“This is where it started for me, this is where it ends” – kata Jason Bourne dalam filem ‘The Bourne Ultimatum’.

Dialog ini antara babak akhir filem ‘The Bourne Ultimatum’ di mana akhirnya Jason mengenali identiti sebenar dirinya. Ia diungkapkan selepas menyerahkan dokumen sulit program ‘Threadstone dan Blackbriar’ kepada ketua task force Central Intelligent Agency, Pamela Landy (Joan Allen).

Babak-babak selepas itu juga secara langsung mengakhiri pencarian identiti Bourne atau nama sebenarnya David Webb, sekaligus pengarah ‘The Bourne Legacy’  Tony Gilroy mengembang semula naratif sambungan filem itu.

Gilroy menyelitkan sedutan Ultimatum’ mengenai perbualan Jason Bourne dan wartawan kanan The Guardian, Simon Ross (Paddy Considine) tentang program itu di stesen keretapi tiub Waterloo.

Sedutan itu menjadi latar belakang filem ‘Legacy’ sekaligus merupakan kesinambungan kepada karya berdurasi lebih dua jam. Di sinilah memperlihat kreativiti Gilroy menyambung semula cerita yang telah maklum kesudahan ceritanya dalam Ultimatum.

Bagi meneruskan babak dalam ‘Legacy’ – Gilroy menampilkan aksi lasak Aaron Cross laonan Jeremny Renner, yang pada hemat saya, membuatkan penonton hampir melupakan Bourne. Aksi-aksi lasak dan mencemaskan Aaron di awal filem itu tidak lain adalah ketika dia diburu dengan serangan bom di pergunungan bersalji tebal di Alaska.

Bimbang program sulit itu terbongkarn, Kolonel bersara Ric Byer (Edward Norton) – yang menyelia program ‘Outcome’ – mengarahkan ia dimansuhkan. Agen perisik dan penyelidik mestilah dibunuh termasuk Aaron dan penyelidik yang menjaga tingkah laku agen-agen Dr Marta Shearing (Rachel Weisz).

Tindakan itu diambil ekoran liputan di media massa tentang pendedahan program sulit “Threadstone dan Blackbriar” oleh Jason Bourne, sehingga tertangkapnya pemimpin tertinggi CIA termasuk Noah Vosen (David Strathairn) yang mahu membunuh Bourne atas sebab keselamatan.

Dr Marta antara penyelidik yang terselamat dalam satu cubaan membunuh semua rakan penyelidik ubat biru-hijau – untuk menguatkan tenaga fizikal dan kepintaran – bagi semua agen Outcome, termasuk Aaron ekoran pembongkaran itu.

Kritikan terhadap Gilroy, bila beliau mengambil masa 30 minit pertama memperkenal identiti Aaron tanpa dibayangi watak Bourne tetapi aksi Aaron menyelamatkan Dr Marta daripada dibunuh oleh orang suruhan Byer, melancarkan naratif ‘Legacy’ dan membawa tumpuan penonton ke kemuncak cerita.

Apa yang dapat disamakan dalam filem ini dengan filem sebelum ini tu ialah bagaimana kedua-dua protagonis – Bourne dan Aaron – cuba menyelamatkan diri atau membebaskan diri daripada manipulasi peringkat tertinggi CIA.

Tetapi aksi mereka bertitik tolak kepada dua situasi berbeza Bourne mencari identitinya selama tiga tahun, manakala Aaron sudah mengetahui identitinya tetapi hanya mencari punca dirinya diburu.

Mereka mahu menjadi orang biasa yang cuba menikmati kebebasan. Dari situlah, adegan kemuncak berlangsung. Adegan kejar mengejar, penyamaran, melarikan diri, tembak menembak termasuk plot-plot twist sungguh mengujakan.

Aaron cuba menyelamatkan diri dan cuba membebaskan diri daripada kepungan dan serangan antagonis yang cuba membunuhnya supaya rahsia program itu tidak terbongkar dan diketahui umum.

Pemburuan Aaron dan Dr Marta berterusan sehingga ke Manila di mana tersimpannya vaksin nyah ubat biru-hijau. Dari sudut itu, filem Bourne meneruskan penggambaran ‘transcontinental’ di mana beberapa buah negara lokasi penggambaran seperti filem sebelum ini.

Sebagaimana sedia maklum, pengarah dua filem terakhir – Supremacy dan Ultimatum – Paul Greengrass berjaya meletakkan filem ‘franchise’ itu dengan gaya pengarahan tersendiri. Lebih-lebih lagi filem ‘Ultimatum’ menggunakan teknik penggambaran yang mana hampir keseluruhannya dengan ‘handheld shot’.

Kesan gegaran memberi efek kepada footage yang diambil, mendekatkan penonton dengan pengalaman yang dialami oleh Bourne. Pengarah Sinematografi – Oliver Wood berjaya mewujudkan mood dalam ‘mise-en-scene’ khusus close-up dalam babak-babak dalam filem itu.

Siri close-up shot, khususnya pada situasi tegang, babak pergaduhan, perbualan ‘two shot’ atau ‘over head shoulder’ dalam konti pejabat rahsia CIA atau sewaktu perbualan serius ketika krisis di kemuncak menambahkan lagi dramatik babak tertentu dalam ‘Ultimatum’.

Dalam ‘Ultimatum’ juga, Greengrass berkolaborasi dengan penyunting Christopher Rouse, yang menggunakan teknik suntingan ‘kinetik’ bagi aksi Bourne yang mencemaskan penonton khususnya babak kejar mengejar dan pertempuran atas bumbung rumah di Tangier, Maghribi, antara polis dan pembunuh upahan dengan Bourne.

Dari segi latar belakang, Greengrass mulanya menceburkan diri dalam bidang dokumentari sebelum beralih bidang dalam dunia layar perak. Jadi tidak hairan naratif filemnya menjadi asyik kerana dan setiap rahsia berjaya dibongkar satu persatu tanpa meleret.

Teknik itulah digunakan – secara umumnya – kepada proses pembikinan filem dokumentari yang cuba mendedahkan sesuatu peristiwa, fenomena atau pembongkaran sesuatu perkara yang belum diketahui orang ramai.

Antara filem arahan beliau adalah Bloody Sunday, United 93 dan Greenzone dan bakal mengarah filem dokumentari mengenai kelab gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona.

Bagi Gilroy pula, walaupun meneruskan sekuel Bourne dianggap sukar – memulakan sesuatu yang telah berakhir –  tetapi sekurang-kurangnya beliau arif latar belakang ceritanya kerana beliau adalah penulis skrip kepada trilogi itu sebelum itu.

Bermakna, beliau dapat membayangkan corak pengarahan skrip ‘Legacy’ yang ditulisnya bersama adiknya sekalipun beberapa tonggak utama filem itu termasuk tenaga produksi sebelum ini tidak bersama-sama dalam pembikinan ‘Legacy’.

Sebelum ini, Gilroy pernah mengarah dua filem yang pernah dicalonkan dalam Anugerah Academy iaitu Micheal Clayton dan Duplicity.

Gilroy bijak menyelitkan sedutan ‘Ultimatum’ sebagai sambungan dan sequence untuk babak seterusnya. Footage itu dimasukkan sebagai latar belakang, sewaktu serangan terhadap Aaron, pada masa yang sama Bourne di peringkat akhir mencari identitinya.

Pada pendapat saya, pengarah sinematografi, Robert Elswit gagal menandingi kehebatan Oliver Wood menggunakan 90 peratus teknik handheld shot dalam ‘Ultimatum’ jika ingin dibandingkan dalam filem ‘Legacy’. Mungkin Gilroy dan Elswit ada alasannya tersendiri.

Filem itu juga banyak menggunakan pendekatan shot kamera yang statik, menggunakan kren untuk ‘pan’ atau ’tilt’, tracking dan kadang kala menggunakan hand held tetapi ‘kurang menyengat’ untuk mengundang rasa simpati, teruja atau ingin tahu babak seterusnya.

 

 Rahim Sabri, 32, adalah writer-director filem pendek ‘Sedetik Sebelum Nubuwwah’.