Pertemuan pimpinan Pakatan Rakyat © AnwarIbrahimblog

Ada pihak yang mengumpamakan Pakatan Rakyat adalah seperti perkahwinan sejenis kerana tiada pembahagian peranan yang jelas di antara parti komponen, dakwanya.

Pihak tersebut mendakwa, perkara ini amat jelas kerana Pakatan Rakyat tidak mencapai kesepakatan dalam perkara penting. Pihak tersebut mempersoalkan;

“Dalam PAS siapa ketua? Mursyid am atau presiden? Dalam PKR – (ketuanya) presiden (Datuk Seri) Wan Azizah (Wan Ismail) atau (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)?

“Sama dalam DAP – Karpal (Singh), Setiausaha Agung Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang? Ini pun tidak jelas.

“Dalam parti-parti Pakatan Rakyat ibarat perkahwinan sejenis – kita tidak tahu siapa ibu siapa bapa. Ia tidak jelas,” katanya.

Minda yang tidak memahami akan letak perkara ini adalah minda diktator. Minda yang tidak memahami ‘keseimbangan kuasa’ dan ‘dinamisme politik’ inilah yang membentuk kekuasaan diktator.

Oleh kerana itu minda yang sebegini tidak dapat membezakan di antara jawatan Presiden Parti dan Perdana Menteri. Minda ini juga tidak dapat membezakan kedudukan Parti Politik yang menerajui Parlimen dan Kerajaan. Bagi mereka Presiden Parti mereka ialah Perdana Menteri dan Perdana Menteri mereka ialah Presiden Parti. Bagi mereka juga, Parti mereka adalah Kerajaan dan Kerajaan adalah Parti mereka. Tiada pemisahan.

Perdana Menteri pada Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu (pada bulan April 2011), apakah beliau pergi ke Sarawak atas nama Perdana Menteri atau Pengerusi Barisan Nasional? Jika pergi atas nama Perdana Menteri masakan beliau berkempen di atas pentas Barisan Nasional? Jika beliau pergi atas nama Barisan Nasional masakan dia menabur janji atas nama Kerajaan? Minda diktator tidak dapat membezakan perkara ini.

Bagi mereka, Presiden Parti Politik mereka adalah segalanya. Dia Presiden Parti. Dia juga Pengerusi Barisan. Dia juga Ketua Parti yang menerajui Parlimen. Dia juga Perdana Menteri. Malah dia juga Menteri Kewangan dan Menteri Wanita. Lalu apabila dia pergi ke melawat kawasan atas nama ‘Perdana Menteri’, maka bendera ‘dacing’ yang disusun atur di sepanjang jalan . Apa kena mengenanya jawatan di dalam kerajaan dengan parti politik?

Maka jika dia adalah segalanya, siapa yang mampu menjalankan semak-imbang terhadap tugasnya? Dia sendiri yang bekerja, lalu dia sendiri yang menjalankan semak-imbang terhadap kerjanya? Persoalan lainnya apakah beliau benar-benar mampu dan berkemahiran dalam semua urusan tersebut?

Oleh kerana itu Pakatan Rakyat membawa suatu dinamisme politik yang berlainan. Ada pembahagian kuasa antara Mursyid Am dan Presiden. Ada pembahagian kuasa antara Ketua Umum dan Presiden. Ada pembahagian kuasa antara Pengerusi Parti, ketua di parlimen dan setiausaha agung.

Wujud juga pembezaan antara parti politik dan kerajaan yang memerintah. Oleh kerana itu timbul hujah antara Karpal Singh dan Dr. P. Ramasamy. Ini kerana Karpal Singh berhujah bahawa tindakan seseorang atas nama exco kerajaan pemerintah tidak boleh menggunakan kuasa dan pengaruhnya atas nama kerajaan untuk menentukan calon pilihanraya. Kerana calon pilihanraya ditentukan oleh parti.

Lihat juga dinamisme politik di Perak semasa Pakatan Rakyat berkuasa. Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar sedangkan beliau semasa dilantik bukannya berkedudukan paling tinggi di dalam parti dan begitulah keadaannya sehingga sekarang. Oleh kerana itu semak imbang itu berlaku dengan lebih baik sama ada daripada rakyat, pihak opposisi, parti peneraju DUN (Pakatan Rakyat) dan dari parti-nya sendiri.

Begitu juga di Selangor. Walau Menteri Besar datang dari Parti Keadilan Rakyat (komponen dari Pakatan Rakyat), tetapi jawatan tertinggi parti tersebut di Selangor tidak diterajui oleh beliau. Inilah dinamisme politik dan keseimbangan kuasa.

Jika dilihat di luar negara juga, sebagai contoh di Amerika Syarikat. Calon Presiden tidak semestinya dari jawatan tertinggi di dalam parti. Malah Ketua Dewan (house leader) juga bukan dari kalangan yang tertinggi di dalam parti. Yang pentingnya ialah calon presiden boleh melaksanakan kerja dengan baik. Ini kerana suasana menerajui parti politik, dewan penggubalan dan negara adalah berlainan.

Dalam keadaan tertentu kita perlukan pemimpin yang kuat bekerja dan berkemahiran. Dalam keadaan yang lain pula kita perlu pemimpin yang mahir dalam fikrah (pemikiran, ideologi dan sebagainya). Dalam suatu keadaan yang lain kita mungkin memerlukan pemimpin yang bersifat amanah.

Islam sendiri menyatakan bahawa untuk menjadi pemimpin mesti mempunyai ciri-ciri seperti qawiyy dan ‘aleem (kuat, mahir, berilmu dan berkeupayaan) lagi ameen dan hafeez (amanah, bertanggungjawab dan berakhlak).

Ada ciri-ciri tententu dalam setiap urusan. Ibnu Taimiyyah di dalan bukunya As Siyasah As Syar’iyah menyatakan bahawa  sifat amanah (ameen) dan kuat (qawiyy) jarang berhimpun pada seseorang.

Maka dalam keadaan ini pilihlah pemimpin mengikut keadaan dan tugas. Oleh kerana itu di dalam Al-Quran menyatakan;

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambillah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” (al-Qasas 28: 26).

Dan,

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (‘ALEEM)” (Yusuf 12: 55).

Ayat di atas amat menarik sekali kerana pada ayat tentang pekerjaan (termasuklah memilih pemimpin) maka Allah mendahulukan perkataan qawiyy. Tetapi dalam perihal perbendaharaan (kewangan dan perkara-perkara berkaitan), maka Allah mendahulukan sifat yang hafeez. Begitulah dinamisme dalam politik dan kekuasaan. Amat perlu difahami disini bahawa sifat qawiyy dan ameen jarang terkumpul pada seseorang. Oleh kerana itu mesti diwujudkan pembahagian kuasa untuk mencapai proses kerja yang terbaik.

Ini bukan masalah kita tidak tahu siapa ibu atau siapa bapa. Ini bukan masalah siapa ketua. Tetapi ia berkenaan semak-imbang dan pembezaan kuasa.

Ada beza dan lain selok-beloknya antara menjadi ketua kerajaan, ketua di Dewan Rakyat, Ketua Umum parti, Presiden parti, penasihat parti, dan sebagainya. Tetapi bagi mereka yang telah dikaburi mindanya dengan sifat kediktatoran, meraka tidak dapat membezakan perihal ini. Bagi mereka bahawa presiden parti adalah ketua bagi segalanya.

Oleh kerana mereka tidak mengenal dinamisme politik dan keseimbangan kuasa, kerana itu jugalah mereka sering tergelincir di dalam sistem trias politica. Mereka sering keliru dan sengaja tidak mahu ambil peduli tentang konsep pengasingan kuasa di antara legislatif (penggubal), eksekutif (pelaksana) dan perundangan (kehakiman). Sering kita lihat berlaku kekeliruan diantara eksekutif dan legislatif, malah badan eksekutif juga sering membayangi pihak legislatif . Eksekutif juga adakala dilihat mencampuri urusan perundangan.

 

Rizuan Abdul Hamid, alumnus Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia’

 

 

Anwar Ibrahim Barisan Nasional Dr Wan Azizah Ismail Dr. P. Ramasamy Ibnu Taimiyyah Karpal Singh Lim Guan Eng Lim Kit Siang Nizar Jamaluddin Selangor

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan