Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang di Muktamar Pas Ke-58 © themalaysianinsider.com

Hanya ada dua buah parti: Umno dan Pas. Hanya dua parti itu yang saya kenal waktu kecil-kecil di kawasan mukim satu Lubuk; mukim kecil di Batu Pahat. Parti lain seperti DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) ada-lah sesekali dapat saya baca di dalam surat khabar, atau seribu tahun sekali baru masuk TV.

Orang-orang Pas di kampung saya, di tahun 80an dan awal 90an, tidak seramai orang-orang Umno. Mungkin dalam lima-enam orang. Mereka rata-rata adalah kaki masjid dan tak begitu campur orang. Mereka hidup sesama mereka.

Politik—meski menarik—tapi ia adalah kerja dan urusan orang tua-tua. Maksudnya perihal orang dewasa. Bukan kepada kami anak-anak kampung yang nakal; melompat ke padang bola bila tamat kelas… tak kira hujan-panas; atau berlari ke sungai bila ada peluang untuk “godak parit” sebelum maghrib.

Saya tak faham, kenapa pada suatu hari di sekolah agama, lima orang daripada saya dan kawan-kawan dipanggil ke depan kelas. Berdiri beratur memanjang dari kiri ke kanan. Cikgu meradang-radang. Gopoh-gopoh dia membuka tali pinggangnya. Kami berlima disesah di bahu. Seorang tiga kali. Das-das-das!

“Jangan masuk kelas lambat!” dia marah bukan main. Tak macam biasa. Pada giliran saya, saya rasa sesahannya paling kuat.

Kami dibenarkan duduk di meja masing-masing. Pada hitungan kami, kami tidaklah lambat. Seperti biasa masuk kelas bila bunyi loceng—loceng itu sepertinya loceng penjual aiskrim. Pagi itu, semua di dalam kelas diam macam tanah kubur. Termasuk budak-budak perempuan. Cikgu pun buka kitab. Sepanjang itu juga, dia sebenarnya tak mengajar apa-apa tentang isi kitab. Dia bercakap tentang ‘politik’, yang katanya dia dapat tahu ada di antara kami yang buat aduan yang dia telah bercakap politik dan ‘mengajar politik’ di dalam kelas.

Sehingga ke hari ini, saya tak tak jelas kepada siapa dia tujukan kata-kata itu walaupun sesahan di bahu perit sekali…

Perbalahan Pas-Umno turun-naik. Kala waktu-waktunya sangat memburuk sehingga ada yang tak bersalaman apabila bertemu. Orang-orang Pas yang kerja makan gaji dengan “gomen” diugut oleh orang-orang Umno untuk dipindahkan sekiranya mereka masih degil untuk aktif bersama Pas. Surat khabar seperti Harakah jadi barang terlarang.

Sehingga pada hujung 80-an, Umno bergolak. Umno pecah dua. Timbul Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang masuk dalam Pilihanraya Umum 1987.

Sebelum itu, beberapa pilihanraya kecil menggegar negeri Johor. Termasuk di Tanjung Puteri dan Parit Raja. Di Tanjung Puteri, orang kuat Umno, Sharir Samad telah bertanding atas tiket bebas. Dia menang. Calon Umno—yang juga calon BN—kalah. Kata makcik yang tinggal dan mengundi di sana, calon BN tidak tampan dan sebab itu dia mengundi Sharir!

Terdengarlah istilah “parti kunci” sebab Sharir yang bertanding atas tiket bebas menggunakan lambang kunci. Di Parit Raja, “parti kunci” bertukar menjadi “parti ikan” sebab calonnya menggunakan lambang ikan. BN yang diwakili oleh Yassin Kamari menang tidaklah begitu besar. Tak macam biasa apabila Umno-BN menang puluh-puluh ribu.

Hanya menjelang pilihanraya umum, S46 ditubuhkan. Presidennya orang Kelantan, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

Ada beberapa orang Umno masuk S46. Ceramah-ceramah pun diadakan. Kali pertama juga saya lihat, orang-orang S46 yang merupakan bekas anggota Umno bekerjasama dengan orang-orang Pas yang sebelumnya jadi musuh mereka. Pilihanraya menjadi sangat tegang. Calon S46 dikatakan mendapat undi yang banyak. Jiran saya sendiri, masuk S46. Di rumahnya dipenuhkan dengan bendera warna kuning. Di tengahnya bulatan hijau dengan tulisan “46”.

“46” adalah tahun di mana Umno ditubuhkan. Dalam masa sama, Dr Mahathir yang ditentang “Team B” menubuhkan Umno baru. Umno yang sedia ada diharamkan oleh mahkamah. Maknanya, Umno yang ada sekarang ini, bukan lagi Umno yang asal. Tapi abah ikut masuk “Umno Baru”. Antara sebabnya, sebab parti itu namanya Umno.

Umno yang pernah diharamkan itulah yang kini dipimpin oleh Najib Razak. Presiden yang menggantikan Abdullah Ahmad Badawi. Namun, saya bertanya kepada diri sendiri, apakah Umno yang minggu lepas bersidang dan berhimpun di Kuala Lumpur itu adalah Umno yang saya kenal seperti waktu saya kecil-kecil di kampung dahulu? Saya bertanya begitu kerana saya—bahkan seluruh kerabat keluarga saya—bukan lagi orang Umno.

Parti itu sempat saya sertai kira-kira 5 tahun sewaktu di kampung. Abah yang isikan borangnya.

Selepas Reformasi 1998, saya tidak lagi bersama Umno. Melihatnya cuma dengan kaca mata sejarah dan pengalaman di kampung sahaja; waktu itu orang-orang Umno yang boleh duduk di kopitiam Cina seperti arwah atuk. Tak ada bahasa perkauman yang tegang. Walaupun atuk adalah “pak haji” tetapi tak canggung untuk berkawan dengan tauke Cina di pekan.

Masa berlalu. Selepas 14 tahun ini, saya melihat orang-orang Pas yang satu ketika dahulu ‘keras’, kini lebih berbuka. Saya lebih rapat dengan mereka; juga sering membimbangi parti itu, memikir dan berusaha agar Pas dapat berkembang seiring perkembangan masa. Meski saya sendiri, bukan orang Pas.

Ucapan Presiden Pas dalam Muktamar Pas dua minggu lalu, cukup memberangsangkan. Saya katakan kepada kawan-kawan, ucapan penggulungan Hadi Awang itu bisa memberi tafsiran dan makna baru kepada Pas… menggaris semula perjuangan Pas di atas lanskap dan realiti Malaysia. Negeri kita ini bukan sahaja berbilang kaum, tetapi berencam kefahaman dan pemikiran.

Hadi bukan cuma menekankan hal-hal asas kenegaraan seperti Perlembagaan, kedudukan agama Islam dan hak-hak pribumi termasuk orang Melayu, tetapi beliau juga melihat bagaimana perlunya Pas mendekati persoalan orang bukan Islam yang juga menjadi rakyat negeri ini. Cerita kecil yang dibawakan ialah kisah keluarga seorang pramugari yang hari ini tanpa takut-takut untuk menyokong dan mengundi Pas.

Di seberang ucapan Hadi, seminggu selepas itu, ucapan Najib Razak pula di dalam Perhimpunan Umno. Semangat dan isi ucapannya juga bertentangan dengan ucapan Hadi apabila Najib dengan tanpa rasa takut menyebutkan dia akan menentang “liberalisme” dan “plularisme”—dua faham yang baginya musuh besar orang-orang Umno sekarang.

Memusuhi dan mahu menentang sehabis-habisnya dua kesedaran politik moden itu tak lain telah benar-benar menutup kembali Umno menjadi parti yang sempit dan jumud. Bukan lagi seperti Umno yang saya kenal sewaktu kecil-kecil. Bukan lagi Umno yang menjadi parti yang disertai orang atuk saya, seorang haji yang boleh duduk minum kopi bersama kawan-kawan Cina-nya.

Kini kita hidup di abad ke-21. Bukan di zaman di mana sumber maklumat hanya dimonopoli Utusan Melayu dan Harakah disembunyi-sembunyikan. Politik yang berasaskan kaum adalah politik abad lepas. Politik abad ke-21 adalah politik yang berasaskan pemikiran dan idea. Generasi hari ini mungkin masih tercari-cari titik pertemuan untuk sebuah perpaduan, di samping kita harus sedar tidak akan wujud perpaduan yang bulat dan mutlak.

Perpaduan atas nama bangsa dan agama telah pecah. Paling tidak terbukti sewaktu Pas-dengan-S46 bekerjasama dahulu. Perpaduan hari ini tidak lain adalah perpaduan atas nama keadilan—dengan mengakui pelbagai rencam dan kepelbagaian pemikiran masyarakat. Itulah yang Umno kalutkan. Mungkin ia parti yang sudah terlalu tua. Semakin keras. Parti yang hanya saya kenang di dalam memori sewaktu di kampung dulu-dulu.

Masa depan anak Malaysia adalah masa depan yang bukan lagi perlu berbekas dengan sesahan tali pinggang di bahu. Yang dahulunya dilihat keras, kini mengakui realiti; yang dahulunya licik, kini terbelit dengan helah sendiri.

 

Hasmi Hashim juga dikenali sebagai Buddhi Hekayat.