Petir berdentum, angin bertiup kencang, kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Si Tenggang dalam nada kesal yang tergetar nada ketakutan merayu: “Oh, ibu! Ampunkanlah Tenggang. Tenggang mengaku, Tenggang anak ibu!’ Tapi dia terlambat. Tuhan telah perkenankan doa ibunya. Si Tenggang lalu berubah menjadi batu.

Kisah dongeng terkenal di kalangan masyarakat Melayu ini dimulakan dengan harapan mengubah nasib kehidupan yang kemudian bertukar tragedi kerana sifat lupa diri.

Jika ‘ibu’ diambil secara literal, dari sisi lain sayangnya gambaran sifat ‘pendendam’ terpalit pada susuk si ibu. Seorang ibu, manusia yang penuh kasih sayang itu, yang dikatakan jika kau kecup kakinya akan terhidu bau syurga, pada satu tahap mendoakan kecelakaan kepada anaknya.

Satu tulisan Goenawan Mohamad di majalah Tempo pada 2008 dengan tajuk ‘Pelacur’ mengundang pelbagai reaksi apabila sisi kehidupan Nur Hidayah, seorang ibu yang melacurkan diri untuk anaknya diangkat Goenawan sebagai ‘Ibu Indonesia Tahun 2008’. Si Tenggang mungkin tidak jadi batu jika ibunya adalah Nur Hidayah.

Tapi sebagai seorang anak, aku masih fikir aku tidak mungkin faham perasaan seorang ibu. Cukuplah dikatakan bahawa sifir hubungan ibu-anak tidak semudah ‘si anak derhaka maka si ibu berdoa anaknya jadi batu’.

Sisi tragik

Versi asal pelbagai, termasuk Malin Kundang (Minangkabau), Nakhoda Manis (Brunei), bahkan seawal 1990 lagi telah dirakamkan oleh William Skeat dalam buku Malay Magic dengan tajuk Charitra Megat Sajobang. Mengikut sumber lain, ia telah menjadi kisah rakyat yang tekenal pada 1880-an di Selangor.

Kisah Si Tenggang derhaka merupakan gambaran sisi tragik kehidupan masyarakat Melayu tradisional di mana ketika itu pemuda-pemuda kampung bekerja di sawah jika ada sawah yang boleh dikerjakan, menjadi peladang jika ada ladang, ataupun ke hutan dan laut mencari hasil. Si Tenggang bayangkan kehidupan hari esok yang lebih daripada ini. Dia ambil keputusan untuk menjadi anak kapal, sebelum nakhoda mengambilnya sebagai anak angkat, dijodohkan dengan anak perempuan nakhoda, seterusnya menjadi nakhoda.

Pada satu tahap Si Tenggang berkongsi tuah Ragged Dick, watak dalam novel bildungsroman Horatio Alger. Ragged Dick, si penggilap kasut yang pada suatu hari bertuah ia menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada lemas, lalu ayah kanak-kanak itu memberi ganjaran pekerjaan di firma insurans, lengkap dengan sut pakaian baru.

Kisah Ragged Dick ditulis Horatio Alger kemudian menjadi simbolik kepada kisah si miskin menjadi si kaya (ragged-to-riches) yang menjadi bacaan anak-anak kelas pekerja di Amerika. Ia kemudian dianggap sebagai naratif kepada American Dream yang digambarkan dalam deklarasi kemerdekaan negara itu – “Life, Liberty and the pursuit of Happiness.”

Persamaan ketara antara kedua-dua watak ini ialah keinginan keluar dari lingkungan hidup. Mungkin yang membezakan Ragged Dick dengan Si Tenggang ialah Ragged Dick tidak menjadi batu. Dia digambarkan berjaya memperoleh ‘kehidupan yang lebih baik’ lalu menukar namanya kepada Richard Hunter.

Si Tenggang yang satu lagi

Aku tidak pasti jika Si Tenggang karya Abdul Samad Ahmad (1955) pernah terlintas dalam bacaan aku. Si Tenggang dalam pengalaman aku adalah filem hitam putih arahan Jamil Sulong yang ditayangkan di TV ketika aku masih kanak-kanak. Aku ingat dengan jelas lakonan berkesan Jins Samsuddin sebagai Si Tenggang di saat dia berubah menjadi batu. Beberapa tahun selepas itu, ketika aku sudah remaja, aku dengar perbualan lisan yang berkisar tema sama: “Daripada jadi batu, baik aku sumpah kau jadi peti sejuk, berfaedah lah jugak”. Ia datang dari seorang ibu, dalam nada jenaka.

Di bangku sekolah menengah, aku jumpa Si Tenggang sekali lagi dalam sajak yang ditulis Muhammad Hj Salleh. Tapi ia bukan Si Tenggang apologetik yang pada hujung riwayatnya kembali mengaku ibunya, memeluk asal-usulnya. Bukan Si Tenggang yang ‘kepercayaannya’ didasari ‘ketakutan’ kepada ‘hukuman’. Tapi Si Tenggang yang telah belajar dari kembaranya dan kini telah pulang ke kampung halamannya.

Sajak “Si Tenggang Homecoming” merakam sisi berbeza anak perantau. Si Tenggang ditampilkan sebagai pemuda bijaksana yang degil dengan prinsipnya. Kembaranya telah memberi kesedaran kepada Si Tenggang untuk melihat kehidupan dari sisi berbeza. Dia telah belajar untuk mempersoal kepercayaan yang disuap kepadanya.

“travel makes me / a seeker who does not take / what is given without sincerity / or that which demands payment from beliefs./ The years at sea and in coastal state / have thought me to choose,/ to accept only those tested by comparison, /or that which matches the roads of my ancestors, / which returns me to my village / and its completeness.”

Ia bukan lagi cuma kisah tentang seorang pemuda yang hilang jati dirinya kerana mengembara. Ia adalah seorang pemuda yang ranum dengan pengalaman hidup dan kini bersedia untuk berdiri atas apa yang dia percaya. Dia peka dengan realiti di hadapannya yang kini telah berubah. Dan dia sedia berkongsi apa yang dipelajarinya: “Look, I am just like you, / Still Malay, / Sensitive to what / I believe is good. / And more ready to understand / than my brothers. / The content of these boats are yours too. / Because I have returned.”

Demikan reliti kisah Ragged Dick juga berubah. Hari ini kisah hidup watak novel Horatio Alger itu dikritik sebagai optimisme mentah dalam meraikan kapitalisme. Ia menjadi lagu yang dinyanyikan kaum pemodal untuk terus memerah tenaga kelas pekerja. Cucu-cicit Uncle Sam lalu sedar bahawa tak ada siapa yang akan pernah merasa cukup di Amerika. Tidak dengan sekadar menjadi agen insurans.

Ketika American Dream telah berubah menjadi American Nightmare, Si Tenggang masih orang yang sama. Dia tidak ingin menjadi Richard:

“I am not a new man, / not very different from you; / the people and cities of coastal ports / thought me not to brood over a foreign world, / suffer difficulties /or fear possibilities. I am you, / freed from the village, / its soils and ways, / independent, because / I have found myself.”

 

Wahyudi Yunus,  penulis yang bekerja di Brickfields.

 

Goenawan Mohamad Horatio Alger Jins Samsuddin Muhammad Hj Salleh William Skeat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan