Sudah lewat malam, semua orang telah beredar dari kafe ini kecuali seorang lelaki tua yang duduk di bawah bayang-bayang dedaun pokok, terbentuk daripada cahaya lampu. Di siang hari, jalanan ini dipenuhi debu-debu kotor, dan pada malamnya pula, kabus dan embun menyerap debu-debu jalan. Oleh sebab itu, lelaki tua itu suka minum di sini kerana dia pekak dan sekarang pada waktu malam suasana sunyi dan dia dapat merasai perbezaannya.

Dua pelayan di dalam kafe itu tahu orang tua itu sudah hampir mabuk, dan walaupun dia pelanggan setia kafe ini, mereka tahu kalau dia terlalu mabuk dia akan meninggalkan kafe tanpa membayar. Jadi mereka sentiasa memerhatikan tingkah si tua ini.

“Minggu lepas dia cuba bunuh diri,” kata salah seorang pelayan.

“Sebab?”

“Dia kecewa, putus asa.”

“Sebab apa?”

“Tiada sebab.”

“Macam mana kau tahu tiada sebab?”

“Dia orang yang banyak duit.”

Mereka duduk bersama di meja dekat dengan dinding dan pintu masuk kafe sambil mata meliar melihat susunan meja-meja kosong. Kemudian kembali pandangan mereka pada meja yang diduduki pelanggan terakhir yang berada di bawah bayangan dedaunan yang beralun ditiup angin.

Seorang gadis dan askar melalui jalan itu. Lampu jalan berkilau pada nombor tembaga yang tertekap di kolar askar itu. Gadis yang tidak menutup rambutnya itu berjalan tergesa-gesa di sebelahnya.

“Askar tu patut berjaga-jaga. Sudah lewat. Guard akan kutip dia nanti,” kata salah seorang pelayan.

“Apa nak kalut kalau dia dapat apa yang dia nak?”

“Dia patut berambus dari jalan ni sekarang.  Guard akan tahan dia. Baru lima minit tadi saja guard-guard lalu sini.”

Lelaki tua yang duduk terselindung di bawah bayang-bayang itu mengetuk piring dengan cermin matanya.Pelayan yang muda bergegas pergi ke arahnya.

“Apa encik nak?”

Lelaki tua itu tengok mukanya, dan berkata, “Brandy lagi satu.”

“Encik akan mabuk nanti,” kata pelayan. Lelaki tua itu perhatikan mata pelayan muda itu.Pelayan kemudian terus berganjak kembali ke dalam kafe.

“Dia akan duduk sini sepanjang malam,” katanya kepada teman sekerjanya. “Aku mengantuk ni. Aku tak pernah tidur atas dari pukul tiga. Dia patut bunuh diri minggu lepas.”

Pelayan itu mengambil botol brandy dan piring dari kaunter dalam kafe dan berjalan keluar ke meja orang tua itu.Dia letakkan piring dan tuangkan segelas penuh brandy.

“Kau patut bunuh diri minggu lepas,” katanya kepada lelaki pekak itu. Orang tua itu gerak-gerakkan jarinya. “Sikit lagi,” katanya. Pelayan itu tuangkan sampai penuh gelas, sampai melimpah, mengalir ke atas piring. “Terima kasih,” kata orang tua itu. Pelayan kembali ke dalam kafe bersama botol brandy dan kembali duduk bersama temannya.

“Dia dah mabuk sekarang,” katanya.

“Tiap-tiap malam dia mabuk.”

“Sebab apa dia nak bunuh diri?”

“Mana lah aku tau.”

“Macam mana cara dia cuba bunuh diri?”

“Dengan tali gantung.”

“Siapa potong tali tu?”

“Anak saudaranya.”

“Sebab apa mereka potong tali tu?”

“Takut dengan rohnya.”

“Berapa banyak duit yang dia ada?”

“Banyak.”

“Umur dia ni mesti dalam lapan puluh.”

“Apa-apa pun, aku rasa dia dah lebih dari lapan puluh.”

“Aku harap dia berambus. Aku tak boleh tidur lewat dari pukul tiga. Waktu yang tidak sesuai untuk tidur.”

“Dia berjaga sebab dia suka.”

“Dia ni kesunyian. Aku tak. Aku ada bini tengah tunggu atas katil.”

“Dia pun pernah ada isteri jugak.”

“Kalau ada lagi pun bini dia, mesti lagi menyusahkan.”

“Mana kau tau? Mungkin hidup dia lagi baik dengan beristeri.”

“Anak saudara dia yang jaga dia. Kau cakap dia yang potong tali tu.”

“Aku tau.”

“Aku tak mau jadi tua macam dia. Jadi tua ni macam satu benda yang jijik.”

“Tak juga. Laki tua ni kemas. Walau pun mabuk, minuman tak tumpah dari mulut dia. Tengok lah sendiri.”

“Aku tak mau tengok dia. Aku harap sangat dia berambus. Dia tak hormat orang yang ada tanggungjawab.”

Mengenakan cermin matanya, si tua itu mendongak melihat dataran di depannya sebelum dihalakan pandangan ke arah dua pelayan itu.

“Brandy lagi,” katanya sambil mengangkat gelas.

“Dah habis,” kata pelayan muda, bercakap dengan gaya sintaksis terabur seperti yang selalu didengar melalui perbualan antara orang bodoh dengan pemabuk atau pelancong. “Dah cukup untuk malam ni. Kafe dah nak tutup.”

“Lagi,” kata orang tua pekak itu.

“Tak. Dah habis,” katanya mengesat penjuru meja dengan kain pengelapnya sambil menggelengkan kepala.

Orang tua itu bangun, perlahan-lahan mengira piring-piring, keluarkan dompet kulitnya dan letakkan duit-duit kertas di meja, dengan tambahan tip.

Pelayan itu melihat dia beredar ke jalanan; seorang lelaki tua berjalan perlahan-lahan, kurang gah, tetapi bermaruah.

“Kenapa kau tak biarkan saja dia duduk minum?” tanya pelayan yang satu lagi. Mereka sedang menarik bidai kafe. “Bukannya pukul dua setengah lagi pun.”

“Aku nak balik tidur.”

“Apa lah sangat sejam?”

“Penting buat aku dari orang tua tu.”

“Sejam tetap sejam, tak ada beza.”

“Kau pun dah bercakap macam orang tua. Dia boleh saja beli sebotol, minum kat rumah.”

“Tak sama.”

“Tak, bukan,” akui pelayan yang mempunyai isteri itu. Dia tak mahu dirinya dipersalahkan.Dia cuma tergesa-gesa.

“Habis tu? Kau tak takut ker balik rumah sebelum habis waktu kerja?”

“Kau mengejak aku ke?”

“Bukanlah, brader, cuma nak melawak saja.”

“Tak,” pelayan yang tergesa-gesa itu berkata, bangkit sesudah menarik bidai besi. “Aku ada keyakinan. Aku penuh dengan keyakinan.”

“Kau muda, kau penuh dengan keyakinan, dan berkerjaya  pula,” kata pelayan yang tua. “Kau ada segala-galanya.”

“Apa pula yang kau tak ada?”

“Semuanya… Kecuali kerja.”

“Kau ada semua yang aku ada.”

“Tak. Aku tak pernah ada keyakinan dan aku dah tak muda.”

“Dah lah. Tak payahlah nak mengarut. Tutup.”

“Aku jenis yang suka duduk lewat di kafe,” kata pelayan yang lebih tua itu, “dengan semua orang yang tak mahu tidur, dengan semua orang yang dahagakan cahaya lampu malam.”

“Aku nak balik, aku nak tidur.”

“Kita dua tak sama,” kata si pelayan tua. Dia belum pun bersiap untuk pulang. “Ini bukan persoalan tentang muda atau keyakinan walau pun dua-dua benda ni menarik. Setiap malam, aku rasa sangat berat nak tutup sebab hati aku terasa semacam ada orang-orang yang perlukan kafe macam ini.”

“Brader, ada banyak kelab, bodega, kedai lain yang buka sepanjang malam.”

“Kau tak faham. Ini kafe yang bersih dan selesa. Kafe ni cantik. Cahaya lampunya sangat sesuai… Dan, waktu macam sekarang ni, ada pula bayang-bayang daun-daun.”

“Selamat malam,” kata pelayan muda.

“Selamat malam,” balas pelayan tua. Sambil menutup lampu elektrik diamenyambung perbualan dengan dirinya sendiri. Sudah tentu cahaya itu penting, tapi lebih penting untuk tempat ini sentiasa kemas dan selesa. Kau tak perlukan muzik. Sudah tentu kau tak perlukan muzik. Dan kau tak perlu terpacak di depan bar dengan penuh maruah walaupun itu-itu sahaja yang disediakan di bar-bar lain waktu ini. Apa yang dia takutkan? Bukanlah perasaan gentar atau takut. Ia adalah kekosongan yang dia benar-benar faham.Ia semuanya adalah tentang kekosongan dan dia juga kesunyian.

Cuma sebab itu dan sebab cahaya lampulah satu-satunya yang diperlukan, dan sedikit kekemasan,kerapian dan susunan yang teratur.

Sesetengah tinggal dalam suasana itu dan tak pernah merasainya tetapi dia tahu bahawa itu semua cuma nada y pues nada y pues nada. Kita punya kekosongan dalam kekosongan, kekosongan adalah namamu, kekosongan adalah kerajaanmu, kamu akan menjadi kekosongan dalam kekosongan sama seperti kekosongan di dalam kekosongan. Berikan kekosongan ini kekosongan harian kami dan kami kosongkan kekosongan kami ke dalam kekosongan seperti orang-orang terdahulu sebelum kami. Hindarkan kami dari kekosongan dan masukkan kami bersama kekosongan. Salut pada kesunyian, penuh dengan kekosongan; kekosongan sentiasa bersama kamu.

Dia tersenyum dan berdiri di hadapan meja bar dengan kilauan dan wap mesin kopi.

“Apa kau nak?” soal pelayan bar.

Nada.”

Otro loco mas,” balas pelayan bar sebelum mengalihkan badan.

“Satu cawan kecil,” kata pelayan itu.

Pelayan bar menuangkan kepadanya.

“Cahaya sini terlampau terang dan menyegarkan, tapi bar ni tak cukup teratur,” kata pelayan.

“Nak tambah lagi segelas copita?” tanya pelayan bar.

“Tak apa lah, terima kasih saja,” kata pelayan kemudian berjalan keluar. Dia tak suka bar dan bodega. Kafe yang bersih, cukup cahanya adalah satu hal yang sama sekali berbeza. Sekarang, tanpa berfikir panjang, dia akan berjalan pulang kembali ke biliknya. Dia akan meniarap di katil dan apabila cahaya Subuh muncul, dia akan tidur. Apa-apa pun, katanya pada diri sendiri, ini cuma insomnia. Ramai orang mengidap penyakit ini.

 

Terjemahan Amaluddin Zhafir daripada cerpen Ernest Hemingway bertajuk A Clean, Well-lighted Place (1933).