Meryl Streep sebagai Margaret Thatcher di dalam The Iron Lady.

Telah lama saya beli cakera video digital filem The Iron Lady, namun baru sempat menontonnya. Filem yang memenangi anugerah akademi ini menampilkan sosok Meryl Streep sebagai Margareth Thatcher, watak yang membolehkannya memenangi anugerah pelakon wanita terbaik kemudiannya.

Ada sebab yang mendorong saya untuk menontonnya. Thatcher adalah pemimpin Parti Konservatif di United Kingdom yang terkenal di zamannya. Namanya seiring dengan Ronald Reagan, Presiden Amerika Syarikat sezaman dengannya. Kedua-dua mereka dianggap arkitek penting pemulihan ekonomi negara masing-masing pasca Perang Dunia ke-2. Lebih manis lagi, mereka dianggap sebahagian pendorong robohnya Tembok Berlin di Jerman, simbol Perang Dingin ketika itu.

Sebenarnya tidak mudah untuk menonton filem ini. Sebahagian penonton yang mempunyai pendirian politik sendiri (maksud saya dalam konteks ideologi atau faham etnosentrik yang tebal) mungkin tidak mahu menonton langsung atau menonton juga dengan sentimen yang tebal.

Saya fikir filem yang diterbitkan pada tahun 2011 ini mempunyai signifikannya tersendiri. Kita tahu dunia bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi bermula di Asia sejak lewat 1990-an dan berterusan hingga lewat dekad pertama milenium baru. Belum ada tanda usaha pemulihan yang diambil menunjukkan kesan positif nyata. Demikian sedikit sebanyak latar yang terkait dengan kehidupan Thatcher sebagai ahli politik.

Pada tahun 1959, Thatcher pertama kali diangkat menjadi Ahli Parlimen di Finchley, meninggalkan pekerjaan lamanya sebagai penyelidik kimia. Ada dialog menarik di sebalik keputusan Thatcher menyertai politik. Beliau tegas menyatakan pendirian kepada bakal suaminya ketika dilamar: “Saya tidak boleh mati dengan hanya membasuh gelas.”

Waktu itu Parti Konservatif baru sahaja berjaya meningkatkan majoritinya di bawah pimpinan Harold Macmillan. Ini dikaitkan sebagai kejayaan dasar ekonomi yang diambil Macmillan untuk meningkatkan peluang pekerjaan selepas dilantik oleh Ratu sebagai Perdana Menteri pada tahun 1957, menggantikan Anthony Eden yang meletakkan jawatan kerana faktor kesihatan. Selepas silih berganti pertukaran Perdana Menteri, Thatcher mula dilantik menyertai kabinet dengan jawatan Setiausaha Kerajaan bagi Pendidikan dan Sains di bawah kabinet Edward Heath pada tahun 1970.

Ekonomi dunia cukup mencabar pada dekad itu kerana berlakunya stagflasi – peningkatan inflasi dan kejatuhan pengeluaran yang lazimnya meningkatkan pengangguran. Heath, mengambil pendekatan ekonomi Keynesian, merangsang ekonomi dengan peningkatan defisit belanja kerajaan. Meskipun ada peningkatan ekonomi sehingga 7% menjelang tahun 1973, inflasi berlaku pada kadar 9% sebelum naik ke paras 24% dua tahun kemudian. Antara puncanya ialah kenaikan gaji dan juga kejutan harga minyak.

Dalam filem The Iron Lady, babak bekalan elektrik terputus semasa mesyuarat kabinet ditunjukkan bagi  menggambarkan situasi tegang zaman itu. Piket dan tunjuk perasaan semakin bertambah, termasuk di kalangan penjawat awam. Industri tenaga terjejas, sehingga memaksa Heath mengumumkan kempen penjimatan tenaga. Pada tahap tertinggi protes berlangsung, nilaian kerugian dianggarkan sebanyak 9 juta hari bekerja.

Selepas lebih sedekad mendekati idea ekonomi pasaran bebas di Institute of Economic Affairs (IEA) yang diasaskan oleh Anthony Fisher, Thatcher menunjukkan rasa tidak senang dengan pendekatan ekonomi Heath. Ini dapat ditonton dalam babak awal filem ini melalui dialog Thatcher dan Denis, suaminya berkenaan kenaikan harga susu. Dengan kedudukannya, Thatcher mengambil keputusan menghentikan pemberian susu sekolah sebagai salah satu pilihan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Siri pilihan raya kecil yang berlangsung sepanjang penggal itu menunjukkan corak penolakan terhadap Parti Konservatif. Akhirnya, selepas mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum 1974, Thatcher membuat keputusan tegas untuk menandingi Heath sebagai pemimpin utama Parti Konservatif. Beliau berjaya, sekaligus meletakkan diri sebagai calon Perdana Menteri akan datang bagi pihak Parti Konservatif.

James Callaghan, Perdana Menteri dari Parti Buruh ketika itu berdepan kesukaran kerana mentadbir kerajaan minoriti. Kejatuhan nilai Pound Sterling dan defisit yang tinggi menambah kerumitan masalah yang dihadapinya. Beliau membuat keputusan mendapatkan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan mengikut preskripsi agar mengurangkan belanja kerajaan untuk mengawal defisit.

Meskipun situasi ekonomi kelihatan pulih sedikit dengan penurunan inflasi kepada 8% pada tahun 1978, Callaghan tidak memanggil pilihan raya meskipun banyak ramalan menyatakan Parti Buruh akan kekal sebagai kerajaan. Bahkan, beliau menyekat kenaikan gaji sehingga mendorong tunjuk perasaan tidak puas hati besar-besaran pada musim sejuk tahun yang sama. Dalam filem The Iron Lady ini ditunjukkan situasi pada dua bulan pertama 1979 di mana longgokan sampah tidak dikutip apabila pekerja industri tersebut menyertai protes.

Di tengah kegagalan inilah, undi tidak percaya diusulkan dan Pilihan Raya Umum 1979 dijalankan. Ia membolehkan Thatcher mengukir sejarah ‘memecahkan gelas kaca’ sebagai Perdana Menteri wanita yang pertama di United Kingdom sehingga kini.

Dengan statistik inflasi mencecah 18%, pengangguran sekitar 1.4 juta pekerja, peningkatan mendadak gaji, kehilangan jam kerja kerana berleluasanya protes serta jumlah hutang kerajaan yang tinggi, secara mudahnya boleh dikatakan Thatcher mewarisi sebuah pentadbiran kerajaan yang menuju kemusnahan.

Dalam The Iron Lady, Thatcher dikatakan memetik doa Saint Francis:

               Tuhan, jadikan aku asbab keamanan;

               di mana ada kebencian, akan aku bawakan cinta;

               di mana ada kesilapan, akan aku bawakan semangat kemaafan;

               di mana ada pertelagahan, akan aku bawakan harmoni;

               di mana ada kesalahan, akan aku bawakan kebenaran;

               di mana ada keraguan, akan aku bawakan keyakinan;

               di mana ada bayang-bayang, akan aku bawakan cahaya;

               di mana ada kesedihan, akan aku bawakan kegembiraan;

              

               Tuhan, jadikan aku sebagai pemberi ketenangan berbanding peminta ketenangan;

               untuk memahami berbanding difahami;

               untuk menyayangi berbanding disayangi;

              

               Kerana dengan mengenepikan kepentingan diri seseorang menemui dirinya.

               Dengan memaafkanlah seseorang itu dimaafkan.

               Dengan kematianlah seseorang itu bangkit dalam kehidupan abadi.

 

               Ameen.

              

Pada awalnya, pengangguran terus meningkat mencecah sehingga 3 juta pekerja. Ini mendorong 365 ahli ekonomi menulis surat terbuka mendesak kerajaan mengubah dasar untuk menangani kegawatan. Bagaimanapun, Thatcher tegas dengan dasar kewangannya yang ketat – pengurangan cukai langsung dan peningkatan cukai tidak langsung, kadar faedah yang tinggi serta pengurangan belanja kerajaan. Ada yang menarik dapat dilihat dalam babak ini apabila pendirian Thatcher kelihatan tidak disenangi oleh beberapa pimpinan Parti Konservatif. Bahkan, beliau diingatkan akan kemungkinan tidak lagi disokong rakan-rakan partinya.

“Anda boleh beralih jika anda mahu tetapi wanita ini tidak!” begitulah tegasnya kenyataan Thatcher dalam Persidangan Parti Konservatif bagi mengekalkan dasar ekonominya. Beliau mengingatkan delegasi yang hadir bahawa inflasi adalah ibu kepada pengangguran. Dalam filem The Iron Lady dimasukkan babak ketika beliau menegaskan bahawa ubat yang pahit memang diperlukan oleh pesakit dan kata sinis beliau kepada rakan-rakan partinya yang hanya memikirkan untuk kekal sebagai kerajaan berbanding memilih apa yang penting untuk kebaikan negara.

Dasar ekonomi yang diambil Thatcher berjaya menurunkan inflasi pada kadar 4% hingga 6%. Namun, ini dilakukan dengan kesan kepada kadar pengeluaran, dan sekaligus pertumbuhan ekonomi, yang rendah.

Ramai menisbahkan kemenangan Parti Konservatif semasa Pilihan Raya Umum  1983 kerana kejayaan Britain dalam menangani Perang Falklands sebagaimana ditunjukkan dalam The Iron Lady. Kemudian, siri protes jalanan ditangani oleh Thatcher.

Inflasi telah menyusut buat kali pertama di bawah 5% sejak tahun 1967, pengurangan pengangguran di bawah 2 juta pekerja dan pertumbuhan ekonomi tertinggi sepanjang 1980-an telah mendorong Parti Konservatif sekali lagi dipilih menjadi kerajaan. Ini bermaksud Thatcher berjaya memimpin kemenangan parti tersebut dalam tiga pilihan raya secara berturut-turut.

Antara keputusan kontroversi yang lain diambil beliau sebagai Perdana Menteri ialah pandangan negatif terhadap penyatuan Jerman meskipun menyambut baik pengakhiran Perang Dingin, sokongan terhadap pengekalan kerusi Khmer Rouge di Bangsa Bersatu dan sejumlah keputusan lain berkaitan dasar luar.

Akhirnya, sebagaimana ditunjukkan dalam The Iron Lady, Thatcher mula kehilangan sokongan daripada Geoffrey Howe, Timbalan Perdana Menterinya apabila beliau menolak jadual penyertaan Britain dalam penyatuan mata wang Eropah.

Thatcher bagaimanapun tidak ditewaskan dalam pemilihan parti selepas beberapa kali dicabar sejak tahun 1989. Beliau akhirnya melepaskan jawatan selepas dinasihati kabinetnya dan berunding dengan pelbagai pihak. Bagaimanapun, Parti Konservatif yang kemudiannya dipimpin oleh John Major berjaya memenangi Pilihan Raya Umum 1992, dan Thatcher meninggalkan Downing Street dengan tangisan, menganggap perletakan jawatannya berpunca daripada ‘tikam belakang’ rakan-rakan partinya.

Dalam The Iron Lady, beliau dipetik memberi peringatakan: “Perhatikan pemikiranmu kerana ia akan menjadi kata-kata. Perhatikan kata-katamu kerana ia akan menjadi tindakan. Perhatikan tindakanmu kerana ia akan menjadi kebiasaan. Perhatikan kebiasaanmu kerana ia akan menjadi keperibadianmu. Dan perhatikan keperibadianmu kerana ia akan menjadi nasibmu kelak! Kita akan menjadi apa yang kita fikirkan” dan menegaskan “salah satu masalah utama zaman ini ialah kita ditadbir oleh mereka yang pentingkan perasaan lebih daripada pemikiran dan idea.”

Amin Ahmad, 30 ialah Pengurus Projek dan Operasi, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).