Reformasi, cat minyak (1997) Zulkifli Yusof.

Malaysia memerlukan “perubahan struktural”. Bukan sekedar perubahan runcit-runcitan atau kecil-kecilan.

Masalah yang berulang-ulang seperti rasuah, korupsi, penyalahgunaan kuasa jelas tetap berlaku waima para pelakunya sudah maklum pula akan bahaya gelaja berkenaan kepada diri dan negaranya. Seperti seorang mat fit yang tahu bahaya dan akibat hisap dadah—keburukan kepada diri, keluarga dan negaranya—tetapi dia tetap gian juga.

Kalau kes seperti mat fit itu terpakai kepada ramai orang berkuasa kalamana tetap berulang-ulang kelakukan rasuah, pecah amanah dan korup, maka tandanya ada yang tak kena dalam “sistem kenegaraan” negara ini. Misalnya, mengapakah dengan undang-undang ketat sekalipun tapi tetap wujudnya rasuah? Bukan sahaja di peringkat bawah, tetapi juga di peringkat tertinggi sekalipun…

Kita boleh jangkakan ada dua sebab. Pertama kerana rasuah sudahpun berakar dalam masyarakat, dan sebab kedua yang lebih klasik ialah rasuah sebenarnya dilindungi oleh elit penguasa. Maksudnya, elit-elit yang bercakap pasal anti rasuah, di dalam gelap dan diam-diam, mereka juga mengambil dan melakukan rasuah.

Apakah boleh diharap lagi kalau orang yang sewajarnya bermoral, sudah tak lagi bermoral? Pemimpin yang sepatutnya tak melakukan rasuah, tetapi terpalit tuduhan menerima komisyen RM500 juta. Umpama seorang bapa yang sepatutnya melindungi anak, rupanya dialah perogol paling besar di dalam rumah-tangga sendiri.

Tapi pemimpin politik memang bukan bapa. Dia tetap “orang lain”. Dia boleh sahaja tidak mempunyai kasih sayang kepada sesiapa, kecuali kepada diri dan keluarganya sendiri. Pada tingkat kesedaran inilah, maka yang perlu dilakukan ialah perubahan sistem, atau apa yang disebut sebagai “perubahan struktural”. Tanpa perubahan struktural, maka rakyat umumnya takkan terselamat, waima oleh pemimpin yang mendakwa dirinya “malaikat” atau “bayang-bayang Tuhan” di muka bumi ini sekalipun.

Kelakuan pecah amanah, rasuah, korup dan pengkhianatan pemimpin nampaknya bukan sahaja berulang-ulang berlaku, bahkan mereka terselamat pula. Itu semua benar-benar menunjukkan ada yang tak kena dalam sistem kenegaraan Malaysia. Kalau Malaysia ini ibarat sebuah rumah, maka rumah ini terasa sudah senget dan ada yang tak kena. Ya! Masakan tak senget apabila tapak, alang-alang dan tiang-tiang adalah sama seperti 55 tahun dahulu. Ketika mula-mula rumah Malaysia ini didirikan.

Lima puluh lima tahun adalah masa yang agak lama. Bayangkanlah sebuah rumah di kampung yang berusia 55 tahun, maka tentulah rumah itu banyak bocor-boncang. Bukan sahaja pada bumbung, tetapi juga pada dindingnya yang sudah kopak-kopak. Bahaya apabila tak siapa sedar hal ini. Cukup bahaya apabila sama ada pemerintah mahupun oposisi hanya sebuk mengabis masa untuk menampal-nampal kerosakan sana sikit, sini sikit.

Selepas PRU-12 kira-kira empat tahun lalu, “usaha menampal” semakin galak. Di pihak Pakatan Rakyat, antara program yang dilaksanakan ialah “pemberian air percuma” mahupun kenaikan gaji cikgu KAFA. Di pihak Putrajaya pula, sudah dua tahun ditabur duit bantuan BR1M 500 ringgit.

Semua program populis sedemikian nampaknya baik—seakan-akan memulang kekayaan negara kepada rakyat. Lebih-lebih lagi dengan program air percuma sepertimana di Selangor. Namun semua itu tetap sahaja tak mencecah atau tak sampai kepada peringkat reformasi atau perubahan struktural. Ia masih sahaja ibarat menampal atap yang bocor, tetapi dengan tapak dan tiang rumah yang semakin dan semakin reput.

Sedih juga apabila Najib Razak yang mahu menampil diri sebagai ‘reformis’ dengan slogan traformasi-nya itu tetapi tak pula menyedari persoalan ini. Begitu juga dengan ramainya pemimpin-pemimpin di dalam Pakatan Rakyat iaitu di kalangan mereka yang begitu galak menjerit tentang “reformasi” tapi juga tak sampai akalnya untuk melihat ada masalah lebih besar dan teras daripada hanya menjadikan kebajikan sebagai tujuan politik paling tinggi.

Kalaupun ada yang menyebutkan “kita ada agenda besar”, namun apa agenda besar itu? Sehingga kini masih tak dapat dirungkai secara fakta, gagal disusun ke dalam dasar yang boleh diucapkan dengan petah. Paling tinggi sekalipun, mereka akan bercakap secara klise dan poyo iaitu “untuk membela rakyat” atau “demi rakyat”.

Keduanya sama. Sama ada BN mahupun Pakatan. Retoriknya serupa. Sementara dapat kuasa, setakat ini “agenda besar” itu rupa-rupanya hanya untuk melaksanakan beberapa program populis. Buruk dan gagalnya di pihak BN apabila hutang negara bertambah sampai RM500 bilion; dan baik di pihak Pakatan [dengan mengambil Selangor sebagai contoh] apabila berjaya mengumpul rezab sampai lebih RM2 bilion.

Sekali lagi kedua itu tetap sahaja mirip “politik pembangunan” di era Dr Mahathir Mohamad. Saya tak menentangkan dan barangkali juga bersetuju dengan program kebajikan rakyat, namun persetujuan ini tak bermaksud kita tak boleh bertanya, apakah pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat sedar akan perlunya benar-benar memahami makna reformasi dengan gagasan “perubahan struktural”? Kalau sedar, mengapa selepas empat tahun, tak ada tanda-tanda untuk bergerak ke arah melakukannya? Paling tidak membincangkannya. Di dalam ucapan-ucapan, sedikit pun tak terdengar kesedaran akan hal ini…

Memang saya ragu. Ragu bukan apa, tetapi ragu bahawa pemimpin Pakatan yang bersempatan utk berkuasa sekarang pun seolah-olah tak begitu sedar dan fasih apakah perubahan struktural itu? Meski dengan bersangka baik dan kalau betul pun tak tahu, mengapa tak pernah pula bertanya?

Mengapa tak didokong sungguh-sungguh program yang dapat membibit dan membuahkan buah fikiran? Apakah saudara lupa bahawa kemenangan saudara bukan bermula dalam kotak undi, tetapi kerana kesedaran dan idea yang sudah tumbuh lama sebelum 8 Mac 2008. Ambil contoh kecil, kesedaran menolak semangat perkauman sempit dan menerima politik kepelbagaian telah wujud difikir dan diperjuangkan jauh sebelum PRU ke-12 lagi.

Taklah menghairankan kalau pemimpin Umno-BN tak faham, tapi memang menyedihkan apabila pemimpin Pakatan juga kabur-kabur apa makna dan gagal menyadap semangat reformasi-islah-perubahan. Tak menjiwai pengertian pembaharuan. Apabila kabur-kabur, lalu yang diratibkan setiap malam di dalam cemarah-ceramah selepas Isya’ ialah soal lembu, cincin atau kapal selam bla-bla-bla.

Kalau pun selesai soal lembu, selesai juga isu kapal selam, Malaysia sudah ada pendidikan percuma, ada PM baru, kita boleh mandi seratus kali sehari; persoalannya ke mana Malaysia akan dipandu?

Memang takkan siapa dapat beri jaminan bahawa rasuah dapat dihapuskan, kerana berebut untuk menjadi Tuan kepada rumah yang bernama Malaysia nampaknya lebih mengasyikkan berbanding kesedaran betapa bobrok dan kunonya sistem kenegaraan Malaysia.

Apa hendak dikata apabila pemimpin sudah seperti mat fit. Kuasa pula macam dadah. Ia mengkhayalkan. Meski kita tinggal dalam rumah buruk, namun kerana kuasa dadah itu, maka dianggapnya rumah ini mahligai permata.

Tipis keyakinan dan harapan baru. Khususnya kepada anak-anak muda, perjuangan reformasi persis baru bermula. Semula.