I

Tercatat dengan tinta dalam pensejarahan ketamadunan dunia, berbagai konsep negara telah wujud. Negara-Kota, Negara Empayar, Negara Konfedarasi, Negara Multinasional dan Negara Bangsa. Ada di antaranya yang  telah pupus dan ada yang masih lagi wujud.

Di dalam kewujudan sesebuah negara pula, pasti wujud bentuk hubungan yang menjadi lambang persetujuan bersama atau permuafakatan di antara rakyat awam untuk mewujudkan negara dan fungsinya. Ianya dinamai sebagai Kontrak Sosial. Fungsi negara pula dijalankan oleh kerajaan-penguasa-pemerintah-pentadbir yang dilantik.

 

II

Konsep Negara-Kota yang contoh terbaiknya di dalam lipatan sejarah ialah Negara-Kota Athens yang wujud semasa zaman Yunani Kuno. Konsep Negara Empayar yang contoh terbaiknya ialah Empayar British dengan wilayah mandate-nya, protectorate-nya, colony-nya serta dominion-nya.

Negara Konfederasi pula contohnya yang terbaik untuk ditatapi ialah seperti Kesatuan Eropah. Ada juga Negara Multinasional seperti United Kingdom yang terwujud dari England, Wales, Scotland dan Ireland Utara.

Konsep Negara Bangsa pula adalah suatu konsep umum kewujudan sesebuah negara pada masa sekarang. Perbezaan di antaranya terletak kepada perbezaan dari bentuk bidang kekuasaan ke atas sesuatu wilayah, negeri atau kawasan.

 

III

Ramai para pemikir dan filasuf yang hebat ada membicarakan perihal Negara dan Kontrak Sosial. Di antara pemikir dan filasuf moden yang membicarakan perihal ini ialah Thomas Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau.

Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Negara bukan sahaja dianggap sebagai dokumen perundangan, tetapi ianya juga dianggap sebagai Kontrak Sosial. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa Perlembagaan Negara bukanlah dokumen lengkap sebagai rujukan tentang Kontrak Sosial negara.

Tunku Abdul Rahman mengungkapkan;

Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbuat oleh orang Melayu. Sesungguhnya ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.”

Perlembagaan Negara ada mencatatkan tentang Kedudukan Raja Melayu, Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kedudukan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan dan Kedudukan Bahasa Melayu. Perlembagaan Negara juga secara ketara menyatakan tentang Tanah Rizab Bumiputera serta kuota bumiputera dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Tetapi pada tanggapan yang lebih umum, Kontrak Sosial dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan Bumiputera, dan sebagai ganti diberikan pula hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera.

 

IV

Penulisan ini tidak mahu membicarakan tentang perkara-perkara teknikal di dalam sesebuah Kontrak Sosial seperti Hak Keistimewaan Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan.

Penulisan ini cuma berhasrat untuk membincangkan bagaimana tanggapan dan cara pandang terhadap fungsi Negara dan Kontrak Sosial masyarakat di dalamnya.

Thomas Hobbes di dalam penulisannya yang terkenal iaitu ‘Leviathan’ ada membicarakan perkara ini. Secara mudah, ‘Leviathan’ menyatakan bahawa Kontrak Sosial ialah permuafakatan di antara masyarakat bagi membentuk sebuah kuasa yang dinamakan sebagai negara. Sebelum terwujudnya negara, sesebuah masyarakat dan individu secara semulajadi hidup di dalam keadaan yang amat buruk kerana tiada kawalan undang-undang. Masyarakat dan individu saling mencabuli hak sesama mereka dan berbunuhan. Kehidupan sangat kacau bilau tanpa kepimpinan dan konsep naungan.

Apabila persetujuan untuk menubuhkan negara tercapai, maka satu undang-undang akan ditetapkan untuk mengawal keadaan. Negara ditanggapi sebagai sebuah kuasa besar persis Leviathan (Raksasa Besar) untuk memberikan tekanan kepada keadaan masyarakat yang tidak terkawal supaya berdamai.

Hujah Hobbes ini ada benarnya kerana tercatat dalam sejarah terdapat masyarakat yang suka membunuh kaum lain yang dianggap sebagai saingan mereka. Oleh kerana itu tertulis dalam sejarah kisah seperti ‘head hunter’ dan ‘kanibal’. Kewujudan negara dan tertegaknya undang-undang yang dipersetujui bersama, maka hak setiap kaum dan individu terpelihara.

John Locke di dalam ‘Second Treatise of Government’ agak berbeza hujahnya dengan Hobbes. Locke menyatakan Kontrak Sosial adalah persetujuan bersama bagi menubuhkan negara dalam ertikata sebuah badan neutral.

Ini kerana Locke berpendapat bahawa masyarakat dan individu secara semulajadinya hidup dalam undang-undang alam (undang-undang semulajadi) walaupun tanpa undang-undang sivil. Undang-undang sivil cuma diwujudkan selepas wujudnya negara. Masyarakat secara semulajadinya mempunyai batas-batas moralnya yang tersendiri, tidak boleh membunuh, tidak boleh mencuri, tidak boleh merampas isteri orang dan sebagainya. Ini juga terbukti dalam sejarah ketamadunan dunia.

Tetapi tanpa kerajaan dan negara, hak individu dan rakyat tidak terbela apabila hak mereka diancam dan dicabuli, apatah lagi jika ianya melibatkan ancaman di antara dua masyarakat atau kaum yang berlainan. Cuma negara dan kerajaannya sahaja yang dapat bertindak sebagai pelindung bagi keadilan dan kebebasan untuk setiap kaum dan individu.

Oleh kerana itu kewujudan negara ditanggapi sebagai ‘Hakim Adil’ sebagai badan neutral untuk mendamaikan dan menjamin hak setiap individu dan masyarakat yang wujud di dalam sesebuah negara.

Jean-Jacques Rousseau pula di dalam ‘Du Contrat Social’ menghujahkan sesuatu yang agak berbeza. Jika Hobbes menegaskan keutamaan peranan negara ke atas rakyat dan Locke menghujahkan keutamaan rakyat dan negara sebagai pelindung, Rousseau’s pula mengutamakan kuasa kesepakatan.

Rousseau berpendapat bahawa pembentukan negara menurut adalah supaya ada kekuatan memaksa yang bersifat legal untuk mempergunakan kekerasan kalau terdapat pengingkaran terhadap hak alamiah manusia itu. Maka mereka yang melanggar kesepakatan harus dianggap telah meninggalkan kesepakatan.

Berbeza dengan Locke yang menghujahkan bahawa hak setiap rakyat sama ada yang majoriti mahupun yang minoriti semuanya adalah terjamin dan diadili secara neutral, tetapi Rousseau berpendapat bahawa mesti menyebelahi golongan majoriti.

Hobbes menyatakan bahawa kuasa Negara adalah mutlak. Locke berpendapat kuasa rakyat adalah lebih mutlak dan negara harus neutral terhadap semua rakyat mahupun yang  majoriti mahupun minoriti. Rousseau juga berpendapat bahawa kuasa rakyat adalah mutlak, tetapi tertakluk kepada golongan yang majoriti.

 

V

Penulis menginsafi atas kurangnya sarjana Islam yang terkemuka membincangkan peranan sesebuah Negara dan hubungkaitnya dengan Kontrak Sosial. Jika ada sekalipun, penerangan mengenai Kontrak Sosial itu agak kabur. Penulis memohon maaf jika tanggapan penulis ini silap dan cuai.

Mungkin teori Ibn Khaldun mengenai ashabiyyah sebagai kumpulan klan, masyarakat dan solidariti primordial adalah sejajar dengan perihal Kontrak Sosial dan masyarakat semulajadi. Ibn Khaldun juga ada mengungkapkan bahawa “manusia tidak mungkin hidup tanpa bermasyarakat”.

Namun begitu yang harus difahami ialah Islam memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka seharusnya peranan negara menurut Islam adalah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta setiap warganya sama ada muslim mahupun non-muslim.

Harus difahami juga, peranan Rasulullah s.a.w. dalam urusan agama (ibadah) adalah mutlak dan baginda tidak melakukan sebarang kesilapan dalam urusan syara’. Tetapi sebagai Ketua Negara, adakala pendapat baginda itu kurang tepat dan para sahabat bersuara, “Ya Rasulullah, apakah ini wahyu atau pendapat mu sendiri?” Jika Rasulullah menyatakan bahawa ianya bukan wahyu dan datang dari pendapat baginda sendiri, maka para sahabat akan mengemukakan pandangan yang lain. Rasulullah amat terbuka dan sering sahaja menerima pendapat para sahabat. (kesilapan dan kurang tepatnya pendapat Rasulullah tidak sehingga berdosa, kerana Rasulullah Maksum)

Ini kerana urusan kenegaraan adalah urusan muammalat yang terkait rapat dengan maslahah yang selalu berpijak kepada perkara-perkara yang mutaghaiyyirat berubah mengikut zaman. Akan tetapi ianya tetap tertakluk kepada prinsip, nilai dan etika Islam.

Perbezaan peranan Rasulullah s.a.w. dalam urusan agama dan negara bukanlah berbentuk dikotomi. Tetapi ianya pembahagian kerana syariat Islam itu luas dan syumul yang meliputi agama, negara, dakwah, ekonomi dan sebagainya. Agama adalah salah satu cabang daripadanya. Jika umat Islam gagal dalam memahami pembahagian dalam urusan akhirat dan dunia serta agama dan negara, maka lahirlah negara Teokrasi. Pemerintahan Islam tidak berbentuk Teokrasi tetapi bertunjangkan sivil.

Namun begitu, wujud khilaf pendapat dalam perkara undang-undang dan hukum. Apakah wujud undang-undang itu berdiri di atas maslahah negara atau ketetapan mutlak agama. Perbincangan ini terlalu panjang untuk dihuraikan dalam penulisan ini. Namun penulis secara peribadi condong kepada pendapat bahawa hukum dan undang-undang mesti menuruti perintah agama ataupun sesuai dengan iktikad penganut-penganut agama di dalam sesuatu negara. Kontrak Sosial dan Negara hanya berfungsi sebagai cerminan hubungan pemerintah dan rakyat serta melindungi hak rakyat.

 

VI

Dalam konteks Malaysia pada hari ini, apakah Kontrak Sosial khususnya dalam hubungan Pemerintah dan Rakyat dicerminkan sebagai ‘Leviathan (Raksasa Besar)’, ‘Hakim Adil’ atau ‘Muafakat Majoriti’? Penulis menyerahkan kesimpulan itu kepada kalian semua.

Pemerintahan secara autokrasi, dengan menyalahgunakan segenap kuasa kerajaan adalah satu bentuk kekuasaan yang boleh dinamakan sebagai ‘Leviathan Jahat’. Leviathan yang diistilahkan oleh Hobbes masih lagi merupakan raksasa yang bertindak dengan sepenuh kudrat bagi mendamaikan dan menjaga hak masyarakat.

Bagi kerajaan yang memerintah Negara dengan cara yang zalim serta membelakangi perlembagaan, undang-undang dan kontrak sosial, maka ianya umpama ‘Leviathan Jahat’ yang membaham hak rakyat dengan tidak tentu pasal. Lihatlah pihak penguasa yang menggunakan segenap kudrat kekuasaan untuk memukul, menindas dan menakut-nakutkan rakya, mereka tidak ubah seperti raksasa yang ganas dan kejam.

Representasi negara sebagai ‘Leviathan’ adalah tidak sesuai di negara yang secara umumnya dianggotai masyarakat yang berbudaya, berbudi pekerti, berakhlak dan bijak. Inikan pula representasi sebagai ‘Leviathan Jahat’, pastinya tertolak sama sekali. Konsep negara dengan kuasa mutlak hanya sesuai buat persekitaran masyarakat yang tidak bertamadun dan buas.

Akan tetapi dalam persekitaran rakyat yang bertamadun bijak dan mempunyai kesedaran akhlak serta moral yang tinggi, maka representasi negara sebagai ‘Hakim Adil’ lagi neutral adalah sesuatu yang perlu diperjuangkan!

Penulis percaya bahawa Rakyat yang bangun mempertikaikan persoalan Kontrak Sosial bukanlah dalam erti kata mempertikaikan perkara-perkara teknikal di dalam Kontrak Sosial tersebut, seperti Hak Keistimewaan Melayu dan sebagainya. Tetapi rakyat mempertikaikan representasi negara dalam bentuk ‘Leviathan Jahat’ sebagai cerminan Kontrak Sosial oleh pemerintah.

Malah keutuhan Kontrak Sosial negara ini juga dipersoalkan. Apakah Kontrak Sosial itu dipersetujui oleh semua wakil kaum dan masyarakat di Malaysia (Persekutuan Tanah Melayu ketika itu). Atau ianya cuma dipersetujui oleh wakil dari parti-parti yang membentuk gabungan dengan ‘Kapal Layar’ sebagai logo mereka?

Negara seharusnya dicerminkan sebagai ‘Hakim Adil’ melalui Kontrak Sosial!

 

Rizuan Abdul Hamid, alumnus Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia’

 

Jean Jacques Rousseau John Locke politik Thomas Hobbes

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan