Awal Disember, kota Taipei basah disimbah hujan. Tetapi ia masih punya pesona yang menyerlah, memilih untuk tidak larut sama di dalam cuaca yang muram.

Dari lebuh ZhongXiao, bahagian kota ini terlihat mewah. Tetapi, yang anehnya, imej berkenaan semacam tidak terburu-buru ingin dibangunkan. Ia seperti mesra pembangunan, dan dalam masa sama, kekal dengan susur-galur perjalanan pembangunan kotanya yang masih berbekas dan masih ketara terlihat.

Bangunan-bangunan masih setia dengan gaya binaan yang lama. Banyak yang kelihatan kusam dan kumuh, tentunya bukan dengan maksud yang jelek. Hanya binaan serba baru, misalnya menara Taipei 101, menampakkan senibina moden keseluruhannya. Itupun, bentuk yang begini, tidak begitu mempengaruhi seni reka bangunan yang lain-lain.

Mungkin itu agaknya yang menjadi daya pikat kota Taipei; kotanya diatur cara bersulam antara yang baru dan yang lama. Tanpa penghapusan jejak sejarah untuk sedikit sebanyak meninggalkan ‘konteks’ tentang bagaimana kota itu didirikan dalam rentang waktu yang tercatat dari satu generasi ke generasi yang lain.

Cara hidup orang-orangnya juga berbeza. Bayangkan begini; kelompok masyarakat dari tanah besar China dengan gaya hidup, mentaliti dan infrastruktur di Tokyo. Hibrid, yang terbaik daripada dua budaya terdekat yang membolehkannya berdiri dengan cemerlang dan tersendiri. Dan sekaligus menjadikan orang-orangnya terbuka dan mudah diramahi sesiapa pun.

Dengan beberapa biji pau sayur panas, saya memasuki kedinginan untuk sekurang-kurangnya melihat sebahagian daripada elemen toleransi dan rasa hormat yang dihamparkan oleh Taipei.

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah
© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah

 

© Hafiz Hamzah