Louis Ferdinand Celine

Macam ni mulanya.

Aku tak pernah buka mulut. Sepatah pun tak.

Ini semua sebab Fauzi Aswad yang buatkan aku mula membebel.

Aswad kawan lama dari sekolah rendah. Jadi kami jumpa di Jalan TAR, selepas 1 petang. Dia nak bersembang dengan aku. Aku dengar.

“Bukan kat sini!” dia kata. “Jom masuk dalam pekena teh o buih!” Kami masuk. Dan di situlah bermulanya cerita mengenai Ferdinand Bardamu. Dalam situasi yang sama dengan kami di awal novelnya Journey to the End of the Night;  si watak utama, si antihero Bardamu sedang bersilat lidah dengan kawan lamanya di sebuah kafe di Clichy, Perancis.

“Manusia-manusia kat sini direct nampak macam sibuk, sibuk apa taktau la kan… tapi sebenarnya apa yang depa buat cuma merendang, berjalan-jalan dari siang sampai malam; obvious kot. Bila cuaca agak kureng, hang takkan nampak depa dekat luar, depa pun masuk dalam, pekena teh tarik ka, kopi ka, arak ka. Ini benda betul ni! Zaman kelajuan komunikasi, depa cakap! Apa kejadah? Perubahan besaq, depa jawab! La ni? Sebenarnya tak ada apa pun yang berubah. Depa tak habis-habis memuji, tu ja. Memuji? Heh, ini bukan benda baru pun. Tapi perkataan. Ayat pun tak berubah banyak! Okay, mungkin satu dua ayat ada tukar sikit-sikit…”

Aku tak berani confirm sama ada Aswad tiru ayat Louis Ferdinand Celine atau cuma aliran separa-sadar dia. Tapi apa yang Celine dengan dia cuba nak sampaikan, aku dapat nampak.

Selepas itu aku tak tau apa dah jadi dengan Aswad, terus terputus hubungan. Dia bukan jenis yang ber-Facebook atau Twitter atau pun jenis yang selalu meluahkan kegersangannya di blog. Dia cuma operator kilang. Dan dia tak ambil pot.

Yang membezakan apa yang Aswad cakap dengan apa yang Bardamu atau Celine gambarkan selepas keluarkan point itu ialah Aswad terus melepak dengan aku; tapi Bardamu, selepas membebel pasal cinta, membacakan sepotong “doa sosial”, dan selepas berleter panjang pasal peperangan (“Sesiapa yang menjerit (slogan) paling kuat dan lantang akan dapat medal dan lolipop!”), Bardamu secara tiba-tiba, keluar dari kafe, dan mangikut bersama askar-askar berkawad.

Seronok dengan sorakan orang awam kepada Bardamu dan askar-askar yang berkawad, dia asyik merendang, melayan perasaan ‘disorak’ ini sampailah orang awam pelan-pelan sedikit, sehingga sampai ke markas tentera.

Apa yang dia sedar lepas itu ialah dia sudah berada di barisan hadapan, berperang menentang German dalam Perang Dunia Pertama.

SUB-TAJUK I

“Bila hang tak ada imaginasi, mampus ni macam makan kacang saja; bila hang ada imaginasi, nak mampus tu… nampak macam pulun lebih pulak.” – Bardamu.

Journey diterbitkan pada 1932, tahun di mana Aldous Huxley mengeluarkan magnum opus-nya Brave New World… waktu tu juga indeks Dow Jones menjunam teruk sampai memulakan The Great Depression… tahun itu juga Ghandi memulakan mogok lapar, dan dalam tahun sama Zippo mengeluarkan pemetik api ikonik mereka… Jepun dan China bertelagah, berperang… dan zaman yang sama permulaan sebuah rundingan yang bakal mengubah sejarah antara Presiden German Hindenburg dan Adolf Hitler…

Journey ditulis oleh orang yang trauma dengan peperangan dunia pertama, yang diwarnakan melalui  pengembaraan rohani individu dalam ‘peperangan undang-undang alam’ dan kemunculan kesedaran baru, yang kalau boleh aku akui, sebagai ejekan dan momokan zaman.

Waktu aku mengalihkan setiap mukasurat Journey untuk menuju ‘malam’, Aswad dah berambus entah ke mana. Dia cuma tumpang rumah kami sekejap saja. Kami, kawan-kawan lamanya tahu sangat, dan kami tak peduli, kalau tak masuk Siam, atau naik kapal, mungkin dia ada di rumah orang tuanya. Setiap orang ada journey masing-masing. Terletak kepada kawan-kawan atau masyarakat untuk menilai sendiri, pengembaraan jenis apa Aswad lalui. Pengembaraan ke hujung malam, itu pasti.

Melalui Journey Celine, atau lebih tepat, Bardamu, sebagai pembaca yang bebas kita ada banyak sangat pilihan. Kita boleh baca secara terbalik dari mukasurat belakang sampai depan, macam Harakah, atau boleh juga kaji plotnya yang turun naik itu, atau mencerminkan diri melalui Journey, yang dahulunya pernah terkelip sekejap ketika kita masih menyusu itu? Atau adakah kita cuma sekadar penghukum kesalahan orang lain, dan bukan pengkaji kesalahan? Sekali baca tak puas. Itulah pentingnya pengulangan.

Kita lebih senang faham mengenai apa-apa pun persoalan dari orang yang bodoh berbanding orang bijak pandai yang hipokrit dalam mengajar. Bardamu seorang yang terlalu jujur, seperti kita sendiri yang senang terasa dengan kata-kata pemuja kita, walau kita nafikan.

Melalui mulut-mulut mereka yang dah menghadam naskah ini, merumuskan dalam hanya satu perkataan saja, atau satu rangkap yang aku petik kembali sebagai: “pra-eksistential moden”, “leteran hedonis, anarkis terhadap sistem sedia ada.” Dan yang paling menarik sekali ialah, “bla bla bla bla bla bla bla blah.”

Melihat kembali kepada portfolio aku yang dilabel sebagai penulis gelandangan, rasanya tak berapa nak cun kalau aku hamparkan butir-butir peluru yang membincangkan persoalan politik di sini… Apatah lagi kalau kita cerna sikit tentang pandangan peribadi Celine yang ketebalan perkaumannya boleh dianggap setahap dengan Parti Nazi ketika itu… Walau pun perkauman itu sendiri sesuatu yang boleh diperdebatkan kerana cabangnya luas dan kadang curamnya mendalam… tetapi lebih baik apa-apa pun kita mampus-pi-kan saja persoalan politik, epistemologi, perkauman…

Biarlah mereka yang boleh melihat sesuatu isu dari sudut keras dan tanpa emosi yang melakukannya… Jenis yang memerlukan sedikit gimik untuk bagi kick dan set dia punya minda… Sementara kita yang gagal dalam semua subjek kehidupan ini usyar dulu apa yang ada dalam pengembaraan menuju maut ini…

SUB-TAJUK II

Apa yang sempoi sangat dengan sebuah pengembaraan oleh seorang doktor dari Perancis ini? Semua orang sedang mengembara, apa nak kalut dengan mamat perancis ni? Apa yang ada dalam terjemahan asal dalam Bahasa Perancis cumalah bebelan dan leteran seorang yang trauma dengan Perang Dunia Pertama, dan kutukan dia terhadap hampir semua yang dia lalui dalam pengembaraannya dari Perancis ke Afrika, ke Amerika dan kembali ke negara asalnya.

Naskhah ini langsung tak menggetarkan bagi yang bergelumang dalam, ehem, politik partisan dalam sehari-harian. Lagi layan menyendiri, walau dalam sebuah pesta, memikirkan perut yang belum terisi sebab pesta ini tak menghasilkan apa-apa kecuali sampah dan tahi untuk dimakan orang lain, yang juga seperti kita yang lapar ini. Lebih selesa menempah mojo yang belum tiba. “Keep on hoping,” meminjam slogan parodi Obama dari The Simpsons. Dalam sedang mengembara dan menjadi, kita pula berperangai pelik dan menjadi-jadi.

“Sebab apa tak ada seni kekotoran, kehodohan macam mana kita tengok kecantikan?” monolog Bardamu. Dan sebagai tambahan, kenapa dalam kemajuan akal dan kepantasan maklumat ini, adat (termasuk kebodohan penulis-penulis) ditinggal jauh bertiang-tiang?

Bahasa Perancis yang diguna Celine ialah bahasa-bahasa seharian, bahasa rojak, bahasa pasar. Hang tak pernah dengar lagi macam mana Aswad membebel. Yang menjerit-jerit di Parlimen itu, walau aku hormat emosi depa, tapi tak boleh lawan Aswad punya sembang. Dia boleh bercakap pasal sayur kangkong sampai dekat lima jam di restoran mamak, ini tak masuk pasal Celine yang dia puja macam tuhan… Sambil bawa motor, tengah menyelit di Jalan Tun Razak, boleh saja Aswad huraikan pasal Bardamu yang bekerja sekejap di kilang Ford di New York. Sesetengah orang mungkin meluat dengan orang yang banyak cakap, tapi itu lah juga perangai Bardamu dan Celine yang menjadi topik hangat di salon-salon dan di parti-parti selepas lebih setahun Journey diterbitkan.

Mudah, jelas… dan gelap, samseng, kotor, ganas dan agak bangang nak mampus kalau kita tengok dari sudut 1932 dengan latarbelakang 2012, di Perancis atau ketika zaman memerdekakan fizikal sejalan dengan memerdekakan fikiran, dalam suasana antara perang dunia pertama dan kedua…

“Berfalsafah ni cuma cara lain untuk jadi ponen, dan dengan jadi pengecut yang berpura-pura yang tak akan bawa hang ke mana-mana,” kata Bardamu secara tiba-tiba sebelum menyedari wang di dalam poketnya tinggal tiga dollar saja ketika di New York, salah satu tempat pelariannya dalam pengembaraan itu.

Celine telah membawa percakapan harian kita te dalam kesusasteraan dengan tradisi linguistik dan sempadan bahasa dengan memberikan pembaca khusus sesuatu kawasan itu, sebuah suara mereka sendiri, pelat dan lingo yang dekat dengan diri pembaca. Bergantung kepada si penterjemah dan geografi pembaca. Di bahagian aku, Ralph Manheim memaksudkan kepada aku pengembaraan Celine atau watak utamanya si Bardamu, yang kita lalui dari hari ke hari.

Disebabkan sifat natural (baca: bodoh, naif) dalam dirinya itulah, membuatkan bahasa yang digunakan dan bagaimana ia disampaikan, sangat dekat dengan perasaan harian kita.

“Lawak dan tinggi emosinya sampai melekat di hati, dengan gelap-pekat pandangannya, yang tanpa kesemua ini orang-orang seperti Sartre tak akan jadi terkenal,” ulas sebuah laman web.

SUB-TAJUK III

Journey dilambung sakan sebagai salah satu karya agung abad ke-20. Diakui sendiri oleh seorang tua kutuk dari Amerika, Bukowski, sebagai sebuah novel yang terbaik dalam 2000 tahun kebelakangan ini. Gaya bahasa Journey di tulis bersahaja dengan linggo dan slanga Perancis, selain menggunakan frasa, subjektiviti, kenaifan diri, dan penggunaan prosa yang merbahaya dan kadang-kadang mampu membunuh.

Celine dan Bardamu keluar dari lingkungannya untuk mencari masalah yang sama yang sebenarnya; pencarian makna diri. Mencari ketenangan, pencari penyelesaian, mengharungi permasalahan… oleh seorang pengecut yang banyak bercakap…  perkara-perkara yang kita buat sehari-hari itu… Mungkin kita tak nampak sebab terlalu banyak sangat perkakas di depan dan di dalam kepala. Tapi kita nampak, ada di situ “dalam tingkat separa sadar,” memetik Frisycha baru-baru ini ketika ditemui di #BaliBeza ketika menceritakan mengenai kuda yang belum pernah dilihatnya, tetapi selalu muncul di tingkat separa-sadarnya. Freud tolong ya?

Selain hal-hal yang kasar, dan kotor yang ditampalkan kepada kita, terbentang pula sebuah sifat universal yang jika diletakkan bersebelahan tajuk Journey to the End of the Night, ia adalah kehidupan alam, kehidupan kita, yang tak berkesudahan, tak tertamat. Di tajuknya sahaja kita ‘terjumpa’ sebuah ketenangan walau belum di baca pun perenggan pertama naskah ini… Mungkin kita terbeli kerana seorang pelakon atau penulis yang kita kagumi baru-baru ini ada menyebut nama Celine dan tajuk buku ini… Apa-apa pun, dek penangan kejujuran, dan juga menerima penangan, atau “the kick” sekadar meminjam istilah Christopher Nolan dalam Inception, untuk kita menerima kenyataan hidup dan terus berjalan gah ke depan dan meludah ke muka itu sebelum meninggalkannya ternganga keseorangan akan hal dunia yang dikelambu dengan oligopoli ahli-ahli silap mata moden.

Novel ini sesuai disusun bersama dalam perpustakaan rumah, tetapi perlu diingat satu-satunya point yang yang aku ulang dalam tulisan ini; yang juga merupakan tajuk naskhah ini; “pengembaraan ke penghujung malam”. Satu tamparan manja seorang kekasih ini memberi penilaian semula kepada akal kenapa dalam masyarakat kita akan wujud orang-orang yang dalam satu masa sangat baik hati tetapi dalam satu masa merosakkan apa yang kita bina selama ini, bersama, dalam mencari dan terus mencari sebuah model baru sastera Malaysia atau model sastera Melayu yang jika dalam masa terdekat kita belum menjumpainya, maka, musnahlah alam ini dan kiamat pun datang dengan laungan kuat seakan hentaman komet yang selalu dipapar di kaca TV.

SUB-TAJUK IV

Sebelum terlupa, jika nama aku Louis-Ferdinand Celine, adakah anda pasti tulisan aku ini tak akan ditulis dengan gaya begini? Sementara itu, anda yakinkah yang aku pernah tamatkan membaca Journey ini?

Celaru? Beginilah, biar aku petik monolog Bardamu waktu terjumpa balik sahabat baiknya yang juga pembawa bencana buat antihero ini iaitu Robinson, ketika kedua-dua mereka tengah sesak dan sesat dalam pengembaraan masing-masing:

“…Yang sebetulnya ialah bila kau tengah berperang (fizikal dan minda) kau kata keamanan akan datang, kau mengharap dengan harapan itu semata-mata semacam coklat yang sangat berharga, tetapi ia tetap, apa-apa pun, tahi. Kau tak berani kata sebab takut buat orang ramai menggila. Kau cuba jadi jujur. Bila kau seronok dan sakit bergelut dalam lumpur kau bangun. Dan kemudian semua orang fikir yang kau ni anak kampung. Padan muka kau.”

“Untuk aku, aku dah petik dan buang banyak impian, kepala aku dah pecah dan meretak, penuh dengan penyakit dan susun atur yang macam tahi.” – Bardamu.

Ketika rencana ini dtulis, Aswad yang dah aku anggap sebagai Bardamu menelefon aku. “Ada mana?” ayat tipikal dia memulakan bicara sebelum disambung dengan, “weh, tolong send aku duit skit…”