Jack Gilbert di New York University © Jon Crispin

Ia bermula dengan sebuah judul yang menolak bayang keindahan; Refusing Heaven. Entah apa yang yang menarik tentangnya, saya kurang pasti. Tetapi pengenalan seperti itulah yang mampu bertahan. Pertama, untuk didekati. Seterusnya, untuk jatuh cinta.

Puisi, di tangan orang-orang yang tak pernah merasakan diri mengerti dan difahami sepenuhnya, akan hadir dengan lembut, tetapi berupaya untuk menewaskan rasa. Agaknya, itulah syurga yang ditundukkan oleh Jack Gilbert, ketika saya mula-mula menemui sajak-sajaknya yang mencengkam lewat himpunan puisi dengan judul yang menggoncang itu. Apa manusia ini gila, dengan serpihan tenaga yang minimal, mahu menolak syurga yang indah?

Tetapi, sebegitu keberadaan puisi yang cemerlang, yang malah berani untuk menggantikan sebuah keindahan dengan sebuah lagi keindahan lain. Malangnya, keindahan yang kedua  ini, acap kali tak dapat dinikmati ramai orang; kerana puisi sering diseliputi bayang-bayang yang sukar diperlihatkan sosoknya. Sekali lagi, seperti jatuh cinta, puisi tak akan dapat diperjelaskan wajahnya. Hanya gesaan naluri, yang gementar dan tak pernah yakin, akan meremangkan roma. Mulut, kuncikan.

Seperti mana tak ramainya orang dapat merasakan listrik itu, begitu jugalah tak seberapa ramai yang berdaya untuk melahirkannya. Tentang siapa yang dapat memahami puisi, soal itu tak usah ditanya. Kerana jika ada yang menjawab dengan cara pasti, mereka hanya berpura-pura.

Syurga bagi Jack Gilbert mungkin ada dua, satu syurga rasa dan satu lagi syurga kata-kata. Hanya orang seperti dia, dengan kepekaan terhadap perasaan yang kaya, akan dengan bersungguh menghadirkan kedua-duanya di dalam hampir setiap sajak yang dipersembahkan. Ini mengambil masa yang lama; sehingga tarikh nyawanya tercabut dari tubuh tanggal 13 November lalu, hanya ada lima himpunan puisi yang pernah diterbitkannya. Hanya lima, dan nipis-nipis.

Tetapi, tidak keterlaluan jika saya menyatakan, yang lima itulah paling rencam dan deras gesaan naluri yang menjalar sehingga menjerut leher pembacanya sampai lemas. Lemas kerana ketelitian penggunaan perkataan, peralihan suasana dan aliran perasaan yang begitu kuat menyebabkan kita tak akan mahu melukakan hati sesiapa juga yang berada dalam lingkungan terdekat. Kerana, menurut lelaki ini, tak ada harta lain lagi yang paling bermakna jika dibandingkan dengan sarat rasa dalam berkasih dan bersayang.

Terhadap apa pun; tidak setakat terbatas kepada rasa cinta lelaki-perempuan. Untuk saya, selepas berkali-kali mengulang baca sebahagian sajak-sajaknya, ‘cinta’ ditangan Jack Gilbert adalah cinta yang terdepa luas, yang mengambil alih rahsia hidup yang kelam dan menyarungkan cahaya yang, kalau pun tidak mewah, tetap boleh dimanfaatkan oleh semua orang-orang yang hatinya telah disentuh.

Saya tidak percaya derita itu wajib untuk membenihkan keberhasilan mana-mana penulis atau penyajak, atau seniman umumnya. Tetapi, saya ingin percaya bahawa derita, dalam bentuknya yang meremuk getir rasa dan emosi, dapat dibendung dan disalirkan menjadi satu tenaga baru. Tenaga yang akan membuatkan air mata mula bergenang; buat diri sendiri dan juga orang lain. Apatah lagi, suara orang seperti Jack Gilbert ini di dalam sajak-sajaknya sangat sayu. Kepedihannya adalah penawar. Kesedihannya ada sebuah perkongsian. Saya tak fikir saya akan melupakan rasa itu, kalau pun saya tak pernah menghafal mana-mana sajaknya.

Otak itu kini mati dan tubuhnya
tak lagi dijangkiti semangat.
Kini hanya ada mesin-mesin yang berbicara
kepada mesin itu. Menolongnya untuk kembali
kepada perjalanan dulu yang asli.

– Immaculate, untuk Michiko Nogami

Tak ada yang silap jika baris-baris berkenaan tidak membawa apa-apa makna. Cuma, setelah kita membayangkan sebuah kota di Jepun, tempat Jack Gilbert pernah menetap dan bertemu dengan Michiko Nogami, seorang artis seni visual, mungkin cerita yang lebih berkesan akan mula terselak.

Lelaki berkenaan, menurut sebahagian teman-teman rapatnya, bukanlah penggila wanita seperti yang tergambar dalam sejumlah sajak-sajak yang ditulis. Hanya ada tiga orang suri paling utama, seorang daripadanya adalah Michiko, yang juga sempat diperisterikan. Cuma, pengenalan dan waktu-waktu yang dikongsi itu, yang kemudiannya mengilhamkan, saya fikir amat perit buat Jack.  Dan, yang tergambar pada sajak yang satu ini, dengan lirih, dia menuliskan wanita itu sebagai sebuah ‘mesin’; entahkan dengan maksud mengharap, kecewa atau berserah. Michiko dimamah perlahan-lahan oleh barah, dan mati pada usia 30an berdekad-dekad dulu.

Dari kalangan penyajak Amerika moden, Jack Gilbert berdiri di ruang yang tersendiri. Sebuah enigma, dengan kerancuan, yang dipelajarinya dari sebuah kehidupan, kemudian diulit halus menjadi sesuatu yang amat menyenangkan; sajak-sajak dengan berbaur hal-hal peribadi yang bergelora.

Seperkara lagi yang menarik tentang orang ini ialah dia hanya menginginkan orang (dalam maksud sebagai pembaca) berurusan dengan sajak-sajaknya saja, bukan dengan dirinya sendiri. Dan dia memang mengunci mulut daripada membuka kisah-kisah dalam hidup. Kerana, jika dilihat dari satu sudut, perkara itu sudahpun dilakukannya melalui himpunan puisi yang diterbitkan.

Ini penting, sebagai seorang pekerja seni; menghasilkan sebuah kerja yang cukup sifat dan perasaan, yang mempunyai kekuatan untuk menjelaskan dirinya sendiri tanpa perlu pembikinnya untuk bersusah payah bercakap sana-sini untuk mewakili kerjaannya itu. Di sini, saya fikir, Jack Gilbert berhasil untuk muncul sebagai seorang individu magis.

Dia pergi kerana sakit dalaman paru-paru yang membawa kepada komplikasi pneumonia. Usianya mencecah 80an tahun. Ketika itu, hidupnya sederhana saja. Jack Gilbert menyewa sebuah bilik di rumah seorang teman lama, bertahun-tahun sebelum itu lagi. Tak mewah, tetapi semuanya mencukupi barankali. Ada juga orang menyatakan bahawa penyajak ini, ketika hidupnya merundum, hidup di jalanan tanpa rumah. Jack Gilbert tidak mengulas apa-apa. Cuma, teman-temannya menyanggah.

Dia membiarkan apa saja bentuk tanggapan menyinggahi imejnya tanpa banyak kepedulian. Kerana dia tahu, siapa yang benar-benar memberi erti kepada lingkungan hidupnya, yang memang sentiasa ingin dicapai, baik secara fizikal mahupun dari gesaan naluri. Bukan pembacanya. Bukan orang-orang yang ingin mendekatinya dengan seribu satu alasan untuk memotretkan kehidupannya.

Dan perjalanan hidupnya sendiri untuk saya adalah sebuah puisi yang menarik; kandas sekolah tinggi, diterima masuk University of Pittsburgh disebabkan kesilapan pendaftar, menerima Hadiah Penyair Muda Yale pada 1962 untuk himpunan puisi pertama berjudul Views of Jeopardy dan pada kebanyakan waktu, menyepi tanpa berita, berkelana bersama suri-suri hidupnya ke seluruh pelusok dunia, mengajar di universiti asing dan berurusan dengan hal-hal sekitar itu.

Pada kebanyakan waktu juga, dia hidup seperti kita, seperti orang biasa. Kelebihannya, dia mempunyai satu sentuhan luar biasa untuk memukau dengan kata-kata. Oh, bukan kata-kata, maafkan saya. Tetapi dengan perasaan dan keyakinan bulat hati yang dipersembahkan untuk setiap orang yang berusaha untuk menemukan mutiara dari dalam sajak-sajaknya. Kita hanya perlu merasa untuk tahu. Tak lebih daripada itu.

Sepotong lagi sajaknya yang diterjemahkan:

Untuk sebelas tahun telahku sesalkan ia,
menyesal kerana aku tidak lakukan apa
yang hendak aku lakukan ketika aku duduk di sana
empat jam melihat dia mati. Aku mahu
merangkak di dalam perkakas mesin itu
dan rangkul dia dalam pelukanku, mengetahui
asas, sedikit lebihan ingatannya
samar-samar mengenali bahawa akulah
yang membawa dia ke tempat yang sedang dia tujui.

– By Small And Small: Midnight To Four A.M

Selamat jalan, Jack.