Obama sebelum menyampaikan ucapan penerimaanya. © CNN

Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih banyak.

Malam ini, lebih 200 tahun selepas bekas koloni ini berjaya mendapatkan haknya untuk menentukan takdirnya sendiri, dan amanah untuk menempurnakan kesatuan kita ini bergerak ke depan.

Ia bergerak ke depan kerana anda. Ia bergerak ke depan kerana anda semua mengukuhkan tekad semangat yang telah mengatasi kesengsaraan dan peperangan, semangat yang telah menjulang negara ini dari lembah kehancuran kepada sinar harapan yang baru, dengan keyakinan bahawa setiap daripada kita akan mengejar impian kita masing-masing, kita adalah satu keluarga besar Amerika, kita jatuh dan bangun bersama sebagai satu negara dan sebagai satu bangsa.

Malam ini, di dalam pilihan raya ini, anda, warga Amerika, telah mengingatkan kita semua – walaupun jalan yang ditempuh itu payah, perjalanan yang ditempuh itu panjang, kita telah mengangkat diri kita, berjuang mengharunginya, dan jauh di sudut hati kita tahu untuk Amerika Syarikat, yang terbaik itu bakal tiba.

Setinggi penghargaan saya ucapkan buat setiap warga Amerika yang menyertai pilihan raya ini. Waima anda mengundi buat kali pertama – atau berdiri lama di dalam barisan – yang mana, sesuatu yang kita perlu perbaiki.  Tidak kira anda telah berusaha keras membanting tulang atau menjawab panggilan telefon – sama ada anda mengangkat tanda Obama atau tanda Romney, anda telah membuatkan suara anda didengari dan anda telah mencipta satu kelainan.

Saya baru saja bercakap dengan Gabenor Romney dan mengucapkan tahniah kepada beliau dan Paul Ryan di atas satu kempen yang begitu bersungguh-sungguh. Kami mungkin telah ‘bertempur’ dengan sengit, tetapi semua itu hanya kerana rasa kasih kami yang mendalam untuk negara ini dan kami benar-benar peduli akan masa depan negara ini. Daripada George kepada Lenore kepada anak mereka Mitt, keluarga Romney telah memilih untuk menyumbang kembali kepada Amerika melalui perkhidmatan awam. Ini adalah satu legasi yang kita sanjungi dan hargai malam ini. Dalam minggu mendatang, saya berharap dapat bersama dengan Gabenor Romney untuk kami berbincang dan merancang usaha untuk bekerjasama bagi negara ini bergerak ke depan.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat dan juga pasangan saya sejak empat tahun lepas, pahlawan Amerika, naib presiden terbaik yang sesiapa dapat impikan untuk bersama, Joe Biden.

Saya tidak akan menjadi diri saya hari ini tanpa wanita yang telah bersetuju untuk mengahwini saya 20 tahun lepas. Biar saya ungkapkan ini secara terbuka. Michelle, saya lebih mencintai anda sekarang. Saya sangat bangga untuk menyaksikan bagaimana seluruh Amerika juga jatuh cinta dengan kamu sebagai wanita pertama negara ini.

Sasha and Malia – dihadapan mata kami, kamu berdua membesar menjadi dua orang gadis yang kuat, bijak dan cantik, sama seperti ibu kamu. Saya sangat bangga dengan kamu. Tetapi saya akan sebutnya sekarang, satu anjing peliharaan sudah memadai.

Kepada pasukan kempen dan sukarelawan yang terbaik di dalam sejarah politik. Terbaik dan yang paling terbaik selamanya. Sebahagian daripada anda baru kini turut serta, sebahagian lagi sudah berada di sisi saya sejak dari awal.

Tetapi anda semua adalah keluarga. Apa jua yang anda lakukan atau ke mana jua pun anda pergi selepas ini, anda akan sentiasa membawa saat bersejarah yang kita lakar ini bersama. Anda semua akan sentiasa dikenang seumur hidup oleh seorang Presiden yang sangat berterima kasih. Terima kasih kerana setia percaya – ke setiap bukit, setiap lembah. Anda julang saya sepanjang waktu, dan saya akan sentiasa terhutang budi untuk setiap perkara dan usaha hebat yang telah anda sumbangkan.

Kadangkala, saya tahu yang kempen politik mungkin tampak remeh bahkan bodoh. Ini menjadi hujah mereka yang sinis, yang seringkali mengatakan bahawa politik ini tidak lebih dari sekadar pertandingan ego atau lapangan kepentingan tertentu. Tetapi jika anda berpeluang untuk bercakap dengan mereka yang hadir ke kempen-kempen kami dan yang berpusu di gim-gim sekolah tinggi atau melihat mereka yang bekerja sehingga lewat malam di pejabat kempen di sebuah perkampungan kecil yang jauh dari rumah, anda akan temui sesuatu yang berbeza.

Anda akan mendengar kecekalan di dalam suara sukarelawan muda di lapangan, yang berusaha keras mengharungi kolej dan ingin memastikan setiap kanak-kanak punyai peluang yang serupa. Anda akan mendengar betapa bangganya sukarelawan yang pergi dari pintu ke pintu rumah kerana abangnya akhirnya punya pekerjaan apabila industri tempatan menambah satu lagi syif.

Anda akan mendengar semangat patriotik yang tinggi di kalangan pasangan tentera kita yang berkempen dengan telefon sehingga lewat malam untuk memastikan tidak ada seorang pun yang telah berperang untuk negaranya selama ini, tidak perlu lagi berperang untuk mendapatkan pekerjaan atau untuk mendapatkan tempat berteduh apabila mereka pulang.

Inilah sebabnya kita melakukan ini. Ini adalah apa yang politik mampu lakukan. Sebab itu pilihan raya penting. Ia tidak kecil, ia besar. Ia penting. Demokrasi di dalam negara berjumlah 300 juta orang memang boleh menjadi haru biru dan kompleks. Kita punya pendapat sendiri. Setiap kita punya keyakinan sendiri. Dan apabila kita harungi masa sukar, membuat keputusan besar sebagai satu negara, ia pasti akan mengelorakan jiwa, mencetus kontroversi. Itu tidak akan berubah walaupun selepas malam ini. Dan ia tidak seharusnya. Perdebatan ini menjadi tanda aras kebebasan kita, dan jangan kita lupa, mereka di negara lain terpaksa bergadai nyawa hanya untuk miliki peluang untuk berdebat mengenai perkara yang asas, peluang untuk membuang undi seperti kita hari ini.

Tetapi dengan perbezaan wujud antara kita, setiap kita masih tetap berkongsi harapan yang sama untuk masa depan Amerika.

Kita mahukan anak-anak kita membesar di dalam negara yang punya akses kepada sekolah terbaik dan guru terbaik.

Sebuah negara yang seperti legasinya menjadi teraju global di dalam teknologi, penemuan dan inovasi, beserta peluang pekerjaan dan perniagaan baru yang baik.

Kita mahukan anak-anak kita yang tinggal di Amerika tidak terbeban dengan hutang, yang tidak dilemahkan kerana ketidaksamarataan, yang tidak terancam dengan kuasa pemusnah akibat planet yang semakin membahang.

Kita ingin mewariskan negara yang selamat dan dihormati dan disanjungi di seluruh dunia, sebuah negara yang dipertahankan oleh bala tentera terkuat di dunia dan perajurit terbaik – yang pernah dikenali dunia – tetapi juga sebagai sebuah negara yang bergerak dengan keyakinan melampaui tempoh perang ini bagi mencorak keamanan yang dibina atas janji kebebasan dan maruah untuk setiap individu manusia.

Kita percaya pada Amerika yang pemurah, Amerika yang penyayang, Amerika yang bertoleransi terhadap anak -anak golongan pendatang yang belajar di sekolah-sekolah kita dan ikrar taat setia kepada panji kita.

Terhadap anak muda di selatan Chicago yang memandang kehidupan ini melampaui sekadar apa di jalanan.

Terhadap anak-anak pembuat perabot di Carolina Utara yang bercita-cita untuk bergelar doktor atau saintis, seorang jurutera atau usahawan, seorang diplomat bahkan seorang presiden. Inilah masa depan yang kita harapkan. Inilah wawasan yang kita kongsi bersama. Di situlah yang kita harus tuju – ke hadapan.

Di situ kita harus pergi.

Kita mungkin tidak bersetuju, kadangkala dengan hangat, tentang bagaimana untuk menuju ke situ. Seperti yang telah kita hadapi lebih dua kurun, kemajuan hadir dan pergi berulang-ulang. Ia tidak sentiasa satu garisan lurus semata. Ia jarang satu laluan yang mudah.

Dengan hal itu mengesahkan bahwa kita punya harapan dan impian yang sama tidak akan meruntuhkan halangan, menyelesaikan segala masalah kita atau menggantikan segala usaha yang teliti untuk membentuk persetujuan dan memilih untuk berkompromi walaupun pahit bagi membawa negara ini ke hadapan.

Tetapi kita harus bermula di atas kesedaran yang sama. Ekonomi kita semakin pulih. Peperangan lebih sedekad semakin berakhir. Kempen yang panjang kini berakhir.

Dan tanpa mengira sama ada saya menerima atau tidak undi anda, saya telah mendengar anda semua. Saya belajar dari anda. Anda membuatkan saya Presiden yang lebih baik. Dan dengan kisah dan perjuangan anda semua, saya akan kembali ke Rumah Putih lebih bersemangat dan berkeyakinan dengan tugas yang menanti dan masa depan yang terbentang.

Malam ini anda mengundi untuk tindakan, bukan politik seperti biasanya. Anda mengundi untuk fokus pada tugas anda, bukan kami.

Dan dalam minggu dan bulan yang mendatang, saya benar berharap dapat duduk semeja dan bekerjasama dengan pimpinan daripada kedua-dua parti untuk mengatasi apa jua cabaran yang mampu kita selesaikan bersama. Mengurangkan defisit, mereformasikan kod cukai, memperbetulkan sistem imigresen, memerdekakan kita daripada minyak (petroleum) asing. Kita punya banyak tugasan untuk dilunaskan.

Namun ini tidak bermakna tugas kita selesai. Tugas warga di dalam demokrasi kita ini tidak terhenti bilamana anda mengundi semata-mata. Amerika bukanlah tentang apa yang boleh dilakukan untuk kita, ianya adalah mengenai berusaha bersama, biarpun menghadapi kesusahan dan proses pentadbiran mengecewakan tetapi perlu. Inilah asasnya kita berdiri di sini.

Negara ini punya kekayaan melebihi mana-mana negara pun, tetapi bukan itu yang membuatkan kita kaya. Kita punya bala tentera yang terkuat di dalam sejarah, tetapi bukan itu yang membuatkan kita kuat. Universiti kita, budaya kita dicemburui seluruh dunia, tetapi bukan itu yang membuatkan mereka menjejakkan kaki ke negara kita.

Apa yang membuatkan Amerika ini luar biasa adalah ikatan yang telah menyatukan negara yang paling majmuk di dunia, keyakinan bahawa takdir kita dikongsi bersama – bahawa negara ini hanya terdiri apabila kita menerima kewajipan kita ke atas satu sama lain dan juga generasi masa depan, telah ramai warga Amerika berjuang dan terkorban kerana ingin mencapai kebebasan yang hadirnya dengan tanggungjawab dan hak, dan lebih lagi adalah dengan cinta dan kebajikan dan peranan dan patriotisme. Ini yang membuatkan Amerika hebat.

Malam ini harapan saya tinggi kerana saya pernah melihat semangat ini terlaksana di Amerika. Saya pernah melihat di dalam perusahaan keluarga yang mana pemiliknya sanggup memotong gaji sendiri daripada memberhentikan jiran mereka daripada berkerja dan golongan pekerja yang sanggup memotong jumlah jam mereka daripada melihat sahabat mereka kehilangan kerja.

Saya telah melihatnya di dalam jiwa perajurit-perajurit kita yang ingin kembali berkhidmat walaupun telah cacat anggota badan dan di dalam jiwa setiap anggota SEAL yang merempuh tangga-tangga gelap dan bahaya kerana mereka tahu ada sahabat mereka yang akan menjaga mereka.

Saya pernah melihatnya di perairan New Jersey dan New York, di mana pemimpin dari setiap parti dan peringkat kerajaan menolak jauh perbezaan fahaman di antara mereka untuk membantu komuniti bangkit semula dari kehancuran yang diakibatkan ribut yang dahsyat.

Dan saya baru saja melihat tempoh hari di Mentor, Ohio, di mana seorang bapa mengisahkan tentang anaknya yang berusia lapan tahun yang bertarung nyawa dengan leukemia hampir-hampir membuatkan keluarganya kehilangan segalanya yang mereka miliki jika tidak kerana reformasi khidmat kesihatan diluluskan beberapa bulan sebelum syarikat insurans menamatkan pembiayaan.

Saya bukan hanya berpeluang untuk bercakap dengan bapa itu tetapi juga sempat bertemu dengan anak perempuan yang cukup luar biasa itu. Dan apabila dia (bapa) berucap di hadapan khalayak, mendengar kisah bapa itu, setiap ibu bapa di dalam bilik itu bergenang airmata kerana mereka tahu kanak-kanak perempuan itu boleh jadi anak mereka sendiri.

Dan saya tahu setiap warga Amerika mengimpikan masa depan yang cerah. Itulah kita. Inilah negara yang saya cukup bangga untuk terajui sebagai Presiden.

Dan malam ini, walaupun dengan segala kepayahan yang kita harungi, walau apa pun kekecewaan kita dengan Washington, kini harapan saya lebih tinggi untuk masa depan kita.

Tidak pernah setinggi ini harapan saya untuk Amerika. Dan saya pinta anda semua untuk kekalkan harapan itu. Saya tidak bercakap tentang keyakinan membuta tuli, jenis harapan yang tidak mengendahkan betapa besarnya tugas yang menanti atau halangan yang merintang laluan kita. Saya tidak bicara tentang angan-angan yang memungkinkan kita untuk hanya duduk di pinggiran atau menikus dari perlawanan.

Saya sentiasa percaya bahawa harapan ini adalah sesuatu yang kental di dalam jiwa kita yang sentiasa berkeras, walaupun bukti yang bertentangan, bahwa tetap ada sesuatu yang lebih baik menanti kita selagi mana kita punya ketabahan untuk mencapainya, untuk terus bekerja, untuk terus berjuang.

Amerika, saya percaya kita mampu bina di atas kemajuan yang telah kita kecapi dan terus berjuang untuk pekerjaan dan peluang baru dan jaminan untuk kelas pertengahan. Saya percaya kita mampu berpegang pada janji asas kita, idea bahawa jika anda sanggup untuk bekerja kuat, tidak kira siapa anda atau dari mana anda atau bagaimana rupa anda atau di mana anda tinggal. Tidak kira sama ada anda berkulit hitam atau putih atau Hispanic atau Asia atau Orang Asal Amerika atau muda atau tua atau kaya atau miskin, berkemampuan, kurang kemampuan, homoseksual atau heteroseksual. Anda boleh berjaya di Amerika jika anda sanggup mecuba.

Saya percaya kita mampu kecapi masa depan ini bersama kerana kita tidak terpisah seperti yang tergambar oleh politik kita. Kita tidak sinis seperti pandit politik. Kita lebih hebat dari sekadar jumlah cita-cita individu dan kita kekal lebih daripada sekadar koleksi negeri biru dan negeri merah. Kita, selamanya akan menjadi, Amerika Syarikat.

Dan bersama, dengan bantuan anda dan rahmat Tuhan, kita akan teruskan perjalanan ke hadapan ini dan mengingatkan kepada dunia kenapa kita hidup di negara yang paling hebat di dunia.

Terima kasih, Amerika. Tuhan rahmati kamu. Tuhan rahmati Amerika Syarikat ini.

 

Ucapan ini diterjemah daripada “Acceptance Speech” Presiden Obama di Chicago pada Rabu, 7 November 2012 selepas memenangi Pemilihan Presiden Amerika untuk penggal kedua,

Video The New York Times

 

Amerika Syarikat Barack Obama Joe Biden Michele Obama Mitt Romney

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan