Kadang-kadang, pembacaan cereka yang biasa menyelusur kita ke arah renungan alam. Paling mutakhir, penulis menemui tiga buah novel tempatan yang asyik untuk dibeli, ditelaah, dan dihadam. Ketiga-tiganya menarik kerana ketiga-tiganya membicarakan tema yang sama dalam fasa era yang berbeza: pembikinan filem Melayu/Malaysia.

Pertama, novel Bintang Bukan Saja di Langit (2006, Penerbit UKM), tulisan seorang yang tidak lagi asing malah legenda dalam reputasinya yang tersendiri, Allahyarham Hamzah Hussin. Kedua, novel Jukstaposisi (1996, Berita Publishing) nukilan Hizairi Othman. Dan terakhir, novel Sebongkah Batu di Kuala Berang (2011, PTS) karya Faisal Tehrani.

Ketiga-tiga novel ini, tersisip tirai yang dibuka buat pembaca (penonton) mengetahui jerih-perih, seronok suka, antah-berantah dunia perfileman dan pembikinan tempatan, bermula daripada kegiatan praproduksi seorang individu (penulis skrip, misalnya), kepada babak produksi suatu produksi filem itu sendiri, hinggalah kepada kisah-kisah di balik tirai peribadi individu-individu yang memenuhinya – pelakon, penerbit, pengarah, krew belakang tabir, wartawan hiburan, semuanya dengan rencam dan gundahnya, tawa dan dukanya. Drama. Aksi. Glamor …

… waima pemikiran.

Bintang Bukan Saja di Langit (BBSL) mewakili era pembikinan filem Jalan Ampas, anak-anak wayang buta huruf, anak Melayu mula mengarah, primadona pascabangsawan digilai orang, segalanya emosi dan kesungguhan, dunia gemerlapan, bintang-bintang. Kisah putih (dan hitam) yang mana sesiapa yang mengenali Allahyarham Hamzah, akan dapat mengecam pengalaman beliau bergelumang dalam kancah perfileman tirai Cathay Keris di Singapura, dengan hiba, menampilkan perca-perca kaleidoskop protagonisnya, khusus para seniman dan seniwati yang menyedari, kegemilangan yang dikecapi mereka tidak akan berkekalan, suatu nostalgia yang seperti mimpi, boleh lesap dengan tiba-tiba.

Tiba-tiba itu bersambung kait pula dengan semangat “amuk” dan kritis anak muda dalam Jukstaposisi era 90-an, era “Kembara Seniman Jalanan” ataupun anak-anak Malaysia yang keluar dari sekolah perfileman, tahu kenal filem tetapi mendepani konflik yang berbeza – penonton dan kecenderungan untuk berjuang membawa filem kita ke arah pembudayaan tinggi.

Hal ini bersambung, sekali lagi, walaupun dengan fenomena berbeza pada abad ke-21 dengan Sebongkah Batu di Kuala Berang (SBKB), dengan pandangan yang lebih Islamik dan bertumpuan.

Ketiga-tiga novel itu seakan suatu filem yang terpecah tiga, sepertimana filem trilogi The Three Colours bikinan Krzysztof Kieslowski. Menariknya, ketiga-tiga novel memperlihatkan masa depan yang berlainan dengan konteks dan cabaran yang berlainan, mewakili setiap era dan persekitaran sosiobudayanya.

BBSL lebih apokaliptik dan pesimis dalam imbauan nostalgianya, seakan-akan memperlihatkan dunia perfileman era itu suatu pita seluloid yang berakhir di kredit akhir dan tidak akan diputar-putar lagi. Sememangnya, secara realistik, nostalgia Jalan Ampas dan apa-apa yang dikecapi pada zaman itu diperlihatkan sebagai “Era Kegemilangan” filem Melayu, khusus bikinan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan beberapa pembikin tempatan lain.

Membaca novel ini, sepertimana kelaziman penonton sekarang yang (masih) berleter (yang tidak sepatutnya, jika mereka memberi peluang untuk benar-benar menelaah filem tempatan era 80-an hingga sekarang), “Filem sekarang tak macam filem dahulu, filem dulu lagi hebat daripada filem sekarang.”

Mereka bernostalgia, dan apa-apa yang datang dari “era dahulu” selalunya “indah” (walaupun gua diperbuat daripada paper mache). Di sini, Hamzah membawa ironi falasi kerana gambaran beliau yang hiba dijelmakan oleh pelakon-pelakon yang bukan sahaja menyedari kehadiran mereka hanya sementara, tetapi “kegemilangan pencapaian” mereka.

Gambaran Jukstaposisi pula cuba menafikan hal itu, tetapi tetap “melihat” era BBSL sebagai era terbaik, nostalgik, tetapi dengan lebih bersikap optimis terhadap situasi mereka, seakan seorang pemimpi (pembikin muda) yang baru bangun dari tidur dan mengejutkan kawan-kawan di sebelahnya (pembikin muda lain dan penonton era itu).

Era ini era kejutan filem Dato’ Rahim Razali, Othman Hafsham dan Nasir Jani. Subjek filem yang dipertaruhkan – Johnny Bikin Filem, filem yang benar-benar wujud arahan Dr. Anuar Nor Arai yang dibikin pada pertengahan 90-an, mengakibatkan novel ini, seperti BBSL menjadi separa fiksyen, separa jurnal realiti produksi filem. Sememangnya, Hizairi yang bertugas di Universiti Malaya pada masa itu, turut berkecimpung dengan pembikinan filem itu, waktu itu.

Ruang lingkup Jukstaposisi lebih luas dan kritis, lebih bersifat falsafah, mencari identiti dan inti sebenar “filem tempatan bermutu” dan cara untuk “menjanakan”nya. Jika BBSL lebih kepada kisah kehidupan peribadi lara insan seninya, Jukstaposisi menolak tangkapan intim dan ratapan individualistik, hanya sekumpulan anak-anak muda (diwakili Diri) yang ingin membudayakan satu apresiasi baharu dalam melihat dan membikin sebuah filem tempatan. Jika diteliti dengan mencuit, filem Johnny Bikin Filem yang dibikin dalam novel ini serta secara realiti, mengisahkan kisah era Jalan Ampas BBSL tentang anak muda tempatan membikin filem.

Dr. Anuar serta Hizairi, memahami, dengan kesan noir yang ditampilkan dalam filem ini, bukan sahaja mengkritik realiti zaman itu (serta sekarang!) dalam mutu karya filemnya dan sifat politik dan budaya masyarakatnya, tetapi membawa kembali “hantu” zaman lampau Jalan Ampas bagi “membersihkan” kecelaruan mutu komersial filem yang sedang berlaku pada masa itu, sekali gus secara berani, penontonnya dan masyarakatnya.

Jukstaposisi (dan elok benarlah judul novelnya sebegitu) malah dengan kritis melihat perbezaan lampau-sekarang, pesimis-optimis, konflik-resolusi seakan satu retrospektif persimpangan perfileman tempatan. Pembaca (penonton) diminta membicarakannya, menghargainya, lantas membudayakannya. Dengan ini, penonton dan pembikin filem, sama-sama dapat menuju ke arah pembudayaan tinggi.

Mungkin inilah pula yang dinyatakan dalam SBKB Faisal Tehrani, apa yang berlaku selepas fasa persimpangan 90-an Jukstaposisi (dengan kehadiran Datin Paduka Suhaimi Baba dan U-Wei Haji Shaari mengakhiri era itu), benarkah seperti pengharapan Hizairi itu berlaku? Kejayaannya sampai ke tahap apa dan bagaimana?

Alaf 2000, lebih-lebih lagi sekarang, memang seakan-akan sudah ada nafas baharu, kecelikan penonton (ada penonton tempatan sudah mula mengenali filem eksperimental dan art house cinema, walaupun mungkin segolongan sahaja yang menghargainya), pembikin filem bebas dan era pasca Yasmin Ahmad.

Kini, filem komersial ala blokbuster dijanai, bermula awal dengan Kementerian Pertahanan Malaysia, dengan sebuah filem berbelanja besar, Leftenan Adnan (2000), kemudian terbitan FINAS dan Filem Negara Malaysia, Embun(2002), kemudian Puteri Gunung Ledang (2004), seterusnya Hikayat Merong Mahawangsa (2011), dan kini, Tanda Putera (2012). Selain filem bersemangat epik tersebut, muncul juga filem-filem genre komersial, khusus tiga yang menerajui: seram-komedi-spoof, aksi-rempit, drama-aksi-samseng.

Sebenarnya, seperti “tekaan” pengarang SBKB, walaupun dengan kemunculan auteur baharu dan penerusan filem bermutu tempatan, agenda perfileman secara keseluruhan masih menyoal tentang periuk nasi dan untung rugi anak-anak wayang era BBSL. Semua filem tidak dapat lari daripada mencari pasaran dan keuntungan (untuk sesuap nasi anak wayangnya), tetapi SBKB pedas mencuit, bahawa wacana komersial tidak punya masalah, hanya kesan pengisian komersial dan kecenderungan selapis pembikin sekarang untuk memahami filem yang “boleh laku” serta “punya pengisian berbudaya” yang kurang.

SBKB lebih radikal daripada Jukstaposisi dari sisi ini, bukan sahaja menampilkan krisis realiti kini, tetapi berkecenderung memberi jawapan dalam dua pendekatan yang agak berani, utopia untuk pembikin filem kita membikinkan filem Islam ala Iran yang neo-realis, serta penggunaan budaya dan bahasa filem yang terikat sepenuhnya terhadap indentifikasi kebudayaan dan roh Melayu.

Agama Islam menjadi kata kunci yang amat penting di sini didakwahkan oleh Faisal, kerana konsep Islam itu syumul, menyeluruh dan sepatutnya meliputi (termasuk filem). Hal ini mengikat (jika dibandingkan dengan Jukstaposisi yang lebih sekular) dengan “amal makruf nahi mungkar” yang meliputi bukan sahaja pembikinan filem tersebut, tetapi meresapi sahsiah krew dan pelakonnya. Hanya “jalan lurus yang satu” ini yang perlu diikuti buat Faisal, tidak ada jalan lain lagi.

Revolusi SBKB mengejutkan: digambarkan, pembikin filem dalam novel itu menggunakan (dengan praktikal tanpa rasa janggal) bahasa dan istilah Melayu sepenuhnya dalam pembikinan filem, termasuk teks teknikal lakon layar, serta pengaplikasian sewaktu penggambaran, contohnya, sang sutradara akan melaung “Potong!” dan “Aksi!”, bukan “Cut!” dan “Action!” seperti dalam Jukstaposis dan BBSL, memberi jiwa dan kelahiran semula terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan apa sebenarnya yang didasarkan dan sepatutnya diaplikasikan (jukstaposisikan sahaja strategi pelik tetapi hakiki ini terhadap dialog bahasa Inggeris Hikayat Merong Mahawangsa!).

Faisal percaya, hanya daripada perekayasaan bahasa kebangsaan dalam setiap erti hidup masyarakat itu, sepertimana yang berlaku di Iran, barulah satu pembudayaan yang lebih autentik dan tempatan tetapi sarwajagat sifatnya boleh berlaku terhadap filem Malaysia. Sikap revolusioner ini (menolak sikap moralis dan ke”Syiah”an novel ini), dengan optimisnya, membawa renungan baharu buat pembikin filem sekarang, berfikir, percaya, dan berpendirian terhadap bahasa sendiri, karya sendiri (novel, cerpen, skrip teater), dan budaya sendiri. Dengan ini sahaja, sebuah filem era “persimpangan” sekarang akan lebih dihargai massa tempatan dan antarabangsa.

 

Fadli al-Akiti merupakan pengulas filem blog tontonfilem.blogspot.com, novelis fiksyen sains serta editor majalah Dewan Sastera. Beliau juga selalu menjadi tetamu pengulas filem rancangan Gala TV Plus Astro Awani. Ulasan dan rencana filem beliau tersiar dalam majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat. Beliau merupakan ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.