Rata-rata rakyat Malaysia mengenal benar pantun, walaupun ramai antara mereka masih keliru membezakannya dengan syair – sebuah lagi bentuk puisi Melayu lama.

Populariti pantun boleh diibaratkan seperti dangdut di Indonesia. Di republik itu, dangdut dinyanyikan daripada desa terpencil hinggalah ke gedung-gedung besar. Di negara ini, pantun juga dilafazkan diterima meluas oleh pelbagai pihak.

Di perhimpunan agung Umno misalnya, pembahas paling popular adalah perwakilan yang menyulam hujahnya dengan pantun, terutamanya yang berbentuk jenaka dan satira.

Tetapi bukan itu sahaja, pantun juga dibacakan kedengaran dalam persidangan tahunan parti-parti yang sinonim dengan bangsa bukan Melayu, seperti DAP dan Gerakan. Dan itu tidak pelik.

Pendek kata, pantun seni yang amat sinonim dengan jiwa Melayu, selain keris. Bezanya, keris lambang kekuatan tetapi pantun lambang kelembutan bangsa asal tanah ini.

Tahun berubah, dalam masa yang sama, pantun bukan lagi milik mutlak orang Melayu. Ia dikembangkan sampai ke Perancis, ke pulau sejauh Hawaii dan meresap dalam sastera Inggeris yang besar itu.

Di peringkat antarabangsa, pantun juga dikenal sebagai “pantoum”. Tetapi walau apa pun namanya, variasinya atau bahasa yang digunakan, akar pantun itu tetap berasal daripada pengucapan Melayu.

Pantun amat dekat dengan jiwa Melayu sampai ia digunakan dalam perbualan harian tanpa rasa canggung dan pelik.

Ayat-ayat seperti “saya budak baru belajar”, “sudah gaharu cendana pula” dan “siakap senohong gelama ikan duri” sudah meresap ke lidah Melayu tanpa mereka sedar.

Bayangkan, betapa absurdnya orang Melayu, mereka mampu berbual hanya menggunakan pembayang pantun tanpa maknanya dibaca bersama.

Bagaimanapun, seperti lazimnya bentuk sastera Melayu tradisional lain, ia diingati, dikenang dan disebar dengan cara yang juga amat tradisional – secara lisan, secara mulut ke mulut, dengan bisikan ke telinga.

Rekod-rekod yang ada dalam bentuk buku juga lebih cenderung mengumpulkan pantun-pantun yang pernah diucapkan di pelbagai tempat.

Justeru, jika dibelek buku sedia yang berkaitan, pembaca akan menemukan longgokan pantun berdasarkan tempat dan dialek. Misalnya, ada pantun-pantun Kelantan dan ada pula pantun-pantun Kedah.

Tetapi ini tahun 2012. Dan perkembangan yang disebut di atas ini tidak selari dengan populariti yang dijunjung pantun. Maksudnya, lebih banyak pantun dicipta saban detik tetapi buku-buku di perpustakaan tidak bertambah.

Justeru, atas kesedaran itu, sembilan penyumbang dalam buku ini, daripada tiga lapisan generasi – 20-an, 30-an dan 40-an – mengambil inisiatif berpantun dan membukukan pantun.

Bagi mereka, ini hanyalah penglibatan (belum tentu menjadi sumbangan) kecil bagi memeriahkan puisi klasik ini.
Dengan kecilnya usaha ini, maka kami namakannya “sekuntum pantun” —  walaupun buku-buku kumpulan pantun lain biasanya menggunakan istilah “setaman pantun”.

II

Dalam tempoh beberapa bulan penghasilan 99 pantun yang diantologikan ini, bagi kami yang rata-rata penulis dan wartawan muda ini, ia period yang sungguh luar biasa.

Menulis pantun tidak semudah yang disangka. Ramai beranggapan bahawa menulis pantun sangat mudah dan cuma perlu berjaga-jaga dengan rima A-B-A-B di hujungnya. Itu bohong!

Pantun bukan seperti yang kamu bayangkan. Menulis pantun juga bermaksud menguasai langgam bahasa, retorik dan pengucapan Melayu yang lembut tetapi tajam, pemilihan set kata dan tentunya kosa kata yang luas.

Sebuah pantun Melayu yang baik akan memberikan kesan keindahan berpanjangan, baik daripada sudut maksud atau pembayangnya. Bentuknya yang pendek dengan hanya empat baris (dengan 8 hingga 12 suku kata setiapnya) lebih menyukarkan perkara itu.

III

Bagaimanapun, bahagian paling paling sukar dalam penyediaan buku kecil ini tentulah ketika menomborkan setiap pantun dengan angka roman.

IV

Terima kasih kepada Goenawan Mohamad – guru besar sastera Indonesia – yang mengizinkan tulisannya diguna pakai sebagai pengantar buku ini.

Terima kasih juga kepada Zhafran Helmy dan Jargon Books yang bertungkus lumus menyiapkan reka letak dan kulit depan buku ini. Terima kasih untuk masa, kesabaran dan tenaga yang dicurah keterlibatan meraikan pantun.

Akhir kata, terima kasih pula kepada anda yang membayar untuk membacanya.

 

Jimadie Shah Othman
Jun 2012
Kuala Lumpur