Faisal Chal Ahmad ketika proses penggambaran Leftwings © Helmi Burhanuddin

I.

“Kalau kamu tak ‘masuk watak’, tak faham karektor watak kamu, penonton pun takkan faham apa yang kamu nak sampaikan menerusi lakonan kamu…” Nasir Jani

Seketika Sani Sudin sedang fokus, membentuk sesi latihan lakonan untuk para pemain filem sulungnya, Faisal Chal Ahmad atau Chal mengimbas zaman kanak kanaknya di sekolah rendah. Seingatnya dekat situlah mulanya cinta Chal pada lakonan dan filem berputik. Di satu Hari Guru di sekolahnya, Chal berlakon sebagai nenek.

Masih diingatnya, dia meminjam baju kurung Kedah dan kain batik neneknya sendiri untuk menjayakan lakonan pertamanya itu. Seketika dia akan ke lokasi untuk filem sulung arahannya, detik yang begitu romantik entah mengapa terpercik kembali. “Masa sekolah rendah dulu, abang Chal main rekorder,” kata Chal di awal diskusi kami yang rugged dekat sebuah gudang di pinggir Damansara. Bila dan bagaimana Chal bermula? Mengikut ceritanya, penglibatannya dalam dunia filem Melayu bermula seawal tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lagi.

Sebelum itu pada tahun 1980, Chal masuk Tingkatan 1. Di mana-mana dan bagi sesiapapun, zaman sekolah menengah memang banyak kenangan. Bagi Chal, masa itulah dia sudah berkawan dengan Faizal Hussein. Ya, Faizal Hussein yang itulah. Pelakon kesayangan ramai itu. Yang merupakan anak lelaki Hussein Abu Hassan, seorang aktor dan sutradara filem Melayu, yang aku kira sangat dikenali semua kita.

Nasir Jani, pengarah dan penulis skrip bersama filem Letfwings. © Helmi Burhanuddin

Tapi, itu baru permulaan. Ia kerana persahabatan Chal dan Faizal sebetulnya lebih sekepala bila dah nak hujung sekolah. Masa itulah, banyak masa mereka habiskan bersama, melalui berbagai ragam dan cerita kehidupan yang tak pernah luput dari kenangan, bersama dua teman lain yang juga sekepala iaitu Hamid dan Legau (Rosyam Nor). (yang kemudiannya, tanpa mereka sendiri sangka, disebabkan sekepalalah mereka disatukan dalam filem Pak Hussein).

Segalanya bermula dari Faizal. Dia mengajak Chal dan lain-lain ke audition filem baharu bapaknya yang bertajuk Gila Gila Remaja. Aku fikir semua orang masih ingat dengan watak Kuzi selain Roy yang dimainkan oleh Faizal sendiri. Kuzi itulah Chal. Disebabkan sejarah itu, bagi Chal sendiri, bila ditanya siapakah guru filemnya, dengan yakin dan terus terang, pasti inilah jawabannya, “Pak Hussein (Hussein Abu Hassan) guru filem pertama gua. Tapi, orang yang bertanggungjawab mendidik gua jadi pengarah filem adalah abang Nasir (Nasir Jani).”

Setelah bertahun sunyi dari menghasilkan karya yang menyengat, Nasir Jani kembali dengan karya terbarunya bertajuk Leftwings – sebuah filem dengan tajuk kecil: Tak Rugged Kalau Hidup Tak Rock N Roll. Inilah sebuah filem dalam kelas yang tersendiri. Ia kerana genre filem Rock N Roll bukanlah baru bagi Nasir, tetapi setelah Rozana Cinta 87, jarang kita dengar filem sebegini diterbitkan lagi. Hendak pula ia masuk setelah lambakan cerita seram dan komedi tahyul sarat diputarkan di panggung wayang.

Bagi aku, kita memang perlukan nafas baru yang semacam ini bagi mengalihkan khayalan kita yang berpanjangan itu. Jadi, kolaborasi antara Chal dan Nasir Jani, aku fikir sudah lama dinantikan peminat filem Melayu kita. Terutama bagi mereka yang rindukan filem bercorak musikal dengan musik rock-nya yang bergelora.

Mungkin kita cepat terhimbau di zaman Kembara Seniman Jalanan kembali, namun Leftwings menjanjikan sesuatu yang lebih segar, barangkali. Filem ini akan menampilkan hampir semuanya muka baharu sebagai barisan pemain. Inilah dia keberanian yang kita cari!

Ini ditambah pula dengan maksud kolaborasi. Dalam pembuatan sebuah filem, kolaborasi merupakan paduan idea yang mengasyikkan. Hendak pula bila ia lahir dari karya yang sudah masak digali, seperti tujuh tahun lamanya atau lebih – yang bakal pula disutradarai seorang karyawan yang sudah merayakan usia jubli perak dalam penglibatannya di bidang seni dan hiburan khususnya filem.

Salah satu babak dalam Leftwings dibintangi Sani Kopratasa © Helmi Burhanuddin

Di samping itu, harus diakui, seringkali isu dan perkara yang disuarakan lewat filem tempatan, cenderung menjuarai suara-suara kanan (baca: konformis) yang dianggap lebih dekat dan sealiran dengan kehendak penonton dan pelabur. Setakat ini, belum banyak orang suka mengangkat pandangan kiri (baca: prinsip) secara kreatif.

Banyak berpendapat “kiri” merupakan suara yang tersisih kerana dikatakan emosional. Betulkah macam itu? Tapi kenyataan tetap kenyataan kan… bukankah begitu? Dalam hidup ini kita sering berasa tidak cukup dari cukup. Pula, ketidakpuasan hatilah yang mendorong kita untuk mengejar mimpi meskipun setinggi mengejar matahari? Entahlah, bukan kita faham sangat puisinya atau pasti betul salahnya.

Namun, setuju atau tidak, inilah suara yang akan dijelmakan dalam filem Leftwings yang telahpun masuk penggambaran sejak 1 haribulan Julai tahun lalu. Intipati dari filem Leftwings ini, menurut Chal sendiri, “bersikap left atau kiri dengan tanggapan yang betul (right), bagi gua lagi rugged dari bersikap right atau kanan dengan tanggapan yang salah sebab itu poyo. Kan hipokrasi sudah lama menjadi penyakit masyarakat kita dalam apa juga bidang!”

Dalam pada itu, Leftwings merupakan sebuah filem cereka musikal yang melihat keganasan itu dari sudut pandangan jiwa (dalaman) dan bukan fizikal (luaran). Sama seperti karya Nasir Jani yang sebelum ini, yang banyak menggali sejarah musik rock tanah air, yang mencapai zaman kemuncaknya dengan album masterpiece dari kumpulan Wings bertajuk Bazooka Penaka.

Senang cerita, Leftwings berkisar tentang empat orang remaja yang menubuhkan sebuah band bernama Leftwings kerana menjadikan Wings sebagai sifu dan idola mereka. Filem yang bakal diterbitkan Bagus Tiasa Sdn. Bhd. ini merupakan cerita asal Nasir Jani dan skrip bersama Faisal Chal Ahmad (yang juga selaku penulis lakonlayar dan sutradara).

Chal sewaktu menceritakan pada aku tentang Leftwings, mengatakan, “gua membuat filem ini kerana mendapat inspirasi dari Wings itu sendiri kerana gua turut terlibat merasai detik jatuh bangun band kesayangan rakyat Malaysia ini.”

Dalam menghasilkan Leftwings pula, Faisal Chal turut mendapat inspirasi dari filem Mengejar Matahari, yang juga menceritakan tentang setiakawan empat orang sahabat. “Inilah yang penting dalam Leftwings, setiakawan dan persahabatan. Selain itu musik.” Lagi, Chal bilang, “setelah dua puluh lima tahun terlibat dalam industri, gua ingin sekali mengarah filem kerana bagi gua, ia juga merupakan impian semua pengarah.”

Semenjak masuk ke dunia filem menerusi Gila Gila Remaja, Faisal Chal mula aktif di dalam program TV Malaysia dengan berlakon di dalam drama-drama swasta seperti Masih Ada Jalan Pulang, Ema & Elina, Pulau Misteri dan banyak lagi drama terbitan RTM dan TV3. Beliau mula berjinak-jinak di dalam bidang pengarahan pada tahun 1991 dan drama arahan pertamanya bertajuk Tabiat pada tahun 1991 dan seterusnya beliau mula mengarah, berlakon dan menulis skrip untuk pelbagai jenis produksi yang menerbitkan filem, telemovie, drama bersiri, program kanak-kanak, program majalah, dokumentari dan klip video untuk artis tanah air.

Antara drama arahan beliau yang popular dan pernah menjadi sebutan masyarakat adalah Madu 4, Kota TV, Penjara Kasih, Siti Wan Kembang, Andalusia, Orang Gaji 41, Tolong Orang Nak Tipu Orang, Nasrul Genius, Malang Hari Kerana Hati, Sinar Qayyum dan Cewek Dari Jakarta. Kebanyakan drama arahannya adalah untuk tayangan stesen TV Malaysia. Drama arahannya, Madu 4 telah memenangi anugerah Penyunting Terbaik di dalam Anugerah Skrin TV3 1996.

Setiap karya ada sejarah bermulanya. Untuk lebih sempoi dihayati aku tak hendak memotong apa yang telah disuarakan dengan sepenuh jiwa oleh pembikinnya. Untuk itu, aku buat begini supaya semua orang dapat merasakan pengalaman lepak dengan seniman terkenal seperti beliau.

Lalu, bagi menceritakan pula sejarah filem ini ditulis, aku titipkan di sini diskusi aku dan Nasir Jani. Terjadi pada malam yang sama aku bertemu Chal di mana ketika itu countdown ke lokasi pengambaran Leftwings sudah tinggal sebelas hari saja lagi. Apa yang anda mahu tahu lagi, juga adalah apa yang aku hendak tanya.

II.

Penulis ketika mewawancara Nasir Jani. © Helmi Burhanuddin

ABROR RIVAI: Apa yang menjadi latar belakang lahirnya Leftwings?

NASIR JANI: Leftwings  skrip yang abang tulis pada tahun 2004. Tahun ini 2011. Maknanya dah tujuh tahun baru dapat funder. Masa itu bukan ditulis fasal hendak bagi dekat Chal. Abang tulis fasal nak cari duit. Jadi Chal minta/tanya abang tahun 2008/9 sama ada – ada skrip atau tidak? Abang kata ada. Ada dua tiga. Jadi abang kata kau pilihlah. Jadi Chal pilih Leftwings. So, dari tahun 2009 itu, Chal dengan skrip Leftwings, kita work out/olah/updatekan lagi. Dari tahun 2004 hingga tahun 2009, banyak perubahan. Banyak masalah-masalah baharu. Pasal Leftwings sebuah filem musikal yang menceritakan tentang kehidupan. Kehidupan rakyat biasa/marhaen. Jadi, resminya pada tahun 2009, Chal ambil skrip itu untuk dia mengarah sebagai filem pertama dia dan sudah ada produsernya, Bagus Tiasa Sdn Bhd yang bosnya Encik Abu Hasan. Dia tuan punya syarikat mahu jadi penerbit. Jadi di situlah mulanya Leftwings.

ABROR RIVAI: Leftwings menceritakan tentang kehidupan. Kalau lebih spesifik kehidupan siapa?

NASIR JANI: Leftwings dibuat mewakili rakyat. Ia adalah filem yang disebut sebagai satu penonjolan sikap. Satu penyuaraan segala benda-benda yang kiri yang mengupas ketidakpuasan hati rakyat. Tapi diolah/diadun dalam bentuk musikal. Contoh macam masalah watak. Kalau diambil untuk dimain dalam filem genre action boleh digunakan juga. Maksudnya watak watak dalam Leftwings hanya berbeza kerana apa kerja diorang. Masalah tetap sama. Itu rintihan marhean seperti harga barang naik, susah hidup, struggle dan semua itu subplot yang membantu Leftwings menyuarakan benda-benda yang left, yang berkeladak seperti adanya “Jerangkung Dalam Almari”. Banyak sebenarnya masalah yang dihadapi oleh rakyat ini yang hendak dikeluarkan.

ABROR RIVAI: Maka Jerangkung Dalam Almari itulah album Wings yang menceritakan tentang marhaen, begitukah?

NASIR JANI: Ya, kalau kita rasa itu suara marhaen maka itu sememangnya suara marhaen. Itu suara orang yang pernah putus asa yang nak bangkit semula, maka itulah ia. Waimma kalau kau dengar Jerangkung dalam Almari lirik arwah Loloq, ia menceritakan tentang persimpangan. Dan pemilihan itu berdasarkan pada apa dalam diri kita, ada apa yang kita tak puas hati.

ABROR RIVAI: Kenapa tajuk Leftwings?

NASIR JANI: Selalunya benda yang left itu orang tak tunjuk. Selalu orang hendak tunjuk yang right saja. Tentang ketidakpuasan hati itu orang tak tunjuk. Jadi kenapa Leftwings kerana pertama memang treatment ini nak mencaritakan Jerangkung Dalam Almari menerusi watak watak yang mewaklili strata masyarakat kita tentang apa yang mereka tak puas hati. Itu pada dasarnya. Secara kreatifnya pula, abang cuba link kan dengan band yang bernama Wings. Kita sudah ada yang right maka buat pula satu yang left. Kenapa tidak? Sebab kalau anak abang nak buat band dan tanya apa namanya, apa salahnya kalau dibubuh Leftwings. Tentang konotasinya tak kisahlah. Ia sebuah nama untuk sebuah band. Kalao ko boleh nampakkan elemen left dalam bentuk musik dan itu dapat kita gunakan, maka nama band itu lahir dari apa yang kita tak tahu, terutama apa makna left itu sendiri dan ini akan membuatkan manusia berfikir. Sebab dengan nama Leftwings ini ia akan jadi berbagai interpretasi. Macam macam kita boleh warnakan dengan hanya menambahkan satu perkataan saja sebelum “wings” iaitu “left”. Realitinya pula, kita memang ada band bernama Wings yang dah sampai ke taraf tinggi di mana Wings adalah “Wings” yang dah ada pengikut. Jadi dalam proses itu, sebagai menghormati band yang sudah punya taraf mereka menamakan band mereka sebagai Leftwings. Jadilah sebagai mana yang lazim kita sebagai manusia tempuh, begitulah juga dengan apa yang kita cipta. Jadi Leftwings menempuhi detik yang sukar apabila terjadi masalah band, yang dalam konteks mereka nampak kecil. Tapi dalam masalah filem ini, masalah itu nampak besar menerusi perwatakannya seperti watak Rizal, bassist kumpulan Leftwings di mana dia menghadapi masalah adiknya yang lari rumah. Jadi, ini masalah kita rakyat bawahan seperti masalah anak lari rumah, yang merupakan sebahagian daripada masalah budak bawah umur. Budak begini sengaja dijadikan senjata untuk menjalankan kegiatan rasuah. Itu secara kreatiflah masuknya. Kita tak singgung sesiapa. Kita hanya tunjolkan apa yag terjadi, tapi bukan nak menyatakan kebenarannya sebab kebenaran mana kita nak tahu.

ABROR RIVAI: Jadi macam mana watak watak dalam Leftwings dihubungkan?

NASIR JANI: Dihubungkan macam ini. Rizal si pemain bass ada masalah adiknya yang lari rumah. Jadi untuk cari adik yang lari rumah itu dia mintak tolong Shah, si pemain drum. Dan Shah pula dia jenis yang bukanlah takda masalah. Masalah dia bukan masalah ekonomi, masalah dia ialah masalah budak yang lahir di KL. Dia (Shah) dalam ramai ramai band ini, drummer Shah – dia takda masalah sepertimana masalah yang digambarkan dalam watak yang lain. Dia ada masa untuk main tomoi, ada masa bukak kedai burger. Shah ini mewakili anak anak dari generasi/keluarga Melayu yang datang ke KL selepas 13 May 69. Kemudian, watak Dino si pemain gita. Dia penulis yang kerja dekat publishing. Sorang yang banyak pengetahuan, baharu graduate dan dah ada kerja. Tapi dia ada masalah dengan bos. Ini pula masalah Dino yang tak serasi dengan tatacara hidup di Malaysia. Meskipun dia sorang budak bijak, yang mengkaji lingkungan hidupnya tapi masalah dia adalah masalah dengan bos, yang mana bosnya yang hampir sebaya. Pasal Saiful (bos) ini anak orang kaya yang kroni. Bapak Saiful ini member dengan taukeh syarikat tersebut. Jadi dia bagi Saiful jadi CEO dan ini jugalah masalah tentang pergaduhan sesama budak muda. Dan pula, Dino berkawan dengan sorang awek yang minat musik yang juga main gitar. Yang ini abang masukkan selepas siapnya skrip. Masa audition budak pompuan ini, yang nama dia Hilda, datang bawak gitar dan kita suruh dia main gitar. Dia main lagu Deep Purple bertajuk The Highwar Star. Bila tanya guru dia Rosli Mohalim Sweet Charity. Jadi dengan ini abang tanya Chal terus ubah skrip dan masukkan watak dia iaitu Purple. Ray, dia penyanyi, pelajar perfileman yang mengimbas rockers Jim Morrison. Ray anak orang kaya. Nama betul Abdul Rahman bin Dato Anuar. Dia yang tubuhkan band Leftwings ini, namun pengisian band Lefwings ini dari berbagai sudut dipenuhi oleh Dino. Masalah Ray bila dia diganggu oleh sub plot cerita ini iaitu Yana yang ibaratnya seperti Yoko Ono. Kan Yoko Ono dikatakan punca kepada perpecahan The Beatles. Manakala di dalam Leftwings konflik cinta adalah sesuatu yang sengaja dimasukkan kerana cinta sebahagian daripada elemen remaja dan di sinilah punca band bergolak!

III.

Aku menamatkan diskusi, sekurang kurangnya buat masa ini. Sudah jauh pagi.

 

Abror Rivai, penulis dan pengarah dokumentari dan filem pendek. 

*Leftwings sedang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.