Ada sebuah buku lama, diterbitkan di Kuala Lumpur pada 1972, oleh Penerbitan Pustaka Kejora. Tajuknya, “Merintis Jalan Ke Punchak”. Penulisnya orang kuat Angkatan Pemuda Insaf (API), yang juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Ahmad Boestamam. Di dalamnya ada cerita tentang bendera “Sang Saka Merah Putih”.

PKMM ditubuhkan kira-kira setengah tahun sebelum Umno ditubuhkan. Umno pada Mei 1946. PKMM pula pada September 1945. Maknanya PKMM tertubuh lebih awal, berbanding Umno. Tertubuhnya ia kalamana Jepun menyerah kalah. Kata Boestamam, buah fikiran untuk penubuhan parti itu tercetus di dalam ruang jabatan pengarang dan pentadbiran suratkhabar “Suara Rakyat”.

Suratkhabar itu pula, awal-awalnya dibiayai oleh seorang yang pada saya misteri akan identiti sebenarnya, iaitu Mokhtarudin Lasso. Pengurus surat khabar Suara Rakyat, iaitu Encik Arshad Ashaari-lah yang disebut-sebut Boestamam sebagai orang yang “membuat daya-utama ke arah itu”, iaitu ke arah penubuhan PKMM—belum pun lagi tumbul cerita bahawa Umno akan ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar di Batu Pahat, Johor.

Di antara kata bual yang sempat ditangkap dan ditulis kembali oleh Boestamam ketika perbincangan penubuhan parti, ialah bicara daripada seorang yang hadir di suatu malam, di pejabat Suara Rakyat. Kata lelaki yang tak dinamakan itu, atau mungkin sahaja Boestamam terlupa kawannya yang mana kerana beberapa orang dikatakan telah hadir di pejabat berkenaan, iaitu: “Parti melahirkan pemimpin-pemimpin. Kita memerlukan pemimpin-pemimpin jika kita hendak memperjuangkan kemerdekaan.” Maka, jelas lagi bersuluh bahawa penubuhan PKMM adalah untuk “memperjuangkan kemerdekaan”.

Adapun, PKMM itu tidak nyata akan hasratnya seperti yang dituduh sesetengah orang hari ini bahawa ia mahu turut sama di dalam kesatuan Indonesia yang sudah pun mencapai kemerdekaan. Kalau pun para lelaki di dalam pejabat Suara Rakyat itu sangat terpesona dengan Seokarno, bahkan Hatta—bahkan PKMM terinspirasi daripada Partai Nasional Indonesia yang dipimpin Seokarno-Hatta—sebagai tokoh kemerdekaanIndonesia, namun mereka sangat menyedari bahawa “kita pun harus mempunyai tokoh-tokoh yang demikian itu pula jika kita benar-benar hendakkan bangsa dan tanahair kita merdeka”.

Seiring habiskan kata-kata tadi, tulis Boestamam, kedengaran tepuk gemuruh di kalangan mereka yang hadir. Demikian, PKMM tak lain tak bukan adalah lanjutan daripada beberapa pertubuhan kebangsaan Melayu lebih awal seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (Keris) yang keduanya dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob.

Tulis Boestamam lagi, gagasan penubuhan Umno lahir daripada Kongres Bangsa Melayu dengan sidang pertamanya diadakan di Dewan Bandaran Ipoh, Perak pada Jun, 1946. Agenda utama yang mahu dibicarakan di dalam sidang berkenaan ialah soal lambang Umno, dan setiap badan yang menganggotai Umno dipelawa untuk mengemukakan usul masing-masing. PKMM waktu itu, masih mahu ikut bersama Umno dan Boestamam bersama orang nombor dua PKMM, Ishak Haji Muhammad ditugaskan atas persetujuan Dr Burhanuddin Al-Helmy selaku Yang Dipertua PKMM untuk masuk sidang. Ditemani pula seorang wakil PKMM dari Ipoh.

Di dalam perbicangan sehari sebelumnya, Boestamam dan Ishak Haji Muhammad (atau kini orang lebih mengenalinya sebagai Pak Sako) bercadang untuk membawa lukisan berbentuk bendera. Kemudian mereka menukar rencana.

Adalah lebih bagus pada fikiran mereka andai dibawa di dalam sidang keesokannya bendera sebenar, iaitu “Sang Saka Merah-Putih”. Orang kuat PKMM Perak, yang turut di dalam perbincangan itu, dipetik berkata, “mengemukakan barang yang hidup (bendera yang sebenar) tentu akan lebih hebat efeknya, pengaruhnya, kepada khalayak ramai daripada mengemukan barang yang mati (sekedar lukisan)”.

Di dalam dewan, dengan kepetahan berhujah, Pak Sako dikatakan begitu cemerlang, atau dengan menggunakan istilah Boestamam sebagai “in form”: “suaranya terang dan jelas. Pengucapannya lancar tetapi tidak gopoh. Pendeknya sedikit tidak ada salahnya.” Seperti yang dirancang, seraya habis Ishak berpidato, maka dia pun mengibarkan bendera Sang Saka Merah-Putih yang di dalam cerita Boestamam, “dengan muka yang didongakkan semua mata tertumpu kepadanya. Tiba-tiba tepukan bergemuruh mengemai suasana.”

Ketika kali pertama membaca bab ini, seakan setiap sudut dalam dewan bandaran di Ipoh dapat saya rasakan. Akan cahaya pada hari itu, tanpa awan yang gundah dan mendung. Akan urat pada leher Pak Sako, paras orang-orang Melayu yang hadir, bahkan ketika Boestamam menuliskan kembali di hadapan mesin taipnya, di hari yang sudah jauh dia tinggalkan daripada keadaan di dewan berkenaan sekalipun. Ia, tidak lain, adalah sebuah cita-cita untuk melihat negeri ini merdeka. Tapi, merdekanya adalah merdeka dengan penuh bangga, atau dengan istilah Boestamam sendiri sebagai “hilang atau terbilang”. Tak ada pilihan. bak pepatah Melayu yang lain, “hidup atau mati”.

Di dalam sidang, diperhitung ada kira-kira 50 badan yang hadir. Hanya PKMM badan yang ditanda sebagai “badan kiri”… dipercayai begitu. Apabila proses undian sampai dan keputusan diumumkan, cadangan agar Umno memakai lambang atau bendera “Sang Saka Merah-Putih” telah diumum kalah. Tewas dengan satu undi… dengan satu undi!

‘Pergeseran’ antara PKMM dengan tokoh-tokoh Umno—yang disebut sebagai feudal dan “kanan”—terasa sudah berlaku jauh daripada hari itu. Boestamam sendiri dengan tegas melabelkan bahawa rata-rata badan yang hadir ke sidang di Ipoh itu sebagai “badan-badan kanan” sedangkan baginya, cita-cita PKMM adalah untuk “mencapai kemerdekaan penuh bagi Malaya”. Bukan kemerdekaan separuh-separuh dengan Inggeris masih tetap berkuasa apabila menggunakan strategi untuk menjadikan mana-mana pertubuhan politik Melayu sebagai muka depannya sahaja.

Di waktu makan tengah hari—selepas menerima berita kekalahan—tiga orang PKMM pun berbual-bual. Boestamam menyarankan agar PKMM menarik diri daripada ikatan Umno. Pada mulanya, agak bimbang juga mereka kerana keputusan itu takut-takut dipertikai dan tak mendapat mandat Dewan Pimpinan PKMM Pusat, namun Boestamam mahu mengambil tanggungjawab itu dan diperjelaskan kemudian khususnya kepada Dr Burhanuddin.

Pukul 2 petang apabila persidangan mula semula, ketika agenda lain mahu disambung, Boestamam bangun. Dia mahu membuat pengumuman, dengan ucapan yang dikatakan agak panjang. Di hujungnya, dia katakan bahawa PKMM mengusul diri keluar daripada Umno, dengan tempik akhir penuh semangat, “Merdeka!”.

Laung itu disambut anggota PKMM. Disambut juga orang-orang yang bersimpati dengan mereka. Tanpa menoleh ke belakang, mereka pun melangkah. Meninggalkan dewan. Yang sunyi akibat tergamam.Ipoh ditinggalkan, kerana, “kemerdekaan penuh” mahu mereka capai.

 

 

Ahmad Boestamam Datuk Onn Jaafar Ibrahim Haji Yaakob Kesatuan Melayu Muda Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung Mokhtarudin Lasso Soekarno

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan