama, mempunyai kuasa yang lebih untuk menggulingkan eksekutif iaitu sultan.

Menurut al-Quran, pihak yang mempunyai kuasa tertinggi politik adalah tertakluk kepada semakan kehakiman. Hukum Allah dalam sebuah negara Islam yang ideal diwakili melalui sistem kehakiman yang bebas, yang bertindak untuk memastikan keadilan dan berfungsi sebagai penyemak kepada proses perundangan.

Dengan mengambil kuasa itu ke dalam tangannya sendiri, Morsi telah mengkhianati kepercayaan yang diletakkan  orang terhadap dirinya semasa pilihan raya lepas. Kehakiman sedang membuat serangan balas. Mahkamah Agung Perlembagaan menuduh Morsi menghentam sistem keadilan.

Morsi boleh berhujah bahawa ini adalah satu tindakan sementara yang diperlukan untuk memastikan kemenangan akhir sebuah negara demokratik di bawah Syariah. Saya mempunyai dua masalah dengan kenyataan itu. Pertama, kebanyakan pemerintah yang zalim awalnya sering menggunakan hujah itu sebagai alasan untuk merampas kuasa. Dan kedua, sesiapa yang mendakwa mahu mencapai tujuan moral mesti menggunakan cara moral. Jika tidak, tujuan moral itu jika pun dicapai, akan tercemar.

Satu eksperimen besar sedang dijalankan di Mesir. Dunia memerhati dengan penuh minat. Umat ​​Islam sedang mencari jalan untuk menyertai dunia moden ini tanpa menjejaskan nilai-nilai moral mereka. Mereka berharap kerajaan yang adalah hamba rakyat, bukan tuan mereka.

Morsi di bawah tekanan yang hebat. Untuk muncul sebagai pemimpin hebat yang mengubah paradigma, dia mesti mengelak daripada godaan untuk tunduk kepada keangkuhan dan menganggap dia boleh memerintah secara bersendirian.

Tiada siapa yang mengharapkan Morsi menjadi George Washington, tetapi peranannya di sini adalah sama dengan Washington apabila beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat yang pertama. Setiap langkah yang Morsi ambil menetapkan satu duluan dalam mewujudkan institusi-institusi pentadbiran yang baru dan menetapkan hubungan yang betul antara mereka.

Mesir perlu–dan Mesir mahu– sebuah kerajaan institusi, bukan individu. Mereka mahu semak dan imbang antara institusi mereka. Mereka mahu kedaulatan undang-undang. Mereka tidak mahu memegang tampuk kuasa individu untuk seumur hidup.

Washington menjadi besar kerana dia enggan untuk mengambil kuasa yang dia dapat raih dengan mudah. Beliau secara sukarela meletak jawatan selepas dua penggal dan membenarkan institusi yang diwujudkan oleh Perlembagaan untuk bergerak ke hadapan. Kerana itu, Amerika Syarikat adalah sebuah negara demokrasi, dan demokrasi telah merebak di seluruh dunia.

Dapatkah Morsi menghadapi cabaran ini?

 

Imam Feisal Abdul Rauf, penulis Moving the Mountain, adalah pengarang buku yang bakal terbit, The Syariah Index Project, yang bertujuan untuk menentukan dan mengukur apa yang dinamakan Negara Islam. Beliau adalah pengerusi Cordoba Initiative, sebuah projek  multinasional yang bebas, pelbagai agama, yang menyediakan penyelesaian inovatif untuk kawasan-kawasan di mana konflik antara masyarakat Islam dan Barat memburukkan keselamatan tempatan dan global. Tulisan beliau telah muncul dalam The Wall Street Journal dan Foreign Policy, dan Time telah menamakan beliau antara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

 

Diterjemahkan oleh Ikram Hamid, tulisan asal terbit di The DailyBeast.

 

 

 

 

 


Tags: Amerika Syarikat, George Washington, Imam Feisal Abdul rauf, Mesir, politik
 

 

Tinggalkan Komen