Satu babak di dalam filem Through the Olive Trees.

Betapa sederhana hidup ini sesungguhnya.

Yang pelik cuma liku dan tafsirannya.

Pramoedya Ananta Toer

Through the Olive Trees, membicarakan tentang kesunyian. Perasaan yang dilalui oleh seorang ikon yang bernama Husein, lantaran penolakan cintanya daripada gadis yang berpelajaran, aslinya datang dari keluarga yang terlebih merongrongi kelas yang dibayangkannya semboyongan. Dia bernama Tehereh.

Ia sebuah filem yang sedang melalui proses penggambaran di sebuah lokasi yang setahun lalu rubuh dititik gempa bumi. Setahun yang lalu itu, sebuah filem juga siap shooting di sini yang telah aku ulas sebelumnya bertajuk Life and Nothing More karya Abbas Kiarostami. Lelaki yang sedang mabuk katarsis.

Dalam Through the Olive Trees, Abbas Kiarostami mengangkat cerita Husein dan Tehereh, di mana di dalam Life and Nothing More yang lalu, hanya merupakan bahagian kecil dari persoalan yang disentuh oleh sutradara tentang gempa bumi, setelah ingin mendapati apa yang didapatinya, dalam road-movie yang kedua itu.

Babak antara Husein dan Tehereh ini menjalani pengambaran di sebuah rumah biru yang cute, yang disinggahinya di dalam Life and Nothing More, kalau maseh ingat. Di sebalik rumah itu, dari sudut pandangan sutradara… kan dia zoom dekat ke rongrongan yang kelihatan serongrongan pokok-pokok zaitun yang kelihatan bagaikan taman hutan—hendaknya, semua maseh ingat lagi. Kerana…

Di situlah perasaannya tinggal. Maksudnya perasaan director. Dalam konteks ini, perasaan Abbas Kiarostami, perasaan yang membawanya kembali semula untuk melunasi sehabis curahannya tentang Koker. Apa istimewanya Koker, sehingga Abbas Kiarostami terlalu menyukainya sampai terlebih-lebih begini?

Koker adalah sebuah dunia yang ganjil, jika mahu dibandingkan dengan semua dunia yang ada. Di Koker, ada sebatang denai yang berbentuk Z di lereng bukit. Sebatang pohon, entah apa, hanya sebatang, tumbuh di atasnya seakan terletak. Jika tidak di sini, di mana lagi di belahan dunia ini yang ada denai secantik itu? Dan pohon, entah pohon apa, yang tumbuh di atasnya seakan terletak?

Aku kira, tidak ada di mana-mana, mungkin. Mungkin tidak ada. Itulah sebabnya, bila ku kira mengapa Jean Luc-Godard mengatakan filem berkesudahan dengan Kiarostami adalah kerana itu. Iaitu Kiarostami mengembalikan apa yang sebenarnya dirindukan oleh sebingkai imej. Ia berbalik kepada kekosongan. Di atas jalan ini, kesemua ceritanya yang dipaparkan adalah berbalik kepada falsafah tentang sepi. Ia merupakan diskusi fasal “aku”. Siapa kita, dan untuk apa kita hidup di dunia ini?

Sekelir yang lain, Through the Olive Trees menunjukkan bagaimana filem itu difilemkan. Filem itu, iaitu Life and Nothing More, difilemkan dalam suasana keselubungan yang sedang merongrong perhubungan antara Husein dan Tehereh, dua watak utama dalam filem Through the Olive Trees, suami-isteri yang ditemui sutradara dalam filem Life and Nothing More, yang lalu.

Namun, dalam Through the Olive Trees, kisah mereka jadi lebih menarik kerana dilihat dari sebalik tabir, pasangan suami-isteri ini diasak oleh kenyataan. Kenyataan itu:  Husein mencintai Tehereh dan ingin melamarnya. Lamaran Husein ditolak oleh keluarga Tehereh kerana dia (Husein) tidak berpendidikan. Pada malam itulah terjadinya gempa bumi. Semua ahli keluarga Tehereh terkorban, kecuali dia dan Pannya. Begitu juga Husein, lagi pahit, Husein kehilangan keluarga, semuanya sekali.

Husein terpilih untuk berlakon di dalam filem Life and Nothing More, setelah pelakon awalnya jujur mengaku kegagapan bercakap depan kamera. Lantaran itu, dia digantikan dengan Husein. Tehereh pula terpilih berlakon dalam satu sesi pencarian bakat yang dikendalikan sendiri oleh director. Dalam Through the Olive Trees, watak director dilakonkan oleh Mohamad Ali Keshavarz. Bila kedua-dua mereka ditemukan, mereka tidak dapat berpura-pura dengan kenyataan. Kenyataan yang tadi.

Husein mencintai Teherah dan lamarannya ditolak. Ia sehari sebelum gempa bumi yang telah menjarah daerahnya dan seluruh daerah di wilayah Guilan, di utara Iran, yang memakan korban yang ganas, yang meskipun sudah kiamat, maseh belum memerdekakan jiwa dari kepercayaan kolot suku-bangsa di bumi manusia. Selagi orang tuanya maseh ada, jangan mimpi anak mudanya akan mengukir sejarah. Begitulah, setidak-tidaknya, yang hendak digambarkan.

Begitupun, Husein tidak pernah kalah. Apalagi mengalah. Husein kelihatan sangat jantan dalam ketololannya. Dia kira, dia berbuat begitu, mencintai Tehereh, kerana sewajarnya. Dia membikin director malu tersenyum mendengarkan jawabannya. Rasionalnya dia mencintai Tehereh semudah pandangan hidupnya tentang keseimbangannya. Baginya, dengan memilih wanita berpelajaran, akan mengimbangi kehidupan berkeluarganya, di mana dia boleh keluar bekerja, sambil isterinya boleh mengajar anaknya membuat kerja rumah. Kalau dia berkahwin dengan betina yang sama tolol dengan otaknya, apa akan jadi dengan anaknya kelak?

Kenyataan, ya, kenyataan tetaplah kenyataan. Kenyataan itu berkehendakkan tidak terjadinya yang tolol-tolol. Kenyataan hendaknya nampak yang muluk-muluk sahaja.

Kerana itulah Husein terus-terusan dirongrongi kenyataannya untuk berterus-terang dengan Tehereh. Di sela waktu pengambaran, Husein yang merupakan actor sekaligus budak handy, berusaha mengetuk pintu hati Tehereh untuk menjawab lamaran cintanya. Tapi, tidak pernah dijawab, meskipun dengan harapan yang paling lemah. Yang sebenar, tak pernah diharapkannya pun, sama sekali. Setelah Teherah, tidak juga menyelak kertas untuk mengatakan: ya atau tidak.

Dan betul, hanya orang tolol sahaja yang tak mengenal makna kalah. Sebab kalau cerdik, kalau waras, kalau macho, tentulah malu dilabelkan angau oleh orang. Tapi Husein tidak. Husein bukan jantan cerdik, waras atau macho. Dia sekadar jantan sepi yang berkira dengan kenyataan. Dia hanya ingin tahu benar-tidaknya hidup itu juga semacam kiamat bagi semua orang.

Sebelum kiamat, sebelum semuanya berakhir tanpa jawapan, Husein mengejar Tehereh, melorongi jalanan di sebalik pinggiran desa, menempuhi denai berliku yang dari depan nampak seakan huruf Z yang berulang-ulang, memanjatinya dengan berjalan di jalanannya yang berpenghujung ke puncak bukit yang maseh gondol, di tempat di mana sebatang pokok, entah pokok apa, hidup tumbuh macam terletak.

Sebaliknya, hendaklah turun ke bawah, di gigi hutan yang menyimpan hasil yang seindah kuno… serimbunan taman: taman zaitun. Buat Husein, disanggupi tindak-tanduk yang mampu berbuat apa sahaja, untuk sehabis usaha mengetuk pintu cinta, meskipun seluas alam yang tak terduga, tetap dikejarnya, sampai hujung dunia.

Dan, betul. Ini barulah filem. Sinema, yang pastinya kekal klasik: yang lepas, yang sedang dan yang akan…. End dir rai.

 

Abror Rivai, sedang menggarap lakonlayar Cinta, Spiritual & Filem Digital. Di samping menulis percakapan tentang Sinema dan Intelektual.