Satu babak daripada filem Laskar Pelangi.

Bas biru tua dan putih yang tidak bernombor, yang bergerak menuju Belitong menghantar Ikal menyorong kenangan paling indah dari seluruh hidupnya di SD Muhammadiyah Gantong bersama sepuluh teman lain termasuk dia, yang merupakan jiwa dari laskar dan semangatnya, yang menghidupkan ruh pendidikan Islam, satu daripada pendidikan tertua di Indonesia.

Filem yang dengan bangganya didukung oleh Pertamina Foundation dari produksi Miles Films & Mizan Productions yang merupakan sebuah film Riri Riza didasarkan pada novel karya Andrea Hirata berjudul Laskar Pelangi yang mengangkat kisah anak asli Belitong, selaku pulau yang terkaya di Indonesia dengan gambar-gambar yang menjadikan bukti tak terbantah, pulau dengan urat-urat timah yang melimpah, yang telah menggoda bangsa lain untuk mengaut kekayaannya.

Ikal sedang berbicara kepada dunia tentang potensi pulau ini. Kerana setelah daerah ini merdeka pun, rakyat Belitong belum berupaya untuk menikmati hasil kekayaannya sendiri. Inilah sebahagian lagi dari kisah Billiton, sebagai nama yang dikenali di dunia barat, yang dijelaskan menerusi imej yang elite, dari gambar-gambar hitam putih dalam sekuen newsreel yang sangat referensif bagi memahami lebih teguh tentang keseluruhan pokok perbincangan, dari satu komposisi pandangan tentang Islam, seni dan kebudayaan. Garapan pengenalan dengan cara newsreel adalah sebagaimana yang kelihatan dalam kebanyakan naratif klasik, terutamanya yang dipinjamkan dari Hollywood termasuk yang paling meluas diperbincangkan di semua sekolah perfileman yakni Citizen Kane.

Meskipun tembok penjajah itu tebal, tetapi ia sedikit pun tak bisa mematahkan semangat laskar pelangi dalam mengayuh dan mempertahankan kepercayaan mereka terhadap akidah tauhid yang mendidik budi pekerti mereka semulia akhlaqul karimah. Lintang, diperhatikan dari pandangan jauh, yang sedang mengayuh basikal tuanya menyeberangi lautan padang di luar pesisir dunianya yang miskin yang disaksikan segenap penghuni hutan untuk dia terus membuktikan sebaliknya.

Lintang merupakan anak pesisir miskin yang paling luar biasa yang pernah ditemukan Ikal sepanjang hidupnya. Laskar Pelangi membawakan kita citra tiga orang watak utamanya yang bernama Ikal, Mahar dan Lintang, di mana Lintang merupakan pusat penceritaan dari keseluruhan makna filem ini terhadap kita. Pabila dibicarakan kesimpulan dari seluruh rukun iman termasuk mengimani takdir baik dan buruk itu yang seharusnya dimengertikan secara menghadam.

Ini cerita Belitong di tahun 1974. Ia cerita sebuah keluarga. Semurni pengertiannya menunjukkan bapak, mak, dan anak-anak ayam yang mematok nasi di lantai berbatu. Itulah kota Belitong.

Pada hari itu, bapa Ikal harus meminta izin untuk menghantar Ikal. Bapa Ikal buruh di pabrik yang terkemuka di pusat kotanya yang sesak dengan manusia yang sebahagiannya adalah para buruh dan pendidik yang di antaranya amat terkemuka dan sangat dihormati masyarakat seperti Pak Harfan.

Kita ditunjukkan sepasang kasut. Kasut Ikal. Bukan kasut yang baru. Kasut terpakai berwarna putih dan merah jambu punya kakaknya. Mengetahui Ikal enggan memakainya, ibu memujuknya sambil di kesempatan lain nanti akan dibelikan yang baru. Itu janji ibu kepada anak.

Ya, bapa Ikal sudah minta dan dapat izin cuti setengah hari, sambil ibunya mendoakan mudah-mudahan pada hari itu dapatlah sepuluh murid terkumpul bagi membolehkan SD Muhammadiyah berjalan sebagaimana yang disyaratkan oleh pemilik sekolah pusat, soalnya apakah sekolah itu cuma percuma. Akhirnya balik jadi kuli di toko atau di pabrik jua?

Lalu, pagi itu angka sepuluh merupakan angka keramat bagi semua orang. Termasuklah Ibu Muslimah. Anak seorang tokoh perjuangan yang sezaman dengan Pak Harfan, yang merupakan antara kader yang terhormat di kalangan kumpulan usrah dan tarbiah di bawah didikan langsung dari Buya Hamka dan Pak Kiai Haji Ahmad Dahlan, yang merupakan otak dan pendiri gerakan Islam yang terbesar di seluruh Nusantara bahkan dihormati sedunia, Muhammadiyah.

Kukira kita sangat ketinggalan kerana pembikin filem di Malaysia tidak mengangkat kisah sejati untuk difilemkan dengan cara yang pintar seperti ini. Cerita bagaimana bermulanya Taski dan Seri belum ada yang dibuat, sebagai contoh, dengan mengambil pengajaran dari filem Laskar Pelangi ini. Kerana tidak berfikir bahawa penonton memerlukan pengisian untuk lebih menarik minat mereka ke pawagam. Lihat saja keuntungan yang ditempa dan diraih industri perfileman di Indonesia, terutama dalam sepuluh tahun terakhir ini. Semua pun tahu tentang benda ni, ku kira.

Kerana yang hendak membawa anak-anak ke pawagam menonton filem-filem yang bermutu, mungkin, mungkin samalah seperti mereka yang mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk diberikan pendidikan. Merekalah rakyat, yang bergerak maju melihat ke depan dari meniti jembatan. Mereka yang mewakili kelompok manusia yang berbilang latar belakang, namun mempunyai potensi yang luar biasa untuk mengangkat diri mereka keluar dari kemelut kekusutan, kemiskinan dan berbicara tentang kemajuan. Ini dia nilai bangsanya.

Jadi, kalau filem di Malaysia masih berlegar dengan kelalaian kita terhadap upaya untuk mengisi ruh ke dalam nilai-nilai bahasa ke dalam bangsa, apalah ertinya sebuah filem lagi? Melainkan, tidak lebih dari sebuah produk ringan yang tidak berfungsi. Ia hanya kejutan dan semua itu hanya sia-sia. Melihatkan sebabnya, kita berbalik kepada Laskar Pelangi.

Anak murid yang bernama Lintang ini yang datangnya dari Tanjung Kelumpang itu hendak sekolah, apakah kita tidak memahaminya? Dialah murid pertama dalam hari bersejarah bagi Ibu Muslimah sebaik dia tiba di sekolah mereng itu pagi itu. Dari luar pesisir, dari sejauh kayuhannya menempuhi hutan, belukar, padang lalang, jalan berbatu, Lintang harus datang begini, sendiri, sampai terucap subhanallah dari mulut Ibu Muslimah, melihatkan Lintang berkaki ayam dan basikal tua yang lebih tinggi darinya, kerana ayahnya harus ke laut dan tak bisa datang. Ini momen yang sangat sangat manis, dan bagi aku lakonan lakonan yang hidup dalam filem ini, banyak didukung oleh gerak dan maksud tubuh yang dipengaruhi perasaan yang sebenar, yang dibantu oleh persekitaran alamnya, yang segar, dan sehat. Kita masih dapat mendengar ayam berkokok dengan nyaman, sepertimana aslinya di kampung-kampung pendalaman.

Sekarang aku faham mengapa cerita dari belakang rumah kita sendirilah yang paling sejagat. Itulah sebabnya, yang utama, yang akan mengangkat naskah kita untuk dihayati secara bermakna sekali.

Sambil itu di luar SD Muhammadiyah, berdekatan pusat kota di Belitong, kita ditunjukkan dari atas, sehingga kamera turun kren di sudut dasar, dilatari pohon dan selangka jalan, kelihatan para kuli masuk kerja dan diawasi mandur yang sebenarnya, baru saja datang. Angka sepuluh menjadi angka yang sangat penting, bukan saja bagi dua orang guru yang luar biasa, tapi juga bagi kami… kata Ikal, tinggal seorang murid lagi. Tentulah harapan Ibu Muslimah sangat besar untuk menunggu seorang lagi murid bagi Pak Harfan mengumumkan pembukaan SD Muhammadiyah Gantong pada hari pertama persekolahan di tahun itu. Kerana, di hari itu juga sangat penting, apakah anak-anak murid itu ditentukan dapat sekolah atau sebaliknya jadi buruh di kontrak-kontrak dan PN Timah?

Sementara di balik tembok itu, kata Ikal… kami tahu SD PN Timah telah dipenuhi murid-murid baru. Pak Harfan memberitahu Ibu Muslimah bahwa kita tunggu sampai jam sebelas. Begitulah harapan Ibu Muslimah. Menantikan cahaya. Masuk memberikan sinar kepada kehidupan yang benar mengerti tentang tujuan untuk mengangkat martabat hidup itu ke tahap yang tinggi.

Sudah lewat pukul sebelas Mus, bilang Pak Harfan. Bukan senang baginya untuk memberitahu orang-orang tua dan anak-anak itu betapa apalah ertinya surat yang diperintah dari pemilik sekolah pusat yang menyusur kepada keputusan supaya hendaklah dibubarkan sekolah itu kerana tidak memenuhi kehendak paling ringan dalam menjalankan sebuah pendidkan. Ya, apalah ertinya sembilan atau sepuluh orang murid?

Saat Pak Harfan membuat pemberitahuan itu, di hadapan ibu-ibu dan bapa-bapa dan anak-anak yang ingin menyelamatkan pendidikan Islam yang tertua di tanah Belitong ini, sekolah dengan dasar budi pekerti, demi dengan tegaknya akhlaqul karimah, akhlaq yang baik… kerana tidak memiliki sepuluh orang murid yang baru, maka tidak bisa untuk membuka sekolah yang baru, semua sudah sedih, Ibu Muslimah pun masuk menyertai kebersamaan rasa yang amat meruntunkan jiwa dan berlinangnya air mata. Lintang tunduk, kerana barang diingat, dialah murid nombor satu yang datang berbasikal sejauh beberapa batu dari pesisir, yang hendak belajar dari buku tulis murah yang baru, sebaiknya saat sedih itu diterima dengan hati yang lapang.

Tunggulah dulu Pak! Larang Ibu Muslimah, mengharapkan Pak Harfan memberikan sedikit masa lagi, merongrongkan keajaiban dirongrongkan secemas itu, dengan kerelaannya untuk pergi mencari seorang murid lagi, kalau itulah jua syaratnya supaya didirikan sekolah ini hari itu.

Di luar bilik darjah, Pak Harfan pergi dan cuba menenangkan Ibu Muslimah yang kelihatannya emosi kerana semestinya hari itu adalah hari pertama dia menjadi guru.

Diketok-ketoklah tabuh, berderang-deranglah gendang, kerana dari kaki lalang itu, kita nampak omak Haron lari mengejarkan Haron yang sedang berkaki ayam berlari menuju ke sekolah SD Muhammadiyah untuk mendaftarkan dirinya menjadi murid. Lebih istimewa, menjadi murid kesepuluh yang merupakan angka keramat bagi kami… kata Ikal.

Ibu Muslimah menjeritkan manis… Harooon!!! Kerana kata Ikal… Haron seorang anak yang istimewa yang telah menyelamatkan kami dan menghadiahkan wajah bahagia dalam senyuman Ibu Muslimah. Dan senyum itu akan berganti-ganti dalam banyak hal. Menemani tahun tahun kami ke depan. Tahun-tahun yang tidak akan bisa pernah di kotak katikkan (lenyap dari ingatan).

Bahasa Lintang tentang kota Paris

Sementara menonton bersama, Sofia mengingatkan aku mengapa bahasa itu yang diutamakan dalam membaca sebuah filem. Bahasa itulah ayat penyatuannya. Kita ini ditinggalkan oleh Nabi dengan Al Quran dan Hadith. Dari bahasa kita dapat mengetahui asli sesuatu perkara. Dalam konteks filem, aku menambah bahasa meliputi perlambangan, petanda, ikon dan erti keseniannya.

Yang kita perhatikan dari lukisan di papan belajar. Gambaran bahtera Nabi Nuh yang diisi dengan seluruh isi alam termasuk binatang, kisah bagi anak-anak yang mahu mendengar kisah tentang bahtera yang paling besar yang dibuat dalam sejarah umat manusia. Bahawa kisah kita sebagai pemimpin di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

“Mereka yang engkar, telah diingatkan, bahwa air bah akan datang. Namun, kesombongan telah membutakan mata. Dan menulikan telinga mereka,” ajar Pak Harfan di dalam kelas miskin itu.

“Dan akhirnya mereka musnah, dilambung ombak….”

Filem Laskar Pelangi menggambarkan dari jauh pesisir, menunjukkan watak seorang bapa yang dilakonkan oleh aktor Alex Komang, melepaskan anaknya, Lintang, berbasikal dari hujung hutan disaksikan haiwan liar nampaknya serupa napuh. Momen yang sangat terkesan, bila kita melihat hujan dan Lintang berhenti berteduh di sebalik ranting pohon besar yang menghujan ke bumi. Hujan adalah petanda kepada sesuatu yang buruk mungkin berlaku.

Di bawah pohon, sementara menunggu hujan tipis, Lintang membaca buku. Sehingga hujan pun tipis, dan matahari hadir kembali, Lintang bergerak merongrongi lalang dan pokok bunga putih. Sampai di sebalik belukar yang disirami pepohon hijau, Lintang tercungap, melonjong dan berhenti. Dia seperti ternampakkan sesuatu.

Ia buaya tangsi yang berkulit gelap dan putih di bawah, malas melintasi denai laluannya ke tengah hujung kota, memunggar ekornya terceplop jatuh ke lubuk air.

Apakah perlambangan lain bagi angka tigaratus tigabelas selain dari jumlah tentera Islam, yang jauh lebih kecil dari tentera kafir Quraisy yang lengkap bersenjata di dalam perang Badar al Kubra sebagaimana yang diajari Pak Harfan kepada anak-anak muridnya itu? Kukira, kita harus memikirnya juga dari sudut ini. SD Muhammadiyah hanya didokongi oleh tiga orang guru iaitu Bakri, Ibu Muslimah dan Pak Harfan sendiri.

Saat itu, Bakri lari dari perjuangan ini kerana mahu meninggalkan sekolah mereng, yang ketika hujannya dimasuki kambing untuk berteduh, yang harus dicuci setelah selekeh, yang harus punya hati untuk memaksudkan makna sebenar dari pendidikan, begitulah tersiratnya bahasa.

Anak-anak berbasikal menuju hujung bukit, dicelahi batu-batu besar di pinggir desa pantai, anda kan terimbas rasa dari pengalaman membaca shot-shot teragung dalam sejarah perfileman dunia, lantai yang dilidi Pak Harfan, adalah kebanggaannya pada irama bangsa, seindah pelangi. Merah, jingga, kuning, hijau, biru, nila dan ungu. Mejikuhibiniu.

Lantaran belajar di luar kelas, sementara Pak Harfan membersihkan bilik darjah sesudah hujan, anak anak murid ini di gelar Laskar Pelangi oleh Ibu Muslimah. Yang menurut Pak Harfan, merupakan kesepuluh murid karunia Allah itu.

Ia, itu yang dimengertikan dari bahasa. Seperti kata Lintang: inilah namanya Menara Eiffel, Ikal. Katanya di kota Paris. Ibukotanya Perancis. Katanya, kota orang orang pintar, Ikal. Orang-orang hebat. Orang ahli-ahli, seniman, semuanya ada di sana. Katanya kota ini paling cantik sedunia. Ketika digambarkan pada Ikal, bahasa Lintang tentang kota Paris.

 

Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Pernah menemuramah Pierre Rissient – lelaki Perancis yang terawal menonton filem-filem agung dari Asia dan merupakan wakil Festival Filem Cannes bagi Asia Pasifik – pada tahun 2004 di Carcosa Seri Negara. Lagi satu, dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir, new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: Cinta, Islamique & Filem Digital. Dia juga adalah sutradara kepada filem Le Diable.