Awal-awal harus ditegaskan bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) adalah “pejabat besar” yang bertanggungjawab khususnya terhadap kemajuan seni-budaya. KPKK mempunyai bukan sahaja para pegawai di setiap jabatan atau agensi yang berkaitan, tapi juga kekuatan dana pembayar cukai yang diperuntuk saban tahun untuk membolehkan menteri merancang, mengurus dan mengemudi kemajuan bidang-bidang berkaitan.

Apabila diteliti Belanjawan 2013, ada berita buruk berkaitan KPKK. Dibandingkan dengan empat tahun lalu, tahun hadapan (2013) merupakan tahun yang paling sedikit wang diperuntukkan untuk hal pembangunan kepada KPKK,. Hanya berjumlah RM573 juta. Dalam masa sama, peruntukan untuk pengurus tetap pula meningkat daripada RM1.784 bilion menjadi RM1.801 bilion; penambahan sebanyak RM17 juta.

Perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya, iaitu sejak 2009 di mana KPKK mendapat peruntukan pembangunan sebanyak RM845 juta; tahun 2010 lebih RM1.1 bilion; 2011 sebanyak RM957 juta, dan; tahun ini melebihi RM1 bilion. Maknanya, peruntukan pembangunan tiga bidang di bawah tanggungjawab KPKK (penerangan, komunikasi dan kebudayaan) susut sekitar RM450 juta. Peruntukan yang ditandakan lebih RM52.3 juta kepada “Kebudayaan dan Kesenian”, yang meningkat daripada RM51.7 juta tahun ini, tak jelas pula akan ke mana?

Bagi saya yang mengikuti dan meniliti buku bajet kerajaan tiap-tiap tahun, jawapan kepada soalan itu hanya diketahui oleh menteri berkenaan dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) sahaja. Mereka berdualah individu yang akan terbeliak mata setiap kali anggaran perbelanjaan dikeluarkan. Dari sana, kita kenal misalnya istilah “proksi”.

Ketika peruntukan tak menentu turun-naik tahun ke tahun dan berkurangan 50 peratus berbanding 2012, peruntukan pengurusan KPKK tak pernah pula kurang. Hal mengurus meningkat mendadak pada 2010 iaitu lebih RM1.2 bilion kepada lebih RM1.6 bilion tahun 2011. Bagi dua tahun berkenaan, antara peruntukan mengurus-dan-pembangunan tidaklah berbeza sampai 50 peratus. Tahun hadapan, beza antara hal mengurus-berbanding-pembangunan melebihi tiga kali ganda! RM1.801 untuk pengurusan dan hanya RM573 untuk pembangunan.

Daripada ketidak-seimbangan peruntukan pengurusan-pembangunan itu, secara umumnya Putrajaya bolehlah dianggap sebagai “red tape government” atau “kerajaan birokrat”. Kenyataannya mudah dilihat apabila kesemua 24 Kementerian, peruntukan untuk pengurusan kekal tinggi berbanding pembangunan.

Kerajaan yang menekankan soal birokrat ini juga dalam kata lain adalah kerajaan yang besar dan memberat. Di zaman sekarang, besarnya sesebuah kerajaan bukan lagi perkara yang bagus. Besar dan beratnya sesebuah kerajaan itu sebenarnya melambatkan pelbagai proses. Sekaligus mengekang kemajuan.

Ambil contoh dua kementerian yang berkaitan langsung dengan salah satu daripada lima pendapatan utama negara, iaitu minyak sawit. Peruntukan mengurus bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tahun hadapan adalah tiga kali ganda berbanding peruntukan pembangunannya, iaitu RM4.1 bilion (mengurus) disamping RM1.6 bilion (pembangunan). Begitu juga dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; satu lagi kementerian yang berkaitan dengan hasil sawit; juga menampung kos pengurusan sehingga lebih RM1.8 bilion berbanding untuk pembangunan iaitu RM1.08 bilion. Nisbahnya perbezaan pengurusan-pembangunan itu hampir sekali ganda.

Kedua kementerian tersebut sengaja saya nyatakan kerana ia berkaitan dengan hasil utama negara, iaitu minyak sawit. Kesimpulan awal ialah, kalau bidang yang menyumbang hasil kedua terbesar [selepas petrolium] pun ‘dianaktiri’ dengan peruntukan pembangunan yang jauh lebih kecil, apatah lagi kepada bidang-bidang yang tidak memberi laba kewangan langsung ke negara. Dalam waktu sama, cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai “negara yang berasaskan perindustrian”, kini hanya menjadi angan-angan kosong sahaja.

Begitu juga dengan laungan “Malaysia Truly Asia” yang kononnya untuk mengimbau pelancong asing, sedangkan industri pelancongan kita pun tidak ke mana. Yang selalu diwar-war menteri di dalam Dewan Rakyat hanya kejayaan-kejayaan kecil tanpa perbandingan dengan negara serantau yang kini pelancongannya pesat seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Aspek kebudayaan mempunyai dua kaitan utama bagi sesebuah negara. Pertama kaitan dengan perihal pendidikan tak formal. “Seni-budaya” hanyalah nama lain kepada “pendidikan tidak formal”, atau, “pendidikan harian”.

Kesedaran asas ini tak pernah terdengar di kalangan mana-mana politikus dan penguasa politik, waima menteri sekalipun. Selalu dimomok dan dikaitkan ialah hubungan seni-budaya dengan “hiburan yang melalai dan menyesatkan”. Bagi saya, pandangan kotor sedemikian oleh orang yang sediakala kotor pula pemikirannya. Tak kiralah bidang apa sekalipun—bahkan agama pun—boleh disesatkan. Oleh itu, tudingan kepada aspek seni-budaya sebagai seseuatu yang negatif dan buruk sesungguhnya melambangkan betapa bobroknya pemikiran seseorang sendiri.

Kedua, seni-budaya juga sering dihubungkan dengan industri pelancongan. Hal ini hanya terjadi untuk produk-produk kebudayaan yang barangkali sesuai dengan industri pelancongan. Mungkin elemen kebudayaan yang terkait hal-hal tradisi seperti tarian, pakaian, perayaan adalah sesuai sebagai antara produk pelancongan. Namun begitu, barang diingat tak semua produk seni-budaya itu sesuai untuk menarik pelancong.

Sebab itu, langkah mantan PM ke-4, Dr Mahathir Muhammad yang pernah meletakkan perihal kebudayaan di bawah kementerian pelancongan adalah sama sekali salah. Beberapa negara lebih berminat untuk meletakkan aspek kebudayaan di bawah pendidikan, atau berdiri sebagai satu kementerian sendiri.

Selepas krisis ekonomi 1997-98, perkembangan seni-budaya Malaysia sebenarnya banyak terencat. Walaupun selepas 15 tahun, umumnya perkembangan seni-budaya di negara ini belum dapat pulih. Dalam keadaan tertentu, terasa pula semakin parah.

Tidak ada sesiapa yang benar-benar memberi tumpuan kepada masalah ini kecuai rungutan sayup-sayup beberapa seniman dan persatuan berkaitan. Senang kata, kesedaran perihal pentingnya dipulih dan diletak di landasan betul aspek seni-budaya masih terlalu asing.

Ramai barangkali tak sedar, misalnya aktiviti teater bolehlah dikatakan sudah hampir sepenuhnya lumpuh. Persembahan teater kini hanya tertumpu di Istana Budaya sahaja, sementara di panggung-panggung lain (milik kerajaan mahupun swasta) boleh dikatakan sangat-sangat layu. Kesan buruk langsung yang dapat dilihat ialah graduan di dalam bidang teater tidak mempunyai jaminan pekerjaan. Lalu, saban tahun permohonan untuk bidang teater di pusat pengajian tinggi awam juga semakin berkurangan.

Istana Budaya jadi satu-satunya panggung yang aktif dengan peruntukan lebih RM28.7 juta. Peningkatan sangat kecil iaitu hanya RM200 ribu berbanding tahun lalu yang berjumlah RM28.5 juta. Boleh dimengertikan bahawa petugas di Istana Budaya tidak boleh dipersalahkan sangat apabila banyak cacat-cela di dalam setiap persembahan. Jangan fikir bahawa peruntukan itu terlalu besar kerana wajarlah pula diukur dengan dua perkara.

Pertama kualiti persembahan dan kejayaan menarik penonton yang ‘genuine’, iaitu bukan penonton yang ‘ditaja’ tiketnya oleh syarikat dan agensi tempat dia bekerja. Kedua, perlu dibandingkan langsung peruntukan berkenaan dengan misalnya panggung seumpama seperti di Singapura mahupun City Hall di Seoul.

Bagi saya, sedari awal Istana Budaya memang sudah disalah-bangun. Kesalahan nyata adalah lokasinya. Saya kira hanya Istana Budaya adalah satu-satunya panggung teater di kota-kota di dunia ini yang jauh daripada stesyen utama pengangkutan awam.

Panggung teater di Jakarta didirikan betul-betul di sebelah Taman Ismail Marzuki (TIM), iaitu pusat kebudayaan dan kesenian di tengah-tengah Jakarta. Teksi dan bas di jalan besar TIM tak lekang putus. Tidaklah sukar mendapatkan teksi seperti di jalan Tun Razak. Panggung teater itu pula terletak dekat dengan Institut Kesenian Jakarta (IKJ), iaitu di belakang bangunan panggung wayang di TIM.

Perbandingan lain ialah City Hall di Seoul yang hanya mengambil masa tak sampai 5 minit berjalan kaki dari stesyen keretapi bawah tanah. Sementara maaf, rekabentuk City Hall pula jauh lebih cantik dan moden berbanding Istana Budaya.

Di sebelah Istana Budaya adalah Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Nama BSLN sudah ditukar kepada Balai Seni Visual Negara (BSVN), walaupun di dalam buku Bajet 2013 masih pula digunakan BSLN. Masih dipakai “seni lukis” dan bukannya “seni visual”. Begitulah kelirunya pemerintah yang sekejap-kejap tukar nama sebagai jalan pintas untuk kononnya menampakkan kemajuan.

Saya secara peribadi lebih senang dengan nama “seni lukis’ berbanding “seni visual”. Alasannya mudah, tradisi seni visual di dunia memang dikenali sebagai senilukis. Noktah.

Masih saya ingat di dalam satu sidang Dewan Rakyat, peruntukan untuk BSLN tetap tidak cukup. Tahun ini, diperuntukan sebanyak RM15.4 juta dan tahun hadapan sebanyak RM19 juta. Ada peningkatan sekitar RM4 juta. Sepertimana peruntukan untuk Istana Budaya, jumlah itu terlalu kecil untuk mengatur pelbagai program sepanjang setahun lebih-lebih lagi jika hendak dibandingkan dengan, misalnya Singapura yang mana badan seumpama BSLN memperolehi peruntukan lebih 30 juta Dollar Singapura setahun.

Maka tidak hairankan apabila Singapura kini muncul sebagai hub senilukis serantau sedangkan 99 peratus pelukisnya adalah daripada Indonesia dan Malaysia. Bagi membuat pameran solo pelukis utama, yang dalam setahun hanya dapat dianjurkan untuk tiga orang, setiap kali memakan belanja sekitar RM300 ribu. Kalau tiga pelukis, makanya untuk itu sahaja jumlahnya sudah hampir RM1 juta. Sekali lagi, mungkin kenyataan ini tidak disedari pun oleh menteri.

Bahkan, sehingga hari ini, kerajaan melalui BSLN masih gagal memberikan dana sokongan berupa geran kepada individu pelukis. Geran yang mungkin sekitar diantara RM10 ribu sehingga di bawah RM50 ribu adalah perkara biasa yang menjadi amalan beberapa negara di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat. Geran tanpa bayaran balik itu adalah untuk membantu pelukis memulakan atau mengembangkan kerjayanya, selain bantuan untuk mengadakan pameran di dalam dan luar negara.

Dengan peruntukan sekitar RM19 juta itu tadi, tentulah sangat jauh untuk Malaysia mampu menganjurkan pameran senilukis setaraf “Biennale”. Biennale adalah pameran senilukis berskala mega. Kalau di dalam industri buku, kita ada pesta buku antarbangsa, atau di dalam industri pertahanan kita ada Pameran Lima, begitu jugalah di dalam arena senilukis. Pameran peringkat antarabangsa itu dipanggil “biennale”.

Sekali lagi Singapura sudah mengorak langkah menganjurkan siri biennale bermula pada era ekonomi gawat lagi, iaitu pada 1996. Biennale kali ke-4 akan diadakan tahun hadapan yang dianjurkan Musium Seni Singapura (SAM)—badan seumpama BSLN. Sebagai catatan, SAM kini mempunyai koleksi senilukis yang terbesar di Asia Tenggara. Betapa tercecernya kita sehingga SAM telah membuat kerjasama dengan pihak berkuasa seumpama dari Shanghai, Hong Kong, India, New York, Fukuoka dan beberapa negara lain; tetapi tidak membuat jalinan kerjasama dengan BSLN, Kuala Lumpur iaitu jiran terdekatnya sendiri.

Saya sendiri pernah berpeluang mengikuti biennale iaitu di Gwangju, Korea Selatan pada 2002. Baru sahaja Oktober 2012, Gwangju Biennale berjaya diadakan buat kali ke-9. Sesuatu yang memalukan di dalam circuit senilukis antarabangsa apabila sesebuah negara yang mengaku mahu menjadi negara maju tetapi tak mampu menganjurkan pameran senilukis bertaraf biennale.

Perbandingan dengan Korea Selatan bukan sekedar itu apabila Malaysia yang sekian lama mendakwa sebagai negara industri, namun keretanya (Proton) gagal bersaing. Syarikat Korea Selatan, Kia (yang sebaya Proton) pula dapat mengeluarkan kereta seumpama Optima K5 yang kini jadi rebutan di pasaran Eropah.

Di saat Korea Selatan berhadapan dengan ancaman serangan oleh Korea Utara, negara itu kini sudah mampu mengeluarkan telefon pintar Samsung Galaxy yang memberi saingkan hebat kepada produk Amerika Syarikat, iPhone. Yang hendak saya catatkan tak cuma itu apabila beberapa tahun lalu, siri drama “Winter Sonata” juga menerjah masuk ke Malaysia dan diterima sebagai antara produk seni-budaya Korea Selatan yang paling popular selain K-Pop dan lagu “Oppa Gangnam”.

Di dalam industri filem, mampukah filem kita bangkit dan berhadapan secara anak jantan dengan filem-filem dari Korea Selatan, filem dari Thailand dan Indonesia selepas sekian lama Malaysia terus ketinggalan dengan filem dari India dan Iran. Selama 24 kali penganjuran Festival Filem Malaysia, acara itu semakin jauh terpisah dengan perhatian masyarakatnya sendiri.

Begitu juga Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) yang dianjurkan sejak 2003, sebenarnya masih gagal menarik perhatian penerbit dan bintang filem Asia, apatah lagi Eropah dan Amerika Syarikat. Dengan peningkatan peruntukan hanya RM127 ribu (!) yang diberikan kepada Finas bagi tahun hadapan (daripada RM38.723 juta kepada RM38.851 juta) saya tak fikir akan berlaku perubahan besar di dalam industri filem nasional.

 

Waima diwujudkan insentif tayangan filem berjumlah RM2 juta sebagai dasar baru kerajaan, saya tak fikir dana sebanyak itu mampu memberi kesan atau membantu apa-apa pun di dalam industri filem. Jumlah itu takkan dapat digantikan dengan dana insentif sebanyak RM200 juta yang tak diberikan lagi pada tahun hadapan.

Malahan rungutan karyawan dan pekerja filem tentang nasib dan hak mereka yang melibatkan hak cipta dan royalti nampaknya takkan kunjung usai. Sekali lagi sesuatu yang memalukan apabila selepas 50 tahun merdeka, soal asas iaitu soal hak cipta dan royalti masih juga tak beres. Dengan persidangan parlimen tiga kali setahun, sebenarnya tak ada alasan untuk pihak menteri menyelesaikan persoalan itu dalam tempoh kurang setahun. Ya! Sekiranya tak ada kesedaran awal, seribu tahun sekalipun takkan ke mana-mana.

Contoh lain yang tak diterima dek akal ialah pembayaran royalti “flat rate” kepada industri musik oleh RTM. Saban tahun, ketika badan penyiaran lain membayar kadar royalti yang meningkat, RTM tetap membayar hanya RM1 juta sahaja. Anehnya jumlah seciput itu adalah daripada peningkatan sekitar RM14 juta iaitu daripada lebih RM401.2 juta tahun ini kepada RM415.2 juta tahun hadapan untuk Rancangan Penyiaran.

Di bawah hal “Penyiaran”, yang mengalami potongan ialah Operasi Penyiaran iaitu daripada RM191.4 juta tahun ini kepada RM184.5 juta tahun 2013. Semua angka tersebut bukan lagi alasan untuk RTM terus membayar kadar tetap RM1 juta bagi royalti kepada bidang atau industri muzik, sedangkan RTM mempunyai stesyen radio yang paling banyak berbanding badan penyiar lain.

Melihat akan setiap kegagalan, kita pasti gundah. Bertambah-tambah gundah apabila pembangunan seni-budaya kita diukur dengan kemajuan yang dicapai negara-negara lain. Hanya “pemimpin atau orang kasar” atau berciri rendah tamadunnya sahaja yang akan menggunakan belanjawan tahunan sebagai kesempatan menabur wang bantuan RM500 kepada si miskin tanpa melihat masalah sebenar di jantung rakyatnya.

Bila orang bertanya, apakah kerajaan lain selain Barisan Nasional (BN) yang mampu menyelesaikan masalah ini (?) jawapan saya, ia adalah soal kesedaran. Tanpa kesedaran bahawa seni-budaya itu adalah “pendidikan tidak formal” atau “pendidikan harian”, parti apa pun yang memerintah, takkan banyak yang berubah.

Sebab itu, di sudut sama, kita tak nampak usaha pro-aktif dan agresif empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat di dalam hal seni-budaya. Selepas empat tahun—selepas Pilihanraya Umum 2008—kedua kubu kekuasaan politik itu nampak masih dengan acuan pemikiran usang yang sama.

Melainkan kalau ada di antara pemimpin yang dapat melihat betapa pentingnya “pendidikan harian dan tak formal itu” sepertimana perlu diusahakan agar setiap anak-anak masuk sekolah, maka kita sedar setiap orang akan terikat dengan seni dan kebudayaan. Bukankah ramai orang di sepanjang hayatnya akan mengabiskan masa lebih lama di hadapan TV atau menonton filem berbanding tempoh mereka di belajar di dalam kelas dahulu… begitulah mudah kata.

Makna “seni-budaya”, “kreativiti” bahkan “pemikiran” perlu segera diletak kembali ke landasannya. Ia sangat penting kepada bangsa yang mahu menjadi besar, tamadunnya. Di kalangan bangsa-bangsa besar di dunia.

 

Hasmi Hashim, penulis dan politisi.