Morning Scent © Arif Fauzan Othman

Fotografi bukan catan. Manusia tetap melukis, menyapu warna-warna di kanvas, meski sejak kotak perakam gambar atau kamera diciptakan hampir seratus tahun lalu—demikian teknologi memindahkan imej ke satu permukaan sudah ditemui lebih awal daripada kamera tercipta, iaitu sekitar abad ke-13. Sejak itu, ia terus berkembang untuk abad-abad terkemudian dan jadi sempurna sebagai fotografi pada awal abad ke-19.

Di dalam filem, misalnya, manusia hari ini bukan sahaja sudah dapat menyaksikan filem animasi, bahkan filem tiga-dimensi dengan efek mengagumkan: foto lama diambil, diwarnakan dan ditampal dengan imej kontemporari. Kalamana evolusi kamera dan fotografi makin maju sehingga ke era digital, tapi entah apa sebab lukisan dan catan tak mati-mati? Entah apa pasal, manusia tetap melukis?

Lukisan tak mati-mati waima ketika setiap keping gambar di awal abad ke-21 dapat dimanipulasi dengan aplikasi komputer, yang, sangat-sangat-sangat canggih. Ia tetap terjadi paling tidak sampai Jumaat malam tempohari, 7 September 2012, ketika saya melihat catan-catan Arif Fauzan. Di studionya.

 

II

Sebenarnya studio itu bukan studio. Ia sepatutnya adalah ruang tamu yang bersaiz agak-agakku dalam 9X15 kaki yang Arif jadikan—atau memanggilnya dengan nama—“studio”. Ruang itu, sebelah-menyebelah dengan dapur tanpa pembahagi dinding… “dapur” seperti yang dipaksakan pemaju kawasan perumahan itu adalah dengan saiznya lebih kecil lagi, sekira-kira 4 ½ X 6 kaki sahaja.

Morph © Arif Fauzan Othman

Sebelumnya hendak saya beri tahu, rumah yang pelukis ini sewa merupakan pangsapuri kelas bawah yang padat-melimpah dengan motor-motosikal dan kereta bila malam; serta suara-suara anak kecil, perempuan memujuk, atau orang mengerang [mungkin kerana sakit] dari unit-unit rumah lain, yang saya tidak pasti.

Arif—dia lahir di Ipoh, Perak—mungkin sudah endah tak endah dengan bising-bising di flat itu. Telinganya bagai sudah tak mendengar. OK-OK! Kebisingan bagi orang kelas bawah kota, bukan lagi sesuatu yang luar biasa. “Bising” sama juga ertinya dengan, misalnya “bau”.

Di antara kita mungkin ada pengalaman menetap di kampung yang dekat dengan kilang sagu. Bau busuk sagu hanya untuk orang yang sesekali mampir ke kawasan itu. Bacin sagu sudah tak terbau lagi kepada orang yang memang tinggal di situ lama, walaupun di kala pagi ketika wap tanah naik ke muka. Maka, begitu jualah keadaannya bagi hal “bising”.

Kebisingan di pangsapuri tempat Arif menyewa, terdengar hanya untuk orang luar. Bukan untuk Arif. Bukan kepada mereka yang memang sediakala duduk-tinggal situ.

Bila ditegur, dia menjawab bahawa suasana bisang-bising itu sebagai “meriah”. Bising agaknya bukan lagi ‘bising’ bagi anak-anak kecil yang menangis, perempuan yang memujuk atau lelaki yang mengerang akibat sakit. Mereka sudah lali. Dengan riuh-rendah. Mereka mungkin juga sudah alah biasa dengan kemiskinan.

Dalam kelalian itulah, Arif melukis sampai catannya seakan-akan tak padan dengan saiz “studio”. Naik kanvas sehingga 4-5-6 kaki X 5-6-7 kaki tinggi. Ada berus yang masih belum diguna; tetap baharu. Ada pisau lukisan atau palette knife plastik. Ada juga alat-alatan yang selalu dilihat orang diguna oleh tukang cat atau buruh kontrak. Ada benda-benda yang tak ada nama, yang turut digunakan untuk membuat catan-catanya. Chop-chop! Memang, apakah semua benda—bahkan kejadian—perlu ada namanya sendiri sebelum kita mampu memahaminya?

Di situ, saya duga, Arif bermula.

Berawal dengan tidak memahami. Kandas memberi nama kepada benda-benda dan keadaan. Melainkan rasa. Seperti satu kejadian, yang menurutnya memberi idea untuk beberapa keping catannya. Peristiwa yang dimaksudkan Arif adalah kejadian seorang lelaki yang mengamuk pada siang 9 Jul 2012, di depan komplek Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. “Apa sebabnya dia mengamuk?” tanya Arif. Tak kurang ramai yang barangkali turut bertanya begitu. Melainkan malam sudah lewat: 5 haribulan September ketika kami sedang berbual-bual. Dengannya.

Bagi orang yang belajar ilmu kejiwaan (psychology), akan cuba dijelaskan peristiwa amuk itu tak lain akibat seseorang gagal mengurus atau mengawal tekanan mental dan jiwa. Tak ada tempat untuk mencurah atau melepaskan tekanan dengan baik. Jalan sudah buntu. Kelam. Macam malam. Tidak atas kertas; tidak kepada tulisan; tidak kepada lukisan. Lalu semua tekanan jadi ekspresi liar. Jadi bentrok-bentrokan.

Kerana lelaki berkenaan tak ada bakat; tak faham akan bentuk dan tak mengerti akan warna, maka dia kandas untuk menjadi seorang pelukis seperti, misalnya Vincent van Gogh yang juga pada hujung hayatnya jadi separuh gila. Lelaki yang mengamuk itu bukanlah seniman kerana dia tak ada bakat, atau tak mengasah dirinya untuk jadi seniman—dengan medium apa pun. Mungkin dia dianggap “gila”. Tapi seniman, yang duduk di dalam keadaan paling tertekan sekalipun, mereka dapat kekal sebagai manusia yang berakal sihat, bahkan memperkukuh diri sebagai penyataan aku tetap wujud, kerana seniman ada medium untuk berdialog kembali dengan tekanan apa pun. Dengan mesej dan imej-imej yang tersorok di belakang dirinya.

 

III

Dan Arif mungkin dah terbiasa hidup di bawah lingkungan warga kota kelas bawah. Kepada para pemikir ilmu tata-rakyat aliran kiri, selalulah melabel kelas berkenaan sebagai “miskin kota”.

Fly Butterfly © Arif Fauzan Othman

Di tahun 60an sampai hujung 80an, warga miskin kota—terutama di Kuala Lumpur—banyak membuka tanah. Dibuatnya kampung dan penempatan-penempatan baru. Surat khabar perdana memanggilnya dengan jolokan “setinggan”. Untuk menampakannya lebih jelek, dibubuhkan pula perkataan “haram”. Disebut “setinggan haram”, atau “kampung haram”, atau “penempatan haram”—walaupun entah apa sesungguh-sungguhnya ertinya “haram” di dalam suatu sistem kenegaraan bila watan dan pribumi mendirikan rumah di atas tanahair mereka sendiri?

Lingkungan yang galau-malau—yang ketika membuka kunci pintu besi rumahnya tadi, Arif sebut sebagai “meriah”—seakan dapat dirasakan kembali di dalam catan-catan Arif. Catan—juga untuk bentuk karya apa pun—adalah “sisi Qarin” diri pengkarya. Ini bukan kesedaran agung dari saya. Melainkan orang-orang sebelum kita terlebih awal sudah menyedari akan hal ini. Paling tidak, boleh dibuktikan di dalam karya Arif yang terdahulu. Di tahun-tahun sebelum sekarang. Ada dua, saya lihat.

Satu, “Beta”. Kedua, “Gamma”.

Kedua catan berkenaan dihasilkan tahun 2011. Saiznya juga sama. Mediumnya juga. Kedua-duanya dengan potrait lelaki yang tak dikenali oleh orang lain. Kecuali Arif.

Saya syaki, potrait lelaki adalah kawannya. Apakah perlu sebab-musabab untuk melukis wajah seseorang kawan? Tentu jawapan tidak. Jadi, tak perlulah kita bertanya-tanya lagi mengapa Arif melukis potrait itu, yang barangkali kawannya. Kalau pun ada alasan untuk itu—sekali lagi saya agak-agak—tak lain kerana visual lelaki berkenaan yang tampak kukuh. Tampak lelaki. Tampak kuat. Macam lelaki. Macam manusia yang paling ideal di mata, sekurang-kurangnya, mata Arif.

“Kukuh”, “kuat” dan kelelakian itu baginya penting. Dilukiskannya betul-betul unsur-unsur berkenaan. Agar tampak potrait. Agar cukup meyakinkan bahawa ia memang potrait. Bukan batang kayu, atau dinding sampan! Di dalam sebuah temubual dengan majalah 360 Celcius, Arif menceritakan yang dia sejak di sekolah lagi sudah melukis potrait. “Untuk memukau cikgu saya”, katanya.

Hari ini, dia sudah dewasa. Potrait yang dia faham, yang dia lukis bukan lagi dengan latar yang indah-indah, atau yang bersih-bersah; tapi, dengan yang galau-malau, compang-peranang di tepi-tepinya. Sedar tak sedar, barang sapuan comot-comot itu tidak pula sampai masuk menerjah dan menganggu “wilayah” atau kawasan potrait. Cuma di tepi-tepi. Seakan-akan itu semua adalah petanda kepada “sesuatu yang lain”: a sub-lime images.

Misalnya tentang kebisingan-kebisingan tadi—barangkali juga kelaparan—yang tak berupaya mengambil perhatiannya, dari dirinya. Kecenderungan sebegini sudah mulai wujud di dalam catan “Little Thinker” (Arkrilik | 27”X72” | 2011). Dipertegaskan lagi gaya yang mirip-mirip dalam pameran solo kali ini, iaitu dengan enam keping catannya. Satu, “The mystery”; dua, “Past Tense”; tiga, “Contemporary Combustion”; empat, “Ballad Of A Delusional Man” yang ada tiga keping. Tiga campur tiga, jadi enam.

Semua penampilan latar yang celaru itu, semakin disahkan dengan kehadiran sekeping lagi catan yang bertajuk “Two Headed Mountain”. Deretan karya-karya berkenaan persis sebuah ‘bisikan’… membisikkan kepada dirinya sendiri agar dia (seniman) perlu selalu tak lut oleh persekitaran yang keliru, walaupun “kekeliruan”, “bingung”, “buntu”—atau “meriah” tadi—muncul datang dengan warna kelau-gemilau. Keemas-keemasan.

 

IV

Umurnya 33. Tahun ini. Kehilangan bapa tika berumur dua tahun. Arwah bapanya juga, kata Arif, adalah seorang seniman. Sekaligus seakan ingin memberitahu, ada darah bapanya, dalam tubuhnya.

Ketika usia yang masih tengah-tengah, membikin satu pameran solo adalah sejenis kekuatan. Lebih-lebih lagi, ketika kawan-kawan seangkatan ada yang sedang mewah-mewah tidur selesa dalam kamar berhawa dingin, atau tiap hari ulang-alik bekerja di kantor besar dengan jawatan berjela-jela. Arif tidak.

Dia tidak memilih itu semua. Dia telah membuat pilihan. Bila? Saya tak tahu. Kecuali pesan kecil agama kami, “sesuatu itu bermula dengan niat”, dan pesan kecil ramai cikgu-cikgu agama, “kita dapat apa yang kita niatkan”, dan pesan kecil mak-abah kita, “buat baik balas baik, buat jahat balas jahat”. Semua itu, dekat-dekat.

Andai saya tak kenal Arif. Andai kami tak pernah berjumpa. Dan saya hanya dapat menggapai untuk mengenalinya dengan cuma daripada lukisan-lukisannya, saya pun seperti ramai orang, hampir-hampir tak pasti apakah darah keturunan dan bangsanya. Tidak seperti ramai pelukis dekad 80an dan 90an di negara ini, Arif melampaui persoalan identiti kaumnya. Dia tak melukiskan “orang Melayu”, atau “orang Cina” atau “orang India” atau orang kampungnya.

Sitting Mother © Arif Fauzan Othman

Tak kisahlah apa bangsa orang kampungnya itu. Dia kelihatan senang sekali melukis, cuma “orang”. Cuma tubuh dan sosok. Tanpa identiti kaum atau budaya-tradisi yang jelas, walau ada sebuah lukisanya gambar orang kahwin. Pasangan mempelai Melayu-Islam. Tajuknya, “The Vow” (2012).

Awal sangat kalau hendak dilabel Arif melukis rupa paras tradisi orang Melayu-Islam. Lebih-lebih lagi apabila baru tahun lepas sahaja, ada sebuah catan olehnya dengan tajuk “Grave Digger”. Getar karya itu terasa betul daripada pengalaman sang Pelukis vis-à-vis muzik rock. Dan muzik dalam ertikata hari ini, beserta dengan seni katanya sekali. Disadap dua-dua. Muzik-dengan-lirik.

Imej di dalam catan itu adalah re-konstruksi daripada foto popular kugiran The Beatles. “Re-konstruksi” yang saya maksudkan bukan sahaja “dilukis semula”, tapi diberi imej dan seakan-akan makna baharu. Foto ikonik itu pernah diguna The Beatles jadi kulit album “Abbey Road” (1969).

Penggila The Beatles tentu tahu Abbey Road adalah nama jalan di bagian utara London. Di situ ada studio muzik di mana kugiran itu merakam album mereka. Mereka pergi-balik, hampir tiap-tiap hari. Dengan yang demikian, paling tidak Arif barangkali mahu memberitahu, dia telah mendengar lagu-lagu The Beatles. Dia seakan tahu betul pasal kugiran itu—sekaligus sebagai penegasan dari zaman dan generasi mana, Arif hadir.

Seperti Arif, banyak juga diubah-ubah orang akan kulit album berkenaan. Termasuk ada yang lebih ekstrem dengan membubuhkannya dengan watak-watak kartun Amerika, The Simpsons, misalnya. Selalu pula menjadi kenang-kenang bagi pelukis, kepada yang pernah dekat dengan hatinya, terasa semakin jauh dengan harinya. Tak cuma Abbey Road.

Di dalam hubungan tempatan, monumen-monumen juga adalah sesuatu yang selalu muncul di depan mata. Kemudian hilang. Dalam ‘permainan’ sebegitu, Arif ada dua episod pendek tentang “Morning Scent”. Sekeping merakam pagi dengan rumah kayu di kampung. Satu lagi aspal yang lazimnya untuk rumah orang yang lebih moden. Bahkan, yang lama; yang berkarat; yang lusuh tetap masih punya cahaya di mata Arif. Macam di dalam “Shoplots”. Kedua perbandingan akan catan lanskap itu—“yang lama” dan “yang baharu”—juga akan hilang secara fikiran, dan secara ingatan. Ramai mungkin akan melupakan apa yang pernah ada. Tidak kepada Arif. Tidak kepada seniman.

Lantaran itu, dan perubahan dan cacat-calarnya perubahan, dalam bising-bisingnya persekitaran, Arif mahu dan berusaha untuk kekal waras. Kekal menjadi dia. Atau mungkin dengan memakai tajuk daripada catannya sendiri, kekal di dasar asli: “Keep Grounded” (2011 | arkrilik). Yang orang lihat, yang orang tafsir, belum tentu yang sesungguhnya. Di celah-celah itu ada cerita lain, yang merayap; yang berbisik.

Di dalam album “Help”, di tahun 1965, kugiran The Beatles ada nyanyikan sebuah lagu, “Tell Me What You See”. Begini-begini:

If you let me take your heart I will prove to you
We will never be apart if I’m part of you

Open up your eyes now,
tell me what you see

It is no surprise now,
what you see is me.

The Beatles dan Arif: keduanya telah memberitahu kita akan diri mereka, walaupun untuk seorang pelukis, mengadakan pameran solo tentunya lebih mendedahkan diri kepada orang ramai di sepanjang zaman berbanding membikin sebuah lagu mahupun sebuah album muzik. Mungkin juga atas kesedaran itu, manusia tak mati-mati melukis. Terus dan terus.

 

 

HASMI HASHIM [Buddhi Hekayat]
Jalan Telawi, KL.
16 September 2012.

Karangan ini adalah tulisan kuratorial untuk pameran solo pertama “Sublime Image” oleh Arif Fauzan Othman di Geleri ARTI, Desa Melawati, Kuala Lumpur daripada 5 Oktober sehingga 3 November 2012.